| 0 comments ]

Murid daripada keluarga miskin, yang tidak tersenarai dalam program e-Kasih, dijangka mendapat bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) pada Mac atau April ini, kata Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah.

Beliau berkata bantuan daripada Kementerian Pelajaran tersebut dapat disalurkan melalui sekolah masing-masing berikutan kelonggaran yang diberi kepada murid terbabit di Tahun Tiga dan ke atas agar mereka tidak tercicir dalam sistem persekolahan.

"Banyak aduan mengenai perkara tersebut, terutamanya daripada ibu-bapa dari golongan miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri saya di Dalat telah diterima," katanya ketika merasmikan program mensejahterakan rakyat anjuran Pertubuhan Untuk Masyarakat Miskin Bandar Kuching (SKUP)dan Jawatankuasa Ehsan Sarawak (JES), Jabatan Ketua Menteri di Kampung Sinar Budi Baru, Desa Wira di Kuching, hari Isnin.

Bagi mengatasi masalah kemiskinan bandar yang berada dalam tahap 33.8 peratus pada masa kini dibanding 44.8 peratus untuk luar bandar di Sarawak, katanya kerajaan melaksanakan pelbagai program bagi meningkat pendapatan, latihan dan kerjaya, bantuan pendidikan serta rumah dan pembangunan masyarakat setempat.

Beliau berkata landskap kehidupan semasa menyaksikan kadar urbanisasi berkembang pesat dengan 63 peratus daripada penduduk tinggal di bandar, yang penuh cabaran, terutama bagi golongan miskin kerana kos sara hidup yang tinggi, pendapatan yang rendah dan masalah tempat tinggal.

Dalam memahami dan menghargai peranan yang dimainkan oleh masyarakat sivil, khasnya sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing, Fatimah meminta lebih ramai individu, syarikat korporat tampil untuk memberi sumbangan dana kepada pertubuhan sukarelawan seperti SKUP.

Setakat ini SKUP telah membantu membekalkan makanan kepada kira-kira 200 orang miskin setiap hari di enam lokasi di bandar Kuching dan jumlah tersebut dijangka akan meningkat kepada 300 orang, katanya.

Katanya dana SKUP sedia ada untuk menyediakan kemudahan perlindungan serta menjalankan program latihan hanya cukup untuk menampung aktiviti bantuan sehingga Jun ini.

Berdasarkan statistik kemiskinan bagi suku tahun semasa, beliau berkata 23,782 ketua isi rumah dilaporkan untuk seluruh Sarawak, termasuk 22,089 di luar bandar dan 1,693 di bandar.

(Sumber: Bernama - 24/01/2011 - 4:32PM)


Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment