| 0 comments ]

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi Jumaat menjelaskan, keputusan mewajibkan lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013 adalah muktamad.

Menurut beliau, cuma yang belum diputuskan ialah bentuk kurikulum mata pelajaran tersebut yang akan digubal dan pendekatannya bagi memastikan ia benar-benar memberi impak berkesan bagi memastikan pelajar menghayati sejarah.

"Sebenarnya, keputusan wajib lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan SPM adalah muktamad. Kita hanya menunggu hasil kajian daripada sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengkaji kurikulum Sejarah dan buku teks Sejarah sekolah menengah.

"Jawatankuasa ini sedang membuat kajian bagi memastikan kurikulum yang baru dan bakal digubal kelak benar-benar memberi impak yang berkesan untuk melahirkan generasi yang menghayati sejarah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra dengan guru-guru sekolah kebangsaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Tenang hari ini.

Menurut beliau, laporan tersebut perlu diperjelaskan kerana ia boleh disalah ertikan seolah-olah kementerian akan berpatah balik dalam keputusannya untuk mewajibkan mata pelajaran Sejarah kepada pelajar yang mengambil peperiksaan SPM mulai 2013.

Beliau juga berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu dianggotai oleh pakar sejarawan dan pensyarah universiti yang pakar dalam bidang Sejarah.

Kementerian katanya, akan memperkenalkan Sijil Peperiksaan ulangan untuk mata pelajaran Sejarah kepada pelajar yang gagal dalam peperiksaan SPM mulai tahun 2013.

Langkah itu, katanya untuk membolehkan pelajar yang gagal mata pelajaran itu mengambil peperiksaan ulangan sebagaimana mata pelajaran Matematik dan Bahasa Malaysia untuk membolehkan mereka mendapat sijil SPM.

(Sumber: Bernama - 7/1/2011 - 5:50pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment