| 0 comments ]

Sebanyak 2,214 tempat daripada 7,400 tempat yang ditawarkan bagi kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), disediakan bagi pelajar daripada keluarga miskin dan luar bandar, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata daripada jumlah itu (2,214 tempat), 360 orang daripadanya adalah pelajar yang mendapat 3A 2B manakala 660 orang yang mendapat 4A 1B.

"Jika kita lihat, keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, sebanyak 34,000 pelajar mendapat 8A sedangkan tempat yang ditawarkan untuk kemasukan ke tingkatan empat di SBP ialah 5,500 tempat sahaja.

"Bagi pelajar lepasan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR), kita menyediakan 7,400 tempat bagi kemasukan ke tingkatan satu di SBP dan yang mendapat 5A ialah 46,000 orang. Jadi, memang ada persaingan.

"Oleh kerana kita ada projek untuk membantu pelajar miskin, seperti yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, kita menyediakan 2,214 tempat untuk pelajar miskin. Kita memberikan peluang ini kerana mengambil kira cabaran mereka dari segi tekanan hidup, kekurangan dari segi kemudahan pembelajaran dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 57 pelajar daripada dua rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang, di sini pada Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan Kementerian Pelajaran menggubal syarat baru kelayakan minimum kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 3A 2B bagi murid daripada keluarga miskin dan 4A 1B bagi murid luar bandar, mulai tahun depan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran yang lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.

Antara kriteria pemilihan murid ke SBP sebelum ini ialah keputusan 5A dalam UPSR dan aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Puad berkata mereka yang dikategorikan sebagai pelajar miskin itu adalah mereka yang mendapat bantuan daripada program e-kasih.

Sementara itu, beliau berkata program pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, hampir selesai apabila Semenanjung mencatatkan 100 peratus, Sabah (95) dan Sarawak (88.3).

Katanya kelewatan yang berlaku di Sarawak berikutan kebanyakan sekolah di kawasan pedalaman di negeri berkenaan tidak mempunyai akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menyebabkan peruntukan bantuan tersebut perlu disalurkan ke akaun bank Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sebelum dihantar ke sekolah-sekolah di pedalaman.

Bagaimanapun, katanya proses pengagihan bantuan tersebut kepada semua pelajar dijangka selesai pada minggu ini.

Mengenai dakwaan terdapat sekolah yang membuat potongan daripada wang bantuan tersebut, Puad berkata arahan telah dibuat supaya pembayaran balik dilakukan kepada pelajar yang dikatakan wang bantuan RM100 itu dipotong sehingga tinggal RM40 sahaja.


(Sumber: Bernama - 24/12/12011 - 6:16pm)


Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment