| 0 comments ]

Pencapaian Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tetap unggul apabila kekal cemerlang dalam keputusan PMR 2011.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Ibrahim Ahmad berkata pencapaian MRSM bertambah baik berbanding dengan pencapaian pada tahun lepas iaitu meningkat dari Gred Purata Maktab (GPM) 1.0922 kepada 1.0615.

"Seramai 5,326 orang pelajar tingkatan tiga dari 39 buah MRSM di seluruh negara telah menduduki peperiksaan ini dan MRSM Gemencheh merupakan MRSM terbaik dengan mencatat GPM 1.0204 manakala MRSM Pasir Tumboh dengan GPM 1.0210 dan MRSM Kuala Kubu Bharu dengan GPM 1.0238," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Jumaat.

Beliau berkata senarai 10 MRSM cemerlang keputusan PMR 2011 antara lain ialah MRSM Pekan dengan GPM 1.0248, MRSM Pasir Salak dengan GPM 1.0313, MRSM Lenggong dengan GPM 1.0341, MRSM Terendak dengan GPM 1.0380, MRSM Gerik dengan GPM 1.0385, MRM Serting dengan GPM 1.0408 dan MRSM Kuala Klawang dengan GPM 1.0428.

Ibrahim berkata kecemerlangan MRSM adalah berpaksikan keterbezaan kurikulum yang ditawarkan dalam usaha melahirkan modal insan yang saintifik, independen, kreatif, amanah dan patriotik (SIKaP) melalui program Ulul Albab. "Program Ulul Albab merupakan cetusan idea Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh sebagai pendekatan bersepadu untuk melahirkan individu yang 'values driven' bersifat Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik," katanya.

Beliau berkata MARA amat berbangga atas kecemerlangan yang ditunjukkan oleh semua pelajar dan kejayaan cemerlang pada PMR kali ini akan menjadi ukuran kejituan usaha berterusan semua pihak demi memastikan kemantapan sistem pendidikan di MRSM.

(Sumber: Bernama - 23/12/2011 - 6:34pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment