| 0 comments ]

Prestasi Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Iban dan Pendidikan Islam dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 menunjukkan penurunan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Beliau berkata pencapaian gred A bagi Bahasa Melayu merosot 1.3 peratus berbanding tahun lalu, Bahasa Iban (4.4 peratus) manakala Pendidikan Islam pula menurun 1.7 peratus.

Bagi Bahasa Cina, sekalipun pencapaian gred A meningkat sedikit 0.1 peratus, pencapaian gred B, C dan D menurun, manakala gred E melonjak hampir dua peratus, katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011, di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Ghafar berkata pencapaian gred A bagi Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris meningkat sebanyak 1.7 peratus dan 0.8 peratus masing-masing.

Calon yang mendapat gred A dalam subjek Matematik juga meningkat kepada 30.2 peratus berbanding 28.9 peratus pada 2010, sementara subjek Sains mencatatkan peningkatan empat peratus, katanya.

Bagi mata pelajaran Sejarah, pencapaian gred A menurun 0.9 peratus kepada 20.4 peratus berbanding 21.3 peratus pada tahun lepas.

Seramai 441,137 pelajar menduduki peperiksaan itu tahun ini dan daripada jumlah tersebut 34,271 mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

(Sumber: Bernama - 22/12/2011 - 2:46pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment