| 0 comments ]

Sebanyak 2,214 tempat daripada 7,400 tempat yang ditawarkan bagi kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), disediakan bagi pelajar daripada keluarga miskin dan luar bandar, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata daripada jumlah itu (2,214 tempat), 360 orang daripadanya adalah pelajar yang mendapat 3A 2B manakala 660 orang yang mendapat 4A 1B.

"Jika kita lihat, keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, sebanyak 34,000 pelajar mendapat 8A sedangkan tempat yang ditawarkan untuk kemasukan ke tingkatan empat di SBP ialah 5,500 tempat sahaja.

"Bagi pelajar lepasan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR), kita menyediakan 7,400 tempat bagi kemasukan ke tingkatan satu di SBP dan yang mendapat 5A ialah 46,000 orang. Jadi, memang ada persaingan.

"Oleh kerana kita ada projek untuk membantu pelajar miskin, seperti yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, kita menyediakan 2,214 tempat untuk pelajar miskin. Kita memberikan peluang ini kerana mengambil kira cabaran mereka dari segi tekanan hidup, kekurangan dari segi kemudahan pembelajaran dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 57 pelajar daripada dua rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang, di sini pada Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan Kementerian Pelajaran menggubal syarat baru kelayakan minimum kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 3A 2B bagi murid daripada keluarga miskin dan 4A 1B bagi murid luar bandar, mulai tahun depan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran yang lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.

Antara kriteria pemilihan murid ke SBP sebelum ini ialah keputusan 5A dalam UPSR dan aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Puad berkata mereka yang dikategorikan sebagai pelajar miskin itu adalah mereka yang mendapat bantuan daripada program e-kasih.

Sementara itu, beliau berkata program pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, hampir selesai apabila Semenanjung mencatatkan 100 peratus, Sabah (95) dan Sarawak (88.3).

Katanya kelewatan yang berlaku di Sarawak berikutan kebanyakan sekolah di kawasan pedalaman di negeri berkenaan tidak mempunyai akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menyebabkan peruntukan bantuan tersebut perlu disalurkan ke akaun bank Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sebelum dihantar ke sekolah-sekolah di pedalaman.

Bagaimanapun, katanya proses pengagihan bantuan tersebut kepada semua pelajar dijangka selesai pada minggu ini.

Mengenai dakwaan terdapat sekolah yang membuat potongan daripada wang bantuan tersebut, Puad berkata arahan telah dibuat supaya pembayaran balik dilakukan kepada pelajar yang dikatakan wang bantuan RM100 itu dipotong sehingga tinggal RM40 sahaja.


(Sumber: Bernama - 24/12/12011 - 6:16pm)


Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pencapaian Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tetap unggul apabila kekal cemerlang dalam keputusan PMR 2011.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Ibrahim Ahmad berkata pencapaian MRSM bertambah baik berbanding dengan pencapaian pada tahun lepas iaitu meningkat dari Gred Purata Maktab (GPM) 1.0922 kepada 1.0615.

"Seramai 5,326 orang pelajar tingkatan tiga dari 39 buah MRSM di seluruh negara telah menduduki peperiksaan ini dan MRSM Gemencheh merupakan MRSM terbaik dengan mencatat GPM 1.0204 manakala MRSM Pasir Tumboh dengan GPM 1.0210 dan MRSM Kuala Kubu Bharu dengan GPM 1.0238," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Jumaat.

Beliau berkata senarai 10 MRSM cemerlang keputusan PMR 2011 antara lain ialah MRSM Pekan dengan GPM 1.0248, MRSM Pasir Salak dengan GPM 1.0313, MRSM Lenggong dengan GPM 1.0341, MRSM Terendak dengan GPM 1.0380, MRSM Gerik dengan GPM 1.0385, MRM Serting dengan GPM 1.0408 dan MRSM Kuala Klawang dengan GPM 1.0428.

Ibrahim berkata kecemerlangan MRSM adalah berpaksikan keterbezaan kurikulum yang ditawarkan dalam usaha melahirkan modal insan yang saintifik, independen, kreatif, amanah dan patriotik (SIKaP) melalui program Ulul Albab. "Program Ulul Albab merupakan cetusan idea Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh sebagai pendekatan bersepadu untuk melahirkan individu yang 'values driven' bersifat Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik," katanya.

Beliau berkata MARA amat berbangga atas kecemerlangan yang ditunjukkan oleh semua pelajar dan kejayaan cemerlang pada PMR kali ini akan menjadi ukuran kejituan usaha berterusan semua pihak demi memastikan kemantapan sistem pendidikan di MRSM.

(Sumber: Bernama - 23/12/2011 - 6:34pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Jumaat bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam sehingga 15 Jan depan.

Tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun bagaimanapun kekal pada 30 Dis ini, demikian diumumkan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Ismail Alias di sini.

Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dr Ismail berkata pada keseluruhannya, rundingan tersebut mendapat kata sepakat untuk melaksanakan SBPA dan lima isu termasuk 'Exit Policy' yang dibangkitkan oleh Cuepacs turut dibincangkan.

"Jadi dalam konteks ini, pendekatan kita ialah melihat kepada beberapa isu yang telah dikemukakan oleh Cuepacs, berbincang dan akhirnya mendapat persetujuan tertentu," katanya.

Beliau berkata bagi penjawat awam yang telah pun menandatangani surat tawaran opsyen SBPA, mereka tidak perlu bimbang kerana JPA telah memaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti yang ditetapkan cuma tempohnya akan dilanjutkan.

Sementara itu, Omar pada sidang media sama berkata rundingan hari ini mencapai kata sepakat yang amat baik dan persetujuan bersama hari ini merupakan jaminan kepada penjawat awam untuk menandatanganinya.

Omar berkata lima perkara yang telah dibangkitkan oleh Cuepacs ternyata selesai apabila mendapat hak rundingan awal, disusuli dengan rundingan tiga bulan sekali khusus berhubung SBPA dan rundingan akan diadakan sehingga perkara berbangkit dapat diselesaikan bersama.

Katanya opsyen bagi umur persaraan 60 tahun tiada masalah dan penjawat awam boleh menandatangani tawaran opsyen tersebut atas kapasiti masing-masing, hanya tawaran opsyen SBPA yang diberikan dalam tempoh 15 hari itu yang didapati singkat.

Beliau berkata rundingan hari ini turut bersetuju untuk melakukan penambahbaikan gred iaitu bagi gred 17 dalam kumpulan pentadbiran dan keselamatan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Jabatan Imigresen.

"Kita dah bersetuju dalam tempoh tiga bulan ini akan dibuat semakan semula, akan melakukan kajian menyeluruh. Jadi, kita harap bersabar," katanya.

Mengenai 'Exit Policy', Omar berkata rundingan hari ini mencapai persetujuan supaya wakil Cuepacs hadir dalam panel di JPA sebagai pemerhati sebelum seseorang penjawat awam itu dikenakan tindakan.

Katanya langkah itu bagi mengelak sebarang ketidakadilan atau kejadian dianiaya dan sebelum sebarang tindakan diambil atau dibersarakan awal, wakil Cuepacs akan hadir untuk memberi pandangan.

"Jadi, kita dah berunding, jabatan tidak boleh membersarakan kakitangan di bawah exit policy. Ia (jabatan) hanya akan melaporkan kepada JPA mengenai masalahnya, dan di JPA nanti, Cuepacs akan hadir sebagai pemerhati, dan dari situ kita akan selesaikan.

"Apabila kita dalam (panel) itu, kita rasa adil sebelum menentukan seseorang penjawat awam itu untuk dibersarakan awal," katanya.

Omar berkata satu taklimat akan diadakan pada minggu hadapan antara Cuepacs dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Katanya taklimat itu berhubung kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang didapati tidak begitu jelas mengenai golongan penjawat awam yang akan menikmati kenaikan tersebut dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki

(Sumber: Bernama - 24/12/11 - 2:49pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kelas tuisyen tidak semestinya menjamin keputusan cemerlang dalam peperiksaan sebaliknya tumpuan semasa di dalam kelas antara faktor utama penentu kejayaan, menurut beberapa pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011.

Natasha Mohd Izari, 15, yang memperoleh 8A berkata inisiatif dirinya sendiri yang sentiasa inginkan kecemerlangan dalam setiap perkara membuatkannya beranggapan kelas tuisyen hanya membuang masa dan wang ringgit.

"Belajar di sekolah dan menghadiri kelas tambahan yang disediakan oleh pihak sekolah serta mengulang kaji pelajaran di rumah sudah memadai pada saya," katanya kepada Bernama selepas menerima keputusan PMR di Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas (CBN) di sini, Khamis.

Pendapat Natasha turut dikongsi rakan sekolahnya N Dharshana, 15, yang mendapat 7A bahawa seseorang pelajar perlu fokus di dalam kelas kerana input yang dapat diserap ketika di dalam kelas amat membantu untuk mengulang kaji pelajaran di rumah.

"Dalam menghadapi PMR, saya menjalankan persediaan awal bagi memastikan segala perkara yang perlu dibuat tidak tercicir," katanya.

Namun berlainan pula bagi Nor Atikah Md Aris, 15, yang menurutnya teknik pembelajaran seseorang pelajar itu berlainan termasuk belajar di saat akhir.

"Lain orang lain caranya, belajar di saat akhir tidak menjadi masalah kepada saya, selain itu kelas bimbingan yang diadakan di sekolah dan juga kelas tuisyen yang saya hadiri di luar dalam masa yang sama dapat memperkukuhkan lagi ilmu yang diperoleh," kata pelajar CBN itu yang memperoleh 8A.

Bagi pelajar SMK Wangsa Melawati, Azira Zulaikha, 15, keputusan peperiksaan percubaan yang kurang memuaskan dijadikannya sebagai pembakar semangat untuk berusaha lebih keras.

Pelajar itu yang memperoleh 8A berkata: "Saya beranggapan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan yang mana ia terpulang pada diri sendiri sama ada ingin berusaha ataupun tidak.

Rakan sekolahnya Lee Jie Xie, 15, yang memperoleh 8A berkata diri sendiri memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan seseorang atau sebaliknya.

"Sebagai contoh, sekiranya kita sediakan jadual belajar tetapi kita tidak ikut dan sekiranya ibu bapa menghantar kita ke kelas tuisyen tetapi kita enggan untuk membuka minat untuk belajar, tidak ada gunanya juga," katanya

Adrian Ong Wei Shun, 15, yang memperoleh 7A dari SMK Seksyen 5, Wangsa Maju berkata petua kecemerlangannya dalam PMR adalah dengan membuat banyak latih tubi.

"Latih tubi di rumah adalah perlu bagi memastikan ingatan kita sentiasa segar dengan input yang diperoleh ketika di dalam kelas, jika ini tidak dibuat kemungkinan apa yang diajar akan hilang begitu sahaja," katanya.

(Sumber: Bernama - 22/11/2011 - 7:13pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kampus baru Maktab Tentera Diraja (MTD) yang kini di peringkat awal pembinaan dijangka siap pada hujung 2013, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kampus itu yang akan menggantikan kampus sekarang di Kem Perdana Sungai Besi, dekat sini, dijadual dapat beroperasi pada Januari 2014.

"Pembinaan kampus baru itu diharap dapat menyelesaikan masalah seperti ketiadaan air dan elektrik," katanya kepada pemberita selepas perbarisan tahunan dan penyampaian hadiah MTD, di Kuala Lumpur, Khamis.

Beliau berkata fasiliti yang dibina berhampiran kampus sedia ada itu akan dilengkapi kemudahan setanding dengan sekolah berasrama penuh lain di negara ini. Ini penting dalam usaha kementerian menjadikan MTD antara sekolah berasrama penuh terbaik pada kalangan negara Asean, katanya.

Perbarisan Tamat Latihan Putera MTD kali ini melibatkan 482 pelajar yang terdiri daripada 236 putera Tingkatan Lima dan 246 putera Tingkatan Empat.

Sepanjang pengajian di MTD, mereka mengikuti pembelajaran akademik seperti sekolah menengah lain di negara ini dan juga latihan ketenteraan.

Majlis hari ini juga menyaksikan penyampaian enam anugerah untuk individu cemerlang serta dua anugerah untuk kompeni terbaik.

(Sumber: Bernama - 22/11/2012 - 6:36pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Rundingan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan CUEPACS akan diadakan Jumaat bagi menentukan sama ada pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan ditangguhkan atau tarikh mengembalikan borang opsyen dilanjutkan.

Keputusan itu dibuat hasil pertemuan Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri pada Khamis, (22/12/2011) yang turut disertai pegawai tertinggi CUEPACS, anggota kesatuan serta wakil daripada JPA.

Bercakap kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan anggota CUEPACS di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bangi pada Khamis (22/12/2011) sebaik selesai bertemu Perdana Menteri, Omar berkata Perdana Menteri mahu isu SBPA diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.

"Perdana Menteri berharap isu SBPA mesti dirundingkan bersama-sama antara JPA dan CUEPACS sehingga persetujuan bersama tercapai, barulah ia boleh dilaksanakan," katanya.

JPA dalam satu kenyataan pada Khamis (22/12/2012) mengesahkan akan mengadakan perbincangan itu bersama CUEPACS bagi membincangkan segala isu yang dibangkitkan.

Ketua Pengarah JPA Tan Sri Abu Bakar Abdullah ketika dihubungi Bernama pada Khamis lepas (15/12/2011) berkata tempoh untuk menandatangani surat tawaran SBPA tidak akan dilanjutkan tetapi penjawat awam yang mempunyai alasan yang munasabah dibenarkan memulangkan surat tawaran itu selepas tarikh berkenaan.

Ketika mengumumkan mengenai SBPA semasa membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lepas, Najib berkata melalui sistem baru itu, penjawat awam akan menerima kenaikan gaji antara 7 dan 13 peratus mulai tahun depan, 2012.

Omar berkata CUEPACS tidak menolak sepenuhnya SBPA tetapi disebabkan beberapa perkara yang tidak dipersetujui, ia terpaksa membangkitkan mengenai isu itu.

"Misalnya tiada rundingan dibuat dengan kita mengenai SBPA sedangkan sebelum ini kita ada dipanggil untuk berunding mengenai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek) untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan ianya berjalan dengan baik serta kami buat roadshow bersama," katanya.

Omar berkata antara perkara lain yang kurang disenangi sesetengah penjawat awam adalah mengenai kenaikan gred serta isu gaji kerana ada yang mendakwa akan menerima kenaikan gaji yang terlalu kecil.

"Di bawah SBPA ini penambahbaikan gred tidak selaras. Ada gred yang ditambah baik, ada yang tidak. Dan kenapa ada kumpulan pekerja yang naik dan ada kumpulan yang tidak naik," kata beliau.

Omar berkata selepas pertemuan dengan JPA pada Jumaat (23/12/2011) dan jalan penyelesaian ditemui, beliau berharap satu perjanjian dibuat supaya kedua-dua pihak dapat turun padang untuk bersama-sama mengadakan taklimat kepada penjawat awam mengenai skim itu berbanding secara berasingan sebelum ini.

Beliau sekali lagi meminta penjawat awam supaya menangguhkan untuk menandatangani surat tawaran SBPA buat masa ini dan menunggu hasil rundingan antara JPA dan CUEPACS mengenai skim itu.

Bagaimanapun untuk yang telah menandatangani surat tawaran itu dan sudah diserahkan kepada majikan masing-masing, Omar berkata perkara itu akan dibangkitkan kepada JPA dalam perjumpaan Jumaat kelak.

( Sumber: Bernama - 22/12/2011 - 4:53pm )

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta satu rundingan diadakan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs esok (23/12/2011) bagi menentukan sama ada menangguhkan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) atau melanjutkan tarikh mengembalikan borang opsyen, kata Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman mengenai hasil pertemuannya dengan Perdana Menteri hari ini.

(Sumber: Bernama - 22/11/2011 - 4:18pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Prestasi Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Iban dan Pendidikan Islam dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 menunjukkan penurunan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Beliau berkata pencapaian gred A bagi Bahasa Melayu merosot 1.3 peratus berbanding tahun lalu, Bahasa Iban (4.4 peratus) manakala Pendidikan Islam pula menurun 1.7 peratus.

Bagi Bahasa Cina, sekalipun pencapaian gred A meningkat sedikit 0.1 peratus, pencapaian gred B, C dan D menurun, manakala gred E melonjak hampir dua peratus, katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011, di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Ghafar berkata pencapaian gred A bagi Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris meningkat sebanyak 1.7 peratus dan 0.8 peratus masing-masing.

Calon yang mendapat gred A dalam subjek Matematik juga meningkat kepada 30.2 peratus berbanding 28.9 peratus pada 2010, sementara subjek Sains mencatatkan peningkatan empat peratus, katanya.

Bagi mata pelajaran Sejarah, pencapaian gred A menurun 0.9 peratus kepada 20.4 peratus berbanding 21.3 peratus pada tahun lepas.

Seramai 441,137 pelajar menduduki peperiksaan itu tahun ini dan daripada jumlah tersebut 34,271 mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

(Sumber: Bernama - 22/12/2011 - 2:46pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Seramai 34,271 pelajar daripada 441,137 yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, berbanding 30,863 pada 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata ini merupakan peningkatan 0.75 peratus.

"Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR tahun 2011 dalam 17 mata pelajaran adalah yang terbaik dalam empat tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.71 mata," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011, di sini Khamis.

Katanya kementerian itu berterima kasih kepada guru dan pelajar serta semua pihak yang berkenaan atas usaha mereka membantu meningkatkan GPN tahun ini.

Abd Ghafar berkata bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula menurun daripada 386 orang pada 2010 kepada 346 tahun ini.

Calon yang mendapat minimum D (tidak termasuk semua A) meningkat kepada 272,966 calon (61.88 peratus) berbanding 265,388 calon (60.39 peratus) pada 2010.

Abd Ghafar berkata pencapaian calon luar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran juga meningkat kepada 6,474 calon (4.28 peratus) berbanding 5,825 calon (3.81 peratus) pada tahun lalu, iaitu peningkatan 0.46 peratus.

Begitu juga dengan pencapaian pelajar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran terus meningkat 0.86 peratus, daripada 24,084 pelajar (8.86 peratus) pada 2010 kepada 26,189 pelajar(9.72 peratus) tahun ini.

Calon yang mendapat semua E menunjukkan trend penurunan -0.01 peratus bagi kedua-dua kategori iaitu daripada 249 calon (2010) kepada 216 calon (2011) bagi calon bandar dan daripada 132 calon (2010) kepada 121 calon 2011) bagi calon luar bandar.

"Nilai GPN calon bandar menurun sebanyak 0.04 mata berbanding calon luar bandar sebanyak 0.03 mata. Namun pada keseluruhannya, pencapaian calon bandar adalah lebih baik daripada calon luar bandar," katanya.

WILAYAH PERSEKUTUAN

Di KUALA LUMPUR, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Datuk Khairil Awang berkata keputusan PMR di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh lapan tahun,

Beliau berkata pencapaian calon PMR bagi Wilayah Persekutuan meningkat berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 2.54 berbanding 2.59 pada tahun 2010 dan nilai GPN WP iaitu sebanyak 2.54 mengatasi GPN (2.71) yang juga pencapaian terbaik bagi peperiksaan PMR setakat ini.

Terdapat 22,449 calon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan jumlah yang mendapat A dalam semua mata pelajaran ialah 2,296 calon, meningkat daripada 2,103 pada tahun lepas.

Enam sekolah memperoleh kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah (Sains) Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur, Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya, Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria dan Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

TERENGGANU

Di KUALA TERENGGANU, keputusan peperiksaan itu menyaksikan peningkatan 1.15 peratus berbanding tahun lepas dan daripada 23,630 calon, 1,746 (7.8 peratus) memperolehi dalam semua mata pelajaran.

Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu Hashim Mohd Zin berkata, prestasi Gred Purata Negeri tahun ini meningkat kepada 2.57 berbanding tahun lepas 2.58.

"Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud pula menduduki tangga teratas 26 buah sekolah mencapai prestasi A atau sekolah berpencapaian tinggi (GPS 1.00 - 1.80), berbanding 25 buah tahun lepas," katanya.

NEGERI SEMBILAN

Di SEREMBAN, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan Pkharuddin Ghazali berkata seramai 12,566 calon sekolah kerajaan telah berjaya mencapai tahap penguasaan minimum (mendapat sekurang-kurangnya D) dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Ini merupakan satu peningkatan 1.7 peratus jika dibandingkan dengan pencapaian tahun 2010," katanya.

Pkharuddin berkata bilangan calon sekolah kerajaan yang berjaya mencapai keputusan penuh 9A, 8A atau 7A di negeri itu meningkat 220 orang kepada 1,707 orang calon, berbanding 1,487 pada 2010.

PERAK

Di PERAK, tahun ini juga adalah yang terbaik dalam empat tahun berdasarkan Gred Purata Negeri 2.74 mata.

Timbalan Pengarah Pelajaran Perak Mohd Idris Ramli berkata, daripada 41,015 calon tahun ini, mereka yang berjaya mendapat semua A dalam PMR adalah seramai 3,513 orang berbanding 3,017 orang tahun lepas.

"Semua mata pelajaran menunjukkan kenaikan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) kecuali Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Iban dan Pendidikan Islam," katanya.

PULAU PINANG

Di PULAU PINANG, Pengarah Pelajaran Negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata keputusan pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding 2010 iaitu sebanyak 2,103 orang yang mendapat semua A dalam mata pelajaran diambil

"Gred Purata Negeri pula menunjukkan prestasi positif dengan mencatatkan 2.65 berbanding 2.70 tahun lepas," katanya.

KEDAH

Di ALOR SETAR, keputusan bagi Kedah menunjukkan peningkatan cemerlang apabila 23,697 daripada 35,829 calon mendapat pencapaian tahap minimum bagi semua mata pelajaran manakala peratusan pencapaian calon bandar dan luar bandar menunjukkan jurang yang kecil berbanding tahun lalu iaitu 12.70 peratus berbanding 18.63 peratus tahun lalu.

PERLIS

Di KANGAR, Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa, berkata kelulusan yang dicatatkan tahun ini ialah 63.70 peratus apabila 2,878 calon mencatat pencapaian gred A, B, C dan D berbanding 59.75 peratus tahun lalu manakala 76 calon mendapat 9A, 240 mendapat 8A dan 11 mendapat 7A.

Sebanyak 20 buah sekolah menghasilkan sekurang-kurangnya seorang calon mendapat semua A berbanding 17 buah sekolah tahun lalu.

MELAKA

Di MELAKA, Pengarah Pelajaran Melaka Datuk Mohamad Yusof Osman berkata pada keseluruhannya, pencapaian calon tahun ini dalam 14 mata pelajaran adalah terbaik.

KELANTAN

Di KOTA BAHARU, peratus kelulusan calon dari sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran meningkat 0.98 peratus berbanding tahun lepas.

Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang berkata sebanyak 67.73 peratus daripada 19,962 calon mendapat kelulusan minimum D bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding 66.75 peratus pada tahun lepas.

SABAH

Di SABAH, peratusan kelulusan di negeri itu meningkat kepada 63.06 peratus melibatkan 23,782 calon berbanding 59.14 peratus tahun lepas melibatkan 21,928 calon.

Pengarah Pelajaran Negeri Datuk Dr Muhiddin Yussin berkata jumlah calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 1,025 orang berbanding 870 orang sebelumnya.

SARAWAK

Di KUCHING, calon PMR dari Sarawak mencatat pencapaian yang terbaik bagi negeri itu, dengan kelulusan 68.97 peratus, berbanding empat tahun lepas.

Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam berkata 1,948 calon mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diduduki manakala 26,946 mencapai kelulusan minimum.

PAHANG

Di KUANTAN, Pengarah Pelajaran Pahang Yahya Zainal Abidin berkata daripada 25,658 calon yang mendaftar, 1,782 mendapat semua A manakala 16,340 berjaya menguasai semua mata pelajaran.

"Bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran menurun daripada 0.075 peratus kepada 0.004 peratus pada tahun ini," katanya.

Menurut Yahya keseluruhan pencapaian PMR di Pahang menunjukkan kenaikan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) kecuali Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Pendidikan Islam.

( Sumber: Bernama - 22/12/2011 - 2:45 PM )

Baca Selengkapnya (Read More)...