| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran akan mewujudkan satu sistem data yang mengandungi maklumat berhubung keperluan infrastruktur di sekolah di seluruh negara tidak lama lagi untuk mewujudkan suasana kondusif bagi pelajar dan guru.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kementerian akan menggunakan data itu untuk memastikan aset yang dimiliki termasuk bangunan dan infrastruktur di sekolah sentiasa dipelihara (maintenance) dan untuk menilai kekurangan yang dihadapi oleh sekolah.

"Dengan cara ini kita boleh menilai kekurangan di sekolah dan kita akan tahu keadaan di sekolah berkenaan tanpa PIBG perlu mohon (untuk penambahbaikan infrastruktur) kerana data mengenai sekolah itu sudah ada di kementerian.

"Kita juga hendak tentukan ada suasana kondusif di sekolah bukan sahaja untuk kemudahan pelajar, tetapi juga guru. Saya sedia maklum ada sekolah yang bilik gurunya terhad tetapi kita akan perbaiki masalah ini," katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Sabtu.

Muhyiddin berkata apabila perkara itu dipersetujui, Guru Besar dan Pengetua akan diminta menyediakan laporan tahunan dalam bentuk format mengenai keadaan sekolah masing-masing.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 10,000 buah sekolah di seluruh negara dengan 318 daripadanya di Wilayah Persekutuan sahaja.

"Berdasarkan angka itu, dianggarkan terdapat 20,000 bangunan yang merupakan aset kementerian perlu dijaga dan untuk menjaganya perlu ditingkatkan budaya 'maintenance' kerana jika tidak segala aset ini akan merosot," katanya.

Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat awam, beliau berkata satu pelan induk pendidikan nasional yang menggariskan haluan transformasi pendidikan negara secara menyeluruh akan disediakan.

"Pelan induk ini akan menjadi panduan kepada Kementerian Pelajaran untuk mentransformasi pendidikan negara selaras dengan hasrat rakyat untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan yang bertaraf dunia.

"Jadi saya harap anggota masyarakat, khususnya PIBG akan mengambil bahagian, bukan sahaja hadir pada sesi dialog itu, tetapi turut memberi pandangan. Apa sahaja bentuk pandangan, hendak kritik pun tidak apa, asalkan untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Muhyiddin berkata Dialog Pendidikan Nasional adalah satu pendekatan baru yang diambil oleh kerajaan untuk mendengar pandangan daripada rakyat sendiri mengenai bentuk penambahbaikan yang perlu dilaksanakan untuk memantapkan kualiti pendidikan kebangsaan.

(Sumber: Bernama - 21/4/2012 - 4:34PM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment