| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran pada Khamis mengumumkan 21 hingga 23 Sept tahun depan sebagai tarikh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala 5 hingga 12 Okt tahun depan sebagai tarikh peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan di sini berkata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berlangsung pada 22 Nov hingga 16 Dis tahun depan dan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) pada 22 dan 23 Jun tahun depan.

Katanya peperiksaan lisan Sijil Tinggi Pelajaran Agama Malaysia (STAM) akan diadakan pada 12 hingga 23 Julai, manakala peperiksaan bertulis pada 18 hingga 27 Okt tahun depan.

"Tarikh tersebut mengambil kira keperluan cuti bagi perayaan-perayaan utama seperti Hari Raya Puasa, Hari Malaysia, Deepavali, Hari Raya Haji dan Awal Muharam sepanjang tempoh peperiksaan," katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah Manifestasi Perdana Seni Khat 2009M/1430H di sini, Alimuddin berkata pihaknya telahpun membuat persediaan bagi mengekang penularan Influenza A (H1N1) di kalangan pelajar apabila sesi baru persekolahan bermula Isnin depan.

"Sebagaimana yang dimaklumkan akan ada gelombang kedua, jadi sebagaimana yang berlaku pertengahan tahun ini, kementerian telahpun membuat persediaan sangat rapi dan telah bersedia lebih awal supaya wabak ini tidak akan berlaku lagi pada tahun 2010.

"Termometer dan juga pembersih tangan memang sudah ada di sekolah, jadi pihak sekolah perlu memantau pelajar-pelajar yang disyaki demam atau selesema dengan menggunakan termometer yang telah dibekalkan," katanya.

Alimuddin berkata pada hari pertama persekolahan, pegawai di kementerian serta Jabatan Pelajaran Negeri khususnya yang diketuai oleh jemaah nazir sekolah dan pegawai jaminan kualiti pada kebiasaannya akan turun ke sekolah-sekolah untuk membuat pemantauan.

"Melalui pemantauan itu kita akan mendapatkan maklumat tentang persediaan yang telah dilaksanakan dan mungkin ini sebagai satu langkah keselamatan kita bagi memastikan pelajar-pelajar tidak demam atau mendapat sebarang masalah semasa berada di sekolah," katanya.

Manifestasi Perdana Seni Khat 2009M/1430H, pertandingan seni khat peringkat kebangsaan yang berlangsung pada 31 Okt lepas merupakan program anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK) dengan kerjasama Kumpulan Utusan, Astro Oasis dan Radio IKIM.

Seramai 30 pemenang dalam tiga kategori diumumkan hari ini yang membawa pulang hadiah wang tunai serta sijil penyertaan.

(Sumber: Bernama - 31/12/2009 - 20:07pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi tahun 2010 untuk membekalkan 50,000 unit komputer riba (e-book) kepada pelajar Tahun Empat dan Tahun Lima.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abd Rahman berkata peruntukan tersebut meningkat berbanding RM25 juta tahun ini.

"Tahun depan, kita akan mengagihkan 50,000 komputer riba kepada pelajar-pelajar Tahun Empat dan Lima, berbanding tahun ini kita beri hanya kepada pelajar Tahun Lima sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kecemerlangan pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, di sini, Selasa.

Ahmad Razif berkata peningkatan peruntukan itu menggambarkan bahawa kerajaan negeri begitu mengambil berat terhadap bidang pendidikan dalam melahirkan modal insan di negeri itu pada masa depan.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk memastikan Terengganu terus cemerlang dalam bidang pelajaran di bawah program "Terengganu Terbilang" tahun depan.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri mensasarkan 20 peratus pelajar mendapat 'A' dalam semua mata pelajaran bagi UPSR dan PMR tahun depan, berbanding 15.3 peratus tahun ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said akan melancarkan pelan strategik peringkat negeri, awal tahun depan bagi mencapai sasaran tersebut.

Menurutnya antara pelan strategik tersebut ialah fokus dalam bidang akademik di samping mengatasi isu-isu di sekolah dan juga masalah disiplin dan lain-lain.

Selain itu, katanya kerajaan negeri akan turut memberikan fokus dalam bidang pertanian di sekolah-sekolah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memberi tumpuan dalam bidang pertanian.

Dalam hal ini, beliau berkata lepasan universiti dalam bidang pertanian mungkin akan diminta membantu pelajar yang berminat dalam bidang pertanian untuk berkebun di sekolah.

(Sumber: Bernama - 29/12/2009 - 15:12pm)

Bagus usaha Kerajaan Negeri Terengganu ini, patut dicontohi semua negeri lain. Jarang mana-mana kerajaan negeri bersama membuat perancangan strategik bersama Jabatan Pelajaran Negeri, untuk kejayaan anak-anak.

Politik adalah politik.. tetapi kesinambungan kesejahteraan rakyat perlu diutamakan. Yes, memang.. kantung poket perbendaharaan negeri adalah faktor utama yang perlu diambil kira. Namun, selagi ikhlas dan elak rasuah... Insya Allah segala usaha akan diberkati Allah.

50 juta bukan sedikit.. jangan hingga ada rakyat yang pakaian tidak berganti, rumah bocor dan tiada wang belanja dilupa pula.


Baca Selengkapnya (Read More)...

| 13 comments ]

Semakan kemasukan tingkatan satu dan empat MRSM 2010 boleh dibuat pada minggu terakhir Januari ini dan surat akan dihantar kepada yang berjaya.

Tarikh pendaftaran pelajar baru MRSM ialah pada 17 Februari dan 18 Januari bagi Program Ulul Albab.

(Sumber: Utusan - 28/12/2009)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Ibu bapa dibenarkan menjelaskan yuran sekolah dan bayaran tambahan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bermula sesi persekolahan depan sehingga akhir 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, bayaran secara ansuran itu diharap meringankan beban ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah serta mereka yang mempunyai ramai anak sedang bersekolah.

Tahun lalu jelasnya, ibu bapa serta penjaga diminta menjelaskan kesemua yuran persekolahan murid-murid pada bulan Jun.

''Dengan penambahan masa dan pembayaran secara berperingkat, Kementerian Pelajaran berharap ia dapat meringankan beban ibu bapa serta penjaga.

''Cuma saya harap, ibu bapa tidak terlalu berkira mengenai persekolahan anak-anak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Kementerian sebelum ini menetapkan yuran sekolah rendah pada kadar RM24.50 dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

Ia merangkumi bayaran untuk kurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan, kegiatan Pendidikan Islam serta Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan insurans Takaful.

Pada 2 Disember lalu pula, kementerian mengumumkan akan mengenakan bayaran tambahan kepada ibu bapa bermula sesi persekolahan depan bagi manfaat para pelajar.

Alimuddin menjelaskan, ibu bapa dibenar membuat pembayaran sehingga akhir tahun depan kerana tidak semua aktiviti pelajar berlangsung pada awal atau pertengahan tahun.

''Arahan ini telah disampaikan kepada semua Pengarah Pelajaran Negeri. Saya harap semua sekolah maklum dan tidak ada (sekolah) yang mengasak ibu bapa untuk menjelaskannya segera,'' tegasnya.

(Sumber: Utusan - 28/12/2009)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Seramai 2,438 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mendapat gred A bagi semua mata pelajaran dalam keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini.

MRSM Serting pula mencatatkan peratusan terbaik bagi jumlah pelajar yang mendapat semua A iaitu 105 orang atau 71.92 peratus.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Hanisah Omar berkata, tahun ini 15 MRSM mendapat keputusan cemerlang iaitu lebih 60 peratus calonnya mendapat A dalam semua subjek.

"MRSM Jeli menunjukkan peningkatan paling ketara iaitu sebanyak 12.27 peratus diikuti MRSM Batu Pahat dan MRSM Kuala Lipis dengan masing-masing mencatatkan 12.10 peratus dan 11.27 peratus.

"Pencapaian ini menjadi ukuran kemantapan sistem pendidikan MRSM dan pihak Mara berasa bangga atas kecemerlangan ini," katanya.

Seramai 4,130 pelajar MRSM menduduki PMR 2009.

Sementara itu, Program Pendidikan Integrasi Sains Tulen bersama aliran agama termasuk Tahfiz al-Quran akan diperkenalkan di MRSM Gemencheh selepas MRSM Kota Putra.

(Sumber: Utusan - 28/12/2009)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 1 comments ]

Mulai Jumaat (01/01/2010) ini harga minimum rokok ditetapkan RM6.40 bagi 20 batang apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No.2) 2009 yang diwartakan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata dengan penguatkuasaan peraturan itu semua rokok yang dijual dalam negara mesti dengan harga yang tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan, dikira pada harga RM0.32 sen bagi setiap batang rokok.

"Ini menjadikan harga minimum bagi paket yang mengandungi 20 batang rokok ialah RM6.40, 21 batang rokok (RM6.70), 22 batang rokok (RM7.05), 23 batang rokok (RM7.35), 24 batang rokok (RM7.70) dan RM8 bagi paket yang mengandungi 25 batang rokok," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, mereka yang sabit kesalahan melanggar mana-mana peruntukan mengikut peraturan itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Liow berkata, dengan berkuat kuasanya peraturan itu juga semua syarikat rokok dikehendaki mengisytiharkan senarai harga jualan runcit produk keluaran mereka kepada kementerian sebelum 15 Januari ini.

Beliau berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada mekanisma kawalan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga bertujuan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah membeli rokok, serta membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun berlebihan.

"Keputusan melaksanakan harga minimum dan larangan promosi itu sudah dibincangkan sejak setahun lalu dan dipersetujui pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan terbabit termasuk syarikat rokok," katanya.

Mengulas lanjut, Liow berkata, penetapan harga minimum berkenaan menggunakan formula dengan mengambil kira semua cukai yang sedang dikuatkuasakan kerajaan dan keuntungan syarikat rokok.

Katanya, harga minimum rokok akan disemak dan ditentukan semula setiap kali berlaku perubahan kepada nilai dan kaedah percukaian rokok.

"Melalui peraturan baru ini, beberapa peruntukan akan dikuatkuasakan untuk penetapan harga minimum rokok termasuk semua rokok dijual di pasaran mesti dengan harga tidak kurang harga minimum ditetapkan; mempamerkan notis harga minimum rokok dengan jelas dan mudah kelihatan di kaunter atau tempat rokok dijual serta notis harga minimum tidak mempunyai apa-apa logo, jenama, tanda niaga atau deskripsi berkaitan rokok dan mematuhi spesifikasi," katanya.

Katanya, semua pengilang dan pengimport hasil tembakau juga dikehendaki mengisytiharkan secara bertulis senarai harga jualan runcit produk keluaran kepada kementerian dalam tempoh 14 hari penguatkuasaan peraturan bagi produk yang sudah berada di pasaran.

(Sumber: Bernama - 27/12/2009 - 13:44pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Berdasarkan maklumat dari laman web JPN Perak, berikut adalah tarikh-tarikh berkaitan permohonan | semakan | rayuan bagi tawaran kemasukan ke Rancangan Khas dan SMKA Negeri Perak - Tingkatan Satu bagi tahun 2010.

Takwim
  • 19/11/2009 - Keputusan UPSR 2009 keluar.
  • 16/12/2009 - Permohonan ke RK/SMKA Negeri 2010 ditutup.
  • 23/12/2009 - Keputusan SBP 2010 keluar.
  • 31/12/2009 - Semakan Online RK/SMKA Negeri (12 tengah hari). **
  • 04/01/2009 - Sesi 2010 bermula.
  • 12/01/2010 - Pendaftaran Ambilan 1 RK/SMKA Negeri.
  • 13/01/2010 - Pendaftaran Ambilan 1 RK Daerah/ KAA.

>> Klik - Aplikasi Semakan Online RK / SMKA Negeri Perak 2010 <<

Catatan:

1. Semua maklumat tertakluk pada pindaan.
2. ** - Semakan online adalah serentak dengan cetakan surat tawaran & rayuan online.


Semoga Berjaya..

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie dengan kerjasama Kolej Sains Perubatan (ACMS) Sabtu melancarkan Biasiswa Sheikh Muszaphar-ACMS yang bertujuan membantu pelajar yang tidak memperoleh keputusan peperiksaan cemerlang tetapi berminat menjadi doktor untuk meneruskan impian mereka.

Dr Sheikh Muszaphar berkata buat permulaan program itu akan membiayai 200 orang pelajar mulai tahun 2010 depan dan setiap seorang akan menerima kira-kira RM2,000 untuk memulakan pengajian di kolej tersebut.

"Dengan cara ini kita akan membantu mereka yang betul-betul berminat (untuk menjadi doktor). Mungkin perlu melakukan diploma dahulu seperti fisioterapi, nursing dan sebagainya. Ini (biasiswa) lebih untuk mereka mencapai impian mereka untuk menjadi doktor," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat motivasi kepada pelajar-pelajar dalam suatu program anjuran ACMS di Kuala Lumpur, Sabtu.

Beliau berkata beliau akan menjadi bapa angkat kepada pelajar-pelajar yang terpilih dan akan membimbing mereka secara langsung.

Pengerusi ACMS Datuk Dr Zainuddin Wazir berkata biasiswa itu akan membantu para pelajar untuk memulakan pengajian di ACMS dalam tempoh tiga bulan pertama, iaitu untuk makan-minum, keperluan harian, membeli tiket kapal terbang, membeli buku teks dan sebagainya, sebelum pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara pelajar diluluskan.

"Kriteria yang ditetapkan adalah sama dengan syarat kemasukan ke ACMS. Pelajar-pelajar yang berminat hanya perlu mendaftar dengan kami, tetapi pastinya pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan akan kami utamakan," katanya.

Maklumat mengenai program biasiswa itu boleh didapati daripada laman web ACMS www.acms.edu.my atau melalui laman facebook Sheikh Muszaphar-ACMS Scholarship Fund.

(Sumber: Bernama - 26/12/2009 - 16:24pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mencadangkan supaya mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dapat dikategorikan sebagai miskin bandar di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan kategori miskin bandar tidak boleh disamakan dengan definisi miskin yang diguna pakai di bawah sistem data kemiskinan e-Kasih sekarang.

Katanya, justeru definisi baru miskin bandar ini akan membolehkan lebih ramai warga kota mendapat pelbagai bantuan kerajaan sejajar dengan hasrat mewujudkan kesejahteraan bandar.

''Namun harus ada perincian lanjut pada maksud pendapatan bawah RM3,000. Maksudnya bukan semua yang berpendapatan bawah RM3,000 layak.

''Sebaliknya kita tengoklah berapa orang anak dan perkara-perkara lain sebelum boleh kata orang itu tergolong dalam miskin bandar,'' katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Krismas anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) di sini hari ini.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, antara perkara paling pokok berhubung bantuan yang akan diberikan kepada mereka yang tergolong dalam miskin bandar ialah soal perumahan.

Sehubungan itu katanya, beliau yakin kerajaan akan memberi lebih peruntukan pada aspek itu yang akan diperbesarkan lagi di bawah RMK-10 selain bantuan-bantuan lain yang akan diteruskan seperti unit saham amanah.

''Menjadi hasrat kerajaan supaya lebih ramai masyarakat bandar yang dikategorikan miskin bandar dapat menerima manfaat bantuan kerajaan. Jadi di sinilah tugas utama kementerian untuk mempertingkatkan lagi jumlah mereka yang layak menerimanya."

''Sebelum ini tak ramai yang dapat kerana rujukan adalah pada e-Kasih tetapi untuk RMK-10 dengan bermula tahun 2011, asas-asas definisi miskin bandar akan diubah sama seperti yang pernah disuarakan Perdana Menteri,'' jelasnya.

(Sumber: Utusan - 26/12/2009 - Wilayah Kota)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 1 comments ]

SELANGOR - PERLIS - KEDAH - SABAH - KL - JOHOR
- MELAKA - NEGERI SEMBILAN - SARAWAK - PERAK - TERENGGANU -
PULAU PINANG - KELANTAN


Beberapa Laporan Analisis Mengikut Negeri

SELANGOR
Di Selangor, mencatatkan peningkatan daripada segi jumlah pelajar yang mendapat semua A dalam kesemua matapelajaran yang diambil dengan 8.81 peratus atau 6,592 pelajar daripada 74,855 calon yang menduduki PMR mendapat kesemua A.

SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi muncul sebagai sekolah harian terbaik dalam PMR 2009.

Pengarah Pelajaran Negeri, Dr. Zahri Aziz berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus berbanding tahun lalu di mana 6,005 pelajar mendapat keputusan yang sama. Di samping itu, purata pencapaian pelajar yang dikategorikan dalam gred purata skor (GPS) termasuk keputusan lulus dengan minimum gred D berada pada paras 2.63 berbanding keputusan tahun lalu sebanyak 2.68 iaitu peningkatan sebanyak 0.05.

PERLIS
Seramai 282 pelajar di Perlis yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 mencatat keputusan A dalam semua mata pelajaran berbanding 276 orang bagi tahun 2008.

Jumlah itu merupakan 6.10 peratus daripada keseluruhan 2,636 calon yang mengambil peperiksan tersebut di 34 pusat peperiksaan di negeri ini pada 7 hingga 13 oktober lalu.

Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat berkata, daripada 282 pelajar itu pula, 49 calon mendapat 9A, 222 pelajar memperolehi 8A dan 11 lagi merekodkan 7A.

"Tiga sekolah pula mengekalkan pencapaian 100 peratus kelulusan dengan minimum gred D dalam semua mata pelajaran. Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Derma, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dan SMK Dato' Sheikh Ahmad," katanya pada sidang akhbar di SMK Derma di sini hari ini.

Selain itu kata beliau, empat sekolah lagi pula berjaya merekodkan kecemerlangan melebihi pencapaian negeri iaitu 55.02 peratus.

Sekolah-sekolah terlibat ialah SMK Syed Hassan (90.21 peratus), SMK Agama (Perempuan) Kangar (88.40 peratus), SMK Agama Arau (77.62 peratus) dan Al Madrasiah Ad Diniah (63.30 peratus).



KEDAH
Seramai 1,736 pelajar daripada keseluruhan 35,155 calon sekolah Kementerian Pelajaran di negeri ini berjaya mendapat semua A bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang keputusannya diumumkan hari ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Shahidan Abd. Rahman berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 198 calon mendapat 9A; 1,369 calon mendapat 8A dan 169 calon memperoleh 7A.

Katanya, pencapaian gred purata negeri bagi tahun ini pula menunjukkan peningkatan sebanyak 0.048 kepada 2.878 berbanding 2.926 pada tahun lalu.

''Peratus penguasaan tahap mimimum dalam semua mata pelajaran pada tahun turut meningkat sebanyak 0.37 peratus kepada 58.22 peratus berbanding 57.85 peratus pada 2008,'' katanya di sini hari ini.

Shahidan berkata, sebanyak 10 mata pelajaran daripada 15 yang ditawarkan menunjukkan peningkatkan peratusan pencapaian pada tahun ini.



SABAH
Bilangan pelajar yang memperolehi gred A dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di negeri ini meningkat kepada 734 orang tahun ini berbanding 659 orang tahun lepas.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Dr. Muhiddin Yusin berkata, bilangan itu berdasarkan calon yang mengambil lebih daripada tujuh mata pelajaran dalam peperiksaan berkenaan.

"Tahun ini seramai 44 pelajar mendapat sembilan A, berbanding 19 orang tahun lepas manakala terdapat pertambahan 46 calon yang memperolehi lapan A berbanding 340 tahun lepas. Mereka yang mendapat tujuh A pula seramai 304 orang berbanding 300 tahun lepas," katanya.

Muhiddin berkata, seramai 20,378 calon daripada 38,741 yang menduduki peperiksaan PMR tahun ini lulus semua mata pelajaran yang diambil berbanding 20,500 daripada 37,794 pelajar tahun lepas.

Sebanyak 12 buah sekolah di negeri ini mencapai kelulusan cemerlang ialah Sekolah Menengah Sains (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Sains (Lahad Datu), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu. Turut cemerlang ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Inanam (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Kebangsaan All Saints (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Kebangsaan St Francis Convent (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Yuk (Likas).


KUALA LUMPUR:
Seramai 1,939 pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 di Kuala Lumpur memperoleh gred A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil, meningkat 0.47 peratus berbanding tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Sulaiman Wak berkata, jumlah yang memperoleh semua A meningkat 150 orang dengan seramai 70 pelajar mendapat 9A, 1,215 (8A) dan 654 (7A).

"Tujuh mata pelajaran PMR iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam dan Kemahiran Hidup Bersepadu kekal cemerlang dengan peratusan lebih 90 peratus seperti tahun lalu.

“Kecuali mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (Pertanian) yang berlaku penurunan iaitu daripada 96.41 peratus kepada 89.80 peratus tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan PMR Tahun 2009 di Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan di sini hari ini. Katanya, sejumlah 15,533 calon mencapai keputusan lulus dalam semua mata pelajaran daripada 21,921 calon yang menduduki PMR di seluruh Kuala Lumpur tahun ini.

Sekolah yang memperoleh pencapaian terbaik PMR di Kuala Lumpur ialah Sekolah Menengah Sains Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Lumpur untuk kategori Sekolah Berasrama Penuh (SBP); manakala SMK Aminuddin Baki bagi kategori Sekolah harian.


JOHOR:
Seramai 3,308 atau 6.12 peratus pelajar di negeri ini berjaya memperoleh keputusan semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 yang diumumkan hari ini. Jumlah tersebut meningkat sebanyak 0.47 peratus berbanding 5.56 peratus tahun lalu atau 3,031 calon yang mendapat keputusan cemerlang.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin berkata, pencapaian calon PMR tahun ini adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.

"Ini berdasarkan kepada ukuran yang dibuat mengikut pencapaian keseluruhan berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 2.78 berbanding 2.84 tahun lalu," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan PMR 2009 di Hotel Selesa, di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 16 buah sekolah mencapai 100 peratus calon lulus berbanding 15 buah sekolah pada tahun lalu.

Antara sekolah yang berjaya mencapai 100 peratus adalah Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru; Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor, Kluang; SMS Kota Tinggi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail dan Sekolah Seni di Johor Bahru.

MELAKA
Di Melaka, seramai 1,074 atau 1.39 peratus daripada 14,664 calon memperolehi A bagi semua mata pelajaran. Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu berkata, pencapaian tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding 879 daripada 14,692 calon yang lulus semua mata pelajaran.

Tiga buah sekolah mencapai 100% penguasaan minimum gred D iaitu Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah, SMK Ghafar Baba dan SMK Iskandar Shah.

NEGERI SEMBILAN
Menurut Ketua Sektor Penilaian & Peperiksaan Pelajaran negeri, Mohd Razib Jamaluddin, seramai 1,418 daripada 19,697 pelajar semua jenis sekolah memperolehi semua A dalam semua mata pelajaran. Dari jumlah itu, seramai8 224 calon mendapat 9A; 974 mendapat 8A manakala selebihnya memperolehi 7A.

Peningkatan dicatatkan adalah sebanyak 8.1% iaitu sebanyak 101 pelajar berbanding 2008 iaitu seramai 1,317 pelajar.

SARAWAK
Sarawak mencatatkan peningkatan ketara dalam bilangan calon yang mendapat A dalam semua mata pelajaran dengan 1,860 atau 4.67% memperoleh kesemua A. Pengarah Pelajaran Sarawak, Julaihi Bujang berkata, jumlah itu melibatkan pertambahan 297 orang atau 19% berbanding tahun 2008.

Lima buah sekolah di Sarawak mencapai 100% penguasan minimum D bagi semua matapelajaran diambil. Sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Sains Kuching, Sekolah Menengah Sains Miri, Maktab Rendah Sains Mara Kuching dan dua buah sekolah swasta iaitu Sekolah Menengah Tunku Putra Kuching serta Sekolah Menengah Lodge Kuching.


PERAK

Seramai 2,746 pelajar yang menduduki peperiksaan PMR tahun ini di Perak memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Daripada jumlah tersebut, 246 pelajar mendapat 9A, 1,849 memperoleh 8A dan 651 pelajar mencatatkan 7A.

Menurut Ketua Sektor Pengurusan Penilaian & Peperiksaan JPN Perak, Abdul Ghani Mohamad Nizar berkata, enam sekolah mencatatkan kelulusan 100% iaitu Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Menengah Sains Tun Azlan Shah, SMK Tasik Taiping dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng.

Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh muncul sebagai sekolah terbaik negeri dengan kelulusan 100% serta 85 daripada 107 (79.44%) calon peperiksaan mendapat 8A.

Seramai 26,177 calon atau 61.38 peratus daripada 42,644 orang calon yang menduduki peperiksaan PMR tahun ini memperoleh keputusan A,B,C dan D dalam semua mata pelajaran yang diambil. Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.77 peratus berbanding keputusan PMR tahun lepas.

TERENGGANU
Terengganu mencatatkan keputusan PMR tertinggi dengan pencapaian nilai gred purata negeri (GPN) 2.60 mengatasi gred purata nasional 2.78. Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong berkata, kesemua 22,954 calon PMR yang menduduki peperiksaan itu pada tahun ini berjaya melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat, tahun depan.

Pencapaian minimum D meningkat sebanyak 1% daripada 62.4% tahun 2008 kepada 63.4%. Pencapaian A dalam semua matapelajaran bagi tahun 2009 tidak berubah berbanding 2008 iaitu 7.1%.

Katanya, sebanyak 26 (20 peratus) daripada 129 buah sekolah menengah di negeri ini berjaya mencapai gred purata sekolah kurang daripada 1.80.

"Antara sekolah sekolah termasuklah Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut mencatat keputusan gred purata paling tinggi iaitu 1.07 diikuti Sekolah Berasrama Penuh Batu Rakit, Kuala Terengganu 1.09 manakala SM Imtiaz Kuala Berang, Hulu Terengganu pula mencapai gred purata 1.10," ujarnya.

Beliau menambah, sebanyak 12 buah sekolah menengah juga mencapai 100 peratus minimum D dalam semua mata pelajaran.

"Antaranya, SM Sains Sultan Mahmud Kuala Terengganu, SM Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan SMK Lembah Bidong, Setiu," katanya.


PULAU PINANG
Seramai 1,976 daripada 22,172 pelajar yang menduduki PMR lulus cemerlang dengan mendapat gred A dalam semua mata pelajaran di ambil.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad berkata, pencapaian pelajar dalam menguasai tahap minimum bagi semua mata pelajaran pula seramai 14,890 orang atau 66.40 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Bagi pencapaian kecemerlangan peringkat sekolah pula, lima buah sekolah mencatat kelulusan 100 peratus iaitu semua calonnya mencapai sekurang-kurangnya pangkat D dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Perempuan) St. George di Georgetown muncul pada tangga teratas dengan 154 orang pelajar mencatatkan semua A dalam mata pelajaran yang diambil diikuti Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam dengan 128 pelajar. Hanya Sekolah Menengah Agama Al-Irshad yang mempunyai pelajar skor 9A iaitu seramai 72 orang pelajar dan sekolah yang paling banyak pencapaian A bagi kesemua mata pelajaran pula ialah SMJK Jit Sin dengan 237 pelajar," katanya.

KELANTAN
Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 bagi Kelantan menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan mencatatkan pencapaian terbaik sejak empat tahun lalu.

Pengarah Pelajaran Negeri (JPN), Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, peningkatan dicapai daripada segi peratusan kelulusan, gred purata negeri, peratus kecemerlangan calon dan prestasi beberapa mata pelajaran.

Bilangan calon memperoleh kecemerlangan bertambah apabila seramai 1,510 orang atau 4.90 peratus daripada jumlah 37,151 calon mendapat semua A tahun ini dibandingkan dengan 1,517 calon atau 4.84 peratus daripada 37, 543 calon tahun lepas.

Ghazali menambah, gred purata juga mengalami peningkatan sebanyak 0.08 iaitu 2.71 tahun ini berbanding 2.79 tahun lalu malah gred purata negeri juga berjaya mengatasi gred purata nasional iaitu 2.78.

''Lebih membanggakan kedua-duanya iaitu peningkatan pencapaian calon dan gred purata negeri yang dicatatkan merupakan yang tertinggi dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. Misalnya daripada jumlah 85 buah sekolah menunjukkan peningkatan gred purata sekolah, 47 buah daripadanya menyamai atau melebihi gred purata negeri," katanya.

Sebanyak 10 buah sekolah mendapat peratus kelulusan 100 peratus antaranya Maktab Rendah Sains Mara Pasir Tumboh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, Kota Bharu, SMK Agama Naim Lilbanat, Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhamad Faris Petra dan SMS Machang.

''Sebanyak 62 buah sekolah turut mencatat peningkatan peratusan antaranya SMK Kubang Bemban dan SMK Tiang Chandi, Pasir Mas yang terletak di luar bandar," katanya.

Calon juga katanya, telah mencatat peningkatan peratus kelulusan mata pelajaran berbanding peringkat nasional.

''Bagi sekolah menengah kebangsaan, calon mengambil tujuh hingga sembilan daripada 14 mata pelajaran yang ditawarkan dan daripada jumlah tersebut, terdapat 10 daripadanya menunjukkan peningkatan dan mengatasi peratus di peringkat nasional.

''Antaranya Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Bahasa Arab Komunikasi, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup aliran Perdagangan dan Keusahawanan (PK), Ekonomi Rumah Tangga (ERT), Kemahiran Teknikal (KT) dan Sains Pertanian (PERT)," ujarnya.

Menurutnya lagi, sembilan mata pelajaran yang juga menunjukkan pencapaian dengan mengatasi peringkat nasional daripada segi peratus kecemerlangan mendapat gred A.

''Antara pencapaian yang dicatatkan dalam Bahasa Melayu iaitu 28.9 peratus berbanding 25.6 peratus di peringkat nasional, Geografi 26.7 peratus peringkat negeri dan 21.0 peratus di peringkat nasional dan Kemahiran Hidup-PK mencatat 40.8 peratus berbanding 27.9 peratus peringkat nasional.


(Utusan - 25/12/2009 - ms 14; Utusan Online - Berita Wilayah 25/12/2009)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Bayaran untuk sesi persekolahan baru yang akan bermula pada 3 dan 4 Januari depan ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 murid sekolah menengah di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kadar bayaran tambahan itu diseragamkan untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, berbanding pakej pembayaran A, B dan C yang berdasarkan jenis pekerjaan ibu bapa sebelum ini.

Pecahan Bayaran

Bagi sekolah rendah ialah RM3 untuk kokurikulum, kertas ujian dalaman (RM6), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam untuk murid beragama Islam atau Pendidikan Moral untuk bukan beragama Islam (RM6), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (RM2) dan Insurans Takaful (RM1.50).

Bagi sekolah menengah pula, bayaran kokurikulum RM6, kertas ujian dalaman (RM10), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral (RM6), MSSM (RM4) dan Insurans Takaful (RM1.50).

“Secara keseluruhan, kadar bayaran tambahan untuk persekolahan tahun depan lebih rendah berbanding tahun ini. Bayaran tambahan ini pada kadar minimum supaya tidak bebankan ibu bapa.

“Ia adalah untuk pelaksanaan aktiviti pembangunan pelajar dan dikutip pada awal sesi persekolahan dibuka nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, Alimuddin berkata, sebarang bayaran tambahan lain bergantung kepada persetujuan pihak sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka.

“Apabila kadarnya dipersetujui bersama pihak sekolah dan PIBG, ia perlu dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, pihak sekolah hanya dibenarkan mengutip sumbangan PIBG berdasarkan satu keluarga satu bayaran tanpa mengambil kira bilangan anak di sekolah yang sama.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan tiga pakej bayaran tambahan iaitu Pakej A RM38.50, B (RM30.50) dan C (RM23.50) untuk sekolah rendah, sekolah menengah Pakej A (RM55.50), B (RM44.50) dan C (RM33.50).

Pakej A bagi ibu bapa yang bekerja dalam bidang profesional seperti usahawan dan pegawai tinggi kerajaan, Pakej B untuk pegawai kerajaan kumpulan sokongan dan profesional serta Pakej C untuk petani, peladang, kakitangan kerajaan dan pekerja bawahan.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya dihubungi ramai ibu bapa yang menyuarakan kegelisahan kerana belum mendapat maklumat berhubung bayaran tambahan yang akan dikenakan pada sesi persekolahan tahun depan.

(Sumber: BHarian - 24/12/2009 - 16:01pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pencapaian cemerlang seorang pelajar orang kurang upaya (OKU)) mendapat 7A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) mengejutkan pengetua Sekolah Menengah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan di Setapak, Kuala Lumpur - Khamis.

"Saya terkejut kerana inilah pertama kali pencapaian akademik pelajar meningkat sehinggakan seorang pelajar istimewa tahun ini mendapat A dalam semua mata pelajaran," kata pengetua sekolah berkenaan Che Fatimah Che Abdullah

Hanson Ang Ping Ting berjaya mendapat 7A manakala dua yang lain, Tan Ee Beng dan Mohammad Razlan Ibrahim Mukhtar, masing-masing mendapat keputusan 6A.

Ang, yang berada di Seremban bersama keluarganya, telah menghubungi sekolah dengan telefon untuk mendapat keputusannya.

Che Fatimah turut bergembira kerana 13 daripada keseluruhan 20 pelajar sekolah tersebut yang mengambil PMR tahun ini mencatat kejayaan cemerlang, sekaligus menaikkan pencapaian kecemerlangan sekolah itu kepada 60 peratus berbanding 38.5 peratus pada tahun lepas.

"Usaha guru yang gigih dan komited perlu ada untuk mengajar pelajar istimewa kerana mereka memerlukan perhatian yang lebih berbanding pelajar normal," kata Che Fatimah.

(Sumber: Bernama - 24/12/2009 - 15:18pm)

Masya Allah.. begitulah kuasa Allah. Para hamba-Nya yang lemah.. dibangkitkan, dipermudahkan menerima ilmu dan dinaikkan darjat mereka.. Satu bentuk sindiran Yang Maha Gagah Perkasa kepada para hamba-Nya yang lain - lengkap fizikal tetapi tidak berkat ilmunya. Na'udzubillahi min dzalik.


Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Bilangan calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini mendapat A dalam semua subjek meningkat 1,810 atau 0.41 peratus kepada 28,188 berbanding 26,378 tahun lalu.

Ketika mengumumkan analisis keputusan peperiksaan itu di Putrajaya, Khamis, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini ialah 2.83 berbanding 2.78 tahun sebelumnya.

Beliau berkata calon luar bandar yang mendapat semua A ialah 4,775 berbanding 4,345 pada 2008 manakala 87,936 pelajar melepasi tahap minimum (A,B,C,D) berbanding 88,565 tahun sebelumnya.

"Pelajar yang mendapat semua E pula adalah 123 orang daripada 159 pada tahun lepas," katanya.

(Sumber: Bernama/BHarian - 24/12/2008 - 11:52am)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Pengajian Tinggi akan mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya menganjakkan permulaan sesi persekolahan tahunan ke pertengahan Januari berbanding awal bulan ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata cadangan itu bagi mengelakkan lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menghadapi tempoh senggang terlalu lama untuk memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Katanya, ini berikutan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk merombak kalendar akademik IPT supaya seragam dengan sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kalendar akademik IPT di negara ini bermula antara akhir Jun dan awal Julai, manakala sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa pula pada sekitar akhir Ogos.

"Sekiranya kalendar akademik IPT diubah kepada akhir Ogos tetapi permulaan sesi persekolahan kekal sama, ini menyebabkan lulusan SPM dan STPM terpaksa menunggu lebih lama untuk memasuki universiti.

"Dalam konteks ini, kementerian bimbang timbul isu negatif bahawa mereka menjadi tidak produktif atau terbabit dengan gejala seperti melepak atau merempit berikutan tempoh senggang yang terlalu panjang," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan kalendar akademik IPT di negara ini akan diubah supaya seragam dengan sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa untuk menarik kemasukan lebih ramai penuntut asing dan memudahkan pelaksanaan program mobiliti pelajar serta tenaga pengajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dipetik sebagai berkata sebarang perubahan terhadap kalendar akademik IPT bakal diketahui pada mesyuarat terakhir dengan Kementerian Pelajaran yang dijadualkan berlangsung pada minggu depan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, ketika dihubungi pula berkata cadangan yang akan dibentangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada minggu depan akan dibincang dan dibawa dalam tiga peringkat mesyuarat Kementerian Pelajaran, iaitu mesyuarat pengurusan, mesyuarat profesional dan mesyuarat mengenai dasar pendidikan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

(Sumber: Berita Harian Online - 23/12/2009 - Nasional)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menawarkan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SSP 1Malaysia) mulai 3 Jan ini bagi membantu individu yang bekerja sendiri menangani masalah ketidakcukupan simpanan selepas bersara nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tan Sri Azlan Zainol berkata skim itu mengambil berat terhadap kebajikan semua peringkat rakyat yang bekerja sendiri yang tidak mempunyai skim simpanan pesaraan secara formal.

Skim tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Rzaak semasa pembentangan Bajet 2010 pada Oktober lepas.

"Skim itu bertujuan memberikan perlindungan kewangan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap apabila mereka mencapai usia tua," kata Azlan dalam kenyataan di sini Selasa.

SPP 1Malaysia ini terbuka kepada individu bekerja sendiri seperti penjaja, peniaga pasar malam, ejen hartanah, golongan pekerja bebas seperti deejay, pembimbing kecergasan, penyanyi dan pelakon serta pemilik perniagaan dalam talian.

"Kerajaan sentiasa prihatin terhadap ketidakcukupan simpanan persaraan yang menjadi kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan.

"Skim SPP 1Malaysia menawarkan golongan terpilih ini fleksibiliti dalam menentukan jumlah wang yang mampu disimpan untuk simpanan persaraan mereka," kata Azlan.

Katanya tidak seperti skim simpanan KWSP yang biasa, amaun yang dicarumkan ke dalam SSP 1Malaysia adalah bergantung kepada tahap kemampuan pencarum sepenuhnya.

"Ahli boleh memilih untuk mencarum amaun minimum sebanyak RM50 sehingga RM5,000 sebulan sebagai simpanan persaraan mereka.

"Caruman adalah secara sukarela dan pencarum juga tidak perlu membayar caruman setiap bulan, ia bergantung kepada tahap kemampuan mereka,", katanya.

Pencarum skim ini akan menerima dividen tahunan mengikut kadar yang diumumkan KWSP.

Tambahan pula, sumbangan kerajaan sebanyak lima peratus dan tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM60 setahun, selama lima tahun bermula dari tahun 2010 hingga 2014.

Individu yang berminat untuk menyertai skim ini perlu mengisi Borang KWSP 16G (1M) yang boleh diperoleh di cawangan KWSP seluruh negara atau memuat-turun dari laman web ini mulai 3 Jan ini.

Borang tersebut perlu dikembalikan ke cawangan KWSP berdekatan atau melalui serahan mel.

Bagaimanapun, individu yang berminat dan masih belum menjadi ahli KWSP perlu berdaftar sebagai ahli terlebih dahulu dengan mengisi Borang KWSP 3 dan mengemukakannya kepada KWSP sebelum memohon menyertai skim ini.

Simpanan boleh didepositkan secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A(2) di kaunter bayaran KWSP seluruh negara.

Menurut Azlan, ahli KWSP sedia ada yang telah bekerja sendiri turut layak memilih untuk menyertai skim baru itu.

Keterangan lanjut boleh diperolehi dengan mengunjungi pejabat KWSP berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922-6000 atau layari laman web KWSP.

(Sumber: Bernama - 22/12/2009 - 20:24pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 5 comments ]

Hanya 6,600 pelajar daripada 95,286 permohonan terpilih untuk meneruskan pengajian mereka ke Tingkatan Satu sekolah berasrama penuh (SBP) bagi tahun 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pengumuman mengenai mereka yang berjaya itu akan dibuat Rabu.

"Semakan dan keterangan lanjut mengenai kemasukan ini boleh dibuat secara online dengan melayari laman web www.moe.gov.my, manakala bagi yang tidak berjaya mendapat tempat, mereka boleh membuat rayuan secara online di e-rayuan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur Selasa.

Beliau berkata tempoh rayuan adalah 20 hari, bermula esok hingga 12 Jan, namun keputusan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat yang ada setelah proses pendaftaran murid yang menerima tawaran dibuat pada 11 Jan.

Seramai 517,908 murid darjah enam menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, dan daripada jumlah itu seramai 48,171 berjaya memperoleh A bagi setiap mata pelajaran yang diambil.

(Sumber: Bernama - 22/12/2009 - 17:52pm)

Cuba klik pada link Announcements di kanan atas :: Terus Ke Laman Semakan Online!":: Subhanallah.. Hanya 6.93% sahaja pemohon diterima masuk ke SBP T1 Sesi 2010. Maknanya.. 93.07% lagi bukan "tak layak".. cuma "tak dapat masuk". Yang tak dapat first intake.. boleh buat rayuan online hingga 12 Jan 2010 ( 20 hari saja tempoh). Semoga berjaya.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai tahun depan akan melaksanakan program Pusat Kecemerlangan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan lapan universiti dipilih bagi memberi fokus kepada satu jenis sukan sahaja berdasarkan kepada kepakaran yang dimiliki.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan kementerian itu Ahmad Naim Ismail berkata pihaknya menolak cadangan untuk menubuhkan sebuah Universiti Sukan di negara ini seperti yang dicadangkan pada Konvensyen Sukan Kebangsaan pada tahun lepas.


"KPT berpendapat cadangan mewujudkan Universiti Sukan yang khusus tidak perlu buat masa ini," katanya ketika membentangkan kertas kerja dan maklum balas kementerian itu pada Konvensyen Sukan Kebangsaan 2009 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Naim berkata lapan IPT yang terbabit adalah Universiti Malaya (bola jaring), Universiti Putra Malaysia (ragbi), Universiti Teknologi Mara (bola sepak), Universiti Kebangsaan Malaysia (kriket), Universiti Teknologi Malaysia (mendayung), Universiti Malaysia Sabah (taekwondo), Universiti Utara Malaysia (golf) dan Universiti Sains Malaysia (renang).

Sementara itu, cadangan bagi mewujudkan skim gaji untuk atlet turut ditolak dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata ia akan memberikan implikasi kewangan yang besar.

(Sumber: Bernama - 22/12/2009 - 17:46pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bersetuju melanjutkan had usia kenderaan bas sekolah daripada 20 tahun kepada 30 tahun berkuatkuasa 1 Jan 2010.

Pengerusi LPKP Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata berikutan itu, LPKP mewajibkan pengusaha bas sekolah sentiasa melakukan pemeriksaan kenderaan secara berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi memastikan keadaan fizikal bas adalah baik dan menjamin keselamatan penumpang.

"Pelanjutan had usia ini diharap dapat memberi peluang kepada pengusaha bas yang mempunyai kenderaan berusia lebih dari 20 tahun untuk terus beroperasi dan memastikan perkhidmatan kepada pelajar sekolah dapat disediakan. Ia juga dapat membantu pengusaha bas sekolah mendapatkan pulangan sewajarnya," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, Selasa.

Bagaimanapun penetapan had usia itu tertakluk kepada kelulusan Puspakom.

Selain itu, bagi permohonan lesen baru dan ganti kenderaan, had usia kenderaan yang dilesenkan hendaklah tidak melebihi 20 tahun daripada tarikh pendaftaran kenderaan, katanya.

(Sumber: Bernama - 22/12/2009 - 10:38am)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kalendar akademik pengajian tinggi dijangka dikaji semula bagi membolehkan ia selaras dengan kalendar akademik luar negara, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata penyelarasan kalendar akademik itu secara tidak langsung akan dapat menarik lebih ramai pelajar luar negara untuk menyambung pengajian di negara ini. Selain itu, katanya perubahan itu juga akan melancarkan lagi proses mobiliti pelajar dan pensyarah ke luar negara dan sebaliknya.

"Sekarang sesi pembukaan pengajian tinggi di sini ialah pada Julai sedangkan kebanyakan universiti luar negara bermula sekitar Ogos dan September. Bagaimanapun sebarang perubahan adalah bergantung kepada mesyuarat terakhir dengan Kementerian Pelajaran pada minggu depan," katanya kepada pemberita di Sepang, Isnin.

Mohamed Khaled berkata sebarang perubahan juga akan memberikan kesan kepada kalendar persekolahan, jadi banyak perkara perlu dikaji dan diteliti terlebih dahulu.

Sebelum itu beliau merasmikan prapelancaran Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 yang akan bermula pada 9 Januari hingga 27 Mac 2010. Majlis perasmian karnival itu dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor.

(Sumber: Bernama - 21/12/2009 - 14:19pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Lepasan SPM/Setaraf dilaksanakan melalui aplikasi dalam talian secara sepenuhnya mulai sesi akademik bagi 2010/2011.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi, permohonan diadakan dalam dua fasa dan bagi fasa pertama ia telah dibuka kepada pemohon mulai 2 November lepas dan tarikh tutup adalah pada 31 Disember ini.

Fasa kedua permohonan pula akan dibuka pada 2 Februari 2010 mulai pukul 12 tengah hari sehingga 30 Mac 2010.

Menurut kenyataan itu lagi, permohonan kali ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori bagi pemohon SPM 2009, kategori B bagi lepasan SPM 2008 atau 2007, kategori C untuk lepasan SPM 2006 atau sebelumnya atau yang mempunyai sijil setaraf yang diiktiraf oleh IPTA dan kategori D adalah bagi lepasan SPM 2007 dengan sijil ulangan 2008 atau SPM 2007 dengan sijil ulangan 2009, atau SPM 2008 dengan sijil ulangan 2009.

Pemohon boleh mengemukakan permohonan dengan mendaftar melalui URL laman web rasmi kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my.

Bagi pemohon fasa 1, mereka dikehendaki mengemukakan permohonan dengan menggunakan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan dan mengisi di bahagian maklumat peribadi, maklumat pekerjaan dan keluarga, kategori permohonan dan maklumat aktiviti kokurikulum yang disertai.

Bagi pemohon fasa dua, mereka perlu membuat permohonan dengan menggunakan nombor unik ID dan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan.

"Pemohon boleh mendapatkan nombor unik ID yang boleh dibeli dengan harga RM10.60 di mana-mana kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau melalui mesin ATM atau SMS (jarak) Banking (bagi pemegang akaun GIRO) di seluruh negara mulai 1 Februari 2010 sehingga tarikh tutup permohonan pada 30 Mac 2010.

"Pemohon dibenarkan membuat sekali permohonan dan tiga kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup permohonan iaitu pada 30 Mac 2010," kata kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di talian 03-88835801 atau 03-88835802 atau emel ke www.upu.mohe.gov.my.

Sehubungan itu, kementerian menasihatkan para pemohon lepasan SPM 2009 supaya mengemukakan permohonan pada fasa satu bagi meningkatkan kelancaran sekaligus dapat mengurangkan tempoh masa pemohon mengemukakan permohonan mereka pada fasa dua nanti.

(Sumber: Bernama - 19/12/2009 - 13:18pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 akan diumumkan pada tarikh 24 Disember ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan Khamis.

Katanya calon-calon boleh mendapatkan keputusan dari sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada hari berkenaan, manakala calon persendirian akan mendapat keputusan masing-masing menerusi pos.

Seramai 475,182 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut.

(Sumber: Bernama - 17/12/2009 - 13:34pm)

Selamat mengambil keputusan untuk semua calon PMR 2009. Jangan lupa bawa kad pengenalan dan berpakaian kemas ke sekolah masing-masing. Bersyukurlah kepada Tuhan walau apa pun keputusan kita. Semoga berjaya!

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan Terengganu meluluskan dua permohonan untuk menubuhkan kolej kejururawatan dari University Of Teknologi New Zealand dan kolej perubatan dengan Royal College of Surgeons di Ireland (RCSI).

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, kedua-dua kolej berkenaan yang akan memulakan operasinya tahun depan, akan ditempatkan di Taman Ilmu di Besut yang mempunyai kemudahan seperti perpustakaan, asrama dan sebagainya.

Perjanjian mengenai penubuhan kolej kejururawatan akan ditandatangani pada Januari tahun depan sementara pihak RCSI akan mengadakan lawatan ke Terengganu untuk melihat sendiri kemudahan tersebut pada bulan depan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kuala Terengganu hari ini.

Kolej kejururawatan yang akan dibuka pada Julai depan boleh menampung pelajar sehingga 1,000 orang pada satu-satu masa.

Untuk kursus perubatan, beliau berkata ia bukan sahaja melibatkan pelajar Malaysia malah membabitkan penuntut dari luar negara kerana perbelanjaan mungkin lebih rendah.

Ahmad berkata, Terengganu menghantar 150 penuntut mengikuti kursus perubatan ke luar negara pada setiap tahun terutamanya ke Indonesia walaupun kos di negeri ini agak tinggi berbanding di Indonesia tetapi RCSI memang telah diiktiraf dunia.

Taman Ilmu mempunyai keluasan kira-kira 280 hektar di mana keperluan untuk kedua-dua kolej berkenaan akan dilihat dahulu mungkin kira-kira 16 hektar.

Dalam perkembangan lain, Ahmad akan ke China untuk berunding bagi menubuhkan Pusat Bahasa Inggeris di Taman Ilmu supaya penuntut dari negara itu boleh ke sini untuk belajar Bahasa Inggeris.

Katanya beliau telah berbincang dengan timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London Datuk Rustam Yahya supaya berunding di peringkat awal dengan universiti di China dalam bidang teknologi maklumat (IT), kejuruteraan dan sebagainya bagi membolehkan membawa mereka belajar di sini.

(Sumber: Bernama - 16/12/2009 - 18:41pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Perkhidmatan tren elektrik untuk perjalanan Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban dijadual bermula April depan dengan ketibaan unit pertama set tren elektrik (ETS) dari Korea Selatan di sini Selasa.

Unit tren elektrik serba moden itu, yang dibekalkan oleh CMK Konsortium dengan kerjasama Hyundai Rotem dari Korea Selatan dan Mitsubishi Electric Corporation (Melco) dari Jepun, merupakan unit pertama daripada lima yang telah ditempah untuk perkhidmatan tersebut, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata tren terpantas itu yang pernah dimiliki oleh KTM Berhad dengan kelajuan maksimum 140 kmj akan memendekkan tempoh perjalanan antara Ipoh-Kuala Lumpur kepada 1 jam 55 minit berbanding pada masa ini dua jam 50 minit dengan perkhidmatan shuttle Ipoh-Kuala Lumpur.

"Sementara itu, empat lagi set (ETS) dijangka diperolehi secara berperingkat sehingga Februari tahun hadapan," katanya pada majlis ketibaan tren itu di Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Ong berkata perkhidmatan tren ETS itu akan beroperasi antara Ipoh-Seremban-Ipoh dengan jangkaan waktu perjalanan sehala kurang dari tiga jam dan berhenti di stesen-stesen utama yang akan ditentukan kelak.

Setiap unit tren itu, yang dilengkapi dengan kemudahan litar tertutup di setiap gerabak bagi mengawasi keselamatan penumpang, koc buffet, skrin LCD, soket elektrik serta kemudahan tandas, terdiri daripada enam gerabak keretapi yang boleh memuatkan seramai 350 penumpang pada satu-satu perjalanan, kata Ong.

Beliau berkata kemudahan tren tersebut turut menampung keperluan penumpang kurang upaya (OKU), di mana kemudahan tandas serta ruang tempat duduk khas, turut disediakan.

" Tren ini juga akan dilengkapi dengan pramugari bagi membantu pengguna ETS dan temuduga untuk jawatan itu kini diadakan secara terbuka di Stesen Kuala Lumpur," katanya.

Ong juga berkata beliau difahamkan perkhidmatan ETS akan beroperasi secara berasingan dan akan dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh KTM Berhad.

" Semoga dengan langkah tersebut perkhidmatan ETS ini akan mampu beroperasi secara total dan akan membantu memenuhi aspirasi kerajaan dalam membudayakan penggunaan pengangkutan awam," katanya.

Beliau juga berharap dengan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam, lebih ramai penduduk terutama di Lembah Klang akan menggunakannya dan misi utama di bawah NKRA (National Key Result Area) iaitu memastikan 25 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam menjelang akhir 2012 akan tercapai.

"Kini baru 12 peratus penduduk iaitu seramai 240,000 orang awam menggunakan perkhidmatan awam, dengan perkiraan 25 peratus, kita menjangkakan 600,000 orang awam akan menggunakan perkhidmatan awam," katanya.

Tren elektrik ini turut dipamerkan kepada orang ramai di Stesen Keretapi Kuala Lumpur hari dan esok dari pukul 9 pagi hingga 5 petang untuk tujuan mendapatkan maklum balas dari orang ramai.

(Sumber: Bernama - 15/12/2009 - 15:52pm)

Lepas ni, kalau boring2 waktu cuti.. boleh le jalan-jalan Ipoh-KL-Seremban tak payah drive kereta. Best.. Nanti kita tunggu kat mana stesen-stesen utama-utama itu. Yg penting.. salah-satunya mesti area KLIA/LCCT. Lagi jauh boleh berjalan.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Tiga buah politeknik akan dinaik taraf mulai tahun depan bagi membolehkan politeknik berkenaan menyediakan kursus diploma lanjutan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ia juga adalah satu pendekatan awal sebelum politeknik itu dinaik taraf menjadi universiti.

"Kalau kita lihat di luar negara sudah ada politeknik diiktiraf dan menyediakan kursus di peringkat lebih tinggi daripada diploma. Ini memandangkan sistem politeknik penting untuk meningkatkan sektor teknikal dan vokasional di negara ini.

"Kementerian juga tidak mahu pendidikan di politeknik hanya tersekat sehingga di tahap diploma sahaja malah politeknik juga akan dijadikan sebagai pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan kementerian di Putrajaya - Selasa.

Mohamed Khaled berkata senarai tiga politeknik yang terpilih daripada 27 politeknik yang sedia ada itu akan diumumkan awal tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu menyediakan insuran berkelompok sebagai langkah melindungi keselamatan para pelajar.

"Perkara itu dianggap wajar walaupun setakat ini kementerian tidak berhasrat untuk menjadikan ia satu perkara wajib. Tetapi dengan adanya insuran ia serba sedikit dapat membantu keluarga pelajar yang dilanda musibah," katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan sumbangan wang insuran daripada Kolej Universiti Kesihatan Materskill kepada keluarga dua pelajar kolej itu, Siti Nuramira Shamsudin dan Siti Nurdiana Azman yang terkorban dalam tragedi di Kompleks beli-belah Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Turut menerima sumbangan seorang lagi pelajar Mazlizatul Akmar Muhammad, 23, yang terbunuh dalam satu kemalangan di Kilometer 39 Jalan Kuantan-Kemaman, Pahang pada November lepas.

Pada majlis sama beliau turut menyampaikan sumbangan kementerian berjumlah RM184,000 kepada pelajar yang terbabit dalam kejadian gempa bumi di Padang, Indonesia.

(Sumber: Bernama - 15/12/2009 - 12:26pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), telah mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 7.30 sen seunit dan bonus sebanyak 1.25 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2009.

Tahun lepas, pengurus dana milik kerajaan itu mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.0 sen seunit dan bonus sebanyak 1.75 sen seunit.


Mengumumkan dividen dan bonus tersebut hari ini, pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan itu akan membabitkan pembayaran sebanyak RM4.95 bilion oleh ASNB, satu peningkatan 19.56 peratus daripada RM4.14 bilion yang dibayar pada 2008.

Bahagian bonus pula akan membabitkan pembayaran sebanyak RM537.65 juta oleh PNB.

Pembayaran ini akan memberi faedah kepada 6.78 juta pemegang unit yang kini memegang lebih 70 bilion unit ASB.

"Walaupun jumlahnya (dividen dan bonus) kelihatan lebih rendah tahun ini pada 8.55 sen seunit berbanding 8.75 sen seunit tahun lepas, dari segi jumlah keseluruhan yang akan dibayar, ia adalah lebih tinggi iaitu RM5.48 bilion berbanding RM4.79 bilion tahun lepas," kata ketua pegawai eksekutif kumpulan dan presiden PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Hamad Kama Piah berkata PNB berada pada kedudukan yang kukuh dan akan memastikan pembayaran dividen yang berterusan.

"Berdasarkan rizab dana, kapasiti kami adalah lebih daripada 11 sen seunit tetapi kami hanya membayar 7.30 sen seunit dan membawa ke hadapan baki 3.70 sen untuk 2010.

"Ini ialah dana jangka panjang dan kami mahu memastikan kami boleh menggunakan wang itu untuk membeli lebih banyak saham dan membuat lebih banyak pelaburan kerana kami akan harus membayar sekali lagi," tambahnya.

Sehingga 10 Dis, ASB mencatatkan pendapatan kasar RM5.46 bilion, satu peningkatan 3.4 peratus daripada RM5.28 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat penerima pelaburan menyumbang RM1.48 bilion, atau 27 peratus daripada pendapatan kasar.

Keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM3.67 bilion, atau 67 peratus, sementara baki RM309 juta atau 6.0 peratus adalah daripada pelaburan-pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pelaburan.

Agihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun-akaun pemegang unit.

Semua urus niaga ASB akan digantung mulai 21 Dis hingga 3 Januari untuk memudahkan pengiraan agihan pendapatan dan bonus. Pemegang unit boleh mengemaskinikan akaun mereka mulai 4 Januari.

ASB adalah dana pendapatan ekuiti harga tetap yang dibuka kepada semua Bumiputera berumur 12 tahun ke atas. Ia bertujuan untuk menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan berdaya saing untuk pemegang unit.

(Sumber: Bernama - 14/12/2009 - 16:37pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemenceh Negeri Sembilan akan menjadi MRSM kedua yang melaksanakan Program Ulul Albab selepas MRSM Putera Terengganu mulai tahun depan, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, permohonan masuk ke tingkatan satu kedua-dua MRSM itu sedang dibuka dan ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka boleh berbuat demikian.

Katanya, seramai 170 orang pelajar tingkatan satu akan berpeluang belajar di setiap MRSM itu yang menggunakan konsep pendidikan yang selaras dengan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM).

''Sebelum program yang dilaksanakan di MRSM Kota Putera bermula tahun lalu telah memperlihatkan impak yang memberangsangkan apabila ramai pelajar yang mampu menghafaz sehingga 10 juzuk al-Quran," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong dekat Besut hari ini.

Idris berkata, program Ulul Albab yang berteraskan tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik mampu melahirkan ilmuwan Islam yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk akademik.

Katanya, di samping mampu menguasai al-Quran, pelajar juga memilik ilmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai bidang serta merupakan seorang yang berinovasi dan kreatif dalam kehidupan.

'' Setiap tahun pelajar disasarkan mampu menghafaz 10 juzuk al-Quran dan dalam tempoh tiga tahun mereka mampu menghafaz 30 juzuk al Quran yang merupakan satu kelebihan kepada pelajar berkenaan," katanya.

Beliau berkata, konsep pembelajaran yang lebih bersistematik dan bersepadu itu bukannya baru dilaksanakan sebaliknya telah pun berjaya dipraktikkan dengan jayanya di Sekolah Menengah Imtiaz Besut sebelum ini.

Tambahnya, menerusinya diharapkan nanti generasi pelajar yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang dalam bidang sains dan teknologi malah ilmu-ilmu agama sebagai tokoh peringkat dunia.

(Sumber: Utusan Malaysia - 12/12/2009 )

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

AMAT MENGEJUTKAN! Berdasarkan maklumat terkini dari Kementerian Pelajaran nampaknya banyak program LDP & Pra-Perkhidmatan bagi tahun 2010 DITANGGUHKAN. Antaranya:

Program Latihan Dalam Perkhidmatan:

  1. Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan - Sepenuh Masa (utk PPPS - Kedoktoran/Sarjana)
  2. Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan - Separuh Masa (utk PPPS - Kedoktoran/Sarjana)
  3. Sarjana Kepengetuaan (utk PPPS - Sarjana)
  4. Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah (utk PPLD - Diploma Lepasan Ijazah)
  5. Sarjana Muda Pendidikan Khas (utk PPLD - Sarjana Muda)
  6. Spouse Programme (utk PPLD & PPPS - Kedoktoran/Sarjana/Sarjana Muda)
Program Pra-Perkhidmatan:
  1. Program Berkembar B.Ed TESL
  2. Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Ke luar Negara (PPC)
  3. Biasiswa Perguruan Persekutuan di IPTA
Lain-lain maklumat atau pertanyaan, sila rujuk / klik pautan di bawah.

(Sumber: Surat rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia bertarikh 10 Disember, 2009)

Adakah krisis kewangan di Malaysia belum berakhir.. atau kian meruncing?

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pengetua dan guru besar mungkin diberi kuasa untuk mengambil dan memecat mana-mana guru pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ketika membayangkan perkara itu berkata, kuasa berkenaan boleh 'diperturunkan' kepada pengetua dan guru besar memandangkan mereka lebih mengenali prestasi setiap guru.

"Kemungkinan suatu hari nanti mereka (pengetua dan guru besar) boleh mengambil dan memecat. Ia bagi membantu mereka mengenal pasti guru yang berdedikasi dalam membantu mewujudkan sekolah yang cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Bajet 2010, peringkat jawatankuasa kementerian itu, pada Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Mohd. Puad, langkah luar biasa itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian tersebut untuk melakukan revolusi dalam bidang pendidikan negara.

Mengulas lanjut mengenai revolusi itu, beliau menambah, semua guru turut diwajibkan melafazkan aku janji (baiah) baru.

Jelasnya, aku janji tersebut bagi memastikan tiada lagi guru-guru selepas ini mohon untuk bertukar selepas hanya dua tahun bertugas walaupun atas alasan mengikuti suami atau sebagainya.

"Ini juga sebahagian perubahan minda kepada guru-guru agar mereka menampilkan prestasi terbaik. Melalui akur janji ini kementerian tidak lagi melayan permohonan pertukaran yang kurang dari tempoh dua tahun," jelasnya.

(Sumber: Arkib Utusan Malaysia Online - 9/12/2009)

Hrm.. janji tak akan bertukar.. still ok. Tapi nak tanggung dosa 'sengaja 'pisahkan suami & isteri itu siapa nak tanggung? Pengetua/GuruBesar atau Zarkashi?.. Berat dosa org yang zalim ni, khabarnya.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta agar kerajaan memperbanyakkan peluang kenaikan pangkat kepada kira-kira 8,000 pembantu makmal sekolah di seluruh negara.

Presidennya, Omar Osman berkata pada masa ini kenaikan pangkat pembantu makmal sekolah gred C17 kepada gred C22 (kanan) dan gred C26 (tertinggi) adalah sangat terhad dan perlu memenuhi syarat-syarat yang agak ketat.

"Jadi, Cuepacs minta Kementerian Pelajaran menambah peluang kenaikan pangkat bagi pembantu makmal yang telah lama berkhidmat dan berpengalaman," katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Semenanjung Malaysia, di sini Jumaat.

Lebih 150 perwakilan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menghadiri persidangan berkenaan.

Beliau berkata, mereka perlu diberi pertimbangan sewajarnya selaras dengan tugas yang dipertanggungjawabkan, apatah lagi setelah mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkenaan.

Selain itu, Omar berkata Cuepacs turut berharap agar Kementerian Pelajaran mengkaji semula pemberian insentif kepada pembantu makmal sebagai galakan kepada mereka.

"Mereka bukan sahaja bertugas untuk kerja-kerja rasmi, sebaliknya ada yang disuruh melaksanakan kerja-kerja lain," katanya.

Katanya, kementerian berkenaan mengadakan pelbagai anugerah seperti anugerah guru cemerlang, tapi pembantu makmal tidak diberi perhatian walaupun peranan mereka juga penting di sekolah-sekolah.

(Sumber: Bernama - 11/12/2009 - 20:30pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Mulai 1 Jan tahun depan, kadar mas kahwin di Selangor ditetapkan sebanyak RM300 berbanding kadar semasa iaitu antara RM40 dan RM80 yang dilaksanakan sejak tahun 1978.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata kadar baru itu ditetapkan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Islam di negeri itu. Kadar baru itu dikuatkuasakan setelah mengkaji beberapa perkembangan semasa termasuk menyeragamkan jumlah mas kahwin kepada wanita tanpa mengira status mereka seperti sebelum ini.

"Sebelum ini kita tetapkan mas kahwin bagi anak dara ialah RM80 manakala RM40 bagi yang berstatus janda. Saya yakin dengan kadar baru ini ia lebih memuliakan kedudukan wanita tanpa mengira status," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Perakuan Nikah Pintar Jais di Shah Alam Khamis.

Mohamed Khusrin yakin kadar baru itu tidak membebankan pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga kerana ia berpatutan dan bersesuaian mengikut keadaan semasa.

Terdahulu, beliau melancarkan Kad Perakuan Nikah Pintar JAIS iaitu kad perakuan pengesahan bagi pasangan yang bernikah dan berdaftar di Selangor.

Beliau berkata kad itu dilengkapi dengan cip maklumat termasuk data pasangan yang merangkumi identiti suami, isteri, wali dan nombor siri surat perakuan nikah pasangan masing-masing.

"Kad pintar ini akan berkuatkuasa mulai tahun depan bagi menggantikan kad nikad sedia ada untuk mengelakkan kes kad perakuan perkahwinan palsu yang dikesan dalam beberapa siri tangkapan Jais sebelum ini," katanya.

Mohamed Khusrin berkata JAIS juga bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bagi membolehkan kad perakuan itu diakses melalui terminal mudah alih Jabatan Agama Islam berkenaan.

Selain Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu merupakan antara negeri yang menggunakan kad perakuan nikah pintar dalam pengurusan pendaftaran perkahwinan mereka.

(Sumber: Bernama - 10/12/2009 - 20:54pm)

Rasanya, kadar baru maskahwin ini sudah biasa diamalkan di beberapa negeri di Malaysia. Memang tidak membebankan. Yang pihak Majlis Agama seluruh negeri perlu fikir dan ambil tindakan adalah masalah hantaran perkahwinan. Ini yang membebankan pengantin lelaki sebenarnya.

Jangan kita terlalu fikirkan maskahwin itu sebagai masalah. Ianya adalah adalah salah satu rukun nikah, dan kadarnya disifatkan oleh Rasulullah sebagai lebih rendah semakin baik. Yang tiada dalam rukun - iaitu hantaran, itulah bida'ah yang amat berat - ini isunya. Kerana itu menyebabkan urusan nikah kahwin menjadi sesuatu yang menyusahkan, menggalakkan kes zina serta melewatkan umur berkahwin bagi para muslim. Apa komen para mufti yang bijaksana & bijaksini..

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Lima Sekolah Rendah Agama (SRA) di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dipilih sebagai sekolah perintis yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata pemilihan sekolah itu bertujuan menjadi model untuk dicontohi jabatan agama di negeri lain supaya turut menggunakan ICT di peringkat Sekolah Rendah Agama.

Antara SRA yang dipilih ialah SRA Al-Mubarakah, SRA Al-Watan, SRA Taman Ibu Kota, SRA Segambut Dalam dan SRA Kampung Pasir Baru yang semuanya terletak di sekitar kawasan Kuala Lumpur, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Integrasi ICT SRA dan mengumumkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) 2009 di sini, Rabu.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Pengerusi Telekom Smart School Sdn Bhd, Fazlur Rahman Zainudin.

Jamil Khir berkata projek Integrasi ICT SRA telah bermula sejak November tahun lepas di lima sekolah berkenaan dan JAWI akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan penggunaan ICT di sekolah-sekolah agama lain di Wilayah Persekutuan pada tahun depan.

Beliau berkata JAWI dan jabatan agama di negeri-negeri di seluruh negara sebagai pentadbir SRA akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan imej sekolah rendah agama setaraf dengan sekolah rendah kebangsaan di bawah pentadbiran Kementerian Pelajaran.

Sementara itu, seramai 114 calon atau 2.4 peratus daripada 4,792 calon memperoleh keputusan A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) peringkat JAWI tahun ini.

Mata pelajaran Tajwid dan Sirah juga menunjukkan peningkatan mendadak dari tahun ke tahun sejak 2006, katanya.

Selain itu, 10 calon UPSRA disenaraikan sebagai pelajar terbaik 2009.

Asma Abdul Halim, 12, dari Sekolah Rendah Agama Ibnu Khaldun, Kuala Lumpur dipilih sebagai pelajar terbaik UPSRA 2009 peringkat JAWI dengan memperolehi 95.7 peratus.

Selain itu, SRA Sri Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur dipilih sebagai Sekolah Cemerlang UPSRA 2009.

(Sumber: Bernama - 09/12/2009 - 20:43pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Setelah tujuh tahun dilaksanakan dan terus menjadi isu hangat, kerajaan akhirnya mengumumkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012.

Pengumuman dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada 8 Julai lepas. Ia adalah antara keputusan paling penting oleh Muhyiddin hanya tiga bulan selepas dilantik menerajui kementerian itu.

Pelantikan Muhyiddin ke jawatan itu menunjukkan betapa pentadbiran baru kepimpinan Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak mengutamakan aspek pendidikan.

PPSMI bakal digantikan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), yang menurut kerajaan, tidak merugikan mana-mana pihak sama ada yang menolak mahupun pun menyokong PPSMI kerana dasar baru itu bertujuan memberikan keseimbangan.

Katanya segala persiapan sudah bermula kerana kerajaan tidak mahu terjerumus lagi dalam ketidakpastian apabila sesuatu dasar diperkenalkan.

Bukan sekadar memansuhkan PPSMI, komitmen dan keikhlasan kerajaan meletakkan rakyat sebagai keutamaan terus diperlihatkan apabila lebih RM30 bilion diperuntukkan untuk bidang pendidikan menerusi Bajet 2010.

Kementerian itu juga meletakkan empat matlamat dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan, iaitu :
  1. memperluas dan memantapkan pendidikan prasekolah,
  2. meningkatkan kadar literasi dan numerasi,
  3. mewujudkan sekolah berprestasi tinggi, dan
  4. guru besar berprestasi cemerlang.

Muhyiddin juga menekankan perbelanjaan sederhana bagi projek infrastruktur pendidikan, kerana baginya, peruntukan yang lebih seharusnya disalurkan untuk meningkatkan kualiti guru kerana guru yang benar-benar berkualiti lebih memberi manfaat berbanding infrastruktur fizikal yang tersergam indah.

Beliau juga mengumumkan pendidikan prasekolah bakal menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara bagi meningkatkan penguasaan BI bermula dari peringkat awal selain untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20 peratus pada 2012.

Guru BI yang sedia berkorban untuk berkhidmat di luar bandar pula diberi insentif tambahan bagi memastikan pelajar di luar bandar tidak ketinggalan apabila strategi memperkukuhkan bahasa itu dilaksanakan pada 2012.

Pengetua dan guru yang berjaya menaikkan mutu pendidikan pelajar juga akan diberi imbuhan berpatutan.

"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang akan diteruskan oleh kementerian untuk tingkatkan profesionalisme para pendidik di seluruh negara," katanya.

Cadangan sekolah satu aliran yang dikemukakan oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menimbulkan perbahasan sehingga di Parlimen.

Ia juga mendapat perhatian Perdana Menteri yang berpendapat sistem pendidikan negara akan bertukar kepada sekolah satu aliran hanya apabila rakyat bersedia dan dikehendaki semua pihak.

Muhyiddin pula menyifatkan sistem pendidikan pelbagai aliran di negara ini sebagai satu "takdir sejarah" yang hanya boleh diubah sekiranya semua kaum bersedia untuk menerima dan mengamalkan sistem aliran lebih bersepadu.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyokong padu cadangan itu kerana beranggapan perpaduan yang terbaik hanya akan dapat dibentuk melalui pendidikan.

Meskipun wujud pelbagai isu, sistem pendidikan di Malaysia tetap mendapat pengiktirafan sebagai antara yang paling berjaya dalam menyediakan akses kepada pendidikan untuk semua rakyat.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam Laporan Pemantauan Global Pendidikan Untuk Semua 2009 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-45 daripada 129 negara sekaligus menempatkan Malaysia dalam kalangan negara yang berada pada aras tinggi.

Pujian juga harus diberikan kepada seluruh penjawat awam di kementerian itu yang menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi dalam menangani permasalahan, termasuklah langkah bersiap sedia menghadapi wabak influenza A(H1N1) dan bencana banjir di sekolah.

(Sumber: Bernama - 10/12/2009 - 10:50am)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Peguam terikat dengan ketetapan menggunakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia dalam prosiding mahkamah, menurut penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan semasa menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah RM100 juta terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bahasa Malaysia mesti digunakan bukan sahaja semasa prosiding tetapi juga dalam memfailkan dokumen-dokumen mahkamah, kata Hakim Abdul Malik Ishak dalam penghakiman setebal 31 muka surat bertarikh 2 Nov dan diedarkan kepada pemberita Rabu.

Pada 10 Okt, Hakim Abdul Malik, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menolak rayuan Anwar atas alasan memorandum rayuan difailkan Anwar dalam bahasa Inggeris adalah cacat, tidak sah dan mencabuli proses mahkamah.

"Keutamaan Bahasa Malaysia atau bahasa Melayu dalam mahkamah kita tidak boleh dinafikan. Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama-sama Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan semua prosiding, selain daripada memberi keterangan oleh seorang saksi, di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan mahkamah rendah mesti dalam bahasa kebangsaan.

"Peraturan 101, Peraturan-peraturan Mahkamah Rayuan 1994 menetapkan dokumen-dokumen perlu dalam bahasa kebangsaan. Oleh itu, kegagalan di pihak perayu untuk memfailkan memorandum rayuan dalam Bahasa Malaysia menyebabkan rekod rayuan yang difailkan oleh perayu tidak boleh digunakan"

(Hakim Abdul Malik)


Beliau berkata mahkamah perlu menguatkuasakan keperluan memfailkan dokumen mahkamah dalam bahasa Malaysia seperti ditetapkan oleh undang-undang.

Memorandum rayuan dalam bahasa Inggeris yang difailkan Anwar secara terang-terangan melanggar undang-undang dan perlu ditolak, katanya.

"Perayu mesti memfailkan memorandum rayuan dalam bahasa kebangsaan. Tiada bahasa lain akan dilayani dan tidak layak sebagai rekod rayuan," kata beliau.

Anwar memfailkan saman pada 26 Jan, 2006, mendakwa kenyataan Tun Mahathir yang menggelarnya sebagai seorang homoseksual adalah satu fitnah dan bertujuan mengaibkannya secara peribadi dan kapasiti rasminya sebagai bekas menteri kewangan dan timbalan perdana menteri.

Pada 4 Julai, 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman itu dengan kos selepas membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan saman itu.

Anwar kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.

Pada 10 Okt, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan rayuan itu dan memerintahkan Anwar membayar kos.

Hakim Abdul Malik berkata: "Semuanya silap berhubung rayuan itu dan secara terang-terangan melanggar peraturan di pihak perayu dalam kes ini.

"Memburukkan lagi keadaan, memorandum rayuan dalam bahasa Inggeris itu juga tidak ditandatangani oleh peguam yang mewakili perayu dan dengan itu menyebabkannya tidak sah dan tiada mempunyai sebarang kesan."

Peguam Karpal Singh dan S.N.Nair mewakili Anwar manakala peguam Datuk V.K.Lingam dan R. Thayalan mewakili Dr Mahathir.

(Sumber: Bernama - 09/12/2009 - 16:21pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Selasa berkata kerajaan akan membina lebih banyak Sekolah Menengah Vokasional di seluruh negara bagi menampung keperluan pelajar dalam bidang kemahiran.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata penguasaan dalam bidang vokasional dapat memenuhi keperluan tenaga mahir yang begitu mendesak ketika ini untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

"Pembinaan sekolah itu juga ketika ini menjadi dasar baru Kementerian Pelajaran. Ada anak-anak kita yang tidak cemerlang di dalam akademik tetapi mereka sesuai dalam bidang kemahiran.

"Sebahagian mereka ini akhirnya tidak bersekolah lalu menganggur sekiranya kerajaan tidak menyediakan tempat untuk mereka mendapatkan latihan kemahiran," katanya semada berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Taman Rekreasi Sungai Rambah, di Pontian, Selasa.

Muhyiddin berkata enam sekolah vokasional akan dibina dalam masa terdekat dengan tiga buah sekolah sudah dikenal pasti kawasannya termasuk sebuah sekolah, di kawasan Tanjung Piai, di sini.

Beliau berkata RM40 juta hingga RM45 juta diperuntukkan kementerian untuk pembinaan tiap sebuah sekolah berkenaan, dan menurutnya pembinaan lebih banyak sekolah vokasional itu juga selaras dengan hasrat kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut menekankan keperluan rakyat supaya sentiasa mengekalkan perpaduan selain bersama-sama membantu kerajaan bagi menjayakan agenda pembangunan negara.

Beliau menegaskan rakyat juga perlu memahami dengan jelas gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, supaya hubungan antara kaum terus terjalin.

"1Malaysia perlu diambil sebagai satu tanggungjawab dan difahami dengan betul. Ia bukan retorik ataupun politik. Oleh sebab itu, walau apapun keadaan yang berlaku, hubungan antara rakyat terus terjalin," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai Datuk Nasir Safar.

(Sumber: Bernama - 01/12/09 :18:27pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Penjualan paket rokok yang mengandungi kurang daripada 20 batang adalah dilarang mulai 1 Jun tahun depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sejajar dengan keputusan itu, pihak syarikat rokok diberi masa tujuh bulan mulai sekarang hingga 31 Mei ini untuk menghabiskan stok paket rokok yang kurang daripada 20 batang rokok di pasaran.

"Kerajaan tidak akan melayan sebarang rayuan ke atas perkara ini dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan pengilangan dan penjualan paket rokok kurang dari 20 batang rokok mulai 1 Jun 2010," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur pada 1 Disember, Selasa.

Beliau berkata keputusan itu telah dipersetujui oleh semua syarikat rokok dan kerajaan berterima kasih di atas sokongan dan kerjasama syarikat-syarikat tersebut.

"Larangan pengilangan dan penjualan rokok paket rokok yang mengandungi kurang dari 20 batang sebenarnya telahpun diwartakan pada 23 Sept 2004 melalui peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Bagaimanapun penguatkuasaan terhadap larangan tersebut telah ditangguhkan selepas kerajaan mempertimbangkan rayuan daripada syarikat-syarikat rokok," katanya.

Liow berkata sehubungan dengan penguatkuasaan itu, sesiapa yang didapati melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Menurut beliau lagi, larangan itu juga selaras dengan saranan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Larangan penjualan paket rokok bungkusan kecil ini adalah bertujuan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan golongan kanak-kanak dan remaja untuk membeli dan memulakan tabiat merokok yang tidak sihat dan merugikan," katanya.

(Sumber: Bernama - 1/12/2009 - 20:04pm)

Sebenarnya kerajaan nak mengurangkan orang membeli rokok atau menggalakkan orang lebih kuat merokok.. ? Hihihi..

Bila perokok tegar kena beli kotak besar.. stok akan lebih banyak berbanding selalu. Perokok tegar tiada istilah berjimat batang rokok.. kalau dia pandai berjimat, tentu dia tidak merokok dan tidak membeli rokok.

Nak menghalang budak menghisap rokok? Sebenarnya perokok-perokok tegar telah lama muncul di kalangan murid sekolah rendah dan menengah.. Dah biasa lihat dan dengar.

Kawalan jualan rokok peket 'kecil' tidak berbaloi.. Sepatutnya penguatkuasaan perlu pada kedai-kedai yang menjual rokok pada murid sekolah dan kanak-kanak. Biasanya kedai-kedai kaum Cina. Puak ni mana ada kesedaran sosial, hanya kira untung saja..

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 1 comments ]

Keputusan pemilihan dan penempatan pelajar Tingkatan Satu di sekolah berasrama penuh (SBP) tahun depan (2010) akan diumumkan selewat-lewatnya 25 Disember ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata semakan mengenai keputusan itu boleh dibuat melalui laman web kementerian iaitu www.moe.gov.my.

"Murid Tingkatan Satu SBP dijangka akan mendaftarkan diri di kesemua 53 buah SBP yang ditawarkan pada 11 Jan depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

(Sumber: Bernama - 26/11/2009)

Baca Selengkapnya (Read More)...