| 0 comments ]

Kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900 sebulan (RM4.33 sejam), manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan (RM3.85 sejam), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata gaji minimum itu akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali perkhidmatan domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya.

"Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan," katanya semasa berucap pada majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta di Putrajaya, Isnin.

Pengumuman itu juga sempena sambutan Hari Pekerja yang akan disambut Selasa dan sebagai hadiah istimewa daripada kerajaan persekutuan kepada seluruh warga pekerja.

Najib berkata kerajaan turut menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya penetapan gaji minimum itu tidak membebankan majikan dan tidak merugikan para pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.

Bagaimanapun, katanya untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil membuat persediaan, tempoh kuat kuasa bagi kategori itu ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.

Perdana Menteri berkata pengecualian 12 bulan itu tidak meliputi kepada firma profesional seperti klinik-klinik pergigian dan perubatan; firma guaman; firma arkitek; firma juru perunding dan sebagainya; walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja lima atau kurang; mereka perlu mematuhi gaji minimum ini dalam masa enam bulan.

"Pemberian tempoh masa yang mencukupi ini adalah supaya majikan dapat membuat persediaan secukupnya bagi menstrukturkan semula gaji pekerja dan operasi perniagaan masing-masing.

"Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan," katanya.

Jelas Najib lagi kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada RM1,200 hingga RM1,500.

Namun untuk permulaan, katanya sebagaimana syor Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.

"Sekiranya gaji minimum ditetapkan melebihi tahap RM900 (yakni gaji pokok) kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing," katanya.

"Jika perkara itu berlaku, industri tidak boleh beroperasi sewajarnya dan dikhuatiri ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan. Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, kerana ini akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan nasional," katanya.

Najib berkata kerajaan juga sedar, bahawa menetapkan kadar gaji minimum yang berbeza antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mendedahkan kepada tohmahan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan pekerja di negeri dan wilayah tersebut.

"Perbezaan gaji antara dua wilayah ini terpaksa dilakukan kerana perbezaan struktur upah dan kos sara hidup yang ketara," katanya.

Namun begitu, beliau berkata untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, kerajaan berharap kadar gaji minimum bagi negeri-negeri tersebut dapat diselaraskan dengan kadar gaji minimum di Semenanjung Malaysia.

Kadar gaji minimum yang ditetapkan tersebut tidak akan kekal statik, ia akan dikaji semula dari semasa ke semasa sejajar dengan kemampuan, produktiviti dan daya saing negara, jelas beliau.

Pada pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan MPGN sebagai platform utama dalam penetapan upah, termasuk menentukan kadar dan mekanisme pelaksanaan gaji minimum di negara ini.

Susulan itu, Kementerian Sumber Manusia bersama rakan tripartite telah merangka dan menggubal perundangan yang berkaitan.

Hasilnya, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen pada sesi Jun/Julai 2011, kemudian akta diwartakan pada 15 Sept dan seterusnya, MPGN telah ditubuhkan pada 28 Sept.

(Sumber: Bernama - 30/4/2012 - 9:37pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menambah pengambilan pelatih lulusan Sijil Pelajaran Malaysia sekali ganda kepada 4,000 orang pada sesi Julai ini, berbanding 2,379 pada tahun lalu.

Rektor IPGM Datuk Dr Haili Dolhan berkata mereka yang layak akan menerima surat tawaran pada Jun ini untuk mendaftar di 26 buah IPGM di seluruh negara.

Pertambahan calon bagi mengikuti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan itu dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan guru dalam tempoh dua tahun dari sekarang, katanya kepada pemberita, di Besut.

"Buat masa ini, terdapat 53,000 pelatih guru yang mengikuti pengajian dalam dan luar kampus sama ada di peringkat diploma mahupun kursus semasa cuti yang dijangka dapat memenuhi keperluan dalam negara," katanya.

Mengulas lanjut, Haili berkata setakat ini masalah kekurangan guru dihadapi khususnya di Sabah dan Sarawak.


(Sumber: Bernama - 30/4/2012 - 7:09PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Negeri di utara Semenanjung termasuk Pulau Pinang terdedah kepada gegaran kuat dan ancaman tsunami jika berlaku gempa bumi kuat di dasar laut Kepulauan Andaman, Nicobar dan perairan Sumatera Utara.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Dr Yap Kok Seng berkata gempa kuat di ketiga-tiga lokasi itu boleh menyebabkan tsunami melanda pulau ini dalam tempoh tiga jam 20 minit dengan ketinggian ombak sehingga empat meter.

Ini adalah hasil kajian yang dilakukan jabatan ini susulan kejadian tsunami pada 2004, yang mana sekalipun Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, negara ini masih terdedah kepada bahaya jika gempa berlaku di negara jiran, katanya kepada pemberita, di Batu Feringghi Ahad.

Sehubungan itu katanya, penduduk di pulau ini harus sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan tsunami dan melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai perkara yang harus dilakukan jika bencana tersebut berlaku.

"Dalam tempoh yang begitu singkat orang ramai perlu memahami dan mengetahui perkara yang perlu dilakukan supaya proses pemindahan penduduk dapat dilakukan dalam jangka masa kurang dari dua jam," katanya.

Katanya bagi memberi amaran kepada penduduk, jabatan itu memasang siren amaran di lokasi strategik iaitu di Tanjung Bungah, Teluk Bahang, Batu Feringghi, Pasir Panjang, Kampung Nelayan dan Kampung Kuala Sungai Muda.

Hebahan amaran juga dibuat menerusi Sistem Amaran Talian Tetap (FLAS) dengan kerjasama Telekom yang menghubungkan talian tetap rumah dan pejabat yang berada dalam jarak tiga kilometer dari kawasan pantai.

(Sumber: Bernama - 29/4/2012 - 4:53PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Negara dijangka mencapai nisbah seorang doktor bagi 600 penduduk (1:600) seperti yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata jangkaan itu berasaskan pengeluaran 3,500 doktor setahun sekarang, yang mana pada ketika ini nisbah doktor berbanding penduduk ialah seorang bagi setiap 800 (1:800).

"Kita menjangkakan dengan 3,500 doktor yang dihasilkan negara setiap tahun, Malaysia akan mencapai kadar nisbah seorang doktor untuk 600 penduduk pada 2015, manakala menjelang 2020 pula kadar nisbah adalah seorang doktor untuk 400 penduduk, melebihi apa yang dikehendaki oleh WHO," katanya, di Kluang hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Kluang bernilai RM379 juta yang beroperasi sepenuhnya sejak 30 Dis lepas.

Kata Liow, walaupun negara menghasilkan 3,500 doktor setahun, masih banyak hospital di negara ini seperti di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu menghadapi kekurangan doktor serta kakitangan sokongan yang lain.

Keperluan doktor dan kakitangan sokongan di hospital-hospital lain sama ada di bandar atau luar bandar adalah berlainan, katanya.

Sementara itu, beliau berkata kementerian telah memutuskan untuk menambah 25 lagi doktor di Hospital Kluang yang pada masa ini mempunyai 45 doktor.

Kementeriannya juga akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah bilangan kakitangan sokongan di Hospital Kluang, yang pada ketika ini berjumlah 776 orang.

Selain itu katanya kementerian juga akan menempatkan kemudahan CT-Scan bernilai RM5 juta di Hospital Kluang serta membuka Jabatan Pesakit Luar untuk kemudahan pesakit.

Hadir sama anggota Parlimen Kluang Dr Hou Kok Chung.

(Sumber: Bernama - 29/4/2012 - 1:54PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Dianggarkan kira-kira dua juta rakyat Malaysia berisiko menghidap diabetes namun tidak menyedarinya kerana tidak membuat pemeriksaan kesihatan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin.

Katanya anggaran itu melibatkan individu dewasa yang masih belum menjalani ujian saringan kesihatan secara tetap dan berkala.

"Hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati pesakit diabetes meningkat setiap tahun. Pada 2006 terdapat 1.5 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes dan keputusan awal NHMS pada 2011 terdapat tiga juta menghidap diabetes," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Kesedaran Diabetes, di sini hari ini.

Katanya peningkatan yang tinggi itu menjadikan Malaysia antara negara tertinggi berhadapan masalah tersebut di Asia dan dunia.

Sehubungan itu beliau meminta golongan yang berusia 20 tahun ke atas menjalani ujian saringan kesihatan bagi membolehkan langkah pencegahan diambil.

Diabetes antara penyakit berbahaya di kebanyakan negara dan sehingga kini terdapay 500 juta penghidap diabetes di dunia, membunuh empat juta pesakit setiap tahun dan membabitkan perbelanjaan rawatan US$378 setahun, katanya.

Rosnah berkata amalan cara hidup yang tidak sihat seperti perokok tegar, kegagalan penjagaan makanan seimbang dan tidak bersukan merupakan faktor penyebab diabetes.

"Kementerian mendapati bahawa 6.2 juta rakyat negara ini kini mengalami lebihan kolestrol, 2.5 juta menghidapi obesiti dan 5.8 juta berhadapan tekanan jiwa," katanya.


(Sumber: Bernama - 29/4/2012 - 1:34PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pelajaran telah membuat beberapa ketetapan dan penyelarasan bagi memastikan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)yang belum ditempatkan dapat diserap di sekolah-sekolah mulai bulan Mei , 2012 ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata seramai 29 daripada 4,859 graduan pendidikan yang berjaya dalam temuduga berfasa yang diadakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) telah diberi penempatan di Pusat Anak Permata Negara sejak 8 April lepas.

"Baki seramai 4,830 graduan pula akan diberi penempatan secara berfasa dengan penempatan Fasa Satu akan dilaksanakan pada 23 Mei ini dengan melibatkan 4,671 graduan.

"Daripada jumlah itu, seramai 4,116 graduan akan ditempatkan di Sekolah Menengah, 439 akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan, 98 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 18 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Muhyiddin berkata baki 159 orang graduan pula akan ditempatkan di Sekolah Menengah dalam Penempatan Fasa Dua pada Julai ini.

Muhyiddin berkata kesemua graduan yang berjaya itu merupakan antara 5,510 graduan IPTA yang mendapat panggilan temuduga daripada SPP mulai Januari lepas.

Daripada jumlah itu, SPP terpaksa menolak 32 graduan kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap, sementara 557 calon dianggap menolak tawaran temuduga apabila tidak hadir temuduga, katanya.

Beliau berkata kesemua mereka merupakan graduan daripada Universiti Utara Malaysia (90 orang), Universiti Sains Malaysia (368), Universiti Teknologi Malaysia (185), Universiti Perguruan Sultan Idris (3,017). Selain itu, Universiti Putra Malaysia (482), Universiti Malaya (308), Universiti Sains Islam Malaysia (54), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (105), Universiti Kebangsaan Malaysia (330), Universiti Teknologi Mara (132), Universiti Islam Antarabangsa (53) dan Universiti Malaysia Sabah (214).

Muhyiddin juga berkata kementerian telah melantik seramai 2,397 graduan IPTA daripada 5,510 graduan tersebut sebagai guru interim bagi memenuhi keperluan guru di Sekolah Menengah.

"Berikutan penempatan ini, perkhidmatan guru interim tersebut akan ditamatkan. Walau bagaimanapun, guru interim yang berjaya temuduga akan ditempatkan dan dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) pada 23 Mei ini berdasarkan keperluan pengisian mengikut opsyen pengajaran di Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT," katanya.

Muhyiddin berkata bagi 2,484 graduan J-QAF Institut Pendidikan Guru yang akan menamatkan pengajian pada Jun ini, mereka akan melalui temuduga pelantikan sebagai PPPS oleh SPP terlebih dahulu sebelum penempatan diuruskan.

Timbalan Perdana Menteri berkata urusan temuduga dan pengambilan graduan dari institusi pengajian tinggi swasta tidak dapat dijalankan pada masa ini kerana kementerian memberi keutamaan kepada graduan IPTA yang mana pengambilan mereka mengikuti bidang pendidikan yang telah dianjurkan oleh kementerian itu lebih awal kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

"Graduan IPG pula diberi keutamaan disebabkan latihan mereka dalam bidang pendidikan adalah tajaan Kementerian Pelajaran," katanya.

Para graduan boleh melayari laman web www.spp.gov.my bagi mengetahui sama ada mereka berjaya atau tidak. Keputusan penempatan akan diumumkan kementerian sedikit masa lagi.

(Sumber: Bernama - 27/4/2012 - 5:37pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Bakal pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan meneruskan pengajian di tingkatan enam atau program matrikulasi bermula Mei ini boleh memohon penangguhan bagi mengikuti PLKN Kumpulan 2 Siri 9/2012.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata bakal pelatih berkenaan bagaimanapun perlu mengisi borang permohonan yang boleh diperolehi di kaunter khidmat pelanggan JLKN atau dimuat turun dari laman web rasmi JKLN www.khidmatnegara.gov.my

Beliau berkata setelah borang tersebut dilengkapkan, ia hendaklah dikepilkan bersama surat tawaran kemasukan ke tingkatan enam atau program matrikulasi sebelum dihantar ke Cawangan Pengecualian dan Penangguhan, Bahagian Pengurusan Pelatih, JLKN.

"Penangguhan sehingga tamat tempoh pengajian akan diberikan kepada pemohon. Bagi mereka yang akan menyambung pengajian selepas tamat tempoh penangguhan tersebut, mereka perlulah mengisi Borang Permohonan Pembaharuan Penangguhan melalui proses yang sama," katanya dalam kenyataannya di Kuala Lumpur.

(Sumber: Bernama - 25/4/2012 - 9:06pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Persidangan Dewan Negara pada Rabu diberitahu bahawa seramai 2,270,002 pengundi baru didaftarkan dari 2008 hingga 2011 dengan kaum Melayu merupakan pemilih baru tertinggi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata daripada jumlah itu, 155,420 pemilih didaftarkan pada 2008, 279,270 pemilih (2009), 826,462 pemilih (2010) dan 1,008,850 pemilih (2011).

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Ng Fook Heng yang meminta Perdana Menteri menyatakan pecahan pengundi baru berdaftar mengikut kaum sejak 2008.

Mengenai pecahan jumlah pendaftaran pemilih mengikut kaum, Liew berkata Melayu merupakan kaum tertinggi mendaftar pada 2008 iaitu seramai 82,309 pemilih (53 peratus) diikuti kaum Cina (29.4 peratus) dan India (8.1 peratus).

Pada 2009, seramai 187,828 pemilih (67.3 peratus) ialah Melayu diikuti Cina (19.8 peratus) dan Bumiputera Sarawak (4.8 peratus) manakala pada 2010, seramai 466,137 pemilih (56.4 peratus) adalah orang Melayu diikuti Cina (27.0 peratus) dan India (6.6 peratus), katanya.

Bagi 2011, seramai 611,498 pemilih (60.6 peratus) ialah Melayu diikuti Cina (22.0 peratus) dan India (6.7 peratus).

Liew berkata statistik Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan Selangor mencatatkan pendaftaran jumlah pengundi baru tertinggi iaitu seramai 165,222 orang diiikuti Johor (124,240 orang), Perak (96,710 orang), Sabah (86,927 orang) dan Kedah (84,704 orang).

Ini diikuti dengan Kelantan seramai 69,344 orang, Pulau Pinang (64,029 orang), Sarawak (63,305 orang), Kuala Lumpur (61,040 orang), Pahang (59,639 orang), Terengganu (45,190 orang), Negeri Sembilan (42,009 orang), Melaka (31,827 orang), Perlis (9,881 orang), Labuan (2,863 orang) dan Putrajaya (1,920 orang).

(Sumber: Bernama - 25/4/2012 - 1:50pm)


Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Kesihatan sedang dalam proses mendapatkan Surat Pekeliling Ikhtisas daripada Kementerian Pelajaran bagi mewajibkan penubuhan Kelab Doktor Muda di semua sekolah rendah.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kementerian juga merancang untuk memperluaskan program itu ke sekolah menengah dan perkara ini telah dirujuk kepada Ketua Pengarah Pelajaran untuk mendapatkan maklum balas.

Rosnah berkata di sini Sabtu, sehingga kini 18 peratus atau 1,392 buah sekolah rendah di seluruh negara telah menubuhkan Kelab Doktor Muda dengan penglibatan 36,000 murid sekolah tahun 4 hingga 6.

Program Doktor Muda merupakan program 'health promoting school' berbentuk pembimbing rakan sebaya mengenai ilmu kesihatan asas yang diperkenalkan sejak tahun 1989. Bermula tahun 2006, Kementerian Pelajaran mengiktiraf program ini sebagai aktiviti kokurikulum dan kini dikenali sebagai Kelab Doktor Muda.

(Sumber: Bernama - 21/4/2012 - 5:49pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran akan mewujudkan satu sistem data yang mengandungi maklumat berhubung keperluan infrastruktur di sekolah di seluruh negara tidak lama lagi untuk mewujudkan suasana kondusif bagi pelajar dan guru.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kementerian akan menggunakan data itu untuk memastikan aset yang dimiliki termasuk bangunan dan infrastruktur di sekolah sentiasa dipelihara (maintenance) dan untuk menilai kekurangan yang dihadapi oleh sekolah.

"Dengan cara ini kita boleh menilai kekurangan di sekolah dan kita akan tahu keadaan di sekolah berkenaan tanpa PIBG perlu mohon (untuk penambahbaikan infrastruktur) kerana data mengenai sekolah itu sudah ada di kementerian.

"Kita juga hendak tentukan ada suasana kondusif di sekolah bukan sahaja untuk kemudahan pelajar, tetapi juga guru. Saya sedia maklum ada sekolah yang bilik gurunya terhad tetapi kita akan perbaiki masalah ini," katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Sabtu.

Muhyiddin berkata apabila perkara itu dipersetujui, Guru Besar dan Pengetua akan diminta menyediakan laporan tahunan dalam bentuk format mengenai keadaan sekolah masing-masing.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 10,000 buah sekolah di seluruh negara dengan 318 daripadanya di Wilayah Persekutuan sahaja.

"Berdasarkan angka itu, dianggarkan terdapat 20,000 bangunan yang merupakan aset kementerian perlu dijaga dan untuk menjaganya perlu ditingkatkan budaya 'maintenance' kerana jika tidak segala aset ini akan merosot," katanya.

Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat awam, beliau berkata satu pelan induk pendidikan nasional yang menggariskan haluan transformasi pendidikan negara secara menyeluruh akan disediakan.

"Pelan induk ini akan menjadi panduan kepada Kementerian Pelajaran untuk mentransformasi pendidikan negara selaras dengan hasrat rakyat untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan yang bertaraf dunia.

"Jadi saya harap anggota masyarakat, khususnya PIBG akan mengambil bahagian, bukan sahaja hadir pada sesi dialog itu, tetapi turut memberi pandangan. Apa sahaja bentuk pandangan, hendak kritik pun tidak apa, asalkan untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Muhyiddin berkata Dialog Pendidikan Nasional adalah satu pendekatan baru yang diambil oleh kerajaan untuk mendengar pandangan daripada rakyat sendiri mengenai bentuk penambahbaikan yang perlu dilaksanakan untuk memantapkan kualiti pendidikan kebangsaan.

(Sumber: Bernama - 21/4/2012 - 4:34PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...