Kebanyakan negeri mencatatkan keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan hari ini dengan beberapa sekolah mencatatkan kelulusan 100 peratus.
Di KUALA LUMPUR, seramai 914 calon SPM 2012 memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 885 pada tahun 2011.
Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus berkata pencapaian calon meningkat dari segi peratusan dan bilangan yang memperoleh keputusan cemerlang A+, A dan A-.
Bagaimanapun, pencapaian keseluruhan sedikit menurun apabila seramai 18,211 calon berjaya memperoleh sijil SPM berbanding 18,545 pada 2011.
"Pencapaian Gred Purata Negeri untuk SPM 2012 ialah 4.71, iaitu penurunan 0.03 berbanding 4.68 pada tahun 2011," katanya.
Katanya pencapaian sekolah pada keseluruhannya menunjukkan peningkatan apabila lima sekolah dalam kategori cemerlang, 28 sekolah dalam kategori baik, 63 sekolah dalam kategori memuaskan dan tiada sekolah dalam kategori berpotensi.
Beliau turut mengumumkan sekolah kategori cemerlang iaitu SM Sains Alam Shah, SM Sains Seri Puteri, SM Sains Selangor, SMA Majlis Agama Islam WPKL dan SMK Aminuddin Baki.
Abdullah berkata 76 calon berkeperluan khas menduduki peperiksaan SPM pada tahun lepas dan daripada jumlah itu seramai sembilan calon berjaya mendapat keputusan cemerlang.
Di KUCHING, seramai 35 orang calon SPM 2012 di Sarawak berjaya mendapat A+ dalam semua mata pelajaran yang mereka duduki, kata Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Abdillah Adam.
Katanya daripada jumlah itu, seorang calon, Ngu Lih Bin dari Sekolah Menengah Bantuan Methodist, Sibu, memperolehi 12A+, iaitu pencapaian terbaik dalam kalangan 38,344 calon negeri yang menduduki peperiksaan itu tahun lepas.
"Sembilan orang calon mendapat 11A+, 18 orang 10A+ dan 7 orang mendapat 9A+ dalam semua mata pelajaran yang mereka duduki," katanya semasa mengumumkan keputusan itu di Pejabat Pelajaran Negeri.
Menurutnya, empat buah sekolah yang mencapai kelulusan 100 peratus ialah SM Sains, Kuching SM Sains Miri, Maktab Rendah Sains Mara Betong dan Maktab Rendah Sains Mara Mukah.
Sarawak turut mengatasi atau menyamai pencapaian peringkat kebangsaan dalam 64 mata pelajaran, katanya.
Di SEREMBAN, Negeri Sembilan menduduki ranking ketiga peringkat kebangsaan selepas Putrajaya dan Kuala Lumpur dalam pencapaian SPM 2012.
Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan Kalsom Khalid berkata Gred Purata Negeri (GPN) bagi SPM 2012 di Negeri Sembilan ialah 4.86 iaitu nilainya bertambah sebanyak 0.04 berbanding 4.82 pada tahun 2011.
Seramai 747 calon berjaya memperoleh pangkat A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diambil dan daripada jumlah itu, 27 calon sekolah kerajaan berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Kalsom berkata SM Sains Tuanku Munawir, Kolej Tunku Kurshiah, SM Agama Persekutuan Labu, SM Sains Rembau, Sekolah Datuk Abdul Razak dan SM Sains Tuanku Ja'afar ialah antara 20 buah sekolah cemerlang dan terbaik di negeri ini.
"Seramai 15,938 orang calon sekolah kerajaan iaitu 90.9 peratus layak mendapat sijil dalam peperiksaan SPM 2012. Ini bermakna terdapat peningkatan berbanding pencapaian tahun 2011 iaitu 90.5 peratus," katanya.
Di KUALA TERENGGANU, seramai 19 daripada 22,274 calon yang menduduki SPM di Terengganu mendapat A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil, kata Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Hashim Mohd Zin.
"Prestasi calon yang mendapat A dalam semua mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan iaitu seramai 513 calon berbanding 408 calon pada tahun lepas.
"Bagi calon berkeperluan khas (CBK) pula, seramai 17 daripada 32 calon berjaya mendapat sijil SPM dan seorang calon mendapat keputusan cemerlang 10A dan 1B," katanya.
Di MELAKA, seramai 409 calon peperiksaan SPM sekolah Kementerian Pelajaran memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki, menurun 19 orang berbanding 428 pelajar pada tahun 2011.
Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Kasim Mohamad berkata daripada jumlah itu seramai 21 pelajar memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+), menurun 19 peratus berbanding 26 orang pada tahun 2011.
"Seorang pelajar memperoleh 11 A+ dan masing-masing 10 pelajar memperoleh 10A+ dan 9A+...GPN turut mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 peratus kepada 5.01 berbanding 4.91 pada tahun 2011," katanya.
Beliau berkata sebanyak 19 buah sekolah Kementerian Pelajaran mencapai keputusan 100 peratus layak sijil dengan bilangan pelajar seramai 12,357 orang.
Secara keseluruhan, Kasim berkata sebanyak 43 sekolah mencatatkan kejayaan pelajar yang memperoleh gred cemerlang A dalam semua mata pelajaran berbanding 51 sekolah pada tahun 2011.
Di JOHOR BAHARU, seramai 58 calon mendapat gred cemerlang tertinggi A+ bagi semua mata pelajaran berbanding 77 orang pada tahun 2011, kata Pengarah Pelajaran Johor Mohd Nor A.Ghani.
Beliau berkata seramai 1,333 calon lagi berjaya mendapat gred A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran berbanding 1,246 orang pada tahun 2011.
"Keseluruhannya, pencapaian calon sekolah kementerian dalam SPM 2012 negeri Johor kekal seperti tahun 2011. Seramai 44,279 orang calon (89.89 peratus) berjaya mendapat sijil SPM berbanding 44,241 orang calon (89.95 peratus) pada tahun 2011," katanya.
Mohd Nor berkata sebanyak 49 buah sekolah di negeri ini berjaya mencapai keputusan 100 peratus calon mendapat sijil manakala GPN meningkat kepada 4.99 mata gred berbanding 5.00 mata gred pada tahun 2011.
Beliau berkata 56 orang calon berkeperluan khas turut berjaya mendapat sijil dengan dua daripada mereka mendapat keputusan cemerlang iaitu Ting Kai Li daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat (8A+2A) manakala Teo Guo Sheng daripada SMK Tinggi Batu Pahat (8A+,1A,1A-).
Di SHAH ALAM Pengarah Pelajaran Selangor Mahmud Karim berkata seramai 2,616 calon berjaya memperoleh kombinasi gred cemerlang bagi semua mata pelajaran.
"Seramai 2,616 atau 3.75 peratus calon daripada 74,747 calon 2012 berjaya memperoleh keputusan kombinasi A+,A dan A-, bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 2,474 calon pada 2011," katanya.
Beliau berkata pada tahun lepas juga hanya sebuah sekolah yang dikategorikan sebagai Sekolah Berpotensi berbanding empat buah sekolah pada tahun sebelumnya di Selangor.
Di TAPAH, Perak, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Muhamat Roli Hassan berkata secara keseluruhannya pencapaian calon di Perak menunjukkan penurunan iaitu 34,949 daripada 39,770 pelajar berjaya memperolehi sijil SPM berbanding 35,033 pada tahun 2011.
Bagaimanapun, beliau berkata sekolah yang mencapai peratus lulus 100 peratus meningkat daripada 37 sekolah pada 2011 kepada 44 buah bagi SPM 2012.
"Seramai 1,183 pelajar pula memperoleh gred cemerlang iaitu A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran yang diambil dengan 41 pelajar meraih gred cemerlang tinggi iaitu A+ dalam semua mata pelajaran yang diduduki," katanya.
Antara sekolah terbaik ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tasik Taiping, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, SM Sains Tapah, SMK Tarcisian Covent Ipoh dan SMK Ave Maria Ipoh.
Di JITRA, Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Lat berkata seramai 31 orang pelajar di Kedah mendapat keputusan A+ dalam semua mata pelajaran, meningkat sebanyak 12 pelajar berbanding tahun sebelumnya seramai 19 orang.
Katanya calon SPM yang cemerlang semua A tahun lepas ialah 690 orang iaitu meningkat sebanyak 132 orang berbanding tahun 2011, 558 orang.
"Peratus calon yang lulus semua mata pelajaran meningkat sebanyak 1.81 peratus iaitu 52.46 peratus (17,115 orang) berbanding tahun 2011, 50.65 peratus," katanya.
Beliau berkata terdapat tiga sekolah yang mendapat 100 peratus dalam semua mata pelajaran iaitu Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Halim dan Sekolah Menengah Agama Sik.
Mansor berkata SM Sains Kubang Pasu merupakan sekolah cemerlang di negeri ini dengan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.51 dengan lima pelajarnya mendapat semua A+, diikuti SMK Sultanah Asma 1.78 dan SM Sultan Abdul Halim 1.79.
KOTA BAHARU, seramai 432 calon peperiksaan SPM sekolah kementerian memperolehi gred cemerlang (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 358 pelajar pada 2011.
Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussain Awang berkata daripada jumlah itu, seramai 15 pelajar memperolehi gred cemerlang tertinggi (A+)berbanding 18 pelajar pada 2011.
"Dua orang pelajar mendapat 11A+, dua orang memperoleh 10 A+ dan tiga orang pelajar memperoleh 9A+ manakala GPN pada 2012 ialah 5.01 berbanding 4.97 pada 2011," katanya.
Katanya sebanyak 21 buah sekolah menengah mencapai kelulusan 100 peratus berbanding 23 buah sekolah pada 2011.
Di KANGAR seramai 74 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding 59 calon pada tahun sebelumnya, kata Pengarah Pelajaran Negeri, Dun Kasa.
Beliau berkata seramai lima calon daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma di sini mendapat semua A+ dalam mata pelajaran yang diambil.
Peratus calon layak mendapat sijil tahun lepas di Perlis sebanyak 90.31 peratus berbanding tahun 2011 sebanyak 90.36 peratus sementara nilai GPS kekal pada kedudukan 5.46 peratus.
Sembilan sekolah yang pelajar mereka mendapat semua A ialah SMK Derma (32 orang), Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (11), SMK Datuk Sheikh Ahmad (10), SMK Agama Perempuan Kangar (8), SMK Perlis (4), SMK Tuanku Lailatul Shahreen (3), SMK Agama Arau, SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah dan SMK Padang Besar Utara masing-masing dua pelajar.
Di BUKIT MERTAJAM seramai 1,061 calon SPM memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding hanya 964 calon pada 2011, kata Pengarah Jabatan Pelajaran Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin.
Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 40 calon memperoleh gred A+ iaitu Cemerlang Tertinggi.
"Pada tahun lepas seramai 21,675 calon hadir menduduki peperiksaan SPM dan daripada jumlah itu seramai 19,053 atau 87.90 peratus layak mendapat sijil selepas lulus mata pelajaran Bahasa Melayu," katanya.
Katanya sebanyak 23 buah sekolah di Pulau Pinang mencapai prestasi 100 peratus iaitu semua calon layak mendapat sijil, antaranya SMJK Jit Sin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, SMK Datuk Onn, SMK Tinggi Bukit Mertajam dan Sekolah Menengah Sains Kepala Batas.
"Pencapaian Gred Purata Negeri juga lebih baik berbanding Gred Purata Nasional iaitu Pulau Pinang mencatatkan 4.87 peratus manakala nasional 5.08," katanya.
Ahmad Tarmizi berkata calon Orang Keperluan Khas iaitu pelajar SMJK Chung Ling, Butterworth, Lim Hongqi, turut mencatatkan keputusan cemerlang apabila memperoleh 3A+, 1A, 2A-,2B+ dan 2B.
DI KOTA KINABALU, seramai 199 calon yang menduduki SPM di Sabah tahun lepas memperoleh A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 187 orang pada tahun 2011.
Pengarah Pelajaran Negeri Sabah Jame Alip berkata bilangan pelajar yang lulus semua mata pelajaran juga bertambah iaitu 17,247 atau 52.43 peratus berbanding 16,848 atau 51.40 pada tahun 2011.
Daripada 33,535 calon sekolah menengah kebangsaan yang menduduki peperiksaan itu, seramai 31,626 atau 94.31 calon berjaya mendapat sijil SPM berbanding 30,827 atau 94.05 peratus pada tahun sebelumnya, katanya.
Jame berkata pencapaian itu menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 0.26 peratus berbanding 2011, dan peratus lulus negeri itu juga mengatasi pencapaian kebangsaan sebanyak 3.21 peratus.
Sepuluh sekolah di Sabah yang mencatatkan pencapaian cemerlang dari segi Gred Purata Sekolah ialah SM Sains Lahad Datu, SM Sains Kota Kinabalu, SM St Micheal Penampang, SM Lok Yuk Likas, Smk Tawau, SMK Agama Inanam, SM St Patrick, Tawau, SMU Islamiah Tawau, SM All Saints Likas dan SM Teknik Keningau.
(Sumber: Bernama - 21/3/13)
Seramai 15,793 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki, peningkatan 0.13 peratus berbanding 15,079 calon pada 2011.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud berkata seramai 13,721 daripada calon itu merupakan calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang meningkat daripada 12,970 calon tahun sebelumnya, dan 2,072 calon lagi ialah calon sekolah bukan KPM, yang mengalami penurunan berbanding 2,109 tahun sebelumnya.
"Di samping itu, seramai 481 calon iaitu 438 calon sekolah KPM dan 43 calon sekolah bukan KPM berjaya memperoleh gred A+ iaitu Cemerlang Tertinggi bagi semua mata pelajaran yang diduduki," katanya semasa mengumumkan Analisis Keputusan SPM 2012 di sini Khamis.
Abd Ghafar berkata seramai 844 calon berkeperluan khas menduduki peperiksaan SPM tahun lalu berbanding 662 calon pada tahun sebelumnya, iaitu pertambahan sebanyak 27.5 peratus.
Beliau berkata daripada jumlah itu tiga calon rabun dan dua calon lain-lain jenis kecacatan (Attention Deficit Disorder dan High Spectrum Autism) mendapat sekurang-kurangnya gred A- (Cemerlang) dalam semua mata pelajaran yang diduduki.
"Kejayaan lima calon berkeperluan khas ini menunjukkan bahawa semua calon, tanpa mengira kekurangan mereka, berpeluang untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM," katanya.
Bagaimanapun katanya, pencapaian keseluruhan calon turun sebanyak 0.04 mata berdasarkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) yang mencatatkan 5.08 mata berbanding 5.04 mata tahun sebelumnya.
Beliau berkata penurunan itu disebabkan bilangan mata pelajaran yang prestasinya menurun melebihi bilangan mata pelajaran yang prestasinya meningkat.
"Penurunan ini tidak begitu signifikan, kerana ia masih di bawah 0.05 mata. Bagaimanapun saya sudah mengarahkan dibuat kajian mengenainya dan penambahbaikan dibuat pada masa akan datang," katanya.
Abd Ghafar berkata berdasarkan GPN juga, pencapaian calon bandar menurun sebanyak 0.16 mata kepada 4.83 mata berbanding 4.67 mata tahun sebelumnya, manakala pencapaian calon luar bandar juga menurun 0.05 mata kepada 5.44 mata berbanding 5.39 mata tahun sebelumnya.
Penurunan pencapaian calon luar bandar yang lebih kecil menyebabkan jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar mengecil kepada 0.61 mata, berbanding 0.72 mata tahun sebelumnya, katanya.
Abd Ghafar berkata berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), prestasi 51 mata pelajaran meningkat, 54 mata pelajaran menurun dan tiga mata pelajaran kekal berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata dua daripada mata pelajaran yang meningkat ialah mata pelajaran teras iaitu Matematik yang meningkat 0.30 mata dan Pendidikan Moral yang meningkat 0.21 mata.
"Prestasi mata pelajaran teras lain iaitu Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Bahasa Inggeris pula menurun. Bagaimanapun seramai 229,009 atau 51.1 peratus calon yang menduduki Bahasa Inggeris (1119) SPM berjaya memperoleh Sijil GCE O-Level," katanya.
Abd Ghafar berkata bagi mata pelajaran elektif, 49 daripada 101 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi termasuk mata pelajaran elektif sains seperti Matematik Tambahan dan Kimia serta Biologi yang mencatat peningkatan signifikan sebanyak 0.33 mata, juga beberapa mata pelajaran elektif teknikal seperti Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Reka Cipta, Teknologi Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
Mata pelajaran Prinsip Perakaunan juga menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 0.10 mata, dan daripada 78,612 calon yang menduduki Prinsip Perakaunan, seramai 48,193 atau 61.3 peratus layak menerima Sijil LCCI daripada Education Development International (EDI), United Kingdom," katanya.
Seramai 472,541 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2012, pertambahan 0.8 peratus berbanding 468,808 calon tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 415,530 merupakan calon sekolah KPM.
Peperiksaan bertulis SPM 2012 dijalankan dari 5 Nov hingga 6 Dis tahun lalu, di 3,590 pusat peperiksaan, melibatkan 30,239 petugas dan 22,930 pemeriksa.
KPM turut menggunakan khidmat pakar pentaksiran dari luar negara termasuk daripada Cambridge International Examinations (CIE), United Kingdom, National Institute for Educational Measurement (Cito), Belanda dan Education Development International (EDI), United Kingdom, bagi memastikan peperiksaan itu mendapat pengiktirafan antarabangsa.
(Sumber: Bernama - 21/3/13)
Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 akan diumumkan pada 21 Mac ini.
Kementerian Pelajaran dalam kenyataan di Putrajaya hari ini berkata, calon-calon SPM boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi pada hari tersebut.
"Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran negeri iaitu tempat mereka mendaftar," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan, calon SPM juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan melalui mySMS dengan menaip SPM diikuti nombor kad pengenalan dan nombor angka giliran dengan setiap nombor itu dijarakkan dan dihantar ke 15888.
Jelasnya, perkhidmatan itu akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi pada hari tersebut dan akan ditamatkan pukul 12 tengah malam 27 Mac ini.
Sebanyak 472,541 calon mendaftar menduduki peperiksaan itu di 3,590 pusat peperiksaan di seluruh negara tahun lalu.
(Sumber: Utusan: 15/3/13: 7:55pm)
Calon-calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM ResultNo.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.
Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh tersebut.
Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada tarikh yang sama pada pukul 12 tengah hari di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.
Tahun lepas 50,602 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 46,817 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,266 calon sekolah swasta dan 2,519 calon persendirian.
(Sumber: Bernama - 01/03/2012 - 5:48pm)
Pencapaian Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tetap unggul apabila kekal cemerlang dalam keputusan PMR 2011.
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Ibrahim Ahmad berkata pencapaian MRSM bertambah baik berbanding dengan pencapaian pada tahun lepas iaitu meningkat dari Gred Purata Maktab (GPM) 1.0922 kepada 1.0615.
"Seramai 5,326 orang pelajar tingkatan tiga dari 39 buah MRSM di seluruh negara telah menduduki peperiksaan ini dan MRSM Gemencheh merupakan MRSM terbaik dengan mencatat GPM 1.0204 manakala MRSM Pasir Tumboh dengan GPM 1.0210 dan MRSM Kuala Kubu Bharu dengan GPM 1.0238," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Jumaat.
Beliau berkata senarai 10 MRSM cemerlang keputusan PMR 2011 antara lain ialah MRSM Pekan dengan GPM 1.0248, MRSM Pasir Salak dengan GPM 1.0313, MRSM Lenggong dengan GPM 1.0341, MRSM Terendak dengan GPM 1.0380, MRSM Gerik dengan GPM 1.0385, MRM Serting dengan GPM 1.0408 dan MRSM Kuala Klawang dengan GPM 1.0428.
Ibrahim berkata kecemerlangan MRSM adalah berpaksikan keterbezaan kurikulum yang ditawarkan dalam usaha melahirkan modal insan yang saintifik, independen, kreatif, amanah dan patriotik (SIKaP) melalui program Ulul Albab.
"Program Ulul Albab merupakan cetusan idea Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh sebagai pendekatan bersepadu untuk melahirkan individu yang 'values driven' bersifat Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik," katanya.
Beliau berkata MARA amat berbangga atas kecemerlangan yang ditunjukkan oleh semua pelajar dan kejayaan cemerlang pada PMR kali ini akan menjadi ukuran kejituan usaha berterusan semua pihak demi memastikan kemantapan sistem pendidikan di MRSM.
(Sumber: Bernama - 23/12/2011 - 6:34pm)
Natasha Mohd Izari, 15, yang memperoleh 8A berkata inisiatif dirinya sendiri yang sentiasa inginkan kecemerlangan dalam setiap perkara membuatkannya beranggapan kelas tuisyen hanya membuang masa dan wang ringgit.
"Belajar di sekolah dan menghadiri kelas tambahan yang disediakan oleh pihak sekolah serta mengulang kaji pelajaran di rumah sudah memadai pada saya," katanya kepada Bernama selepas menerima keputusan PMR di Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas (CBN) di sini, Khamis.
Pendapat Natasha turut dikongsi rakan sekolahnya N Dharshana, 15, yang mendapat 7A bahawa seseorang pelajar perlu fokus di dalam kelas kerana input yang dapat diserap ketika di dalam kelas amat membantu untuk mengulang kaji pelajaran di rumah.
"Dalam menghadapi PMR, saya menjalankan persediaan awal bagi memastikan segala perkara yang perlu dibuat tidak tercicir," katanya.
Namun berlainan pula bagi Nor Atikah Md Aris, 15, yang menurutnya teknik pembelajaran seseorang pelajar itu berlainan termasuk belajar di saat akhir.
"Lain orang lain caranya, belajar di saat akhir tidak menjadi masalah kepada saya, selain itu kelas bimbingan yang diadakan di sekolah dan juga kelas tuisyen yang saya hadiri di luar dalam masa yang sama dapat memperkukuhkan lagi ilmu yang diperoleh," kata pelajar CBN itu yang memperoleh 8A.
Bagi pelajar SMK Wangsa Melawati, Azira Zulaikha, 15, keputusan peperiksaan percubaan yang kurang memuaskan dijadikannya sebagai pembakar semangat untuk berusaha lebih keras.
Pelajar itu yang memperoleh 8A berkata: "Saya beranggapan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan yang mana ia terpulang pada diri sendiri sama ada ingin berusaha ataupun tidak.
Rakan sekolahnya Lee Jie Xie, 15, yang memperoleh 8A berkata diri sendiri memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan seseorang atau sebaliknya.
"Sebagai contoh, sekiranya kita sediakan jadual belajar tetapi kita tidak ikut dan sekiranya ibu bapa menghantar kita ke kelas tuisyen tetapi kita enggan untuk membuka minat untuk belajar, tidak ada gunanya juga," katanya
Adrian Ong Wei Shun, 15, yang memperoleh 7A dari SMK Seksyen 5, Wangsa Maju berkata petua kecemerlangannya dalam PMR adalah dengan membuat banyak latih tubi.
"Latih tubi di rumah adalah perlu bagi memastikan ingatan kita sentiasa segar dengan input yang diperoleh ketika di dalam kelas, jika ini tidak dibuat kemungkinan apa yang diajar akan hilang begitu sahaja," katanya.
(Sumber: Bernama - 22/11/2011 - 7:13pm)
Beliau berkata pencapaian gred A bagi Bahasa Melayu merosot 1.3 peratus berbanding tahun lalu, Bahasa Iban (4.4 peratus) manakala Pendidikan Islam pula menurun 1.7 peratus.
Bagi Bahasa Cina, sekalipun pencapaian gred A meningkat sedikit 0.1 peratus, pencapaian gred B, C dan D menurun, manakala gred E melonjak hampir dua peratus, katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011, di Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Ghafar berkata pencapaian gred A bagi Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris meningkat sebanyak 1.7 peratus dan 0.8 peratus masing-masing.
Calon yang mendapat gred A dalam subjek Matematik juga meningkat kepada 30.2 peratus berbanding 28.9 peratus pada 2010, sementara subjek Sains mencatatkan peningkatan empat peratus, katanya.
Bagi mata pelajaran Sejarah, pencapaian gred A menurun 0.9 peratus kepada 20.4 peratus berbanding 21.3 peratus pada tahun lepas.
Seramai 441,137 pelajar menduduki peperiksaan itu tahun ini dan daripada jumlah tersebut 34,271 mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.
(Sumber: Bernama - 22/12/2011 - 2:46pm)
Seramai 34,271 pelajar daripada 441,137 yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, berbanding 30,863 pada 2010.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata ini merupakan peningkatan 0.75 peratus.
"Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR tahun 2011 dalam 17 mata pelajaran adalah yang terbaik dalam empat tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.71 mata," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011, di sini Khamis.
Katanya kementerian itu berterima kasih kepada guru dan pelajar serta semua pihak yang berkenaan atas usaha mereka membantu meningkatkan GPN tahun ini.
Abd Ghafar berkata bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula menurun daripada 386 orang pada 2010 kepada 346 tahun ini.
Calon yang mendapat minimum D (tidak termasuk semua A) meningkat kepada 272,966 calon (61.88 peratus) berbanding 265,388 calon (60.39 peratus) pada 2010.
Abd Ghafar berkata pencapaian calon luar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran juga meningkat kepada 6,474 calon (4.28 peratus) berbanding 5,825 calon (3.81 peratus) pada tahun lalu, iaitu peningkatan 0.46 peratus.
Begitu juga dengan pencapaian pelajar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran terus meningkat 0.86 peratus, daripada 24,084 pelajar (8.86 peratus) pada 2010 kepada 26,189 pelajar(9.72 peratus) tahun ini.
Calon yang mendapat semua E menunjukkan trend penurunan -0.01 peratus bagi kedua-dua kategori iaitu daripada 249 calon (2010) kepada 216 calon (2011) bagi calon bandar dan daripada 132 calon (2010) kepada 121 calon 2011) bagi calon luar bandar.
"Nilai GPN calon bandar menurun sebanyak 0.04 mata berbanding calon luar bandar sebanyak 0.03 mata. Namun pada keseluruhannya, pencapaian calon bandar adalah lebih baik daripada calon luar bandar," katanya.
WILAYAH PERSEKUTUAN
Di KUALA LUMPUR, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Datuk Khairil Awang berkata keputusan PMR di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh lapan tahun,
Beliau berkata pencapaian calon PMR bagi Wilayah Persekutuan meningkat berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 2.54 berbanding 2.59 pada tahun 2010 dan nilai GPN WP iaitu sebanyak 2.54 mengatasi GPN (2.71) yang juga pencapaian terbaik bagi peperiksaan PMR setakat ini.
Terdapat 22,449 calon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan jumlah yang mendapat A dalam semua mata pelajaran ialah 2,296 calon, meningkat daripada 2,103 pada tahun lepas.
Enam sekolah memperoleh kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah (Sains) Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur, Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya, Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria dan Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
TERENGGANU
Di KUALA TERENGGANU, keputusan peperiksaan itu menyaksikan peningkatan 1.15 peratus berbanding tahun lepas dan daripada 23,630 calon, 1,746 (7.8 peratus) memperolehi dalam semua mata pelajaran.
Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu Hashim Mohd Zin berkata, prestasi Gred Purata Negeri tahun ini meningkat kepada 2.57 berbanding tahun lepas 2.58.
"Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud pula menduduki tangga teratas 26 buah sekolah mencapai prestasi A atau sekolah berpencapaian tinggi (GPS 1.00 - 1.80), berbanding 25 buah tahun lepas," katanya.
NEGERI SEMBILAN
Di SEREMBAN, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan Pkharuddin Ghazali berkata seramai 12,566 calon sekolah kerajaan telah berjaya mencapai tahap penguasaan minimum (mendapat sekurang-kurangnya D) dalam semua mata pelajaran yang diambil.
"Ini merupakan satu peningkatan 1.7 peratus jika dibandingkan dengan pencapaian tahun 2010," katanya.
Pkharuddin berkata bilangan calon sekolah kerajaan yang berjaya mencapai keputusan penuh 9A, 8A atau 7A di negeri itu meningkat 220 orang kepada 1,707 orang calon, berbanding 1,487 pada 2010.
PERAK
Di PERAK, tahun ini juga adalah yang terbaik dalam empat tahun berdasarkan Gred Purata Negeri 2.74 mata.
Timbalan Pengarah Pelajaran Perak Mohd Idris Ramli berkata, daripada 41,015 calon tahun ini, mereka yang berjaya mendapat semua A dalam PMR adalah seramai 3,513 orang berbanding 3,017 orang tahun lepas.
"Semua mata pelajaran menunjukkan kenaikan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) kecuali Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Iban dan Pendidikan Islam," katanya.
PULAU PINANG
Di PULAU PINANG, Pengarah Pelajaran Negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata keputusan pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding 2010 iaitu sebanyak 2,103 orang yang mendapat semua A dalam mata pelajaran diambil
"Gred Purata Negeri pula menunjukkan prestasi positif dengan mencatatkan 2.65 berbanding 2.70 tahun lepas," katanya.
KEDAH
Di ALOR SETAR, keputusan bagi Kedah menunjukkan peningkatan cemerlang apabila 23,697 daripada 35,829 calon mendapat pencapaian tahap minimum bagi semua mata pelajaran manakala peratusan pencapaian calon bandar dan luar bandar menunjukkan jurang yang kecil berbanding tahun lalu iaitu 12.70 peratus berbanding 18.63 peratus tahun lalu.
PERLIS
Di KANGAR, Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa, berkata kelulusan yang dicatatkan tahun ini ialah 63.70 peratus apabila 2,878 calon mencatat pencapaian gred A, B, C dan D berbanding 59.75 peratus tahun lalu manakala 76 calon mendapat 9A, 240 mendapat 8A dan 11 mendapat 7A.
Sebanyak 20 buah sekolah menghasilkan sekurang-kurangnya seorang calon mendapat semua A berbanding 17 buah sekolah tahun lalu.
MELAKA
Di MELAKA, Pengarah Pelajaran Melaka Datuk Mohamad Yusof Osman berkata pada keseluruhannya, pencapaian calon tahun ini dalam 14 mata pelajaran adalah terbaik.
KELANTAN
Di KOTA BAHARU, peratus kelulusan calon dari sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran meningkat 0.98 peratus berbanding tahun lepas.
Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang berkata sebanyak 67.73 peratus daripada 19,962 calon mendapat kelulusan minimum D bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding 66.75 peratus pada tahun lepas.
SABAH
Di SABAH, peratusan kelulusan di negeri itu meningkat kepada 63.06 peratus melibatkan 23,782 calon berbanding 59.14 peratus tahun lepas melibatkan 21,928 calon.
Pengarah Pelajaran Negeri Datuk Dr Muhiddin Yussin berkata jumlah calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 1,025 orang berbanding 870 orang sebelumnya.
SARAWAK
Di KUCHING, calon PMR dari Sarawak mencatat pencapaian yang terbaik bagi negeri itu, dengan kelulusan 68.97 peratus, berbanding empat tahun lepas.
Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam berkata 1,948 calon mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diduduki manakala 26,946 mencapai kelulusan minimum.
PAHANG
Di KUANTAN, Pengarah Pelajaran Pahang Yahya Zainal Abidin berkata daripada 25,658 calon yang mendaftar, 1,782 mendapat semua A manakala 16,340 berjaya menguasai semua mata pelajaran.
"Bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran menurun daripada 0.075 peratus kepada 0.004 peratus pada tahun ini," katanya.
Menurut Yahya keseluruhan pencapaian PMR di Pahang menunjukkan kenaikan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) kecuali Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Pendidikan Islam.
( Sumber: Bernama - 22/12/2011 - 2:45 PM )
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata daripada jumlah itu, 413 calon memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) dengan 50 daripadanya mendapat gred cemerlang dalam kesemua 10 mata pelajaran, 804 mendapat Jayyid Jiddan (sangat baik) dan 1,961 Jayyid (baik) dan selebihnya Maqbul.
Meskipun terdapat penurunan jumlah calon yang memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang), terdapat peningkatan jumlah calon yang mendapat pangkat Jayyid Jiddan iaitu pertambahan sebanyak 196 orang, Jayyid (554 orang) dan Maqbul(259) berbanding 2009, katanya ketika mengumumkan analisis keputusan STAM 2010 di Kementerian Pelajaran di sini pada Isnin.
Abdul Ghafar berkata kesemua calon yang memperoleh sijil layak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan atau ke Universiti Al-Azhar di Mesir.
"Seramai 3,178 calon yang mendapat pangkat Mumtaz hingga Jayyid layak memohon untuk melanjutkan pelajaran Universiti Al-Azhar," katanya.
Sebanyak 10 mata pelajaran ditawarkan kepada calon STAM yang meliputi bidang bahasa, sastera Arab, syariah dan usuludin.
Abdul Ghafar berkata pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam yang meletakkan STAM setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) telah menarik minat lebih ramai calon untuk menduduki peperiksaan itu pada tahun lepas iaitu 6,537 orang berbanding 4,694 calon pada 2009.
"Kita melihat lebih ramai calon tahun ini berjaya mendapat sijil berbanding tahun sebelumnya. Kejayaan mereka membuka lebih ruang dan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan," katanya.
Calon yang tidak berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian untuk sebarang mata pelajaran yang kurang memuaskan.
Mereka diberi peluang untuk mendaftar bagi menduduki semula peperiksaan itu pada 31 Mac ini.
(Sumber: Bernama - 31/1/11 - 12:51PM)
Menurut beliau, cuma yang belum diputuskan ialah bentuk kurikulum mata pelajaran tersebut yang akan digubal dan pendekatannya bagi memastikan ia benar-benar memberi impak berkesan bagi memastikan pelajar menghayati sejarah.
"Sebenarnya, keputusan wajib lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan SPM adalah muktamad. Kita hanya menunggu hasil kajian daripada sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengkaji kurikulum Sejarah dan buku teks Sejarah sekolah menengah.
"Jawatankuasa ini sedang membuat kajian bagi memastikan kurikulum yang baru dan bakal digubal kelak benar-benar memberi impak yang berkesan untuk melahirkan generasi yang menghayati sejarah," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra dengan guru-guru sekolah kebangsaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Tenang hari ini.
Menurut beliau, laporan tersebut perlu diperjelaskan kerana ia boleh disalah ertikan seolah-olah kementerian akan berpatah balik dalam keputusannya untuk mewajibkan mata pelajaran Sejarah kepada pelajar yang mengambil peperiksaan SPM mulai 2013.
Beliau juga berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu dianggotai oleh pakar sejarawan dan pensyarah universiti yang pakar dalam bidang Sejarah.
Kementerian katanya, akan memperkenalkan Sijil Peperiksaan ulangan untuk mata pelajaran Sejarah kepada pelajar yang gagal dalam peperiksaan SPM mulai tahun 2013.
Langkah itu, katanya untuk membolehkan pelajar yang gagal mata pelajaran itu mengambil peperiksaan ulangan sebagaimana mata pelajaran Matematik dan Bahasa Malaysia untuk membolehkan mereka mendapat sijil SPM.
(Sumber: Bernama - 7/1/2011 - 5:50pm)
Pegawai Perhubungan Awam MPM Khawari Idris berkata calon yang mendaftar di sekolah atau institusi boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah atau institusi masing-masing mulai 10 pagi pada hari tersebut.
Calon persendirian individu akan memperolehnya melalui pos, katanya dalam kenyataan akhbar di Kuala Lumpur, Selasa.
Menurutnya calon juga boleh menyemak keputusan ujian mereka melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip MUET dan menghantarnya ke 15888 atau 36363, mulai 12.01 tengah malam Khamis.
Calon juga boleh menyemak keputusan melalui sistem dalam talian dengan melayari laman web MPM di http://ww.mpm.edu.my mulai 9 pagi pada tarikh tersebut, katanya.
Seramai 94,117 orang calon telah menduduki ujian itu di 991 buah pusat ujian seluruh negara, katanya.
Calon yang ingin mengambil semula MUET bagi memperbaiki keputusan MUET Akhir Tahun 2010 boleh membuat pendaftaran untuk MUET Pertengahan Tahun 2011 secara dalam talian melalui www.mesp.gov.my/online mulai Isnin ini.
Tarikh tutup pendaftaran ialah pada 27 Jan ini, katanya.
(Sumber: Bernama - 04/01/11 - 4:05PM)
Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Idris Ramli berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 279 calon memperoleh 9A diikuti 2,083 mendapat 8A dan 655 mencapai 7A.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, keputusan PMR melibatkan kesemua 255 buah sekolah menengah di negeri ini menunjukkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 0.05 peratus berbanding tahun lalu.
"Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh muncul sebagai sekolah terbaik di negeri ini untuk tiga tahun berturut-turut.
"Mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan peratusan lulus tertinggi pula ialah Bahasa Arab iaitu sebanyak 7.27 peratus walaupun ia dianggap sebagai satu subjek yang sukar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman keputusan PMR 2010 di Jabatan Pelajaran Perak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, tujuh buah sekolah telah mencapai kelulusan 100 peratus iaitu STAR, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping dan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Tiga buah sekolah lagi adalah Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tasik, Taiping dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gopeng.
"Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Azlan Shah, Seri Iskandar muncul sebagai sekolah agama terbaik apabila 57 daripada 125 calonnya berjaya memperoleh 9A.
"Bagi kategori sekolah luar bandar, antara sekolah yang mencapai keputusan terbaik ialah SMK Convent Taiping, SMK Tarcisian Convent dan SMK Ave Maria Convent," katanya.
(Sumber: Utusan Online - 24/12/2010)
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, sekolah harian kerajaan juga sebenarnya mampu melahirkan pelajar yang berkualiti dan mempunyai peluang yang sama untuk berjaya.
"Keputusan cemerlang yang ditunjukkan oleh pelajar sekolah harian membuktikan bahawa tahap tenaga pengajar dan pengajaran di sekolah itu juga mempunyai kualiti yang sama dengan sekolah berasrama penuh,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas keputusan PMR 2010 yang merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh empat tahun, beliau berkata, perkembangan tersebut menunjukkan kualiti pendidikan di negara ini bertambah baik.
"Peningkatan jurang yang ditunjukkan antara sekolah bandar dan luar bandar juga merupakan pencapaian yang bagus," jelasnya.
Seramai 30,863 pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran yang mereka duduki.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud dalam kenyataannya semalam, jumlah pelajar yang mendapat semua A meningkat sebanyak 2,675 orang atau 0.65 peratus berbanding 28,188 orang pada tahun lalu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berharap kejayaan para pelajar itu bukan sekadar dari segi akademik tetapi juga menyeluruh sehingga ke soal sahsiah dan disiplin.
"Langkah seterusnya adalah memastikan sahsiah pelajar itu selari dengan akademik mereka.
"Intelektual harus diselaraskan dengan sahsiah, agama dan perpaduan supaya keperibadian pelajar itu lengkap," katanya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan pula berkata, insentif dan pengiktirafan yang diberikan kepada guru telah menjadikan mereka lebih fokus dalam mendidik sekali gus membantu dalam menghasilkan keputusan cemerlang.
"Anugerah seperti guru cemerlang dapat meningkatkan semangat mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam mendidik para pelajar.
"Pada tahun depan tanggungjawab guru makin bertambah dengan pengenalan mata pelajaran baru. Jadi pendekatan baru harus diperkenalkan supaya kecemerlangan pelajar dapat diteruskan," ujarnya.
(Sumber: Utusan Online - 25/12/2010)
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Ibrahim Ahmad berkata daripada 5,068 calon dari 36 buah MRSM, jumlah yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran ialah 3,129 orang iaitu peningkatan sebanyak 2.17 peratus berbanding 59.03 peratus tahun lepas.
"Pencapaian MRSM dalam peperiksaan PMR 2010 adalah cemerlang dan bertambah baik berbanding dengan pencapaian pada tahun lalu iaitu daripada Gred Purata Maktab (GPM) 1.0992 kepada 1.0531," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata MRSM Pasir Tumboh muncul sebagai MRSM cemerlang dengan mendapat peratus tertinggi mengikut pencapaian GPM iaitu 92.20 peratus pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran, diikuti MRSM Pasir Salak (81.2 peratus) dan MRSM Kuala Klawang (79.9 peratus).
Sebanyak 18 buah MRSM menunjukkan peningkatan daripada segi nilai GPM, katanya.
Ibrahim berkata 16 buah MRSM juga menunjukkan peningkatan dalam pencapaian peratusan pelajar yang mendapat semua A yang mana MRSM Besut mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 30.53 peratus.
"Bilangan pelajar MRSM yang mendapat pencapaian mengikut syarat minimum 6A2B (Matematik A, Sains A) ialah seramai 4,438 orang atau 87.57 peratus berbanding 3,498 orang pada tahun lepas," katanya.
Beliau berkata empat mata pelajaran mencatatkan peningkatan peratus pencapaian gred A pada tahun ini iaitu Sains (+3.9 peratus), Bahasa Inggeris (+2.6 peratus), Bahasa Melayu (+2.0 peratus) dan Sejarah (+1.8 peratus).
(Sumber: Bernama - 23/12/2010 - 7:51PM)
TERENGGANU
Terengganu terus unggul sebagai negeri terbaik dalam pencapaian PMR tahun ini apabila mencatat gred purata negeri (GPN) 2.58 berbanding 2.60 tahun sebelumnya.
Pengarah JPN Terengganu, Razali Daud, berkata jumlah calon yang memperolehi A dalam semua mata pelajaran meningkat sebanyak 0.69 peratus kepada 7.81 peratus atau 1,746 pelajar berbanding 7.12 peratus tahun lalu.
KELANTAN
Di KOTA BHARU, Pengarah JPN Kelantan, Hussain Awang berkata seramai 2,023 atau 6.76 peratus calon mencatat keputusan semua A, sekaligus mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.
WILAYAH PERSEKUTUAN
Pencapaian calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun ini adalah yang terbaik berbanding empat tahun lalu dengan jumlah yang gagal dalam semua mata pelajaran semakin menurun.
Pengarah Pelajaran Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Mohd Adenan Deraman berkata daripada 21,612 calon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jumlah yang mendapat A dalam semua mata pelajaran ialah seramai 1,850 orang, merosot sedikit berbanding 1,940 orang tahun lepas.
Bagaimanapun pencapaian minimum calon yang mendapat semua D (termasuk yang memperoleh semua A) meningkat sebanyak 0.07 peratus iaitu 6,363 orang berbanding 6,439 pada tahun lepas manakala bilangan calon yang mendapat semua E menurun daripada 20 orang pada tahun lepas kepada 16 orang pada tahun ini, katanya.
Beliau berkata tiga buah sekolah mengekalkan rekod kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan PMR iaitu Sekolah Menengah (Sains) Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur.
PERAK
Di IPOH, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Mohd Idris Ramli berkata secara keseluruhannya, keputusan peperiksaan PMR di Perak pada tahun ini menunjukkan peningkatan daripada segi kualiti, kuantiti dan gred purata sekolah.
Beliau berkata seramai 27,105 calon atau 64.83 peratus daripada 41,810 calon yang menduduki peperiksaan PMR tahun ini memperoleh keputusan A,B,C dan D dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 3.44 peratus berbanding keputusan PMR tahun lepas, katanya.
Katanya berkata Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) muncul sebagai sekolah terbaik dengan mencatatkan kelulusan 100 peratus dalam PMR dengan 88 pelajarnya mencatatkan keputusan A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
KEDAH
Di ALOR SETAR, pencapaian Gred Purata Negeri bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Kedah meningkat sebanyak 0.021 iaitu 2.857 berbanding 2.878 pada tahun lepas.
Pengarah Pelajaran Negeri Abdullah Saad berkata daripada seramai 35,909 calon seramai 1,981 calon berjaya mendapat semua A sama ada tujuh, lapan atau sembilan mata pelajaran yang diambil berbanding 1,736 orang pada tahun lepas.
Beliau berkata peratus penguasaan tahap minimum dalam semua mata pelajaran juga meningkat iaitu 62.57 peratus berbanding 58.22 peratus pada tahun lepas.
PAHANG
Di KUANTAN, pencapaian calon PMR yang menguasai semua mata pelajaran meningkat 3.6 peratus iaitu seramai 16,478 orang berbanding 15,714 orang pada tahun lepas.
Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang Yahya Zainal Abdidin berkata pencapaian cemerlang yang mendapat semua A pada tahun ini juga meningkat iaitu 1,641 pelajar berbanding 1,367 pelajar pada tahun sebelumnya.
"Bilangan calon yang mendapat semua E bagaimanapun meningkat sedikit daripada 15 orang tahun lepas kepada 18 orang tahun ini, katanya.
KELANTAN
Di KOTA BAHARU, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussain Awang berkata bilangan calon yang memperoleh kecemerlangan semua A iaitu seramai 2,023 orang atau 6.76 peratus meningkat 1.86 peratus daripada tahun lalu iaitu seramai 1,510 calon atau 4.90 peratus.
Hussain berkata peningkatan pencapaian itu merupakan peratus kecemerlangan tertinggi dicatatkan Kelantan dalam tempoh lima tahun. Seramai 36, 953 calon menduduki PMR di Kelantan tahun ini.
JOHOR
Di JOHOR BAHARU, seramai 3,575 calon daripada keseluruhan 53,082 calon PMR di negeri ini mendapat pencapaian cemerlang iaitu semua A dalam kesemua mata pelajaran yang diduduki.
Pengarah Pelajaran Johor Markom Giran berkata secara keseluruhannya prestasi PMR tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun sejak 2007.
"Pencapaian keputusan cemerlang (semua A) meningkat sebanyak 267 orang (0.61 peratus) iaitu daripada 3,308 orang (6.12 peratus) pada tahun lepas kepada 3,575 orang (6.73 peratus), tahun ini," katanya.
PULAU PINANG
Di PULAU PINANG, sebanyak 2,103 calon yang menduduki PMR berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran iaitu pencapaian 9A, 8A dan 7A berbanding sebanyak 1,971 pada tahun lepas.
Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Ibrahim Mohamad berkata jumlah calon yang mendapat 9A dalam semua mata pelajaran adalah seramai 131 orang, 8A sebanyak 1,521 calon manakala pelajar yang memperoleh 7A adalah 450 calon.
Beliau berkata gred purata negeri meningkat kepada 2.70 pada tahun ini berbanding 2.72 pada tahun lepas.
NEGERI SEMBILAN
Di SEREMBAN, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan Abdul Halim Abdul Razak berkata pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR adalah yang terbaik daripada perbandingan tiga tahun.
Beliau berkata pencapaian cemerlang (semua A) calon dalam PMR tahun 2010 meningkat sebanyak 64 orang meningkat 0.62 peratus iaiatu 1,482 orang berbanding 1,418 pada tahun lepas.
PERLIS
Di KANGAR, sebanyak 333 atau 7.41 peratus daripada 4,494 calon PMR di Perlis mencatat A dalam semua mata pelajaran.
Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Abdul Hadi Harun berkata angka itu meningkat sebanyak 51 calon berbanding 282 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran tahun lalu manakala peratus pencapaian tahun lalu sebanyak 6.10 peratus.
Beliau berkata tujuh calon mencatat 7A, 258 orang memperoleh 8A dan 68 orang mendapat 9A.
Tiga buah sekolah mencapai peratus kelulusan 100 peratus dalam semua mata pelajaran iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma dan SMK Dato' Sheikh Ahmad, Arau sama seperti pencapaian tahun lalu.
SELANGOR
SHAH ALAM, seramai 6,907 daripada 75,711 calon PMR di Selangor memperoleh semua A, pencapaian yang terbaik berbanding empat tahun lepas.
Pengarah Pelajaran Selangor Sulaiman Wak berkata tujuh sekolah mencatatkan kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah (SM) Sains Hulu Selangor, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Puteri, SM Sains Kuala Selangor, SBPI Sabak Bernam, Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari dan SMK Agama Simpang Lima.
Sulaiman berkata bilangan calon yang mendapat semua E menurun daripada 73 orang pada tahun lepas kepada 63 orang pada tahun ini, iaitu penurunan sebanyak 0.02 peratus.
SABAH
Di KOTA KINABALU, seramai 734 calon PMR di Sabah memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran berbanding 659 orang tahun lepas.
Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Dr Muhiddin Yussin berkata 44 pelajar mendapat sembilan A, berbanding 19 orang tahun lepas, manakala terdapat pertambahan 46 calon yang memperoleh lapan A berbanding 340 tahun lepas.
Mereka yang mendapat tujuh A pula seramai 304 orang berbanding 300 tahun lepas.
Katanya seramai 20,378 orang daripada 38,741 calon yang menduduki PMR tahun ini lulus semua mata pelajaran berbanding 20,500 daripada 37,794 pelajar tahun lepas.
Dua belas sekolah mencapai kelulusan cemerlang iaitu Sekolah Menengah Sains (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Sains (Lahad Datu), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu.
Turut cemerlang ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Inanam (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Kebangsaan All Saints (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Kebangsaan St Francis Convent (Kota Kinabalu) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Yuk (Likas).
SARAWAK
Di KUCHING, seramai 1,877 calon PMR memperoleh A dalam semua mata pelajaran, peningkatan 0.18 peratus berbanding 1,860 calon pada tahun lepas.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak Mortadza Alop berkata 27 pelajar memperoleh semua A dalam sembilan mata pelajaran manakala 1,147 calon (lapan mata pelajaran) dan 703 calon (tujuh mata pelajaran).
Beliau berkata jumlah calon yang melepasi tahap minium D dalam semua mata pelajaran yang diambil turut meningkat sebanyak 3.07 peratus, iaitu seramai 25,287 calon (65.36 peratus) pada tahun ini berbanding 62.29 peratus pada tahun lepas.
MELAKA
Di MELAKA, Pencapaian Gred Purata Negeri bagi peperiksaan PMR di Melaka meningkat sebanyak 0.02 peratus iaitu 2.65 peratus berbanding 2.67 peratus pada tahun lepas.
Pengarah Pelajaran Melaka Juliah Leman berkata daripada 14,716 orang, pencapaian cemerlang (semua A) calon meningkat sebanyak 63 orang (0.66 peratus) iaitu daripada 1,074 orang (7.56 peratus) pada tahun lepas kepada 1,137 orang tahun ini.
(Sumber: Bernama - 23/12/2010 - 3:03PM ; BHarian 24/12/2010)
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini adalah 2.74 berbanding 2.78 tahun lalu, menunjukkan peningkatan pencapaian pelajar pada tahun ini.
"Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR tahun 2010 dalam 16 mata pelajaran adalah yang terbaik daripada perbandingan empat tahun," katanya semasa membentangkan analisis keputusan PMR 2010 di sini Khamis.
Pada tahun ini, calon yang mendapat semua E menurun kepada 386 orang daripada 397 orang tahun lepas.
Abdul Ghafar berkata bagi calon luar bandar, pencapaian mereka mencatatkan peningkatan daripada segi nilai GPN, pencapaian semua A dan pencapaian melepasi tahap minimum.
Nilai GPN calon luar bandar adalah 2.97 berbanding 2.93 manakala calon bandar mencatat nilai GPN daripada 2.68 kepada 2.65, bermakna jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar semakin rapat, katanya.
Abdul Ghafar berkata pencapaian calon "istimewa" pada tahun ini secara keseluruhannya menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun lepas, walaupun jumlah yang menduduki peperiksaan bertambah daripada 1,188 kepada 1,345 orang.
Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai lima pelajar berjaya mendapat semua A, berbanding tujuh tahun lepas manakala 146 pelajar melepasi tahap minimum berbanding 161 sebelumnya.
Abdul Ghafar berkata enam mata pelajaran menunjukkan kenaikan signifikan dalam Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 2010 berbanding tahun lepas, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup Pertanian.
Bagi mata pelajaran Pendidikan Kesenian yang merupakan tahun kedua diperkenalkan dalam peperiksaan PMR, Bidang Tari menunjukkan pencapaian tertinggi daripada segi peratusan bilangan memperoleh Band 4 (pencapaian tertinggi), diikuti Teater, Muzik dan Seni Visual.
(Sumber: Bernama - 23/12/2010 - 11:49AM)
Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan pada hari Rabu berkata analisis keputusan PMR akan diumumkan pada hari itu di pejabat kementerian di Putrajaya.
Keputusan akan dikeluarkan di sekolah masing-masing pada hari yang sama mulai pukul 10 pagi manakala calon persendirian pula akan mendapat keputusan mereka melalui pos yang akan dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri.
Sejumlah 479,675 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut pada tahun ini dan daripada jumlah itu, seramai 446,896 orang calon adalah daripada sekolah kerajaan.
(Sumber: Bernama - 15/112/2010 - 19:53PM)
Semoga berjaya.
Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Idris Ramli berkata, bilangan murid yang mencatatkan keputusan penuh 5A atau 7A kali ini meningkat seramai 264 orang berbanding 3,937 murid pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 1.21 peratus daripada 8.78 peratus.
"Secara keseluruhannya, seramai 26,610 atau 63.27 peratus calon mencapai tahap penguasaan minimum. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.5 peratus berbanding 61.77 peratus pada 2009.
"Gred Purata Negeri bagi tahun ini meningkat sebanyak 0.05 daripada 2.36 pada tahun lepas kepada 2.31 pada tahun ini," katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR negeri ini di sini hari ini.
Menurut Mohd. Idris, dalam peperiksaan kali ini, sebanyak 701 daripada 842 sekolah kerajaan mencapai peratus menguasai melebihi 40 peratus.
Katanya, antara sekolah dalam bandar yang menunjukkan pencapaian cemerlang ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent, SK Raja Perempuan, SK Marian Convent serta SK Cator Avenue di sini dan SK Convent Kota serta SK Perempuan Treacher Methodist di Taiping.
"Bagi kategori luar bandar pula, sekolah yang cemerlang adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Getah di Taiping, SK Balun Bidai di Kampung Gajah, SK Haji Ramli di Tanjung Piandang, SK Sungai Batang di Selekoh, SK Matang Gelugur, Matang dan SK Chegar Galah di Sauk," katanya.
Tambah beliau, dari segi prestasi mengikut mata pelajaran pula, peratus murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman turun sebanyak 3.66 peratus dan Bahasa Melayu Penulisan sebanyak 0.03 peratus berbanding tahun lepas.
"Di SK pula, peratus kecemerlangan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman meningkat sebanyak 6.49 peratus tetapi Bahasa Melayu Penulisan menurun sebanyak 6.97 peratus.
"Bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK pula, hanya 17.02 peratus murid SK meraih keputusan cemerlang dan sebanyak 20.86 peratus di SJK," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Idris memberitahu, kejayaan yang dicapai itu hasil usaha dan perancangan rapi oleh ibu bapa, murid, guru, pentadbir sekolah, masyarakat serta Kementerian Pelajaran.
Beliau berkata, pelbagai program khas dari Jabatan Pelajaran negeri dan Pejabat Pelajaran daerah telah dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti guru serta memberikan motivasi kepada murid.
Antaranya, pemantauan dan penyeliaan bersepadu untuk meningkatkan motivasi kepada guru dan murid, Program Guru Cemerlang dan mengkelaskan prestasi akademik sekolah mengikut warna, katanya.
DI KUALA LUMPUR, seramai 2,548 calon UPSR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya mencatat keputusan cemerlang semua A.
Bagaimanapun, keputusan itu mencatatkan sedikit penurunan iaitu 10.96 peratus tahun lepas yang mendapat keputusan sama berbanding 10.93 peratus tahun ini.
Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Mohd. Adenan Deraman berkata, jumlah peratus pelajar yang mendapat semua A itu pada tahun ini mewakili 10.93 peratus daripada jumlah calon keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan itu iaitu 23,305 orang.
DI SEREMBAN, seramai 2,324 orang calon negeri ini berjaya mencapai keputusan penuh 5A dan 7A, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus berbanding tahun lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Jamali Salam berkata, pencapaian cemerlang itu juga memperlihatkan peningkatan baik Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 0.01 peratus kepada 2.19, di mana nilainya berkurangan berbanding 2.20 pada tahun lalu.
DI KUANTAN, Pahang mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila keputusan UPSR menunjukkan peningkatan memberangsangkan pada tahun ini.
Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, peningkatan keputusan kali ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 0.6 peratus iaitu kepada 69.02 peratus berbanding 68.39 peratus pada tahun lalu.
"Keputusan pada tahun ini begitu baik iaitu bukan sahaja peningkatan dari segi kuantiti tetapi kualiti secara keseluruhannya,'' katanya.
DI SHAH ALAM, pencapaian keseluruhan calon yang menduduki UPSR mengikut Gred Purata Negeri di Selangor tahun ini meningkat 2.22 peratus berbanding 2.24 peratus tahun lalu.
Pengarah Pelajaran Negeri Selangor, Sulaiman Wak berkata, kejayaan itu turut disumbang oleh dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 4, Bangi dan SK Bukit Jelutong, Shah Alam yang masing-masing 120 muridnya mendapat 5A.
Sebuah lagi sekolah tambahnya,Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Lick Hung, Petaling Perdana, Subang Jaya menyaksikan 115 muridnya mencapat keputusan yang sama.
DI HULU TERENGGANU, Terengganu mencipta sejarahnya tersendiri apabila sekali lagi muncul sebagai negeri terbaik keseluruhan dalam UPSR selama sedekad.
Seramai 3,560 orang daripada 23,147 calon UPSR di negeri itu mendapat semua A (15.4 peratus) dengan menunjukkan peningkatan sebanyak satu peratus berbanding tahun lalu.
Selain itu, daripada jumlah tersebut seramai 2,138 orang (9.2 peratus) mendapat 4A 1B manakala seramai 15,462 (66.8 peratus) mendapat minimum C dalam semua subjek.
DI IPOH, seramai 4,201 murid atau 9.99 peratus daripada 42,057 calon UPSR mencatat prestasi cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran.
Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Idris Ramli berkata, bilangan murid yang mencatatkan keputusan penuh 5A atau 7A kali ini meningkat seramai 264 orang berbanding 3,937 murid pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 1.21 peratus daripada 8.78 peratus.
DI KUCHING, seramai 2,035 daripada 43,265 calon UPSR dari Sarawak berjaya mencatat keputusan cemerlang iaitu mendapat A bagi semua mata pelajaran yang diambil.
Pengarah Pelajaran negeri, Mortadza Alop berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 152 adalah dari sekolah kebangsaan (SK) dan 383 orang pula merupakan calon dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
DI ALOR SETAR, bilangan dan peratus calon UPSR yang memperoleh gred A bagi semua matapelajaran di negeri ini meningkat pada tahun ini dari 3,742 (9.36 peratus) pada 2009 kepada 3,866 (10.0 peratus).
Pengarah Pelajaran negeri, Abdullah Saad berkata, seramai 39,781 murid menduduki UPSR pada tahun ini.
Menurutnya, bilangan dan peratus calon yang berjaya mencapai tahap minimum bagi semua matapelajaran pada tahun ini adalah 24,208 bersamaan dengan 62.60 peratus.
(Sumber: Utusan Malaysia : 12/11/2010)
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata keputusan itu merupakan pencapaian terbaik bagi tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN), indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara.
Gred Purata Nasional (GMP)
"Syukur Alhamdulillah, peratusan calon yang berada di bawah tahap pencapaian minimum (semua D/E atau kombinasi kedua-duanya) telah berkurangan daripada 3.99% kepada 3.39% pada tahun ini", katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR di Putrajaya, Khamis, 11 November, 2010.
Bagaimanapun, kata Abdul Ghafar, peratusan calon yang mendapat minimum gred C menurun 1.37% berbanding tahun lalu.
Seramai 482,334 calon menduduki peperiksaan itu tahun ini.
Abdul Ghafar berkata pencapaian calon luar bandar dan bandar turut meningkat, dan ini telah merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang kepada 0.04%.
"Peningkatan calon dapat dilihat secara keseluruhan melalui nilai GPN yang mengecil iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.05 bagi luar bandar", katanya.
(Sumber: Bernama - 11/11/2010 - 11:11am)
