| 0 comments ]

Seramai 972 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) akan mengikuti latihan perguruan selama 18 bulan di institusi-institusi pengajian tinggi awam pada Disember ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata 2,821 orang lagi akan mengikuti latihan di institusi-institusi pengajian guru (IPG) bagi ambilan Januari 2012.

Guru-guru tersebut merupakan mereka yang layak dilantik semula secara 'contract of service' daripada sejumlah 7,258 orang GSTT yang belum dilantik.

"Bagi yang mengikuti kursus di IPG, mereka yang mempunyai ijazah akan mengikuti latihan 18 bulan dan yang tidak berijazah akan mengikuti latihan 66 bulan iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Selasa.

Beliau berkata kedudukan baki 3,465 orang daripada kumpulan guru tersebut akan ditentukan selepas mereka disahkan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Katanya ada di antara mereka yang masih berpeluang untuk dilantik semula atau dipilih mengikuti latihan perguruan selepas semakan semula ke atas maklumat mereka selesai dijalankan.

"Bagi yang dikenal pasti tidak layak dilantik semula, semakan ke atas rekod mereka dan pengesahan akan dibuat sebelum akhir Ogos 2011.

"Bagi mereka yang dilantik semula, penempatan tidak akan terhad kepada lokasi, sekolah atau opsyen asal," katanya.

Muhyiddin berkata penempatan akan dibuat bagi memenuhi dan menyokong pelaksanaan dasar khususnya dasar baru kementerian seperti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

(Sumber: Bernama - 02/08/11 - 18:25pm)

/span>

Baca Selengkapnya (Read More)...