[Monday, March 01, 2010
|
]
Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan kadar pencen antara 0.6 peratus dan 11.3 peratus kepada 206,585 orang penerima pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Kadar baru itu melibatkan kos tambahan sebanyak RM66.4 juta setahun.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam, ketika mengumumkannya, berkata pembayaran pencen baru itu akan bermula 1 April ini dan merupakan kadar tertinggi dalam sejarah PERKESO.
Menurutnya kenaikan tersebut, yang berkuatkuasa 1 Jan 2008, mengambil kira tahap Indeks Harga Pengguna. "Tunggakan akan dibayar dari tarikh berkuatkuasa mulai 1 Januari 2008 sehingga tarikh kadar bayaran baru ini diluluskan," katanya pada majlis penyampaian pencen Perkeso di Kuala Lumpur.
Dr Subramaniam berkata jumlah tunggakan bayaran pencen ekoran penyelarasan bagi tempoh 1 Januari 2008 hingga 31 Mac 2010 adalah berjumlah RM142.4 juta.
Katanya bilangan penerima seramai 206,585 orang tersebut melibatkan penerima bayaran berkala Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) serta orang berinsurans yang sedang menerima pencen Penakat dan Ilat dari Perkeso pada atau sebelum 31 Dis 2007.
Beliau yakin menerusi penyelarasan kadar pencen baru oleh Perkeso, ia dapat membantu meringankan bebanan penerima pencen Perkeso.
"Dari semasa ke semasa, kajian berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan penyesuaian kadar bayaran pencen dilaksanakan agar penerima faedah tersebut berada pada tahap ekonomi semasa serta dapat menampung kos sara hidup yang meningkat," kata Dr Subramaniam.
Beliau berkata Perkeso sentiasa memainkan peranan aktif dalam menjaga kebajikan pencarumnya menerusi dua skim keselamatan sosial yang ditadbirkan olehnya iaitu Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.
Menerusi kedua-dua skim ini, Perkeso menyediakan faedah bayaran jangka panjang kepada pencarumnya yang menerima faedah hilang upaya kekal berkala dan faedah Pencen Ilat, katanya.
"Bayaran jangka panjang ini disediakan bagi memastikan kebajikan penerima kedua-dua jenis bayaran tersebut sentiasa terpelihara dan terjamin," katanya.
Pada majis tersebut, Dr Subramaniam menyampaikan faedah dan alat pemulihan kepada 25 orang penerima faedah terdiri dari penerima faedah Hilang Upaya Sementara, Hilang Upaya Kekal dan Pencen Penakat yang melibatkan jumlah bayaran sebanyak RM365,000.
(Sumber: Bernama - 1/3/2010 - 17:47pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Thursday, January 21, 2010
|
]
Kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar adalah antara
sembilan kesalahan serius yang akan dikenakan
denda maksimum RM300 dalam Ops Bersepadu sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang bermula dari 8 hingga 22 Februari, 2010.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata dua kesalahan itu dikenal pasti sebagai penyebab kepada kecederaan serius yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kemalangan maut.
Apakah tujuh lagi kesalahan serius lain?.."Tujuh kesalahan serius lain terdiri daripada memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat, menggunakan lorong kecemasan, memandu secara berbahaya dan membawa muatan lebih had," katanya semasa melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2010 di Plaza Tol Sungai Besi dekat sini pada hari Khamis.
Beliau berkata sembilan kesalahan itu dikenal pasti oleh satu 'mini lab' penguatkuasaan yang diadakan baru-baru ini anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros).
"Ini sebagai satu amaran awal kepada orang ramai sebab biasanya bila seseorang itu didapati sabit kesalahan di sisi undang-undang trafik, ada yang kata dia tak tahu langsung tentang kesalahan yang dilakukan. Jadi, saya di sini nak pesan supaya semua mesti tahu sembilan kesalahan serius yang dikenal pasti," katanya.
Sementara itu kempen bersepadu yang bertemakan 'Buckle Up, It Is The Law' dianjurkan hari ini bertujuan memastikan pengguna jalan raya memandu dengan berhati-hati dan sentiasa memakai tali pinggang keledar semasa memandu, terutama pada musim perayaan.
Walaupun undang-undang mengenai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang dikuatkuasakan setahun yang lepas, rakyat Malaysia dilihat masih perlu diingatkan secara berterusan supaya memakai tali keledar itu demi keselamatan mereka.
Sehingga kini, hampir 300 kematian dicatatkan akibat kecuaian pengguna kenderaan tidak memakai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang.
(Sumber: Bernama - 21/1/2010 - 21:57pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Monday, January 18, 2010
|
]
Kementerian Pelajaran tidak teragak- agak untuk menggantung atau membuang pelajar yang didapati mengingkari peraturan pemakaian topi keledar ketika menunggang motosikal di kawasan sekolah.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, tindakan akan diambil sekiranya pelajar terbabit masih ingkar setelah menjalani beberapa sesi kaunseling dan penyelesaian lain termasuk memanggil ibu bapa atau penjaga.
Katanya, sekiranya ia berlaku di luar kawasan sekolah, pihak polis boleh menyaman pelajar berkenaan di atas kapasiti penunggang motosikal dan pihak kementerian bersedia untuk memberi kerjasama.
Beliau berkata, sekolah adalah platform terbaik untuk mendidik pelajar dan bukannya satu medan menghukum bagi setiap kesalahan yang dilakukan.
“Dalam sekolah memang bidang kuasa pihak sekolah. Setiap keputusan akan dibuat berdasarkan Disiplin Pelajar Kaedah 1959 selain melihat betapa serius kesalahan tersebut.
“Kalau tegur pun tidak memberi sebarang kesan maka kita akan ambil tindakan yang sewajarnya.
“Sekiranya mereka masih enggan mematuhi peraturan berkenaan, pihak sekolah boleh menghubungi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Topi Keledar Kanak-Kanak Genting di Sekolah Kebangsaan Nusantara, di sini hari ini.
Program kesedaran pemakaian topi keledar dengan betul itu melibatkan kira-kira 500 murid dari lapan sekolah rendah di sekitar Johor Bahru.
Ia merupakan kempen kelapan anjuran bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Majlis Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Pelajaran, Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya (RSMC) dan Genting Malaysia Berhad.
Turut hadir Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh dan Timbalan Presiden Perkhidmatan Korporat Genting Malaysia Berhad, Kay Prakash.
Menurut Ka Siong lagi, tabiat memakai topi keledar hanya ketika sekatan jalan raya atau terserempak dengan pihak berkuasa perlu dikikis sebelum ia menjadi sebati dalam diri masyarakat.
“Mengikut kajian, memakai topi keledar dengan betul mampu menyelamatkan kira-kira 2,000 daripada 6,000 mangsa kemalangan jalan raya,” katanya.
(Sumber: Utusan - 18/1/2010 - Dalam Negeri)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Sunday, January 17, 2010
|
]
Kementerian Pelajaran mengarahkan pihak sekolah supaya meningkat aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti kokurikulum terutama di luar kawasan sekolah.
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata langkah itu bagi memastikan setiap aktiviti yang dilakukan tidak membahayakan pelajar.
Beliau mengulas mengenai
insiden perahu naga yang karam di pantai Lebuh Macallum di Pulau Pinang, Ahad pagi.
"Kita menggalakkan aktiviti kokurikulum, tetapi aspek keselamatan pelajar terutamanya aktiviti sukan air perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Setakat ini seorang pelajar Jason Ch'ng, 17, dan seorang guru Chin Ai Fang, 28, telah ditemui mati lemas dalam kejadian itu.
Empat lagi pelajar iaitu Brandon Yeoh, 17, Yong Xiang, 16, Koh Yiz Hiang, 17, dan Cheah Zi Jun, 17, belum ditemui.
Mereka adalah antara 18 anggota pasukan pendayung perahu naga Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Ling, Air Itam di sini yang sedang menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini.
Beliau menyampaikan ucapan takziah daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada keluarga mangsa.
(Sumber: Bernama - 17/1/2010 - 21:21pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Sunday, January 17, 2010
|
]
"Semua berlaku dalam sekelip mata...kami semua cemas dan panik dan ada antara kami yang terus tenggelam," kata seorang mangsa terselamat dalam kejadian bot perahu naga terbalik akibat dipukul ombak di Pulau Pinang pada hari Ahad.
Kuah Zi Xu, 17, ketika menceritakan detik kecemasan yang dialaminya, berkata selepas
mendayung selama 45 minit, mereka cuba
membuat pusingan 'U' untuk berpatah balik apabila secara
tiba-tiba bot mereka dipukul ombak tinggi.
"Kerana dipukul ombak, bot kami kemudiannya
terlanggar sebuah tongkang di kawasan perairan itu sebelum
terbalik dan kami semua
terjatuh ke dalam air," katanya yang duduk mendayung pada bahagian belakang bot itu.
Pelajar tersebut adalah antara 12 mangsa yang terselamat dalam peristiwa sedih tragedi itu ketika menjalani latihan di kawasan perairan dekat Lebuh Macallum di sini pada pukul 8.45 pagi tadi.
Katanya, selepas itu ramai di antara mereka terselamat apabila berenang ke arah sebuah bot yang secara kebetulan berada di kawasan berhampiran untuk menyelamatkan diri.
Kuah, yang masih trauma dengan tragedi itu, menyifatkan apa yang berlaku sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.
"Saya macam tidak percaya, saya tak mahu cerita lagi, saya sangat sedih", katanya.
Jurucakap Pasukan Mencari dan Menyelamat, Timbalan Penguasa Bomba, Skein Citbanchong, berkata, setakat ini dua orang, iaitu pelajar Jason Ch'ng 17 dan seorang guru Chin Ai Fang telah ditemui mati lemas.
Empat lagi pelajar Brandon Yeoh, 17, Yong Xiang, 16, Koh Yiz Hiang, 17, dan Cheah Zi Jun, 17 masih belum ditemui.
Mereka adalah antara 18 anggota pasukan pendayung perahu naga Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Ling Air Itam di sini yang sedang menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini.
(Sumber: Bernama - 17/1/2010 - 15:03pm)
Khabarnya, kegiatan acara sukan itu tiada masalah, tetapi isunya kurang keprihatinan tentang aspek pemakaian jaket keselamatan bagi aktiviti di kawasan berair.
"Jaket keselamatan yang ada cukup untuk semua orang tapi hanya 10 hingga 11 orang sahaja memakainya, yang lain enggan. Selalunya kami semua pakai setiap kali latihan," begitu luah Kuah Zi Xun, 17.
(Update: Utusan - 18/1/2010 - Dalam Negeri)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Thursday, January 14, 2010
|
]
Lebih 90 peratus alat pemadam api mudah alih yang terdapat di premis-premis di seluruh negara tidak boleh digunakan untuk memadam api kerana mengalami pelbagai kerosakan.
Kerosakan pada alat keselamatan kebakaran itu turut melibatkan premis-premis milik kerajaan serta pusat beli-belah.
Ketua Unit Komunikasi dan Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Penguasa Kanan Bomba 1, Morni Mamat memberitahu Utusan Malaysia, kerosakan tersebut berpunca daripada kecuaian pemilik premis menyelenggara serta menyimpan peralatan tersebut dengan cermat.
Akibatnya, kata beliau, serbuk kering iaitu sejenis bahan kimia seperti debu di dalam tabung tersebut beku dan tidak boleh digunakan lagi.
Selain itu, kata beliau, ada juga tabung alat keselamatan kebakaran tersebut sudah 'kosong' kerana telah digunakan tetapi tidak diisi semula.
Beliau berkata, lebih dibimbangi ialah sikap ambil mudah terhadap penyelenggaraan peralatan tersebut turut dilakukan oleh pemilik-pemilik restoran iaitu premis yang paling berisiko terdedah dengan kebakaran.
"Kelalaian seumpama itu boleh mengundang padah. Jika kebakaran kecil berlaku di premis mereka alat tersebut tidak mampu memadamkan api.
"Kebakaran akan cepat merebak dan membahayakan keselamatan pelanggan-pelanggan mereka,'' katanya semasa ditemui di pejabat beliau di Putrajaya.
Jelas beliau, peralatan memadam tersebut perlu sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan penyelenggaraannya dilakukan secara berjadual.
"Tabung alat pemadam api mudah alih itu mesti hantar ke balai bomba berhampiran setahun sekali untuk pemeriksaan,'' katanya.
Beliau mendedahkan, daripada pemantauan yang dibuat, lebih 90 peratus pemilik premis cuai menyelenggara dan menjaga peralatan itu menyebabkan ia tidak boleh digunakan pada waktu kecemasan.
Kata Morni, walaupun semakin banyak pemilik premis mematuhi arahan memasang alat keselamatan kebakaran tetapi kesedaran untuk memastikan alat itu berfungsi sangat rendah.
"Terdapat juga premis-premis milik kerajaan yang turut mengabaikan penjagaan peralatan tersebut sehingga dikompaun.
"Kecuaian seperti itu juga berlaku di beberapa pusat beli-belah negara ini, sekali gus mendedahkan kepada orang ramai risiko yang besar jika berlaku kebakaran," katanya.
Beliau juga mengingatkan pemilik premis bahawa tabung alat pemadam api tidak boleh diletakkan di merata-rata tempat bagi mengelakkan kerosakan.
"Dry powder (serbuk kering) di dalamnya boleh membeku jika tabung tersebut diletakkan atas simen atau stor yang berkunci.
"Ada juga yang menggunakan tabung alat pemadam api sebagai penyendal pintu sehingga merosakkan peralatan tersebut,'' katanya.
Sementara itu, Morni menjelaskan, pemasangan alat keselamatan kebakaran telah diwajibkan oleh kerajaan di setiap premis yang mempunyai keluasan minimum 20 x 70 kaki persegi. Kata beliau, peraturan itu termaktub di bawah Akta Peruntukan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.
"Pemilik-pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Bomba yang membawa denda tidak melebihi RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
"Denda tambahan boleh dikenakan sejumlah RM100 setiap hari daripada tarikh amaran sehingga alat pemadam api tersebut dipasang di premis mereka,'' katanya.
Orang ramai boleh membuat aduan jika terdapat premis yang tidak mempunyai alat pemadam keselamatan kebakaran di talian 03-88880964 atau balai-balai bomba berhampiran.
(Sumber: Utusan - 14/1/2010 - Wilayah Kota)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...