[Sunday, April 29, 2012
|
]
Dianggarkan kira-kira dua juta rakyat Malaysia berisiko menghidap diabetes namun tidak menyedarinya kerana tidak membuat pemeriksaan kesihatan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin.
Katanya anggaran itu melibatkan individu dewasa yang masih belum menjalani ujian saringan kesihatan secara tetap dan berkala.
"Hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati pesakit diabetes meningkat setiap tahun. Pada 2006 terdapat 1.5 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes dan keputusan awal NHMS pada 2011 terdapat tiga juta menghidap diabetes," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Kesedaran Diabetes, di sini hari ini.
Katanya peningkatan yang tinggi itu menjadikan Malaysia antara negara tertinggi berhadapan masalah tersebut di Asia dan dunia.
Sehubungan itu beliau meminta golongan yang berusia 20 tahun ke atas menjalani ujian saringan kesihatan bagi membolehkan langkah pencegahan diambil.
Diabetes antara penyakit berbahaya di kebanyakan negara dan sehingga kini terdapay 500 juta penghidap diabetes di dunia, membunuh empat juta pesakit setiap tahun dan membabitkan perbelanjaan rawatan US$378 setahun, katanya.
Rosnah berkata amalan cara hidup yang tidak sihat seperti perokok tegar, kegagalan penjagaan makanan seimbang dan tidak bersukan merupakan faktor penyebab diabetes.
"Kementerian mendapati bahawa 6.2 juta rakyat negara ini kini mengalami lebihan kolestrol, 2.5 juta menghidapi obesiti dan 5.8 juta berhadapan tekanan jiwa," katanya.
(Sumber: Bernama - 29/4/2012 - 1:34PM)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Friday, April 27, 2012
|
]
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pelajaran telah membuat beberapa ketetapan dan penyelarasan bagi memastikan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)yang belum ditempatkan dapat diserap di sekolah-sekolah mulai bulan Mei , 2012 ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata seramai 29 daripada 4,859 graduan pendidikan yang berjaya dalam temuduga berfasa yang diadakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) telah diberi penempatan di Pusat Anak Permata Negara sejak 8 April lepas.
"Baki seramai 4,830 graduan pula akan diberi penempatan secara berfasa dengan penempatan Fasa Satu akan dilaksanakan pada 23 Mei ini dengan melibatkan 4,671 graduan.
"Daripada jumlah itu, seramai 4,116 graduan akan ditempatkan di Sekolah Menengah, 439 akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan, 98 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 18 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Muhyiddin berkata baki 159 orang graduan pula akan ditempatkan di Sekolah Menengah dalam Penempatan Fasa Dua pada Julai ini.
Muhyiddin berkata kesemua graduan yang berjaya itu merupakan antara 5,510 graduan IPTA yang mendapat panggilan temuduga daripada SPP mulai Januari lepas.
Daripada jumlah itu, SPP terpaksa menolak 32 graduan kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap, sementara 557 calon dianggap menolak tawaran temuduga apabila tidak hadir temuduga, katanya.
Beliau berkata kesemua mereka merupakan graduan daripada Universiti Utara Malaysia (90 orang), Universiti Sains Malaysia (368), Universiti Teknologi Malaysia (185), Universiti Perguruan Sultan Idris (3,017). Selain itu, Universiti Putra Malaysia (482), Universiti Malaya (308), Universiti Sains Islam Malaysia (54), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (105), Universiti Kebangsaan Malaysia (330), Universiti Teknologi Mara (132), Universiti Islam Antarabangsa (53) dan Universiti Malaysia Sabah (214).
Muhyiddin juga berkata kementerian telah melantik seramai 2,397 graduan IPTA daripada 5,510 graduan tersebut sebagai guru interim bagi memenuhi keperluan guru di Sekolah Menengah.
"Berikutan penempatan ini, perkhidmatan guru interim tersebut akan ditamatkan. Walau bagaimanapun, guru interim yang berjaya temuduga akan ditempatkan dan dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) pada 23 Mei ini berdasarkan keperluan pengisian mengikut opsyen pengajaran di Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT," katanya.
Muhyiddin berkata bagi 2,484 graduan J-QAF Institut Pendidikan Guru yang akan menamatkan pengajian pada Jun ini, mereka akan melalui temuduga pelantikan sebagai PPPS oleh SPP terlebih dahulu sebelum penempatan diuruskan.
Timbalan Perdana Menteri berkata urusan temuduga dan pengambilan graduan dari institusi pengajian tinggi swasta tidak dapat dijalankan pada masa ini kerana kementerian memberi keutamaan kepada graduan IPTA yang mana pengambilan mereka mengikuti bidang pendidikan yang telah dianjurkan oleh kementerian itu lebih awal kepada Kementerian Pengajian Tinggi.
"Graduan IPG pula diberi keutamaan disebabkan latihan mereka dalam bidang pendidikan adalah tajaan Kementerian Pelajaran," katanya.
Para graduan boleh melayari laman web www.spp.gov.my bagi mengetahui sama ada mereka berjaya atau tidak. Keputusan penempatan akan diumumkan kementerian sedikit masa lagi.
(Sumber: Bernama - 27/4/2012 - 5:37pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Wednesday, April 25, 2012
|
]
Bakal pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan meneruskan pengajian di tingkatan enam atau program matrikulasi bermula Mei ini boleh memohon penangguhan bagi mengikuti PLKN Kumpulan 2 Siri 9/2012.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata bakal pelatih berkenaan bagaimanapun perlu mengisi borang permohonan yang boleh diperolehi di kaunter khidmat pelanggan JLKN atau dimuat turun dari laman web rasmi JKLN www.khidmatnegara.gov.my
Beliau berkata setelah borang tersebut dilengkapkan, ia hendaklah dikepilkan bersama surat tawaran kemasukan ke tingkatan enam atau program matrikulasi sebelum dihantar ke Cawangan Pengecualian dan Penangguhan, Bahagian Pengurusan Pelatih, JLKN.
"Penangguhan sehingga tamat tempoh pengajian akan diberikan kepada pemohon. Bagi mereka yang akan menyambung pengajian selepas tamat tempoh penangguhan tersebut, mereka perlulah mengisi Borang Permohonan Pembaharuan Penangguhan melalui proses yang sama," katanya dalam kenyataannya di Kuala Lumpur.
(Sumber: Bernama - 25/4/2012 - 9:06pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Wednesday, April 25, 2012
|
]
Persidangan Dewan Negara pada Rabu diberitahu bahawa seramai 2,270,002 pengundi baru didaftarkan dari 2008 hingga 2011 dengan kaum Melayu merupakan pemilih baru tertinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata daripada jumlah itu, 155,420 pemilih didaftarkan pada 2008, 279,270 pemilih (2009), 826,462 pemilih (2010) dan 1,008,850 pemilih (2011).
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Ng Fook Heng yang meminta Perdana Menteri menyatakan pecahan pengundi baru berdaftar mengikut kaum sejak 2008.
Mengenai pecahan jumlah pendaftaran pemilih mengikut kaum, Liew berkata Melayu merupakan kaum tertinggi mendaftar pada 2008 iaitu seramai 82,309 pemilih (53 peratus) diikuti kaum Cina (29.4 peratus) dan India (8.1 peratus).
Pada 2009, seramai 187,828 pemilih (67.3 peratus) ialah Melayu diikuti Cina (19.8 peratus) dan Bumiputera Sarawak (4.8 peratus) manakala pada 2010, seramai 466,137 pemilih (56.4 peratus) adalah orang Melayu diikuti Cina (27.0 peratus) dan India (6.6 peratus), katanya.
Bagi 2011, seramai 611,498 pemilih (60.6 peratus) ialah Melayu diikuti Cina (22.0 peratus) dan India (6.7 peratus).
Liew berkata statistik Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan Selangor mencatatkan pendaftaran jumlah pengundi baru tertinggi iaitu seramai 165,222 orang diiikuti Johor (124,240 orang), Perak (96,710 orang), Sabah (86,927 orang) dan Kedah (84,704 orang).
Ini diikuti dengan Kelantan seramai 69,344 orang, Pulau Pinang (64,029 orang), Sarawak (63,305 orang), Kuala Lumpur (61,040 orang), Pahang (59,639 orang), Terengganu (45,190 orang), Negeri Sembilan (42,009 orang), Melaka (31,827 orang), Perlis (9,881 orang), Labuan (2,863 orang) dan Putrajaya (1,920 orang).
(Sumber: Bernama - 25/4/2012 - 1:50pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Saturday, April 21, 2012
|
]
Kementerian Kesihatan sedang dalam proses mendapatkan Surat Pekeliling Ikhtisas daripada Kementerian Pelajaran bagi mewajibkan penubuhan Kelab Doktor Muda di semua sekolah rendah.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kementerian juga merancang untuk memperluaskan program itu ke sekolah menengah dan perkara ini telah dirujuk kepada Ketua Pengarah Pelajaran untuk mendapatkan maklum balas.
Rosnah berkata di sini Sabtu, sehingga kini 18 peratus atau 1,392 buah sekolah rendah di seluruh negara telah menubuhkan Kelab Doktor Muda dengan penglibatan 36,000 murid sekolah tahun 4 hingga 6.
Program Doktor Muda merupakan program 'health promoting school' berbentuk pembimbing rakan sebaya mengenai ilmu kesihatan asas yang diperkenalkan sejak tahun 1989. Bermula tahun 2006, Kementerian Pelajaran mengiktiraf program ini sebagai aktiviti kokurikulum dan kini dikenali sebagai Kelab Doktor Muda.
(Sumber: Bernama - 21/4/2012 - 5:49pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Saturday, April 21, 2012
|
]
Kementerian Pelajaran akan mewujudkan satu sistem data yang mengandungi maklumat berhubung keperluan infrastruktur di sekolah di seluruh negara tidak lama lagi untuk mewujudkan suasana kondusif bagi pelajar dan guru.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kementerian akan menggunakan data itu untuk memastikan aset yang dimiliki termasuk bangunan dan infrastruktur di sekolah sentiasa dipelihara (maintenance) dan untuk menilai kekurangan yang dihadapi oleh sekolah.
"Dengan cara ini kita boleh menilai kekurangan di sekolah dan kita akan tahu keadaan di sekolah berkenaan tanpa PIBG perlu mohon (untuk penambahbaikan infrastruktur) kerana data mengenai sekolah itu sudah ada di kementerian.
"Kita juga hendak tentukan ada suasana kondusif di sekolah bukan sahaja untuk kemudahan pelajar, tetapi juga guru. Saya sedia maklum ada sekolah yang bilik gurunya terhad tetapi kita akan perbaiki masalah ini," katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Sabtu.
Muhyiddin berkata apabila perkara itu dipersetujui, Guru Besar dan Pengetua akan diminta menyediakan laporan tahunan dalam bentuk format mengenai keadaan sekolah masing-masing.
Beliau berkata sehingga kini terdapat 10,000 buah sekolah di seluruh negara dengan 318 daripadanya di Wilayah Persekutuan sahaja.
"Berdasarkan angka itu, dianggarkan terdapat 20,000 bangunan yang merupakan aset kementerian perlu dijaga dan untuk menjaganya perlu ditingkatkan budaya 'maintenance' kerana jika tidak segala aset ini akan merosot," katanya.
Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat awam, beliau berkata satu pelan induk pendidikan nasional yang menggariskan haluan transformasi pendidikan negara secara menyeluruh akan disediakan.
"Pelan induk ini akan menjadi panduan kepada Kementerian Pelajaran untuk mentransformasi pendidikan negara selaras dengan hasrat rakyat untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan yang bertaraf dunia.
"Jadi saya harap anggota masyarakat, khususnya PIBG akan mengambil bahagian, bukan sahaja hadir pada sesi dialog itu, tetapi turut memberi pandangan. Apa sahaja bentuk pandangan, hendak kritik pun tidak apa, asalkan untuk kebaikan semua pihak," katanya.
Muhyiddin berkata Dialog Pendidikan Nasional adalah satu pendekatan baru yang diambil oleh kerajaan untuk mendengar pandangan daripada rakyat sendiri mengenai bentuk penambahbaikan yang perlu dilaksanakan untuk memantapkan kualiti pendidikan kebangsaan.
(Sumber: Bernama - 21/4/2012 - 4:34PM)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Thursday, March 01, 2012
|
]
Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 akan diumumkan
Rabu (7 Mac, 2012) depan. Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Khamis berkata calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka di
sekolah masing-masing mulai pukul
12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui
pos.
Calon-calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (
SMS) dengan menaip
STPM ResultNo.Kad Pengenalan dan hantar ke
15888.
Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari
laman web MPM di
http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh tersebut.
Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada tarikh yang sama pada pukul 12 tengah hari di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.
Tahun lepas 50,602 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 46,817 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,266 calon sekolah swasta dan 2,519 calon persendirian.
(Sumber: Bernama - 01/03/2012 - 5:48pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Tuesday, January 31, 2012
|
]
Bahagian Matrikulasi KPM akan membuka permohonan untuk mengemaskini borang permohonan mulai pada 06 Februari 2012 hingga 20 Februari 2012.
Pelajar SPM 2011 yang telah mengisi borang permohonan melalui internet diminta untuk mengemaskini maklumat tambahan melalui laman sesawang http://apps.moe.gov.my/permohonan_matrikulasi/kemaskini
Untuk mengemaskini, pelajar hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan atau nombor angka giliran SPM sahaja.
Talian bantuan Bahagian Matrikulasi 03-8884 4083 / 4036 / 4040 boleh dihubungi dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang (hari bekerja sahaja).
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Saturday, January 21, 2012
|
]
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikan Tan Sri Ismail Adam diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Perdana Menteri berkata skim baru berkenaan mestilah mendapat kepuasan semua pihak sebelum dilaksanakan.
"Kerajaan akan pertimbangkan sebaik-baiknya agar ia memberi kepuasan kepada semua," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama penjawat awam negeri Pahang di sini.
Turut hadir bersama hampir 7,000 penjawat awam itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.
Najib berkata kerajaan amat prihatin terhadap sebarang rasa tidak puas hati dan dakwaan kepincangan sistem baru itu dan bersedia menimbang rayuan yang dibuat dalam menambahbaikan sistem berkenaan.
Perdana Menteri baru-baru ini mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.
Berikutan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan dipengerusikan Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman luas beliau dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.
Najib berkata kerajaan juga bersedia menimbangkan pemberian gaji yang lebih kepada penjawat awam, bagaimanapun ia perlukan dikaitkan dengan peningkatan produktiviti mereka.
"Kerajaan boleh bagi tambahan gaji dan bonus tetapi ia perlu dikaitkan dengan produktiviti yang tinggi, kalau ekonomi menguncup, mana mana nak bagi kenaikan gaji dan bonus?," katanya.
Beliau berkata penjawat awam dilihat sebagai kumpulan yang amat penting dalam pentadbiran negara kerana apa jua dasar dan agenda besar bergantung kepada peranan serta sumbangan mereka.
"Penjawat awam adalah sekumpulan dalam pentadbiran negara, penting kerana apa agenda besar negara yang hendak dibawa kerajaan pada kesudahannya, kesampaiannya, bergantung kepada peranan dan sumbangan penjawat awam di seluruh negara, sama ada di peringkat pusat atau negeri," kata Najib.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang dan akan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan menggunakan strategi baru yang perlu didukung penjawat awam bagi mencapai impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
"Menjelang fajar 2020, kita hendak mencapai sebuah negara maju, saya anggap wawasan yang dibuat (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu impak kepada negara, itulah yang kita sambut ketika itu, dan kurang daripada 10 tahun, kita nak capai negara maju, inilah cabaran kepada kita," katanya.
Najib berkata kerajaan yang ketika ini melaksanakan pelbagai transformasi baru, juga melaksanakan pelbagai strategi baru bagi mencapai hasrat berkenaan.
"Ada kalanya strategi yang digunakan dahulu (pimpinan sebelum ini) baik dan tepat, tapi strategi itu menjadi kekangan (pada masa ini) dalam usaha kita untuk mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi," katanya.
Justeru, Najib berkata pendekatan di bawah kepimpinannya ketika ini adalah menggunakan strategi yang dilihat mampu untuk mencapai kesinambungan dan harapan kepimpinan sebelum ini, dan ia perlulah didukung semua pihak terutamanya penjawat awam.
Dalam ucapannya itu, Najib turut menyentuh berkenaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang menurutnya rakyat dilihat lebih "senang" menerima bantuan sedemikian berbanding bantuan yang tidak dilihat dalam bentuk wang tunai, misalnya pemberian subsidi dan kemudahan prasarana yang dilaksanakan kerajaan.
"Bajet 2012, short term, selagi tak merasa (wang), tak puas hati, jadi kita putuskan beri BR1M. Bila kita tolong (beri) subsidi (kepada barang keperluan), itu (dilihat sebagai) perkara biasa, subsidi bertambah kepada RM22 bilion untuk bantu rakyat bagi tahun ini," katanya.
Najib berkata pemberian BR1M sebenarnya bertujuan membantu golongan rakyat yang susah dan ia terjemahan daripada slogan 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan".
"Kalau kita hendak berjaya dalam abad ke-21 ini, ide kita mestilah lebih baik daripada orang lain bagi mencapai transformasi besar, namun kita mestilah berpijak di bumi nyata.
"Kalau dah terbukti (kepimpinan kerajaan Barisan Nasional), kalau dah proven (rakyat) tak perlu tolak. Apa yang perlu adalah kepada penambahbaikan, (rakyat) janganlah tolak sesuatu yang sudah terbukti (kepimpinan pemerintahan).
"Saya tak kata kita (kerajaan sedia ada) perfect. Kalau tak betul, kita akui dan kita buat penambahbaikan dalam semua perkara," katanya.
(Sumber: Bernama - 21/1/2012 - 2:22PM)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Friday, January 20, 2012
|
]
Semakan Tawaran Ke Tingkatan Empat (4) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Tahun 2012 boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia mulai 20 Januari 2012.
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Monday, January 02, 2012
|
]
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan MyKad baru yang mempunyai ciri-ciri keselamatan terkini secara berperingkat mulai Selasa ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Jariah Mohd Said.
Beliau berkata pengeluaran MyKad baru akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di JPN Putrajaya dan JPN Shah Alam, Selangor, sebelum dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara selepas 15 Feb ini.
Katanya orang ramai digalak menukarkan kepada MyKad baru itu tetapi ia bukan wajib.
"MyKad yang berstruktur baru memiliki reka bentuk dan ciri-ciri keselamatan seperti diperbuat daripada bahan Polikarbonat yang lebih bertahan dan menggunakan cip baru yang lebih bertahan.
"Selain itu, MyKad baru mempunyai "ghost image" yang menggunakan teknologi turisan laser pada permukaan kad bagi mengelakkan pemalsuan berlaku," katanya pada sidang media di sini.
Jariah berkata JPN yakin pengeluaran MyKad baru yang mengikuti piawaian antarabangsa tidak mudah rosak dan ia dapat mengatasi masalah berkaitan kualiti dan ketahanan MyKad termasuk kualiti cip yang sering dibangkitkan akhir-akhir ini.
Beliau berkata MyKad baru telah menambahbaik keseluruhan percetakan keselamatan MyKad dengan tekonologi terkini dan ia telah memperkukuhkan daya lekatan antara lapisan cetakan dengan "overlay" dengan reka bentuk yang telah ditambahbaik.
Jariah berkata cawangan JPN di negeri-negeri lain seperti Kluang dan Ipoh akan mengeluarkan MyKad baru pada 10 Jan, Johor Bahru (14 Jan), Kuantan (15 Jan), Melaka (17 Jan), Kuching dan Kota Bharu (20 Jan), Kuala Terengganu dan Pulau Pinang (29 Jan).
Selain itu, beliau berkata pejabat JPN Alor Setar akan mengeluarkan MyKad baru pada 2 Feb, Miri (6 Feb), Kota Kinabalu dan cawangan-cawangan lain pada 7 Feb serta cawangan di Wilayah Persekutuan pada 15 Feb.
"JPN akan mengambil tempoh masa sehari untuk mengeluarkan MyKad struktur baru di cawangan-cawangan JPN yang dinyatakan.
"Lain -lain cawangan JPN akan mengambil masa 10 hari bekerja di Semenanjung dan maksimum 30 hari di Sabah dan Sarawak," katanya.
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Saturday, December 24, 2011
|
]
Sebanyak 2,214 tempat daripada 7,400 tempat yang ditawarkan bagi kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), disediakan bagi pelajar daripada keluarga miskin dan luar bandar, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata daripada jumlah itu (2,214 tempat), 360 orang daripadanya adalah pelajar yang mendapat 3A 2B manakala 660 orang yang mendapat 4A 1B.
"Jika kita lihat, keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, sebanyak 34,000 pelajar mendapat 8A sedangkan tempat yang ditawarkan untuk kemasukan ke tingkatan empat di SBP ialah 5,500 tempat sahaja.
"Bagi pelajar lepasan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR), kita menyediakan 7,400 tempat bagi kemasukan ke tingkatan satu di SBP dan yang mendapat 5A ialah 46,000 orang. Jadi, memang ada persaingan.
"Oleh kerana kita ada projek untuk membantu pelajar miskin, seperti yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, kita menyediakan 2,214 tempat untuk pelajar miskin. Kita memberikan peluang ini kerana mengambil kira cabaran mereka dari segi tekanan hidup, kekurangan dari segi kemudahan pembelajaran dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 57 pelajar daripada dua rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang, di sini pada Sabtu.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan Kementerian Pelajaran menggubal syarat baru kelayakan minimum kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 3A 2B bagi murid daripada keluarga miskin dan 4A 1B bagi murid luar bandar, mulai tahun depan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran yang lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.
Antara kriteria pemilihan murid ke SBP sebelum ini ialah keputusan 5A dalam UPSR dan aktif dalam kegiatan kokurikulum.
Puad berkata mereka yang dikategorikan sebagai pelajar miskin itu adalah mereka yang mendapat bantuan daripada program e-kasih.
Sementara itu, beliau berkata program pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, hampir selesai apabila Semenanjung mencatatkan 100 peratus, Sabah (95) dan Sarawak (88.3).
Katanya kelewatan yang berlaku di Sarawak berikutan kebanyakan sekolah di kawasan pedalaman di negeri berkenaan tidak mempunyai akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menyebabkan peruntukan bantuan tersebut perlu disalurkan ke akaun bank Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sebelum dihantar ke sekolah-sekolah di pedalaman.
Bagaimanapun, katanya proses pengagihan bantuan tersebut kepada semua pelajar dijangka selesai pada minggu ini.
Mengenai dakwaan terdapat sekolah yang membuat potongan daripada wang bantuan tersebut, Puad berkata arahan telah dibuat supaya pembayaran balik dilakukan kepada pelajar yang dikatakan wang bantuan RM100 itu dipotong sehingga tinggal RM40 sahaja.
(Sumber: Bernama - 24/12/12011 - 6:16pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Friday, December 23, 2011
|
]
Pencapaian Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tetap unggul apabila kekal cemerlang dalam keputusan PMR 2011.
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Ibrahim Ahmad berkata pencapaian MRSM bertambah baik berbanding dengan pencapaian pada tahun lepas iaitu meningkat dari Gred Purata Maktab (GPM) 1.0922 kepada 1.0615.
"Seramai 5,326 orang pelajar tingkatan tiga dari 39 buah MRSM di seluruh negara telah menduduki peperiksaan ini dan MRSM Gemencheh merupakan MRSM terbaik dengan mencatat GPM 1.0204 manakala MRSM Pasir Tumboh dengan GPM 1.0210 dan MRSM Kuala Kubu Bharu dengan GPM 1.0238," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Jumaat.
Beliau berkata senarai 10 MRSM cemerlang keputusan PMR 2011 antara lain ialah MRSM Pekan dengan GPM 1.0248, MRSM Pasir Salak dengan GPM 1.0313, MRSM Lenggong dengan GPM 1.0341, MRSM Terendak dengan GPM 1.0380, MRSM Gerik dengan GPM 1.0385, MRM Serting dengan GPM 1.0408 dan MRSM Kuala Klawang dengan GPM 1.0428.
Ibrahim berkata kecemerlangan MRSM adalah berpaksikan keterbezaan kurikulum yang ditawarkan dalam usaha melahirkan modal insan yang saintifik, independen, kreatif, amanah dan patriotik (SIKaP) melalui program Ulul Albab.
"Program Ulul Albab merupakan cetusan idea Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh sebagai pendekatan bersepadu untuk melahirkan individu yang 'values driven' bersifat Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik," katanya.
Beliau berkata MARA amat berbangga atas kecemerlangan yang ditunjukkan oleh semua pelajar dan kejayaan cemerlang pada PMR kali ini akan menjadi ukuran kejituan usaha berterusan semua pihak demi memastikan kemantapan sistem pendidikan di MRSM.
(Sumber: Bernama - 23/12/2011 - 6:34pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...