| 0 comments ]

Seramai 48,327 calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh keputusan cemerlang semua A, meningkat 10.02% daripada 9.51% tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata keputusan itu merupakan pencapaian terbaik bagi tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN), indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara.

Gred Purata Nasional (GMP)

"Syukur Alhamdulillah, peratusan calon yang berada di bawah tahap pencapaian minimum (semua D/E atau kombinasi kedua-duanya) telah berkurangan daripada 3.99% kepada 3.39% pada tahun ini", katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR di Putrajaya, Khamis, 11 November, 2010.

Bagaimanapun, kata Abdul Ghafar, peratusan calon yang mendapat minimum gred C menurun 1.37% berbanding tahun lalu.

Seramai 482,334 calon menduduki peperiksaan itu tahun ini.

Pencapaian Luar Bandar - Bandar

Abdul Ghafar berkata pencapaian calon luar bandar dan bandar turut meningkat, dan ini telah merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang kepada 0.04%.

"Peningkatan calon dapat dilihat secara keseluruhan melalui nilai GPN yang mengecil iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.05 bagi luar bandar", katanya.

Abdul Ghafar berkata bilangan calon istimewa yang menduduki peperiksaan itu tahun ini bertambah 184 orang dan terdapat peningkatan 1.97% bagi calon yang mendapat pencapaian baik.

Dari segi prestasi matapelajaran, bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), peratusan calon yang mendapat gred A bagi mata pelajaran Matematik meningkat 1.9% berbanding tahun sebelumnya, manakala mata pelajaran Sains yang meningkat 1.7% berbanding 2009.

Terdapat peningkatan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman di SK yang memperolehi gred A iaitu sebanyak 4.5%, manakala prestasi Bahasa Melayu Penulisan menurun 8.9% berbanding tahun sebelumnya.

Abdul Ghafar berkata, analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris SK dan SJK dibuat berasingan kerana waktu pembelajaran dan cakupan kandungannya adalah berbeza.

Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP)

Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK dan SJK pula menunjukkan peningkatan pada Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu masing-masing sebanyak 2.74% pada tahun ini (2.79 tahun lalu) dan 2.69% (2.80).

GPMP adalah indeks yang digunakan untuk menunjukkan prestasi mata pelajaran iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

Ujian Aptitud Tahun Enam

Abdul Ghafar berkata, tahun ini merupakan tahun kedua Ujian Aptitud atau potensi diri membabitkan pelajar Tahun Enam dilaksanakan yang keputusannya turut diambilkira sebagai satu daripada syarat pemilihan ke sekolah berasrama penuh (SBP), selain keputusan UPSR dan maklumat latar belakang calon.

Ujian itu berdasarkan dua kemahiran iaitu berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan.

Abdul Ghafar berkata, keputusan ujian itu pada tahun ini menunjukkan peningkatan mendadak kecenderungan pelajar terhadap bidang sosial dan budaya serta sukan berbanding bidang teknik dan vokasional, dan akademik pada tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu bukan satu ukuran pencapaian kerana kecenderungan itu mungkin boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber.

"Ia hanya sebagai satu petunjuk, ia tidak mutlak. Kita akan lihat apa sebabnya dan kenapa berlaku kurangnya kecenderungan pelajar terhadap bidang akademik serta teknik dan vokasional," katanya.

Abdul Ghafar berkata, ujian itu telah berjaya mengumpul maklumat tentang minat, potensi dan kecenderungan pelajar pada akhir tahun persekolahan sekolah rendah di peringkat nasional yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dalam membentuk modal insan yang berkualiti pada masa hadapan.

(Sumber: Bernama - 11/11/2010 - 11:11am)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment