| 1 comments ]

Lebih 90 peratus alat pemadam api mudah alih yang terdapat di premis-premis di seluruh negara tidak boleh digunakan untuk memadam api kerana mengalami pelbagai kerosakan.

Kerosakan pada alat keselamatan kebakaran itu turut melibatkan premis-premis milik kerajaan serta pusat beli-belah.

Ketua Unit Komunikasi dan Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Penguasa Kanan Bomba 1, Morni Mamat memberitahu Utusan Malaysia, kerosakan tersebut berpunca daripada kecuaian pemilik premis menyelenggara serta menyimpan peralatan tersebut dengan cermat.

Akibatnya, kata beliau, serbuk kering iaitu sejenis bahan kimia seperti debu di dalam tabung tersebut beku dan tidak boleh digunakan lagi.

Selain itu, kata beliau, ada juga tabung alat keselamatan kebakaran tersebut sudah 'kosong' kerana telah digunakan tetapi tidak diisi semula.

Beliau berkata, lebih dibimbangi ialah sikap ambil mudah terhadap penyelenggaraan peralatan tersebut turut dilakukan oleh pemilik-pemilik restoran iaitu premis yang paling berisiko terdedah dengan kebakaran.

"Kelalaian seumpama itu boleh mengundang padah. Jika kebakaran kecil berlaku di premis mereka alat tersebut tidak mampu memadamkan api.

"Kebakaran akan cepat merebak dan membahayakan keselamatan pelanggan-pelanggan mereka,'' katanya semasa ditemui di pejabat beliau di Putrajaya.

Jelas beliau, peralatan memadam tersebut perlu sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan penyelenggaraannya dilakukan secara berjadual.

"Tabung alat pemadam api mudah alih itu mesti hantar ke balai bomba berhampiran setahun sekali untuk pemeriksaan,'' katanya.

Beliau mendedahkan, daripada pemantauan yang dibuat, lebih 90 peratus pemilik premis cuai menyelenggara dan menjaga peralatan itu menyebabkan ia tidak boleh digunakan pada waktu kecemasan.

Kata Morni, walaupun semakin banyak pemilik premis mematuhi arahan memasang alat keselamatan kebakaran tetapi kesedaran untuk memastikan alat itu berfungsi sangat rendah.

"Terdapat juga premis-premis milik kerajaan yang turut mengabaikan penjagaan peralatan tersebut sehingga dikompaun.

"Kecuaian seperti itu juga berlaku di beberapa pusat beli-belah negara ini, sekali gus mendedahkan kepada orang ramai risiko yang besar jika berlaku kebakaran," katanya.

Beliau juga mengingatkan pemilik premis bahawa tabung alat pemadam api tidak boleh diletakkan di merata-rata tempat bagi mengelakkan kerosakan.

"Dry powder (serbuk kering) di dalamnya boleh membeku jika tabung tersebut diletakkan atas simen atau stor yang berkunci.

"Ada juga yang menggunakan tabung alat pemadam api sebagai penyendal pintu sehingga merosakkan peralatan tersebut,'' katanya.

Sementara itu, Morni menjelaskan, pemasangan alat keselamatan kebakaran telah diwajibkan oleh kerajaan di setiap premis yang mempunyai keluasan minimum 20 x 70 kaki persegi. Kata beliau, peraturan itu termaktub di bawah Akta Peruntukan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

"Pemilik-pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Bomba yang membawa denda tidak melebihi RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Denda tambahan boleh dikenakan sejumlah RM100 setiap hari daripada tarikh amaran sehingga alat pemadam api tersebut dipasang di premis mereka,'' katanya.

Orang ramai boleh membuat aduan jika terdapat premis yang tidak mempunyai alat pemadam keselamatan kebakaran di talian 03-88880964 atau balai-balai bomba berhampiran.

(Sumber: Utusan - 14/1/2010 - Wilayah Kota)

Related Posts by Categories



1 comments

Bangchik and Kakdah said... @ 7:30 AM

Kos selenggara alat pemadam api mahal jugak... cecah angka ribu. Kalau guna alarm system lagi mahal.... tu ramai buat ghalit!

Post a Comment