Showing posts with label Human Resources. Show all posts
Showing posts with label Human Resources. Show all posts
| 0 comments ]

Kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900 sebulan (RM4.33 sejam), manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan (RM3.85 sejam), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata gaji minimum itu akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali perkhidmatan domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya.

"Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan," katanya semasa berucap pada majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta di Putrajaya, Isnin.

Pengumuman itu juga sempena sambutan Hari Pekerja yang akan disambut Selasa dan sebagai hadiah istimewa daripada kerajaan persekutuan kepada seluruh warga pekerja.

Najib berkata kerajaan turut menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya penetapan gaji minimum itu tidak membebankan majikan dan tidak merugikan para pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.

Bagaimanapun, katanya untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil membuat persediaan, tempoh kuat kuasa bagi kategori itu ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.

Perdana Menteri berkata pengecualian 12 bulan itu tidak meliputi kepada firma profesional seperti klinik-klinik pergigian dan perubatan; firma guaman; firma arkitek; firma juru perunding dan sebagainya; walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja lima atau kurang; mereka perlu mematuhi gaji minimum ini dalam masa enam bulan.

"Pemberian tempoh masa yang mencukupi ini adalah supaya majikan dapat membuat persediaan secukupnya bagi menstrukturkan semula gaji pekerja dan operasi perniagaan masing-masing.

"Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan," katanya.

Jelas Najib lagi kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada RM1,200 hingga RM1,500.

Namun untuk permulaan, katanya sebagaimana syor Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.

"Sekiranya gaji minimum ditetapkan melebihi tahap RM900 (yakni gaji pokok) kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing," katanya.

"Jika perkara itu berlaku, industri tidak boleh beroperasi sewajarnya dan dikhuatiri ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan. Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, kerana ini akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan nasional," katanya.

Najib berkata kerajaan juga sedar, bahawa menetapkan kadar gaji minimum yang berbeza antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mendedahkan kepada tohmahan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan pekerja di negeri dan wilayah tersebut.

"Perbezaan gaji antara dua wilayah ini terpaksa dilakukan kerana perbezaan struktur upah dan kos sara hidup yang ketara," katanya.

Namun begitu, beliau berkata untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, kerajaan berharap kadar gaji minimum bagi negeri-negeri tersebut dapat diselaraskan dengan kadar gaji minimum di Semenanjung Malaysia.

Kadar gaji minimum yang ditetapkan tersebut tidak akan kekal statik, ia akan dikaji semula dari semasa ke semasa sejajar dengan kemampuan, produktiviti dan daya saing negara, jelas beliau.

Pada pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan MPGN sebagai platform utama dalam penetapan upah, termasuk menentukan kadar dan mekanisme pelaksanaan gaji minimum di negara ini.

Susulan itu, Kementerian Sumber Manusia bersama rakan tripartite telah merangka dan menggubal perundangan yang berkaitan.

Hasilnya, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen pada sesi Jun/Julai 2011, kemudian akta diwartakan pada 15 Sept dan seterusnya, MPGN telah ditubuhkan pada 28 Sept.

(Sumber: Bernama - 30/4/2012 - 9:37pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Sumber Manusia akan menggiatkan kempen bagi mempromosikan program latihan kerja, terutamanya kepada siswazah dan para belia menganggur, kata Menteri berkenaan Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata program latihan dan penempatan itu menawarkan elaun bulanan maksimum RM800 termasuk latihan percuma bagi enam bulan dan jaminan pekerjaan, satu tawaran peluang tiga dalam satu diadakan khusus bagi dua kumpulan berkenaan dan mereka yang diberhentikan kerja.

Dr S. Subramaniam kini sedang menjelajah seluruh negara bagi mempromosikan tawaran pekerjaan dan beliau akan berada di Sungai Petani, Kedah pada 4 Jun.

Kementerian Sumber Manusia mengadakan program berkenaan di Perak dan Selangor dua minggu lepas dan mendapat sambutan menggalakkan di Ipoh tetapi di Shah Alam, sambutan agak dingin kemungkinan kerana kurang minat atau kesedaran, katanya.

"Program ini adalah usaha kerajaan untuk menangani masalah pengangguran di negara ini dan melahirkan tenaga kerja mahir. Kami mahu mendekati setiap lapisan masyarakat," kata Subramaniam.

Program di Sungai Petani, yang akan diadakan di Institut Kemahiran Mara, Jalan Badlishah antara pukul 8 pagi dan 1 tengah hari, akan dihadiri sendiri Menteri Sumber Manusia yang akan menemui pemohon kerja dan orang ramai.

Bagi menggalakkan lebih ramai orang yang tidak bekerja menyertai program itu, Subramaniam berkata kementerian akan menggandakan kempen publisiti menerusi media dan badan bukan kerajaan.

Beliau berkata satu program pembangunan bagi belia-belia India akan diadakan di semua negeri dan di Sungai Petani, program itu akan diadakan di Pusat Pembangunan Kemahiran Industri dan Pengurusan Kedah (Kismec), Jalan PKNK, 1/1, Taman Ria Jaya antara pukul 4 dan 7 petang.

Subramaniam, yang juga Setiausaha Agung MIC, berkata beliau-belia India terutamanya yang mengganggur hendaklah merebut peluang itu kerana latihan akan diberikan kepada mereka di institut-institut latihan industri.

(Sumber: 31/5/2009 - 13:44pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan hari ini bersetuju untuk mewajibkan majikan yang mempunyai pembantu rumah warga asing memberi cuti sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah mereka, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata perkara itu akan termaktub di dalam kontrak pekerjaan yang akan ditandatangani di antara majikan, pekerja dan agensi yang membawa masuk pekerja asing itu.

"Kementerian akan mewajibkan semua pembantu rumah mempunyai kontrak pekerjaan (yang menyatakan) perkara berkenaan gaji, nama majikan, tempat mereka bekerja serta mewajibkan mereka diberi satu hari cuti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan kesatuan pekerja dan badan bukan kerajaan (NGO) mengenai isu pekerja asing di Kuala Lumpur.

Subramaniam berkata terpulang kepada majikan dan pembantu rumah untuk menentukan hari cuti, dan jika majikan dan pekerja bersetuju untuk tidak memberi hari cuti, ia akan diganti dengan pembayaran gaji.

Sehubungan itu, katanya kementerian akan meminda Akta Pekerjaan untuk memasukkan perkara berkenaan bagi menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja asing di dalam sektor pembantu rumah.

"Sektor-sektor lain telah diliputi oleh Akta Pekerjaan ini kecuali pembantu rumah. Kini ia sedang dalam peringkat penggubalan peraturan, selepas itu kita akan dapatkan persetujuan daripada Pejabat Peguam Negara sebelum ia diluluskan dan dilaksanakan mungkin dalam tahun ini juga," katanya.

Sementara itu, beliau juga akan mewajibkan semua majikan yang menggaji pekerja asing supaya mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dengan kerjasama Jabatan Imigresen.

Subramaniam berkata dengan langkah ini, diharapkan kejadian membabitkan keselamatan dan kebajikan pembantu rumah warga asing seperti penderaan tidak akan berulang lagi.

"Kita juga akan memberi satu buku garis panduan kepada pembantu rumah warga asing yang mempunyai nombor telefon agensi berkaitan dan kedutaan yang akan memudahkan mereka mendapatkan bantuan daripada kerajaan jika mengalami sebarang masalah," katanya.

Katanya jika majikan ingkar atau melanggar peraturan dalam kontrak pekerjaan itu, mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah seperti denda tidak melebihi RM10,000.

(Sumber: Bernama - 16/06/2009 - 19:33pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...