Showing posts with label Economy. Show all posts
Showing posts with label Economy. Show all posts
| 0 comments ]

INTIPATI BAJET 2012

Jumlah bajet - RM232.8 bilion
Perbelanjaan Operasi - RM181.6 bilion
Perbelanjaan Pembangunan - RM51.2 bilion

Tahun lalu, perkembangan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia adalah paling kukuh di Asia bagi enam bulan pertama tahun ini dan mencecah RM21.2 bilion.


Kerajaan jangka pertumbuhan ekonomi terus mantap - antara 5 dan 5.5 peratus tahun ini. Pertumbuhan bagi 2012 dijangkakan antara 5 dan 6 peratus, meskipun ekonomi global diramalkan perlahan.

Defisit bajet buat kali ke-15 akan diturunkan kepada 4.7 peratus daripada GDP 2012.
Ini lebih kecil daripada 5.4% bagi 2011. Defisit berjaya dikurangkan daripada 7.4 peratus pada 2009 kepada 5.6 peratus pada 2010.

Peruntukan rancakkan pembangunan

Kerajaan memperuntukan RM978 juta untuk merancakkkan pembangunan untuk lima projek, iaitu lebuh raya JB-Nusa Jaya, muzium warisan Taiping, projek agropolitan Besut, projek tandan sawit Lahad Datu dan bekalan air Samalaju.

Kereta hibrid
Pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais bagi mengimport kereta hibrid serta elektrik akan dilanjutkan sehingga 2013.

RM1 bilion untuk sekolah
Kerajaan akan wujudkan RM1 bilion untuk penambahkaikan sekolah.
RM500 juta diberikan pada sekolah kebangsaan.

Manakala M100 juta diperuntukkan masing-masing kepada sekolah jenis kebangsaan (Cina), sekolah jenis kebangsaan (Tamil), sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara.

FELDA Global Ventures Holdings
Peneroka Felda akan terima “durian runtuh”. Jumlahnya akan diumumkan sebelum Felda GVH disenarai di Bursa Malaysia sebelum pertengahan 2012.

Penyenaraian dilakukan dalam dalam usaha mengumpul dana menjadikan Felda syarikat konglomerat global.

RM400 juta diperuntuk untuk naik taraf infrastuktur bekalan air di kawasan Felda terpilih.

Yuran sekolah
Kerajaan memansuhkan yuran pendidikan rendah dan menengah di semua sekolah kerajaan.

Ini termasuk pemansuhan bayaran bagi kegiatan ko-kurikulum, insurans takaful dan sebagainya. Semua ini bermula penggal sekolah tahun depan.

Pencen
600,000 pesara kerajaan akan menikmati kenaikan pencen tahunan sebanyak 2 peratus.

Kakitangan awam
Kerajaan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimun lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus.

Kakitangan awam akan mendapat kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320

Umur wajib bersara dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Polis
RM200 juta peruntukan khas akan diberikan untuk perbelanjaan pembangunan polis, meliputi projek perumahan anggota, penambahbaikan balai dan pusat latihan.

Keluarga tentera
RM3,000 akan diberi secara one off kepada angggota keluarga, duda dan balu anggota berjumlah 62,000 orang.

Subsidi
Beras - Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan 60 sen.

Gula - bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen.

Minyak masak - harga RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50

Tepung - harga asal RM1.90, rakyat bayar RM1.35

Skim rumah pertama
Kerajaan cadangkan had maksimum harga rumah Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000.

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia
Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100 ribu isu rumah. Pelabur boleh mohon pinjaman RM5,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun.

Subsidi rumah
Kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000 untuk pembelian Program Rumah Mesra Rakyat.

Mereka yang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usah boleh dapatkan pembiayaan untuk membeli rumah berharga RM65,000 dengan harga RM45,000. RM200 juta diperuntukkan untuk program ini.

Teksi persendirian
Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.

Pengecualian bayaran balik duti eksasis dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih tujuh tahun yang dijual atau tukar milik.

Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian.

Pemberian bantuan RM3,000 bagi melupuskan teksi lama berusia lebih tujuh tahun tetapi kurang 10 tahun. Bagi teksi berusia 10 tahun dan ke bawah, bantuan RM1,00 akan diberikan.

Perlindungan kepada gelandangan
Kerajaan menyediakan pusat khidmat sosial dikenali Anjung Singgah sebagai perlindungan sementara kepada gelandangan sekitar Kuala Lumpur.

Seramai 1,400 orang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 250 dengan Anjung Singgah.

Simpanan persaraan - KWSP
Caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.

Pinjaman TEKUN
Menteri kewangan mencadangkan peruntukan TEKUN ditambah sekali ganda daripada RM120 juta kepada RM300 juta.

Penjawat Awam
Tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM 500 ringgit untuk penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 ringgit kepada pesara kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011.

Meringankan Kos Sara Hidup
Bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit.

Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;

Bantuan persekolahan RM100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara.

Pemberian baucar buku bernilai RM200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

Rancangan Tebatan Banjir
Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis, Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit.

Di Perlis, dua projek RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan.

Di Perak, tiga projek RTB di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah.

Manakala bagi Johor, projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Tabung Haji hari ini mengisytiharkan bonus pendeposit tahunannya sebanyak 5% bagi tahun 2009 dengan anggaran keseluruhan bayaran berjumlah RM1.1 bilion.

"Walaupun 2009 merupakan tahun yang mencabar, Tabung Haji dengan komitmen dan perancangan yang rapi masih mampu mencatat pencapaian kewangan yang boleh dibanggakan," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika mengumumkan bonus itu di sini.

Tabung Haji, yang mengumumkan kadar yang sama pada tahun sebelumnya, telah mengisytiharkan pemberian bonus interim pada kadar 2.25 peratus pada September lepas dengan jumlah bayaran RM465 juta.

"Jika dibuat perbandingan terhadap kadar purata pulangan perbankan komersil untuk simpanan tetap dan tabungan, jelas sekali pemberian bonus Tabung Haji sejak dahulu lagi mempamerkan satu kadar yang amat kompetitif," kata Jamil Khir.

Seramai 5.1 juta pendeposit Tabung Haji akan menikmati bayaran bonus itu mulai Isnin depan 8/2/2010.

Dana pendeposit terkumpul Tabung Haji meningkat pada kadar 12 peratus tahun lalu kepada RM23 bilion daripada RM20.6 bilion tahun 2008.

Tabung Haji memperuntukkan zakat perniagaan sebanyak RM39 juta berbanding RM38 juta pada tahun sebelumnya.

Jamil Khir berkata Tabung Haji mungkin boleh membayar dengan kadar yang lebih baik untuk tahun 2010 berbanding tahun lalu memandangkan senario ekonomi semakin pulih.

Tabung Haji yang pernah membayar bonus setinggi tujuh peratus pada tahun 2007, telah mengambil kira kos tanggungan langsung haji sebanyak RM54 juta bagi musim haji 1430 hijrah yang lalu.

Ia telah mencatatkan pendapatan dan keuntungan selepas zakat masing-masing sebanyak RM1.7 bilion dan RM1.1 bilion, dan kedua-duanya meningkat pada kadar 12 peratus.

(Sumber: Bernama - 3/2/2009 - 16:45pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pos Malaysia Bhd Isnin melancarkan Pos-Automated-Machine (PAM) atau Mesin Automatik Pos, dan Pos-On-Wheel (POW) atau Pejabat Pos Bergerak.

PAM kini boleh didapati di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur manakala POW akan bergerak di lokasi-lokasi terpilih di Kuala Lumpur.

Pada asasnya, PAM merupakan terminal layan diri yang serupa dengan mesin ATM bank tetapi yang pertama seumpamanya yang disepadukan dengan perkhidmatan pos.

"Kedua-dua perkhidmatan ini akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat," kata Pos Malaysia dalam satu kenyataan.

"Dalam tempoh 'suai kenal' ini, masa beroperasi bagi PAM ialah dari pukul 6.00 pagi hingga 11.30 malam. Lama kelamaan perkhidmatan ini akan disediakan 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

"Kami merancang untuk mengadakan 30 unit PAM lagi dalam tahun 2010," kata syarikat itu.

POW menawarkan perkhidmatan yang serupa dengan pejabat pos biasa dan kini boleh mengendalikan transaksi online dengan menggunakan hubungan satelit.

"Kami bercadang mengadakan menambah tujuh unit POW dalam tahun 2010," jelas kenyataan itu.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar, berkata dalam kenyataan itu: "POW akan membolehkan kita memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan (unit bergerak boleh pergi ke beberapa tempat dalam sehari), manakala PAM memberikan lebih kemudahan kerana perkhidmatan itu boleh didapati selepas waktu pejabat".

(Sumber: Bernama - 18/1/2010 - 21:03pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Dua harga petrol berbeza untuk warga negara dan bukan warga negara akan diperkenalkan bermula 1 Mei 2010, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Beliau berkata, kepada warga negara, pelaksanaan harga petrol pula antara lain akan ditentukan berdasarkan kapasiti enjin kenderaan, yang bermakna bukan semua warga negara akan menikmati subsidi yang disediakan.

"Bukan semua warganegara akan mendapat subsidi ini. Subsidi ini sepatutnya lebih kepada golongan berpendapatan rendah," katanya selepas merasmikan identiti korporat baharu bahagian minuman ringan Fraser & Neave Holdings Bhd di Petaling Jaya.

Golongan yang mendapat subsidi, katanya, akan membeli petrol pada harga yang ditetapkan sekarang, manakala mereka yang tidak mendapat subsidi, akan membayar harga sebenar petrol.

"Bagi RON 95, kerajaan kini memberi subsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter. Harga sekarang ialah RM1.80 berbanding harga sebenar iaitu RM2.10.

"Jadi, mereka yang tidak layak mendapat subsidi dan juga bukan warga negara, akan membayar RM2.10 atau lebih," katanya.

Ismail berkata, kerajaan juga mungkin akan mengenakan cukai yang akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan.

Pengumuman lanjut mengenai mekanisme baru itu akan dibuat pada 1 Mei.

“Selain mengekalkan subsidi minyak, kerajaan juga masih mengekalkan subsidi gas, gandum, dan juga gula,” katanya.

Menurut Ismail, walaupun harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen, namun kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak 80 sen.

"Tahun lalu kerajaan memberi subsidi sebanyak 60 sen sekilogram, namun disebabkan kenaikan harga gula dunia yang mendadak sejak Ogos tahun lalu, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM1.00, sebab itu kita naikkan harga," katanya.

Dengan subsidi 80 sen yang diberikan itu, katanya kerajaan akan menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion tahun ini berbanding RM720 juta tahun lalu.

(Sumber: Bernama - 7/1/2010 - 15:53pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

MATTA FAIR 2010 (12-14 MAC 2010 : PWTC, KL)

  • Tarikh : 12 - 14 Mac, 2010.
  • Target : 80,000 Pengunjung.
  • Tempat : Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
  • Booth : 893 buah gerai pameran
  • Istimewa : Setiap pengunjung dapat kad diskaun.

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) mensasarkan ketibaan 80,000 pengunjung pada pameran Matta Fair 2010 yang akan diadakan dari 12 hingga 14 Mac ini.

Pengerusinya Datuk Mohd Khalid Harun berkata jumlah sasaran lebih tinggi itu dibuat berikutan keadaan ekonomi negara yang dilihat semakin pulih ketika ini.

"Pada pameran Matta September lalu, kami menerima kehadiran 70,000 pengunjung dari serata dunia termasuk peserta-peserta luar yang turut mengambil bahagian walaupun tempoh tersebut merupakan waktu getir kerana negara diserang virus H1N1. Kali ini kami yakin mampu mencapai jumlah sasaran lebih tinggi," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari Selasa.

Beliau berkata Matta Fair kali ini akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini dan turut mensasarkan menerima penyertaan dari negara-negara rantau Asia dan Mexico.

Manurutnya 893 gerai pameran akan disediakan dan penyertaan akan mula dibuka mulai Isnin ini hingga 22 Januari nanti.

"Istimewanya kali ini pengunjung akan ditawarkan kad keahlian bagi mendapatkan harga potongan setiap kali penganjuran Matta Fair," katanya.

(Sumber: Bernama - 5/1/2010 - 23:00pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pengusaha kantin sekolah tidak boleh menaikkan harga makanan dan minuman sewenang-wenangnya pada sesi persekolahan 2010 yang akan bermula Isnin ini ekoran kenaikan harga gula 20 sen sekilogram, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata soal kenaikan harga makanan dan minuman yang dijual mereka tidak timbul kerana ia tidak wujud dalam kontrak perjanjian antara pengusaha kantin dan pihak sekolah.

Katanya beliau difahamkan semua harga makanan yang dijual pengusaha kantin perlu dipamerkan, dan ia perlu mematuhi kontrak yang dipersetujui semasa pengusaha kantin itu mengemukakan tender kepada pihak sekolah.

"Saya minta guru besar sekolah kuatkuasakan (harga yang ditetapkan), jangan ada pihak yang ambil kesempatan," katanya dalam satu persidangan media selepas merasmikan forum Pemuda 1Malaysia di Kuala Lumpur, hari Jumaat.

Menurutnya kontrak yang ditandatangani di antara pengusaha dengan pihak sekolah tidak menyatakan bahawa harga makanan atau minuman boleh dinaikkan selepas suatu tempoh masa dan pengusaha kantin juga tidak boleh merayu kepada pihak sekolah untuk menaikkan harga.

Wee berkata kenaikan harga gula itu mungkin ada "kebaikan" kerana ia mungkin boleh mengurangkan pengambilan gula melampau di kalangan orang ramai demi kesihatan.

"Mungkin ada hikmahnya juga, sekiranya gula dahulunya manis sangat, sekarang boleh dikurangkan sedikit, itu satu cara yang masih boleh diterima atas nama kesihatan, tapi bukan dengan menaikkan harga barang," katanya.

Harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak, berkuatkuasa hari ini.

(Sumber: Bernama - 01/01/2010 - 19:22pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mencadangkan supaya mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dapat dikategorikan sebagai miskin bandar di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan kategori miskin bandar tidak boleh disamakan dengan definisi miskin yang diguna pakai di bawah sistem data kemiskinan e-Kasih sekarang.

Katanya, justeru definisi baru miskin bandar ini akan membolehkan lebih ramai warga kota mendapat pelbagai bantuan kerajaan sejajar dengan hasrat mewujudkan kesejahteraan bandar.

''Namun harus ada perincian lanjut pada maksud pendapatan bawah RM3,000. Maksudnya bukan semua yang berpendapatan bawah RM3,000 layak.

''Sebaliknya kita tengoklah berapa orang anak dan perkara-perkara lain sebelum boleh kata orang itu tergolong dalam miskin bandar,'' katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Krismas anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) di sini hari ini.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, antara perkara paling pokok berhubung bantuan yang akan diberikan kepada mereka yang tergolong dalam miskin bandar ialah soal perumahan.

Sehubungan itu katanya, beliau yakin kerajaan akan memberi lebih peruntukan pada aspek itu yang akan diperbesarkan lagi di bawah RMK-10 selain bantuan-bantuan lain yang akan diteruskan seperti unit saham amanah.

''Menjadi hasrat kerajaan supaya lebih ramai masyarakat bandar yang dikategorikan miskin bandar dapat menerima manfaat bantuan kerajaan. Jadi di sinilah tugas utama kementerian untuk mempertingkatkan lagi jumlah mereka yang layak menerimanya."

''Sebelum ini tak ramai yang dapat kerana rujukan adalah pada e-Kasih tetapi untuk RMK-10 dengan bermula tahun 2011, asas-asas definisi miskin bandar akan diubah sama seperti yang pernah disuarakan Perdana Menteri,'' jelasnya.

(Sumber: Utusan - 26/12/2009 - Wilayah Kota)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), telah mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 7.30 sen seunit dan bonus sebanyak 1.25 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2009.

Tahun lepas, pengurus dana milik kerajaan itu mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.0 sen seunit dan bonus sebanyak 1.75 sen seunit.


Mengumumkan dividen dan bonus tersebut hari ini, pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan itu akan membabitkan pembayaran sebanyak RM4.95 bilion oleh ASNB, satu peningkatan 19.56 peratus daripada RM4.14 bilion yang dibayar pada 2008.

Bahagian bonus pula akan membabitkan pembayaran sebanyak RM537.65 juta oleh PNB.

Pembayaran ini akan memberi faedah kepada 6.78 juta pemegang unit yang kini memegang lebih 70 bilion unit ASB.

"Walaupun jumlahnya (dividen dan bonus) kelihatan lebih rendah tahun ini pada 8.55 sen seunit berbanding 8.75 sen seunit tahun lepas, dari segi jumlah keseluruhan yang akan dibayar, ia adalah lebih tinggi iaitu RM5.48 bilion berbanding RM4.79 bilion tahun lepas," kata ketua pegawai eksekutif kumpulan dan presiden PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Hamad Kama Piah berkata PNB berada pada kedudukan yang kukuh dan akan memastikan pembayaran dividen yang berterusan.

"Berdasarkan rizab dana, kapasiti kami adalah lebih daripada 11 sen seunit tetapi kami hanya membayar 7.30 sen seunit dan membawa ke hadapan baki 3.70 sen untuk 2010.

"Ini ialah dana jangka panjang dan kami mahu memastikan kami boleh menggunakan wang itu untuk membeli lebih banyak saham dan membuat lebih banyak pelaburan kerana kami akan harus membayar sekali lagi," tambahnya.

Sehingga 10 Dis, ASB mencatatkan pendapatan kasar RM5.46 bilion, satu peningkatan 3.4 peratus daripada RM5.28 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat penerima pelaburan menyumbang RM1.48 bilion, atau 27 peratus daripada pendapatan kasar.

Keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM3.67 bilion, atau 67 peratus, sementara baki RM309 juta atau 6.0 peratus adalah daripada pelaburan-pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pelaburan.

Agihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun-akaun pemegang unit.

Semua urus niaga ASB akan digantung mulai 21 Dis hingga 3 Januari untuk memudahkan pengiraan agihan pendapatan dan bonus. Pemegang unit boleh mengemaskinikan akaun mereka mulai 4 Januari.

ASB adalah dana pendapatan ekuiti harga tetap yang dibuka kepada semua Bumiputera berumur 12 tahun ke atas. Ia bertujuan untuk menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan berdaya saing untuk pemegang unit.

(Sumber: Bernama - 14/12/2009 - 16:37pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia dijangka susut sebanyak 4.4 peratus tahun ini sebelum pulih kepada 2.2 peratus tahun depan dan 5.3 peratus pada 2011, demikian menurut Bank Dunia dalam laporannya mengenai kedudukan ekonomi global.

Menerusi laporan "Kewangan Pembangunan Global 2009: Merencanakan Pemulihan Global", Bank Dunia menyebut penguncupan 4.4 itu adalah hasil daripada pergantungan tinggi eksport barangan elektronik, minyak dan minyak sawit mentah, yang kesemuanya turun ketara, selain pasaran domestik yang secara relatifnya kecil.

Bank itu berkata di Thailand, kejatuhan dalam eksport akibat ketidaktentuan politik, menyebabkan keluaran menyuncup sebanyak 3.2 peratus, berikutan perkembangan paling perlahan dalam membangunkan Asia Timur pada 2008. Ia dijangka mencatat pertumbuhan 2.2 peratus pada 2010 dan 3.1 peratus pada 2011.

Ia berkata di kedua-dua negara, yang merupakan antara negara yang berpendapatan sederhana di rantau ini, keluaran diunjur menyusut pada 2009 ekoran kejatuhan dalam eksport dan pelaburan.

Indonesia dan Vietnam diunjur mencatat 3.5 peratus pertumbuhan pada 2009 dan 5.0 peratus tahun depan, manakala Filipina bakal menyaksikan penurunan 0.5 peratus tahun ini, sebelum meningkat kepada 2.4 peratus pada tahun berikutnya.

Bank itu berkata hasil daripada kedudukan China, pertumbuhan dalam membangunkan Asia Timur dan Pasifik akan menjadi rantau itu antara yang paling cepat berkembang berbanding kebanyakan negara lain tahun ini, pada anggaran lima peratus.

China dijangkakan berkembang paling pantas berbanding kebanyakan negara lain tahun ini pada anggaran 9.3 peratus, namun dijangka suust kepada 8.3 peratus tahun depan.

Ia berkata kecuali China, KDNK di rantau ini dijangkakan susut sebanyak 0.2 peratus pada 2009, angka paling rendah sejak krisis pada lewat 1990-an.

Menurut laporan itu, dalam keadaan ekonomi dunia mengalami kemelesetan dan pasaran kewangan global yang goyah, kemasukan modal bersih swasta ke negara membangun susut kepada AS$707 bilion pada 2008, kejatuhan ketara berbanding waktu puncak sebanyak AS$1.2 trilion (AS$1=RM3.50) pada 2007.

Aliran modal antarabangsa diunjur terus menurun pada 2009, kepada AS$363 bilion, katanya.

Laporan itu memberi ingatan bahawa dunia kini memasuki era pertumbuhan yang lebih perlahan yang memerlukan pemerhatian yang lebih berkesan dan ketat dalam sistem kewangan selain pertumbuhan global dijangka negatif, dengan jangkaan penguncupan 2.9 peratus pada 2009, sebelum pulih kepada dua peratus pada 2010 dan 3.2 peratus pada 2011.

"Perlunya penstrukturan semula sistem perbankan, lengkap dengan had untuk meluaskan dasar di negara berendapatan tinggi, dapat mengelak pemulihan global daripada menguncup," kata Justin Lin, Ketua Ekonomi dan Naib Presiden Kanan Pembangunan Ekonomi Bank Dunia.

Beliau berkata negara membangun boleh menjadi pemacu utama dalam pemulihan, dengan andaian pelaburan domestik pulih dengan sokongan antarabangsa, termasuk memulihkan aliran kredit antabangsa.

Hans Timmer, Pengarah Kumpulan Prospek bank itu pula berkata bagi mengelak gelombang ketidakstabilan kali kedua, dasar perlu bertumpu terhadap pemulihan sektor kewangan dan menyokong negara-negara paling miskin.

(Sumber: Bernama - 15/06/2009 - 16:30pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Penubuhan Bank Data Kemiskinan Negara (eKasih) bertujuan menyelaraskan maklumat mengenai penerima bantuan yang layak bagi mengelakkan pertindihan penyampaian bantuan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K Devamany.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa sistem eKasih akan dapat memastikan penyampaian bantuan dilaksana dengan lebih berkesan memandangkan pelbagai kementerian dan agensi terlibat dalam usaha pembasmian kemiskinan.

"Melalui eKasih, maklumat peserta yang layak menerima bantuan boleh diakses bagi tujuan perancangan, permohonan bantuan dan penentuan saluran penyampaian bantuan yang bersesuaian.

"Ini termasuklah mereka yang tersenarai layak untuk menerima bantuan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR)," katanya ketika menjawab soalan Datuk Tiong King Sing (BN-Bintulu).

Devamany berkata eKasih dibangunkan untuk menyeragamkan maklumat Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) miskin dan miskin tegar.

"Maklumat ini meliputi kawasan luar bandar dan bandar, termasuk mereka yang tersenarai di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR)," katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak berhasrat untuk menyerahkan kepada satu agensi sahaja bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan.

(Sumber: Bernama - 15/06/2009 - 16:54pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Felda akan menanam semula kawasan perladangan kelapa sawit seluas 90,000 hektar di seluruh negara mulai tahun ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Beliau memberitahu Bernama bahawa program tanaman semula itu adalah usaha yang terbesar sekali yang dibuat oleh Felda untuk kegiatan itu.

Inisiatif itu akan mengambil masa tiga tahun untuk diselesaikan, kata Dr Yusof yang berada di negara ini sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Dr Yusof berkata tindakan penanaman semula mungkin menjejaskan hasil pengeluaran minyak kelapa sawit tetapi usaha itu kemudiannya dapat menjamin masa depan peneroka Felda kerana potensi hasil yang lebih baik dengan klon-klon baru yang berkualiti.

Klon yang berkualiti sekarang boleh mendatangkan hasil dalam tempoh tiga tahun, kata beliau.

Ladang-ladang yang mempunyai pokok kelapa sawit yang lebih daripada usia 25 tahun sedang dikenalpasti untuk usaha tanaman semula kerana apabila ia menjangkau tempoh itu, hasil keluaran akan berkurangan.

Dr Yusof juga berkata bahawa Felda telah memperkenal skim upahan lebih menarik sejak dua tahun untuk menggalakkan orang kampung dan pekerja ladang mengutip buah jatuh kelapa sawit supaya mengoptimum sumber hasil ladang Felda.

"Mungkin ada orang terlupa bahawa buah jatuh mempunyai banyak lagi minyak, kata beliau.

Ditanya tentang usaha untuk menjadikan Felda lebih dinamik dalam 50 tahun yang akan datang, Yusof berkata peruntukan dana yang lebih akan dibuat dalam aktiviti hiliran dan ini termasuk mengadakan usahasama dengan syarikat yang mempunyai kekuatan atau kepakaran dalam bidang yang mereka terokai.

Kini Felda mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat di Amerika Syarikat, Kanada dan China.

Baru-baru ini, Perdana Menteri telah meminta Felda melakukan transformasi untuk melipatgandakan manfaat kepada peneroka Felda.

Dalam usaha ini, Dr Yusof berkata Felda akan memandang hasil dari pokok kelapa sawit secara lebih menyeluruh dan bukan semata-mata dari sudut minyaknya sahaja.

Ini kerana banyak lagi produk boleh diperbuat dari bahan-bahan lain seperti pelepahnya.

Dengan inisiatif ini, peneroka Felda tidak semestinya hanya bergantung kepada minyak kelapa sawit sahaja, katanya.

Apabila ditanya adakah Felda berhasat untuk membeli ladang di luar negara, Dr Yusof berkata rundingan sedang dibuat dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan.

Beliau berkata bahawa dalam apa-apa usaha untuk membeli syarikat tertentu dalam rancangan strategiknya, "pertimbangan secara professional" mesti dilakukan dahulu oleh pihak ketiga atau syarikat akauntan terkemuka bagi memastikan syarikat yang dibeli boleh mendatangkan hasil yang baik.

Dr Yusof menegaskan bahawa walaupun Felda akan menggembangkan sayapnya untuk meneroka di luar negara, tumpuan masih diberikan kepada operasi tempatan yang akan kekal menjadi pangkalan bagi Felda kerana agensi itu memiliki kira-kira dua juta hektar ladang kelapa sawit.

(Sumber: Bernama - 6/6/2009 - 14:24pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan 7 sen seunit dan bonus 1.75 sen seunit untuk Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008.

Tahun lalu, ASNB yang juga anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), memberikan agihan pendapatan sebanyak 8 sen dan bonus 1 sen (berjumlah 9 sen).

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pembayaran itu akan diagihkan kepada 6.56 juta pemegang saham yang melanggan 62 bilion unit ASB. Pengagihan pendapatan ASB membabitkan peruntukan RM4.22 bilion manakala pembayaran bonus pula ASN menyediakan peruntukan RM678.03 juta.

Pengiraan agihan pendapatan berdasarkan kepada baki minimum bulanan purata yang dipegang sepanjang tahun kewangan ASB berakhir pada 31 Disember tahun ini manakala pengiraan bonus pula berdasarkan baki minimum bulanan purata yang dipegang sejak 10 tahun lalu, bermula dari 1999 hingga 2008.

"Pendapatan agihan dan bonus itu akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan ASB masing-masing," katanya pada sidang media ketika mengumumkan pengagihan pendapatan ASB di sini.

(Sumber: BHarian Online)
Siapa ada ASB, kalau boleh elakkanlah keluar wang sehingga masuk Januari. Baki minimum untuk Disember 2008 ada dividen tu.. (walaupun nilainya turun berbanding tahun lalu).

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Harga minyak petrol dan diesel masing-masing turun 10 sen seliter berkuatkuasa mulai tengah malam ini. Penurunan harga minyak kali ketujuh sejak Ogos lalu, diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini. 

Kadar baru mulai 16 Disember, 2008 ialah seperti berikut:
  • Petrol RON97 turun 10 sen - dari RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter 
  • Petrol RON92 turun 10 sen - dari RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter.
  • Diesel turun 10 sen - dari RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter.
PM berkata, penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter itu adalah sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.

Berkuatkuasa tarikh yang sama juga, tambahnya, harga petrol dan diesel bersubsidi bagi nelayan diturunkan 13 sen seliter - dari RM1.43 seliter kepada RM1.30 seliter - sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini.

(Sumber: Bernama 17:52PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Perjanjian telah ditandatangani untuk membina Taman Tema Legoland yang pertama di Asia dan ke-5 di dunia - di antara Pengarah Urusan Iskandar Investment Berhad (IIB) Arlida Ariff dan Pengarah Urusan Legoland Parks John Jakobsen melibatkan pelaburan RM750 juta. Taman Tema Legoland itu akan dibina di atas tanah seluas 145 hektar di Medini Iskandar, yang sebelum ini dikenali sebagai Node 1, dan dijangka akan mula dibuka kepada pengunjung pada 2013.

Selain Malaysia, Taman Tema Legoland turut terdapat di Denmark, United Kingdom, Jerman dan California, Amerika Syarikat. Semua masih ingat permainan LEGO kegemaran kanak-kanak? 

Merlin Entertainments akan mereka bentuk dan menguruskan taman tema tersebut serta muncul sebagai pemegang saham sebanyak 20%, manakala pegangan ekuiti selebihnya dipegang oleh konsortium yang diketuai oleh IIB.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyaksikan majlis perjanjian tersebut berkata, walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu pada ketika ini, momentum pembangunan serta pelaburan di Iskandar Malaysia tidak terjejas. Sehingga kini Iskandar Malaysia telah menerima RM40.25 bilion pelaburan dalam dan luar negara, yang merupakan 86 peratus daripada RM47 bilion pelaburan yang disasarkannya bagi fasa pertama sehingga 2010.

(Bernama)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

KAPAR, 11 Dis (Bernama: 21:18PM) -- Harga runcit petrol RON97 kekal RM1.90 seliter jika harga minyak mentah dunia tidak melebihi AS$83 setong, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

"Kementerian sedang merumuskan mekanisme untuk mengekalkan harga RON97 pada kadar RM1.90 seliter sekarang dan saya boleh beri jaminan yang tiada kenaikan jika harga minyak mentah dunia turun di bawah US$83 setong," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen penurunan harga pasaraya Econsave Cash and Carry di sini.

Kempen itu melibatkan 2,120 produk dan akan berlangsung sehingga 28 Feb tahun depan di semua 20 cawangan pasaraya syarikat itu di seluruh negara.

Shahrir berkata permintaan bagi petrol kini dipacu oleh keadaan domestik dan kementerian akan mencari jalan untuk membantu pengguna untuk mempunyai pendapatan yang boleh dibelanjakan.

"Isu sebenar di sini ialah apakah harga yang sepatutnya supaya pengguna mempunyai lebih banyak wang untuk berbelanja dan menyimpan dan berapa banyak yang perlu diperuntukkan untuk pembangunan kerajaan dan tujuan lain," katanya dan menurutnya kerajaan sedang dalam proses mendidik pengguna mengenai rasional disebalik penurunan harga petrol baru-baru ini.

Katanya mekanisme yang dicadangkan untuk menentukan harga minyak akan dikemukakan ke Kabinet dalam mesyuarat esok atau minggu depan.

Persoalannya:
Bukankah harga minyak mentah dunia sekarang di bawah AS$50 ?
Sebelum peningkatan mendadak harga petrol Malaysia pada Jun lalu, kerajaan menanggung subsidi. Sekarang, di mana 'keuntungan kos subsidi yang tidak ditanggung lagi' itu berada, dan ke mana ianya dibelanjakan?

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan hari ini mengambil keputusan untuk menurunkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuatkuasa 3 Disember 2008.  "Kerajaan telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya" kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini. 

Harga baru mulai esok ialah :
  • Petrol RON97 : RM 2.00 kepada RM 1.90 seliter
  • Petrol RON92 : RM 1.90 kepada RM 1.80 seliter
  • Diesel               : RM 1.90 kepada RM 1.80 seliter
Ini merupakan kali keenam kerajaan menurunkan harga minyak sejak Ogos. Kali terakhir harga minyak diturunkan ialah pada 18 November.

(Bernama: 02 Disember, 2008 - 17:39PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

JOHOR BAHARU, 1 Dis (Bernama: 22:28 PM) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata pengurangan harga minyak akan dilaksanakan sebelum Hari Raya Haji dan kali ini ia dijangka hanya melibatkan petrol sahaja. Penurunan harga petrol itu, katanya tidak akan melebihi 15 sen.

"Kita sekarang berdepan dengan keadaan luar biasa di mana harga diesel di pasaran dunia adalah lebih tinggi daripada petrol dan sebab itu kerajaan masih memberi subsidi RM1.43 untuk harga diesel," katanya selepas menyempurnakan penutupan Seminar Pembangunan Perniagaan Bagi Peniaga dan Usahawan Kecil di sini hari ini.

Dengan penurunan itu harga minyak petrol RON97 dijangka turun daripada RM2 kepada RM1.85 seliter manakala RON92 daripada RM1.90 kepada RM1.75 seliter.

Pada 17 Nov lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan mengambil keputusan kali ke-5 sejak Ogos lalu untuk mengurangkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter berkuat kuasa mulai esok, 18 November.  Senarai harga baru :
  • Petrol RON97 : RM2.00 seliter
  • Petrol RON92 : RM1.90 seliter 
  • Diesel               : RM1.90 seliter.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

KUALA LUMPUR, 14 Oktober, 2008 19:41 PM (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata harga petrol RON97 dikurangkan sebanyak 15 sen kepada RM2.30 sen seliter berkuatkuasa esok. Perdana Menteri berkata harga petrol RON92 juga akan dikurangkan sebanyak 10 sen kepada RM2.20 manakala diesel turun 20 sen kepada RM2.20.

Ini berikutan harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini, katanya dalam satu kenyataan dari Putrajaya hari Selasa. Harga minyak turun kepada purata AS$82 setong di pasaran antarabangsa. Abdullah berkata kerajaan membuat keputusan mempercepatkan pengurangan harga runcit petrol dan diesel bagi membolehkan orang ramai menikmatinya segera.

Perdana Menteri berkata kerajaan sebelum ini telah melaraskan harga runcit petrol, masing-masing pada 23 Ogos dan 24 Sept lepas. Ia merupakan kali ketiga kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel.

Pada 4 Jun lepas, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kira-kira 41 peratus, kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter, berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu.


Alhamdulillah. Turun juga harga minyak walaupun macam siput, setelah naik macam ribut.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 1 comments ]

Berikut antara bonus dari Budget 2009 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah b. Ahmad Badawi di Dewan Rakyat petang ini. Peruntukannya sebanyak RM207.9 bilion - naik 5.1% dari tahun lalu. Dari jumlah itu RM154.2 bilion bagi peruntukan mengurus manakala RM53.7 bilion bagi peruntukan pembangunan.

Kakitangan awam
  • Bonus sebulan gaji atau minimum RM1000 untuk kakitangan awam - 2 kali bayaran pada September dan Disember, 2008.
  • Tempoh pinjaman perumahan dilanjutkan dari 25 tahun kepada 30 tahun bagi pinjaman baru.
  • Kemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubahsuai rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan kerajaan.
  • Buka panel insurans pinjaman perumahan kerajaan kepada semua syarikat insurans yang layak. Pada masa ini ia terhad kepada lima syarikat sahaja.
  • Kemudahan tambang pergi balik percuma sekali setahun untuk mengunjungi wilayah asal iaitu diantara Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak, mulai 1 Januari 2009.
  • Sekotak rokok 20 batang naik 60 sen.. hihi.
Membasmi Kemiskinan
  • Duti import atas beberapa barangan pengguna - pengisar makanan, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro dan cerek elektrik - dikurangkan dari antara 10 hingga 60% kepada 5 hingga 30 %.
  • Meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat di Sabah dan Sarawak, terutamanya untuk mempertingkatkan kemudahan asas, seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar bandar. Untuk ini, RM580 juta disediakan bagi Sabah dan Rm420 juta untuk Sarawak.
  • Isi rumah yang membayar bil elektrik RM20 dan ke bawah sebulan tidak perlu membayar bil elektrik berkuatkuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009.
  • Rebat cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Ekoran itu 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah, tidak lagi dikenakan cukai.
Jaringan Keselamatan Sosial
  • Kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kelayakan pendapatan isi rumah kini ditingkatkan daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuk Semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah.
  • Pesara kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang daripada RM720 sebulan mulai 1 Januari 2009.
  • Tabung khas RM25 juta bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang hilang punca punca pendapatan secara mengejut seperti akibat kemalangan.
  • Cukai jalan bagi kenderaan penumpang bersendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat, dikurangkan mengikut kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol, mulai 1 September 2008.
  • Pengurangan 50% bayaran tol bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh dua tahun mulai 15 September 2008.
Kesihatan
  • Duti eksais spesifik ke atas rokok dinaikkan sebanyak 3% sebatang - dari 15 sen kepada 18 sen. Dengan ini, cukai untuk sekotak rokok 20 batang kini meningkat sebanyak 60 sen.
  • Pengecualian cukai bagi perubatan radisional seperti akupuntur dan ayuvedic.
Orang Kurang Upaya
  • Elaun RM150 sebulan kepada Orang Kurang Upaya (OKU).
  • Murid OKU di sekolah pendidikan khas akan ditambah dari RM50 kepada RM150.
  • Bayaran insentif RM200 sebulan untuk pembantu guru di sekolah pendidikan khas.
Nelayan dan Petani
  • Peruntukan RM180 juta adalah untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan; dan RM120 juta sebagai insentif tangkapan ikan.
  • Elaun pelaburan semula sebanyak 60% bagi tempoh 15 tahun bagi pelaburan tambahan bagi penternak ayam dan itik.
  • Peruntukan RM475 juta bagi bantuan input pertanian, baja dan racun perosak bagi membantu pesawah.
  • Pemansuhan duti import bagi baja dan racun perosak.

Baca Selengkapnya (Read More)...