[Monday, April 05, 2010
|
]
Penjualan rokok 14 batang akan diharamkan bagi mengehadkan kebolehcapaian awam terhadap rokok terutamanya di kalangan remaja, Dewan Rakyat diberitahu Isnin - 5/4/2010.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan hanya akan membenarkan penjualan rokok 20 batang yang lebih mahal harganya selain memperluaskan kawasan larangan merokok di seluruh negara.
"Kita baru perkenalkan harga minimum pada Januari. Kita akan lihat kesan terlebih dahulu dan kaji langkah-langkah lain termasuk untuk adakan lebih banyak kawasan larangan merokok," katanya ketika menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) di persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.
Dr Mohd Hatta ingin tahu adakah kerajaan bersedia menaikkan harga lantai rokok untuk menghalang golongan muda daripada memulakan tabiat merokok.
Liow berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain terutamanya Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membanteras penyeludupan rokok yang berleluasa sejak akhir-akhir ini.
Terdahulu, menjawab soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) berhubung cadangan menetapkan harga siling bagi rokok, Liow berkata tiada keperluan bagi cadangan itu dilaksanakan kerana harga rokok pada masa ini cukup tinggi.
Dalam soalan berbeza, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menafikan wujudnya ketidakseragaman pengagihan jawatan kepada pekerja berketurunan India di jabatan-jabatan kerajaan.
Katanya bagi perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 3,591 atau 3.5 peratus daripada 103,051 pegawai adalah daripada kaum India, dan 37 daripada jumlah itu merupakan pegawai kanan.
"Di Jabatan Perpaduan, terdapat 35 pegawai kaum India daripada 868 pegawai (enam daripadanya adalah pegawai kanan di peringkat pengurusan dan profesional), manakala di Jabatan Penerangan, terdapat 74 pegawai daripada jumlah keseluruhan 2,422 orang (lima pegawai pengurusan dan profesional)," katanya.
Liew berkata demikian ketika mejawab soalan tambahan Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) yang bertanyakan tentang kedudukan kaum India di jabatan-jabatan kerajaan termasuk yang memegang jawatan pegawai tinggi.
(Sumber: Bernama - 5/4/2010 - 16:10pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Thursday, January 21, 2010
|
]
Kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar adalah antara
sembilan kesalahan serius yang akan dikenakan
denda maksimum RM300 dalam Ops Bersepadu sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang bermula dari 8 hingga 22 Februari, 2010.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata dua kesalahan itu dikenal pasti sebagai penyebab kepada kecederaan serius yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kemalangan maut.
Apakah tujuh lagi kesalahan serius lain?.."Tujuh kesalahan serius lain terdiri daripada memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat, menggunakan lorong kecemasan, memandu secara berbahaya dan membawa muatan lebih had," katanya semasa melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2010 di Plaza Tol Sungai Besi dekat sini pada hari Khamis.
Beliau berkata sembilan kesalahan itu dikenal pasti oleh satu 'mini lab' penguatkuasaan yang diadakan baru-baru ini anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros).
"Ini sebagai satu amaran awal kepada orang ramai sebab biasanya bila seseorang itu didapati sabit kesalahan di sisi undang-undang trafik, ada yang kata dia tak tahu langsung tentang kesalahan yang dilakukan. Jadi, saya di sini nak pesan supaya semua mesti tahu sembilan kesalahan serius yang dikenal pasti," katanya.
Sementara itu kempen bersepadu yang bertemakan 'Buckle Up, It Is The Law' dianjurkan hari ini bertujuan memastikan pengguna jalan raya memandu dengan berhati-hati dan sentiasa memakai tali pinggang keledar semasa memandu, terutama pada musim perayaan.
Walaupun undang-undang mengenai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang dikuatkuasakan setahun yang lepas, rakyat Malaysia dilihat masih perlu diingatkan secara berterusan supaya memakai tali keledar itu demi keselamatan mereka.
Sehingga kini, hampir 300 kematian dicatatkan akibat kecuaian pengguna kenderaan tidak memakai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang.
(Sumber: Bernama - 21/1/2010 - 21:57pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Thursday, December 10, 2009
|
]
Lima Sekolah Rendah Agama (SRA) di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dipilih sebagai sekolah perintis yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata pemilihan sekolah itu bertujuan menjadi model untuk dicontohi jabatan agama di negeri lain supaya turut menggunakan ICT di peringkat Sekolah Rendah Agama.
Antara SRA yang dipilih ialah SRA Al-Mubarakah, SRA Al-Watan, SRA Taman Ibu Kota, SRA Segambut Dalam dan SRA Kampung Pasir Baru yang semuanya terletak di sekitar kawasan Kuala Lumpur, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Integrasi ICT SRA dan mengumumkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) 2009 di sini, Rabu.
Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Pengerusi Telekom Smart School Sdn Bhd, Fazlur Rahman Zainudin.
Jamil Khir berkata projek Integrasi ICT SRA telah bermula sejak November tahun lepas di lima sekolah berkenaan dan JAWI akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan penggunaan ICT di sekolah-sekolah agama lain di Wilayah Persekutuan pada tahun depan.
Beliau berkata JAWI dan jabatan agama di negeri-negeri di seluruh negara sebagai pentadbir SRA akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan imej sekolah rendah agama setaraf dengan sekolah rendah kebangsaan di bawah pentadbiran Kementerian Pelajaran.
Sementara itu, seramai 114 calon atau 2.4 peratus daripada 4,792 calon memperoleh keputusan A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) peringkat JAWI tahun ini.
Mata pelajaran Tajwid dan Sirah juga menunjukkan peningkatan mendadak dari tahun ke tahun sejak 2006, katanya.
Selain itu, 10 calon UPSRA disenaraikan sebagai pelajar terbaik 2009.
Asma Abdul Halim, 12, dari Sekolah Rendah Agama Ibnu Khaldun, Kuala Lumpur dipilih sebagai pelajar terbaik UPSRA 2009 peringkat JAWI dengan memperolehi 95.7 peratus.
Selain itu, SRA Sri Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur dipilih sebagai Sekolah Cemerlang UPSRA 2009.
(Sumber: Bernama - 09/12/2009 - 20:43pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Wednesday, December 09, 2009
|
]
Peguam terikat dengan ketetapan menggunakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia dalam prosiding mahkamah, menurut penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan semasa menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah RM100 juta terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bahasa Malaysia mesti digunakan bukan sahaja semasa prosiding tetapi juga dalam memfailkan dokumen-dokumen mahkamah, kata Hakim Abdul Malik Ishak dalam penghakiman setebal 31 muka surat bertarikh 2 Nov dan diedarkan kepada pemberita Rabu.
Pada 10 Okt, Hakim Abdul Malik, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menolak rayuan Anwar atas alasan memorandum rayuan difailkan Anwar dalam bahasa Inggeris adalah cacat, tidak sah dan mencabuli proses mahkamah.
"Keutamaan Bahasa Malaysia atau bahasa Melayu dalam mahkamah kita tidak boleh dinafikan. Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama-sama Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan semua prosiding, selain daripada memberi keterangan oleh seorang saksi, di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan mahkamah rendah mesti dalam bahasa kebangsaan.
"Peraturan 101, Peraturan-peraturan Mahkamah Rayuan 1994 menetapkan dokumen-dokumen perlu dalam bahasa kebangsaan. Oleh itu, kegagalan di pihak perayu untuk memfailkan memorandum rayuan dalam Bahasa Malaysia menyebabkan rekod rayuan yang difailkan oleh perayu tidak boleh digunakan"
(Hakim Abdul Malik)
Beliau berkata mahkamah perlu menguatkuasakan keperluan memfailkan dokumen mahkamah dalam bahasa Malaysia seperti ditetapkan oleh undang-undang.
Memorandum rayuan dalam bahasa Inggeris yang difailkan Anwar secara terang-terangan melanggar undang-undang dan perlu ditolak, katanya.
"Perayu mesti memfailkan memorandum rayuan dalam bahasa kebangsaan. Tiada bahasa lain akan dilayani dan tidak layak sebagai rekod rayuan," kata beliau.
Anwar memfailkan saman pada 26 Jan, 2006, mendakwa kenyataan Tun Mahathir yang menggelarnya sebagai seorang homoseksual adalah satu fitnah dan bertujuan mengaibkannya secara peribadi dan kapasiti rasminya sebagai bekas menteri kewangan dan timbalan perdana menteri.
Pada 4 Julai, 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman itu dengan kos selepas membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan saman itu.
Anwar kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.
Pada 10 Okt, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan rayuan itu dan memerintahkan Anwar membayar kos.
Hakim Abdul Malik berkata: "Semuanya silap berhubung rayuan itu dan secara terang-terangan melanggar peraturan di pihak perayu dalam kes ini.
"Memburukkan lagi keadaan, memorandum rayuan dalam bahasa Inggeris itu juga tidak ditandatangani oleh peguam yang mewakili perayu dan dengan itu menyebabkannya tidak sah dan tiada mempunyai sebarang kesan."
Peguam Karpal Singh dan S.N.Nair mewakili Anwar manakala peguam Datuk V.K.Lingam dan R. Thayalan mewakili Dr Mahathir.
(Sumber: Bernama - 09/12/2009 - 16:21pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...