Showing posts with label Motivation. Show all posts
Showing posts with label Motivation. Show all posts
| 0 comments ]

Kelas tuisyen tidak semestinya menjamin keputusan cemerlang dalam peperiksaan sebaliknya tumpuan semasa di dalam kelas antara faktor utama penentu kejayaan, menurut beberapa pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011.

Natasha Mohd Izari, 15, yang memperoleh 8A berkata inisiatif dirinya sendiri yang sentiasa inginkan kecemerlangan dalam setiap perkara membuatkannya beranggapan kelas tuisyen hanya membuang masa dan wang ringgit.

"Belajar di sekolah dan menghadiri kelas tambahan yang disediakan oleh pihak sekolah serta mengulang kaji pelajaran di rumah sudah memadai pada saya," katanya kepada Bernama selepas menerima keputusan PMR di Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas (CBN) di sini, Khamis.

Pendapat Natasha turut dikongsi rakan sekolahnya N Dharshana, 15, yang mendapat 7A bahawa seseorang pelajar perlu fokus di dalam kelas kerana input yang dapat diserap ketika di dalam kelas amat membantu untuk mengulang kaji pelajaran di rumah.

"Dalam menghadapi PMR, saya menjalankan persediaan awal bagi memastikan segala perkara yang perlu dibuat tidak tercicir," katanya.

Namun berlainan pula bagi Nor Atikah Md Aris, 15, yang menurutnya teknik pembelajaran seseorang pelajar itu berlainan termasuk belajar di saat akhir.

"Lain orang lain caranya, belajar di saat akhir tidak menjadi masalah kepada saya, selain itu kelas bimbingan yang diadakan di sekolah dan juga kelas tuisyen yang saya hadiri di luar dalam masa yang sama dapat memperkukuhkan lagi ilmu yang diperoleh," kata pelajar CBN itu yang memperoleh 8A.

Bagi pelajar SMK Wangsa Melawati, Azira Zulaikha, 15, keputusan peperiksaan percubaan yang kurang memuaskan dijadikannya sebagai pembakar semangat untuk berusaha lebih keras.

Pelajar itu yang memperoleh 8A berkata: "Saya beranggapan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan yang mana ia terpulang pada diri sendiri sama ada ingin berusaha ataupun tidak.

Rakan sekolahnya Lee Jie Xie, 15, yang memperoleh 8A berkata diri sendiri memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan seseorang atau sebaliknya.

"Sebagai contoh, sekiranya kita sediakan jadual belajar tetapi kita tidak ikut dan sekiranya ibu bapa menghantar kita ke kelas tuisyen tetapi kita enggan untuk membuka minat untuk belajar, tidak ada gunanya juga," katanya

Adrian Ong Wei Shun, 15, yang memperoleh 7A dari SMK Seksyen 5, Wangsa Maju berkata petua kecemerlangannya dalam PMR adalah dengan membuat banyak latih tubi.

"Latih tubi di rumah adalah perlu bagi memastikan ingatan kita sentiasa segar dengan input yang diperoleh ketika di dalam kelas, jika ini tidak dibuat kemungkinan apa yang diajar akan hilang begitu sahaja," katanya.

(Sumber: Bernama - 22/11/2011 - 7:13pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 15 comments ]

Hari Sabtu yang menakjubkan buat dua orang pelajar cemerlang dalam SPM dan STPM yang baru diumumkan baru-baru ini. Mohamad Hafizueddin Abdul Karim, pelajar cemerlang STPM 2008 dan Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal pelajar terbaik SPPM 2008 keduanya menerima sumbangan imbuhan, bertemu menteri yang berbeza dalam situasi yang berbeza.

Seorang di Kelantan dirai dalam sebuah majlis, manakala seorang lagi di Pulau Pinang dikejutkan dengan lawatan ke rumahnya.

Kita tengok kisah mereka, semoga jadi sumber inspirasi untuk yang bakal menduduki SPM dan STPM tahun ini pula.

Pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Mohamad Hafizueddin Abdul Karim agak terkejut melihat kedatangan Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ke rumah keluarganya di sini, Sabtu.

Mohamad Hafizueddin, pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Onn di sini, berkata beliau terharu apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menyampaikan imbuhan kewangan atas pencapaian cemerlangnya.

"Saya amat terharu apabila Nor Mohamed sanggup meluangkan masa untuk menyampaikan imbuhan kepada saya," katanya pelajar berusia 19 tahun di rumah keluarganya di Teluk Air Tawar Indah, Tasek Gelugor, dekat sini.

Anak kedua daripada lima adik-beradik itu memperoleh 4 prinsipal A dalam subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi dan Pengajian Am.

"Saya cadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang supaya saya dapat membantu keluarga pada masa depan," kata Mohamad Hafizueddin yang bekerja di kilang pau di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Teluk Ayer Tawar ketika menunggu keputusan STPM.

Bagaimanapun, ibu Mohamad Hafizueddin, Zalina Ishak, yang menyara keluarga selepas kematian suaminya dalam kemalangan jalan raya pada 2005, berkata beliau tidak menjangka anaknya dapat memperoleh keputusan cemerlang.

Ibu tunggal berusia 40 tahun itu menjalankan perniagaan pasar malam di sekitar Seberang Jaya.

"Saya sentiasa menasihatkan anak-anak saya supaya belajar dengan tekun supaya dapat mengubah nasib dan masa depan mereka," katanya.

Sementara itu, Nor Mohamed berkata Mohamad Hafizueddin adalah pelajar contoh yang mampu mencapai kejayaan dalam pendidikan walaupun kehidupannya susah selepas pemergian ayahnya.

"Dia terpaksa membantu ibunya di pasar malam dan bekerja sambilan di kilang bagi meringankan bebanan hidup sekeluarga," katanya.

Dalam pada itu, pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal pula hari ini menerima hadiah wang tunai RM4,000.

Hadiah dari Yayasan Nelayan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia itu disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di sini.

Nik Nur Madihah, 18, anak nelayan dari Kampung Sabak, Pengkalan Chepa, Kelantan mendapat 20 A (19 A1, I A2) dalam SPM tahun lepas.

"Kita bangga dengan pelajar SM (Agama) Maahad Muhammadi Kota Baru ini, yang bapanya merupakan seorang nelayan sementara ibunya seorang tukang cuci," kata Mustapa semasa menyerahkan sumbangan itu kepada Nik Nur Madihah pada majlis sambutan Bulan Veterinari, di sini.

"Kejayaan Nik Nur Madihah membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai sekiranya kita ada kesungguhan," tambah beliau.

(Sumber: Bernama)

Sebenarnya, ramai lagi pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM. Namun begitu, yang berbeza adalah ruang sosio ekonomi keluarga pelajar tadi patut diambil iktibar oleh kita semua. Seperti firman Allah dalam Surah Al-Insyirah (5-6) " Sesungguhnya dalam kesulitan, tetap ada kemudahan".

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Gesaan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, minggu lalu supaya mahasiswa mengikuti kelas bahasa Inggeris agar mampu menguasai bahasa itu dengan baik sebagai persediaan menghadapi alam kerjaya apabila tamat pengajian harus diberi perhatian serius termasuk di kalangan pelajar sekolah.

Kita sering mendengar rungutan majikan bahawa ramai di kalangan graduan hari ini tidak berupaya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik apabila mereka menghadiri sesi temu duga. Ini adalah antara punca graduan kita sukar diterima majikan terutama dalam sektor swasta.

Masalah itu bukan baru dan agak menyedihkan kelemahan itu tidak diperbaiki dari setahun ke setahun, terutama di kalangan graduan Melayu. Kepentingan kemahiran bahasa Inggeris sudah diketahui umum dan mereka juga sedar banyak syarikat swasta termasuk jabatan kerajaan juga begitu memerlukan pekerja yang mahir berbahasa Inggeris.

Pelajar harus ingat, untuk menguasai bahasa walaupun apa juga bahasa sekali pun, ia tidak boleh dikuasai dalam tempoh singkat. Ia harus dimulakan sejak berada di peringkat sekolah, berlatih dan mengamalkannya dalam pergaulan seharian.. Dalam hal ini kita harus mencontohi pelajar Cina dan India yang tidak takut atau malu bertutur dalam bahasa Inggeris, walaupun pada peringkat awal sesetengahnya tidak lancar dan tatabahasa yang digunakan juga tunggang-langgang, tetapi lama-kelamaan mereka semakin yakin dan kelemahan itu dapat diperbaiki.

Walaupun masalah pengangguran dijangka serius dalam setahun dua ini tetapi dalam sesetengah bidang keperluannya masih banyak dan antaranya ialah perubatan, kejuruteraan, keusahawanan dan bidang yang memerlukan kemahiran khusus. Tetapi malangnya bidang profesional ini lebih banyak dikuasai pelajar bukan Melayu.

Sebab itulah pelajar sejak berada di peringkat menengah atas lagi dinasihatkan agar bijak memilih aliran pengajian sesuai dengan bidang yang ingin diceburi dan mengambil kira prospek dari segi kerjaya pada masa depan. Berdasarkan maklum balas dalam pertemuan dengan pelajar Tingkatan Lima dan Enam menerusi Projek Seminar Pendidikan Kebangsaan 2009 (Prospek 2009) anjuran mahasiswa Universiti Malaya dengan kerjasama Berita Harian baru-baru ini ternyata ramai pelajar menerima tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) tanpa mengambil kira aspek berkenaan.

Kita yakin ramai pelajar yang menghadapi masalah sama dan tidak mempunyai maklumat tepat ketika membuat pemilihan kursus. Kita harap usaha graduan mahasiswa UM dapat diperluas dari semasa ke semasa dan wajar disokong bagi membantu pelajar, khususnya di luar bandar untuk mendapat panduan memilih IPT dan IPTS serta kursus sesuai dan berkualiti yang boleh menjamin masa depan.

Kelembapan ekonomi dunia dijangka menyebabkan kadar pengangguran melonjak di seluruh dunia, dan tidak terkecuali ia turut memberi kesan kepada kadar pengangguran di Malaysia. Berdasarkan unjuran Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dijangka dunia akan mengalami peningkatan pengangguran sebanyak 25 juta orang sehingga tahun 2010. Manakala Pertubuhan buruh Antarabangsa pula menganggar angka itu lebih tinggi iaitu antara 20 juta hingga 210 juta penduduk dunia akan menganggur menjelang akhir 2009.

Sementara itu Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan antara 200,000 hingga 400,000 pekerja diancam kemungkinan diberhentikan kerja. Bagaimanapun kerajaan menganggarkan sejumlah 4,749 pekerja akan diberhentikan dalam tempoh suku pertama 2009. Walaupun di Malaysia kesannya ketika ini masih belum begitu ketara, namun sudah terdapat banyak syarikat kecil dan besar yang sudah berasa bahangnya dan menghadapi tekanan, malahan ada di antaranya yang terpaksa gulung tikar.

Tindakan itu menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan. Lepasan sekolah sudah pasti sukar untuk mendapatkan pekerjaan, apatah lagi di kalangan mereka yang sekadar mempunyai kelulusan sekolah menengah tanpa pengalaman dan kemahiran khusus. Penutupan syarikat serta kilang bukan saja menyebabkan penduduk kehilangan pekerjaan, malahan menjadikan pasaran kerja semakin mengecil dan akhirnya meningkatkan persaingan mendapatkan pekerjaan.

Syarikat yang masih mampu meneruskan operasi juga terpaksa mengambil pelbagai langkah berjimat cermat, termasuk mengurangkan jumlah kakitangan dan membekukan pengambilan kakitangan baru. Kalau pun ada yang mengambil kakitangan baru, kini masanya majikan begitu memilih mereka yang benar-benar berkelayakan, berkualiti, berkemahiran dan berpengalaman kerana dalam keadaan persaingan sengit, lazimnya jumlah mereka yang memohon pekerjaan melonjak begitu mendadak. Setiap permohonan pasti akan melalui tapisan yang ketat dan berhati-hati.

Dalam keadaan sekarang penjawat di jabatan kerajaan lebih selamat kerana jarang kita dengar kakitangan di sektor awam yang dibuang kerja walaupun negara dilanda krisis ekonomi yang teruk. Sebagai persediaan menghadapi situasi membimbangkan itu, lepasan sekolah dan kira-kira 150,000 graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang lahir setiap tahun harus bersedia dan mempersiapkan diri untuk menempuh persaingan yang dijangka lebih hebat mulai tahun ini.

Akhir kalam, cuba kita tengok sekali lagi pelajar-pelajar Cina dan India.. Sebahagian besar mereka bermula dengan SJK (C) atau SJK (T). Sebahagian besar mereka seperti kita, bertutur dalam bahasa ibunda di rumah bersama keluarga, juga ketika bersama rakan. Mereka belajar Bahasa Melayu hanya bermula Tahun 1 hingga Tahun 6. Menariknya, sebahagian besar mereka berupaya menguasai bahasa kita selepas itu, dan mampu meraih A dalam UPSR, PMR atau SPM. Bukan sahaja Bahasa Melayu, malah Bahasa Inggeris serta bahasa ibunda mereka. Cuba baca kisah anak-anak Palanisamy.

Bagaimana dengan kita? Kita tidak semua dapat A dalam Bahasa Melayu, tidak semua dapat A dalam Bahasa Inggeris dan mungkin semua langsung tidak mempelajari Bahasa Cina dan India. Jadi, apa yang kita ada.. ? Apa yang kita boleh bangga ?

Akhir kata.. selamat berusaha. Selamat maju jaya!

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pernah dengar UPU? UPU adalah akronim untuk Unit Pusat Universiti - dahulunya satu unit yang menguruskan kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia. 

Kini urusan itu dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.


Latar Belakang

Bahagian ini dikenali sebagai Unit Pusat Universiti (UPU) pada awal 1970-an hingga 10 Oktober 1995. Mulai 10 Oktober 1995 hingga 31 Disember 2004 UPU dinaiktaraf dan dikenali sebagai Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar IPT (BPKP IPT), Jabatan Pendidikan Tinggi. Mulai 01 Januari 2005 - dikenali sebagai Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP).

Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP) adalah satu Bahagian dalam Sektor Pengurusan IPTA, Jabatan Pengurusan IPT, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menyelaras kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan.

Perubahan ini adalah selaras dengan penyusunan semula struktur organisasi Kementerian Pengajian Tinggi pada 01 Januari 2005, setelah Kementerian Pendidikan dipecahkan kepada dua kementerian berasingan, iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Adakah apa-apa kepentingan memahami UPU atau BPKP untuk kita?
YA! AMAT PENTING! Mulai Sesi Akademik 2008/2009, tiada lagi penjualan borang permohonan. Iklan tetap dikeluarkan tetapi permohonan kemasukan ke IPTA adalah melalui Aplikasi Dalam Talian (Online) sepenuhnya.

Terdapat 2 kaedah untuk mendapatkan Nombor Unik ID bagi permohonan kemasukan ke IPTA melalui Aplikasi Dalam Talian :-
  1. Pesanan secara pukal melalui sekolah, dan..
  2. Pembelian terus di kaunter BSN serta ATM BSN dan SMS Banking bagi pemohon yang mempunyai akaun GIRO terpilih di seluruh Negeri sehari selepas iklan disiarkan.
Adik-adik semua ingin tak masuk U? Ok. Jom kita lawat laman Web penting ini: >> KLIK SINI <<
Ada banyak fasa permohonan | semakan ke IPTA bagi calon SPM, STPM dan Diploma atau yang setaraf. Semuanya boleh dilihat di situ, seperti ePanduan, eBorang, Semakan Status Permohonan/Rayuan, termasuk tarikh-tarikh permohonan mengikut kelayakan. Bagi yang bakal menduduki peperiksaan awam penting, amat digalakkan melayari laman itu, untuk kepentingan masa depan. Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang telah belajar sebelum masanya.

Semoga lebih bersemangat, bersungguh-sungguh dan berjaya! Jangan lupa juga menghadiri Karnival Pengajian Tinggi Negara tahun ini. Kemasukan adalah percuma.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 4 comments ]

En. Palanisamy adalah pemandu bas sekolah berbangsa India di sebuah pekan kecil di pinggir laut Selat Melaka. Beliau mempunyai seorang isteri, suri rumahtangga sepenuh masa. Beliau ada 2 orang anak lelaki. seorang bernama Ganthan, seorang lagi bernama Rajan. Beza umur anaknya 1 tahun.

Keluarganya tinggal di pinggir kampung baru, sebuah rumah papan. Sebahagian papan dinding belakang macam dah nak lekang. Bumbung zinknya separuh dah berkarat. Tiada aerial astro atau aerial tulang ikan, cuma aerial televisyen jenis murah di bumbung. Laman rumahnya bersih dan ada pokok-pokok bunga yang cantik. Isterinya tentu rajin menjaga kebersihan dan rapi. Sekarang En. Palanisamy tinggal berdua sahaja dengan isterinya, sebab kedua anak lelakinya dah tiada.. 

Dah tiada? ke mana?


Kisahnya begini.. En. Palanisamy dulunya tidak bersekolah tinggi. Keluarganya tidak mampu untuk menyekolahkannya dengan pendapatan sedikit di estet, suatu masa dahulu. Dia sedar, dulu dia tiada peluang. Dia harap anaknya tidak lagi seperti dia.

En. Palanisamy amat mementingkan disiplin anak-anaknya sejak kecil. Anaknya tidak dibiarkan keluar merayau dengan rakan sekampung. Dia suka menunjukkan anak-anaknya contoh-contoh orang berjaya apabila dia membawa anaknya ke pekan. Dia amat sering berkunjung ke sekolah di mana anaknya belajar - dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Dia bertanya pada guru kelas, juga pentadbir sekolah tentang perkembangan akademik dan sahsiah anaknya. Dia juga selalu aktif dengan program sekolah dengan jawatan AJK PIBG.

Semasa di sekolah rendah, anaknya bersekolah di SJK (Tamil). Kedua anaknya dapat 6A, termasuk Bahasa Tamil. Dia sedar anaknya tidak akan dapat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains MARA. Dia juga tahu tiada peluang anaknya untuk ke Kelas Rancangan Khas (KRK).  Tak apa, dia masukkan anaknya ke sekolah kaca puri (feeder school) yang biasa.

Sekolah menengah yang dimasuki adalah sekolah yang amat rendah prestasi. Baru menjadi sekolah paling corot dalam negeri dalam PMR ketika itu. Bezanya adalah persekitaran sosial. Majoriti murid ketika itu 60:30:10. Murid Cina adalah majoriti, dikuti Melayu dan India. Kisah sekolah padat dengan kisah murid nakal yang suka bergaduh antara kaum dan vandalisme. Memang takut kalau nak masukkan anak ke situ. Malah terdapat ibubapa menukarkan anak mereka ke sekolah lain berhampiran.

Tetapi  En. Palanisamy kenal guru-guru. Dia sering ke situ. Dia tahu guru-guru yang mengajar bukan tidak berpendidikan atau berkelayakan. Mereka dari menara gading, malah beberapa orang yang memiliki ijazah sarjana. Baginya, guru-guru memang bekerja, iaitu mengajar. Masalahnya cuma murid-murid.. mereka tidak bekerja.. mereka tidak suka belajar. Berapa ramai murid Cina yang tidak tahu bertutur dan menulis hingga tingkatan lima.. walau pelbagai program sekolah dilaksanakan.

En. Palanisamy ini amat mendisiplinkan anak-anaknya. Memang anak-anaknya terbukti baik tingkahlaku dan berbudi bahasa. Ganthan menjawat pengawas pusat sumber, adiknya Rajan pengawas sekolah. Mereka tidak rapat di sekolah, sebaliknya rapat dengan rakan-rakan yang rajin di kelas masing-masing. Mereka berkawan dengan semua orang, tetapi rapat hanya dengan yang mahu belajar. Itu memang pesan En. Palanisamy pada anak-anaknya. Bapa mereka selalu beri sokongan untuk mereka aktif dalam sukan dan kokurikulum. Ganthan ada penyertaan di peringkat kebangsaan, dan Rajan pernah wakil Malaysia dalam satu anjuran pihak swasta.

En. Palanisamy beragama Hindu. Dia bukan seorang sami yang 'alim', tetapi dia dan isterinya mengajarkan anak-anaknya asas beragama. Kehidupan yang bahagia datang dari hati yang bersih. Kemuliaan itu datangnya peribadi yang luhur. Kejayaan datang dari usaha yang gigih.

Sewaktu PMR, kedua anaknya mendapat 8A selang setahun. Sewaktu pendaftaran SPM, Ganthan berani mengambil 13 matapelajaran. Didorong ledakan sejarah Amelina dengan 17A-nya, Ganthan mencuba dengan 13. Ya, dia dapat 13A. Meletup sekolah dengan berita itu. Adiknya Rajan setahun kemudian mencuba 13 juga, tetapi dapat 11A dengan 2B. Kisah itu tidak berakhir di situ. Sekarang ada pula pelajar-pelajar baru dari sekolah jiran bertukar ke situ.

Dalam ucapan khas di sekolah kepada semua murid, Ganthan mengejutkan ramai orang dengan ucapan terima kasih tidak terhingga pada semua guru. Katanya, dia tidak pernah masuk kelas tiusyen di luar sekolah sepanjang 5 tahun. Bapanya tidak mampu.. bapanya berpesan, "tumpukan pelajaran pada pengajaran guru, kamu akan berjaya.. seperti mana kamu tumpu pada apa yang bapa didik kamu selama ini. Hormati mereka sepertimana kamu menghormati bapa dan ibu kamu".

Kini Ganthan di India, mengambil kursus ijazah perubatan dengan biasiswa. Rajan pula baru menamatkan matrikulasinya dengan jayanya. Moga mereka terus cemerlang dan berjaya dalam pelajaran dan kerjaya.

Kisah ini adalah kisah benar.
 - - - - - - - - - - - -----------

Oh ya.. mengapa PakTeh cerita tentang ini? supaya kita sedar.. di mana kita berada, kita tetap boleh berjaya. Selagi kita berusaha bersungguh-sungguh, kita sedang di landasan yang betul. Mana yang lebih menarik? Dapat 8A di MRSM dan SBP yang hebat - atau - dapat 8A di sekolah biasa yang tanpa nama ?

Baca Selengkapnya (Read More)...