Pencapaian Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tetap unggul apabila kekal cemerlang dalam keputusan PMR 2011.
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Ibrahim Ahmad berkata pencapaian MRSM bertambah baik berbanding dengan pencapaian pada tahun lepas iaitu meningkat dari Gred Purata Maktab (GPM) 1.0922 kepada 1.0615.
"Seramai 5,326 orang pelajar tingkatan tiga dari 39 buah MRSM di seluruh negara telah menduduki peperiksaan ini dan MRSM Gemencheh merupakan MRSM terbaik dengan mencatat GPM 1.0204 manakala MRSM Pasir Tumboh dengan GPM 1.0210 dan MRSM Kuala Kubu Bharu dengan GPM 1.0238," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Jumaat.
Beliau berkata senarai 10 MRSM cemerlang keputusan PMR 2011 antara lain ialah MRSM Pekan dengan GPM 1.0248, MRSM Pasir Salak dengan GPM 1.0313, MRSM Lenggong dengan GPM 1.0341, MRSM Terendak dengan GPM 1.0380, MRSM Gerik dengan GPM 1.0385, MRM Serting dengan GPM 1.0408 dan MRSM Kuala Klawang dengan GPM 1.0428.
Ibrahim berkata kecemerlangan MRSM adalah berpaksikan keterbezaan kurikulum yang ditawarkan dalam usaha melahirkan modal insan yang saintifik, independen, kreatif, amanah dan patriotik (SIKaP) melalui program Ulul Albab.
"Program Ulul Albab merupakan cetusan idea Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh sebagai pendekatan bersepadu untuk melahirkan individu yang 'values driven' bersifat Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik," katanya.
Beliau berkata MARA amat berbangga atas kecemerlangan yang ditunjukkan oleh semua pelajar dan kejayaan cemerlang pada PMR kali ini akan menjadi ukuran kejituan usaha berterusan semua pihak demi memastikan kemantapan sistem pendidikan di MRSM.
(Sumber: Bernama - 23/12/2011 - 6:34pm)
Berikut adalah pautan untuk membuat semakan tawaran kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 - Ambilan Pertama bagi tahun 2011. Klik saja untuk terus ke pautan membuat semakan.
1. Keputusan Permohonan Kemasukan Ke MRSM - Tingkatan Satu
2. Keputusan Permohonan Kemasukan Ke MRSM - Tingkatan Empat
Semoga berjaya!
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Ibrahim Ahmad berkata daripada 5,068 calon dari 36 buah MRSM, jumlah yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran ialah 3,129 orang iaitu peningkatan sebanyak 2.17 peratus berbanding 59.03 peratus tahun lepas.
"Pencapaian MRSM dalam peperiksaan PMR 2010 adalah cemerlang dan bertambah baik berbanding dengan pencapaian pada tahun lalu iaitu daripada Gred Purata Maktab (GPM) 1.0992 kepada 1.0531," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata MRSM Pasir Tumboh muncul sebagai MRSM cemerlang dengan mendapat peratus tertinggi mengikut pencapaian GPM iaitu 92.20 peratus pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran, diikuti MRSM Pasir Salak (81.2 peratus) dan MRSM Kuala Klawang (79.9 peratus).
Sebanyak 18 buah MRSM menunjukkan peningkatan daripada segi nilai GPM, katanya.
Ibrahim berkata 16 buah MRSM juga menunjukkan peningkatan dalam pencapaian peratusan pelajar yang mendapat semua A yang mana MRSM Besut mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 30.53 peratus.
"Bilangan pelajar MRSM yang mendapat pencapaian mengikut syarat minimum 6A2B (Matematik A, Sains A) ialah seramai 4,438 orang atau 87.57 peratus berbanding 3,498 orang pada tahun lepas," katanya.
Beliau berkata empat mata pelajaran mencatatkan peningkatan peratus pencapaian gred A pada tahun ini iaitu Sains (+3.9 peratus), Bahasa Inggeris (+2.6 peratus), Bahasa Melayu (+2.0 peratus) dan Sejarah (+1.8 peratus).
(Sumber: Bernama - 23/12/2010 - 7:51PM)
Beliau berkata sebanyak 3,232 tempat disediakan di 43 buah MRSM seluruh negara.
"Permohonan boleh dibuat secara talian dengan percuma," katanya dalam satu kenyataan, di sini Jumaat.
Ibrahim berkata pemohon perlu mendapatkan no PIN daripada semua pejabat Mara atau MRSM berdekatan dengan membawa salinan keputusan peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 dan salinan kad pengenalan yang telah disahkan serta angka giliran PMR.
"Pemohon-pemohon yang membawa keputusan percubaan PMR mestilah menunjukkan mereka memenuhi syarat iaitu lulus Matematik dan Sains. Bagaimanapun syarat kemasukan masih sama iaitu sekurang-kurangnya pemohon mendapat 6A 2B dan mendapat gred A dalam Matematik dan Sains," katanya.
Tawaran kemasukan ke MRSM itu bagaimanapun tidak dibuka kepada pelajar yang menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI).
Tarikh tutup permohonan menerusi talian ialah pada 21 Okt ini manakala bagi permohonan melalui borang dan dokumen berkaitan, tarikh tutup ialah pada 26 Okt.
Pemohon turut dinasihati agar membuat permohonan lebih awal dan tidak menunggu sehingga tarikh tutup bagi mengelak kesesakan talian.
Untuk maklumat lanjut pemohon boleh layari laman web Mara di www.mara.gov.my.
(Sumber: Bernama - 24/09/2010)
Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata langkah itu bertujuan bagi melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam bidang pendidikan, malah mempunyai sahsiah diri yang tinggi untuk dunia dan akhirat.
Beliau berkata setakat ini sistem pendidikan berteraskan konsep itu sudah diperkenalkan di MRSM Kota Putra, Besut, Terengganu dan MRSM Gemenchih, Negeri Sembilan.
"Konsep pendidikan Ulu Al-Bab ini lebih merupakan sistem tambah nilai kepada sistem pendidikan yang sedia ada di MRSM di seluruh negara, bagi melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga memiliki sahsiah diri yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas di majlis kesyukuran MRSM Pasir Tumboh yang muncul sebagai MRSM terbaik di seluruh negara dalam peperiksaan Penilaian Menenegah Rendah (PMR) tahun lepas.
Idris berkata sebuah lagi MRSM seumpama itu akan diwujudkan di utara negara, bagaimanapun tempatnya masih belum diputuskan lagi.
Menurutnya setakat ini MARA mempunyai 42 MRSM di seluruh negara, tidak termasuk empat hingga lima buah yang masih dalam pembinaan.
"Kami akan menambah beberapa buah lagi MRSM, termasuk di Malaysia Timur bagi menampung keperluan pelajar yang kian meningkat setiap tahun," katanya.
Mengenai kejayaan pelajar MRSM dalam peperiksaan PMR tahun lepas, Idris berkata ia berkat daripada kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan semua pihak, termasuk tenaga pengajar, ibu bapa dan pelajar sendiri.
(Sumber: Bernama - 17/1/2010 - 17:04pm)
Keputusan Tawaran Permohonan Kemasukan MRSM Tingkatan Satu & Tingkatan Empat 2010
- Semakan Online : 1 Februari, 2010 ( di laman http://www.mara.gov.my)
- Tingkatan 1 : 5,900 tempat ; Jumlah permohonan : 23,400
- Tingkatan 4 : 3,400 tempat ; Jumlah Permohonan : 15,000
- Tarikh Pendaftaran : 17 Februari, 2010 (Rabu)
Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhammad, berkata keputusan untuk memasuki 39 MRSM seluruh negara itu boleh diperoleh secara online menerusi laman web Mara pada tarikh berkenaan.
"Keseluruhannya seramai 23,400 permohonan diterima, tetapi hanya yang layak dan memenuhi syarat akan tersenarai seperti memperoleh keputusan 5A, selain pelajar luar bandar, keluarga berpendapatan rendah serta aktif dalam kokurikulum.
"Semua pelajar yang berjaya perlu mendaftar ke MRSM pada 17 Februari ini," katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Selain Mara, Kementerian Pelajaran juga menawarkan 6,600 tempat ke sekolah berasrama penuh (SBP) kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang UPSR.
Ibrahim berkata, pihaknya sudah pada peringkat akhir menyaring calon yang mengemukakan permohonan untuk ditawarkan tempat ke MRSM awal bulan depan.
Bagi lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang memohon memasuki Tingkatan Empat ke MRSM pula, beliau berkata, sebanyak 3,400 tempat disediakan di maktab berkenaan di seluruh negara.
"Sebanyak 15,000 permohonan diterima dengan pertimbangan utama akan diberikan kepada pemohon yang memperoleh keputusan minimum 6A termasuk A untuk Sains dan Matematik," katanya.
(Sumber: BMinggu - 17/1/2010 - Nasional)
Semakan kemasukan tingkatan satu dan empat MRSM 2010 boleh dibuat pada minggu terakhir Januari ini dan surat akan dihantar kepada yang berjaya.
Tarikh pendaftaran pelajar baru MRSM ialah pada 17 Februari dan 18 Januari bagi Program Ulul Albab.
(Sumber: Utusan - 28/12/2009)
MRSM Serting pula mencatatkan peratusan terbaik bagi jumlah pelajar yang mendapat semua A iaitu 105 orang atau 71.92 peratus.
Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Hanisah Omar berkata, tahun ini 15 MRSM mendapat keputusan cemerlang iaitu lebih 60 peratus calonnya mendapat A dalam semua subjek.
"MRSM Jeli menunjukkan peningkatan paling ketara iaitu sebanyak 12.27 peratus diikuti MRSM Batu Pahat dan MRSM Kuala Lipis dengan masing-masing mencatatkan 12.10 peratus dan 11.27 peratus.
"Pencapaian ini menjadi ukuran kemantapan sistem pendidikan MRSM dan pihak Mara berasa bangga atas kecemerlangan ini," katanya.
Seramai 4,130 pelajar MRSM menduduki PMR 2009.
Sementara itu, Program Pendidikan Integrasi Sains Tulen bersama aliran agama termasuk Tahfiz al-Quran akan diperkenalkan di MRSM Gemencheh selepas MRSM Kota Putra.
(Sumber: Utusan - 28/12/2009)
Beliau berkata, permohonan masuk ke tingkatan satu kedua-dua MRSM itu sedang dibuka dan ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka boleh berbuat demikian.
Katanya, seramai 170 orang pelajar tingkatan satu akan berpeluang belajar di setiap MRSM itu yang menggunakan konsep pendidikan yang selaras dengan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM).
''Sebelum program yang dilaksanakan di MRSM Kota Putera bermula tahun lalu telah memperlihatkan impak yang memberangsangkan apabila ramai pelajar yang mampu menghafaz sehingga 10 juzuk al-Quran," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong dekat Besut hari ini.
Idris berkata, program Ulul Albab yang berteraskan tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik mampu melahirkan ilmuwan Islam yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk akademik.
Katanya, di samping mampu menguasai al-Quran, pelajar juga memilik ilmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai bidang serta merupakan seorang yang berinovasi dan kreatif dalam kehidupan.
'' Setiap tahun pelajar disasarkan mampu menghafaz 10 juzuk al-Quran dan dalam tempoh tiga tahun mereka mampu menghafaz 30 juzuk al Quran yang merupakan satu kelebihan kepada pelajar berkenaan," katanya.
Beliau berkata, konsep pembelajaran yang lebih bersistematik dan bersepadu itu bukannya baru dilaksanakan sebaliknya telah pun berjaya dipraktikkan dengan jayanya di Sekolah Menengah Imtiaz Besut sebelum ini.
Tambahnya, menerusinya diharapkan nanti generasi pelajar yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang dalam bidang sains dan teknologi malah ilmu-ilmu agama sebagai tokoh peringkat dunia.
(Sumber: Utusan Malaysia - 12/12/2009 )
Beliau berkata persetujuan awal telah dicapai dengan Mara bagi pembinaan MRSM itu yang dicadang dibina di Perak.
"Kurikulumnya adalah sedikit berbeza yang mana selain ditekankan akademik ia juga memberi tumpuan kepada bidang keagamaan iaitu hafazan al-Quran," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bekas Tentera Malaysia di Masjid Seri Wangsa, Manik Urai Lama di sini, Khamis.
Beliau berkata MRSM itu kelak akan menumpukan pada pelajaran duniawi dan ukhrawi.
Selain itu Ahmad Zahid berkata Maktab Tentera Diraja juga akan dinaik taraf bagi membolehkan pengambilan lebih banyak pelajar pada masa depan.
Apabila dinaik taraf kelak, katanya jumlah pengambilan pelajar daripada 500 pada satu-satu masa sekarang akan dapat ditingkatkan kepada sehingga 1,000 pelajar.
"Pelajar yang memperolehi enam kredit ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberi peluang untuk belajar di maktab ini," katanya.
Pada majlis itu seramai tujuh bekas tentera yang telah berkhidmat bagi tempoh 1 Jan 1969 hingga 2 Dis 1989 menerima Pingat Jasa Malaysia.
(Sumber: Bernama - 02/07/2009 - 17:45pm)
Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Blanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan, berkata MRSM bernilai RM80 juta tersebut akan dibina di tapak seluas 21.6 hektar dan dijangka siap April 2011.
"Pembinaan MRSM ini sekaligus dapat menghidupkan semula ekonomi pekan Parit yang kini malap sekaligus membuktikan kepada rakyat bahawa janji kerajaan untuk mereka dan bukan hanya sekadar janji pilihan raya," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan tapak pembinaan oleh Pengarah Unit Binaan dan Senggaraan Mara, Mohammad Zain Saad, kepada pemaju projek, Nas Global Construction Sdn Bhd, di sini hari ini.
Menurut Zaim hasrat masyarakat di kawasan itu untuk mendapatkan sebuah MRSM sejak lebih sembilan tahun lepas akhirnya tercapai.
(Sumber: Bernama - 22/04/2009 - 16:57PM)
Nampaknya, MRSM Parit mungkin mula dibuka kemasukan ambilan barunya pada 2012.
Semakan Tawaran Ambilan Kedua Kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi Tingkatan Empat 2009 boleh diperolehi di laman web rasmi MARA mulai 13 Mac.
(klik->) Laman Semakan Online MRSM Tingkatan Empat Ambilan Kedua (<-klik)
Tahniah kepada lepasan PMR 2008 yang dapat tawaran SBP Ambilan Kedua dan MRSM Ambilan Kedua - serentak hari ini.
Semakan Tawaran Ke Tingkatan 4 Sekolah Berasrama Penuh Ambilan Kedua Tahun 2009 Boleh Dibuat Mulai 13 Mac 2009 Bermula Jam 10.00 pagi.
Keputusan permohonan / rayuan yang dibuat sebelum ini boleh diperolehi di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ini bermakna, semakan tawaran ke Tingkatan Empat MRSM Ambilan Kedua Tahun 2009 akan menyusul tidak lama lagi.
Semakan permohonan untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi panggilan kedua tahun 2009 dibuka mulai 11 Mac, 2009. Akhirnya tiba juga waktu yang ditunggu-tunggu oleh calon-calon yang telah membuat rayuan sebelum ini.
Sila rujuk laman (klik->) Laman Semakan Online MRSM Ambilan Kedua (<-klik) untuk membuat semakan. Isikan nombor angka giliran UPSR sahaja.
Jika berjaya akan dipaparkan lokasi MRSM yang ditempatkan serta tarikh mendaftar: 23/03/2009 (hari Isnin).
Semoga berjaya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, penubuhan MRSM itu yang mendapat sokongan kewangan sektor swasta penting bagi menampung permohonan pelajar bumiputera yang semakin meningkat.
"Tahun lalu, Mara menerima lebih 40,000 permohonan daripada pelajar bumiputera tetapi sekadar mampu menyediakan tempat kepada 11,000 pelajar memandangkan bajet yang terhad.
"Oleh itu, penubuhan MRSM swasta ini akan membantu meningkatkan bilangan pelajar bumiputera menuntut di maktab berkenaan dengan yuran pengajian yang masih dalam peringkat perbincangan."
“Siapa nak masuk (MRSM swasta) kena bayar, kemasukan bukan untuk orang kaya saja, tetapi orang miskin yang mampu atau sanggup untuk bayar. Kelayakan masuk juga akan dikaji , katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan dan Latihan Mara 2009 yang menghimpunkan lebih 100 pegawai atasan Mara bersama beberapa tokoh pendidik dan pelatih profesional di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin.
Mengulas lanjut, kata Noh, buat masa ini, Mara sedang berbincang dengan Bank Rakyat yang memiliki lebih 800,000 ahli untuk membina MRSM swasta. Institusi kewangan itu akan membina bangunan berharga RM80 juta di atas tanah seluas 20 hektar manakala Mara berperanan menyediakan tenaga pengajar selain program pembelajaran. Jumlah perbelanjaan bagi seorang pelajar termasuk yuran di MRSM swasta ini dianggarkan RM5,000 setahun.
Noh berkata, penubuhan MRSM swasta yang pertama itu dijangka akan dibina di Tanjong Karang, Selangor.
Kata beliau, Mara berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak firma terutama syarikat milik kerajaan (GLC) dalam membangunkan MRSM swasta.
"Ini kerana jenama MRSM semakin diyakini setelah berjaya melahirkan ribuan pelajar bertaraf dunia dan menjadi pemimpin pelbagai organisasi pada masa ini," ujarnya.
Mara mengambil 5,300 pelajar Tingkatan Satu setiap tahun berbanding permohonan yang diterima melebihi 23,000 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala pengambilan pelajar Tingkatan Empat pula seramai 6,000 setahun dengan permohonan yang diterima 19,000 orang.
- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -
Pada majlis yang sama, Noh mengumumkan rancangan Mara membeli kursi pengajian di 10 universiti terbaik dunia antaranya Universiti Harvard di Amerika Syarikat, Universiti Oxford dan Universiti Cambridge di United Kingdom serta Universiti Tokyo mulai tahun ini.
Jelasnya, pembelian kursi di universiti terkenal di luar negara yang dianggarkan berharga kira-kira AS$10 juta (RM37.1 juta) setiap satu akan memudahkan kemasukan pelajar Melayu ke pusat pengajian berkenaan.
"Apabila Mara ada kursi di universiti terkemuka itu, pelajar kita boleh masuk tanpa melalui tapisan ketat seperti dilakukan oleh Singapura," katanya.
Kini, kira-kira 10,000 pelajar tajaan Mara menuntut di universiti seluruh dunia termasuk mereka yang sedang mengikuti kursus automotif, komputer dan teknologi maklumat di Jerman, Perancis, United Kingdom, Jepun dan Korea Selatan.
(Sumber: Utusan Malaysia & Berita Harian: 04/03/2009)
- Ranking SBP mengikut Gred Purata Sekolah - (fail JPEG)
- Ranking SBP mengikut Analisis Keseluruhan Subjek - (fail EXCEL)
Klik sini ->> Aplikasi Semakan Online MRSM - T1 <<- Klik siniKlik sini ->> Aplikasi Semakan Online MRSM - T4 <<- Klik sini
Nampaknya, bukanlah pada hujung bulan Januari seperti yang diwarwarkan sebelum ini. Bagaimanapun, memang lazim bagi pihak MARA mengeluarkan keputusan tawaran kemasukan MRSM pada bulan Februari.
Sementara itu, belajarlah seperti biasa di sekolah sekarang, dengan bersungguh-sungguh. Bukankah anda semua pelajar-pelajar cemerlang? Jika anda telah meraih keputusan hebat di sekolah sekarang, tentunya mampu begitu juga untuk PMR dan SPM kelak di sekolah yang sama. Buktikan!
Selamat maju jaya.