| 0 comments ]

PakTeh dah lama tak bercerita.. hari ini tetiba teringin pula. Kisahnya tentang hal ehwal guru dari cucu saudara PakTeh yang rajin menjenguk selalu.

Pada 16 Mei tahun 2011 lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia telah menjanjikan sesuatu dalam Perutusan Khas Sempena Hari Guru. Antara yang menarik ialah seperti berikut:



"Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan Kerajaan dalam memartabatkan   profesyen keguruan, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan. Manakala, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan. Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

Khabar gembiranya Insyaallah, tarikh kuat kuasa pelaksanaan semua perubahan yang dinyatakan tadi akan bermula pada 1 hb Januari 2012. "
Ironisnya ialah teks ucapan beliau mewujudkan jawatan 'baru' iaitu Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Akademik. Tiada jawatan itu di sekolah sebenarnya. Realiti dalam pengurusan sekolah ialah hal ehwal akademik sudah termaktub di bawah bidang kuasa tugas GPK Pentadbiran. Yang pasti, GPK Hal Ehwal Murid yang sememangnya wujud di sekolah tidak disebutkan. Mungkin Datuk Seri tersalah baca, tetapi tentunya penulis teks itu yang tersalah.. iaitu seorang yang lain. Namun begitu, isi teks itulah yang dibaca secara langsung semasa Hari Guru 2011, juga terpapar sedemikian juga di akhbar-akhbar utama pada keesokan harinya.

Harap-harap kesalahan "kecil" ini bukanlah kerja Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) sebagai penulisnya, yang diberitakan tidak tahu selok belok pentadbiran sekolah. PTD bukannya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, mereka tiada lesen untuk mengajar. Khabarnya puak ini semakin ramai di Kementerian Pelajaran, dah mula masuk ke JPN serta PPD, juga dah lama menjenguk-jenguk ruang untuk masuk ke sekolah sebagai pentadbir.

"Malam sikit! Pii rah!", kata anak saudara dan cucu saudara PakTeh yang bertandang minggu lalu, waktu kami sembang petang di hujung minggu.

Katanya, dalam satu forum pendidikan melibatkan seluruh pegawai "ter"kanan sekolah bagi sebuah negeri  di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu, khabarnya tetamu jemputan seorang pegawai "ter"kanan KPM (Human Resources) boleh sebut dalam ucapannya: "GPK HEM itu kerjanya apa ha? Apa dia buat di sekolah?".

Cucu saudara PakTeh bagitau, "Sah! PTD tu tak pernah masuk universiti.. Kalau dia pernah masuk universiti, dia akan tahu "what a Vice Chancellor of Student Affairs really means".


Itu satu.

Tak apalah, kata cucu saudara PakTeh. Mungkin PTD tu dah tua.. Zaman dia dulu, di sekolah hanya ada seorang Pengetua, dan seorang saja Penolong Kanan. Dia tak tau dah ada tiga (pentadbiran, hal ehwal murid dan kokurikulum) macam sekarang,  Mungkin anak-anak PTD dah sangat dewasa, bekerja.., jadi dia tak perlu lagi jalan dan jenguk ke sekolah ambil tahu apa-apa perkara lagi. Lagipun, PTD biasalah kerja pindah-randah kementerian. Jadi, amat sukarlah baginya mengetahui perkara-perkara kecil tentang subordinates yang "kecik-kecik" di ceruk pekan dan kampung. Ya lah.. sebab dia kan perlu handle perkara yang "super besar-besar" saja. Kan? Hih hi hi.

Ok. Yang kedua..
Selepas perutusan itu.. "khabar gembira" Datuk Seri Najib itu senyap.. sunyi sepi. Mungkin berikutan isu SBPA sejak Disember lalu yang kemudiannya mansuh, diganti pula dengan versi baru SMM bagi kakitangan awam mulai April 2012. Mungkin ini menyebabkan khabar gembira itu tertangguh.

Namun begitu, dengarnya pada hari ini - 11/5/2012 - "khabar gembira" itu terlaksana juga. Khabarnya seluruh Pengetua dan semua Guru-guru Penolong Kanan yang berkenaan satu Malaysia dilantik "backdated" untuk memangku jawatan dengan gred yang dijanjikan bermula tarikh yang dijanjikan. Baguslah.. jadi juga, cuma nampak macam lambat sikit. Sebab Hari Guru berikutnya bagi 2012 adalah minggu depan, hari Rabu. Hih hih hih.

Oh ya.. Hari Guru 2012 nak janji apa pula? Pilihanraya PRU13 kan dah dekat..

Hrm.. semakan data untuk kertas kerja data insentif bagi guru pemegang Sarjana dan PhD dah dibuat baru-baru ini. Mungkin ada insentif tambahan bagi guru-guru berkaitan. NUTP dah banyak tahun mohon sebenarnya, kenaikan 3-5 increments.  Kita tengok sajalah nanti.. kalau PM nak bagi.


Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) pergi-balik antara Kuala Lumpur Sentral dan Ipoh akan beroperasi mulai Isnin ini (14/5/2012), menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Perjalanan dari Lumpur Sentral ke Ipoh bermula pada jam 8 pagi dan tren terakhir pada jam 10.30 malam manakala dari Ipoh ke Kuala Lumpur Sentral bermula 5.30 pagi dan tren terakhir pada jam 8 malam.

Menurut kenyataan KTMB, pengguna yang tiba di Kuala Lumpur Sentral masih boleh meneruskan perjalanan ke Seremban atau mana-mana stesen di sepanjang laluannya dengan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter.

Katanya pengguna perkhidmatan ETS itu boleh membuat tempahan tiket 30 hari sebelum tarikh perjalanan.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan KTM Berhad di talian 1-300-88-5862 atau layari laman sesawang www.ets-train.com.my.

(Sumber: Bernama - 11/5/2012 - 10:57pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat segera menjelaskan status penubuhan Suruhanjaya Khas bagi menyemak gaji penjawat awam.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata CUEPACS masih menantikan pelantikan anggota Suruhanjaya Khas itu, yang ditubuhkan selepas Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan pada 8 Mac lepas.

"Sempena sambutan Hari Pekerja 2012 di Taman Pameran Pertanian Malaysia di Serdang pada Sabtu, Cuepacs berharap mendapat perkhabaran gembira daripada Perdana Menteri mengenai perkara itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Pekerja Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti IPTA Malaysia (GAKUM) di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini.

Penubuhan suruhanjaya khas itu diumumkan Najib pada perjumpaan khas dengan penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas dan beliau turut mengumumkan pelaksanaan semula Skim Saraan Malaysia (SSM) selepas pembatalan SBPA.

(Sumber: Bernama - 11/5/2012 - 8:26pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012 yang membenarkan mahasiswa terlibat dalam apa juga persatuan, badan atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus, diluluskan di Dewan Negara Khamis.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah ketika menggulung perbahasan berkata selain membuktikan keikhlasan dan keberanian kerajaan, pindaan itu akan menghapuskan 'budaya kebimbangan' di kalangan mahasiswa.

Saifuddin berkata pindaan itu diharap dapat menyuburkan kembali aktiviti berpersatuan di kalangan mahasiswa yang dahulunya terhalang hingga menyebabkan beberapa persatuan yang aktif seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia terkubur.

Selain AUKU, persidangan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Pelajaran (Tatatertib)(Pindaan) 2012.

Turut diluluskan Rang Undang-undang Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012, Rang Undang-Undang Jasa Perkasa Persekutuan (Elaun Kenangan) 2012 dan Rang Undang-Undang Pingat Tentera Udara (Elaun Kenangan) 2012.

(Sumber: Bernama - 11/05/2012 - 9:45pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Lebih 2,700 pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mencipta sejarah apabila terpilih mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) secara sukarela selama tiga bulan mulai 14 Mei ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata pengambilan lepasan STPM itu dibuat selepas disarankan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendapat persetujuan Kementerian Pertahanan yang menyelia program berkenaan.

"Ia pertama kali dalam sejarah PLKN di mana bekas pelajar tingkatan enam yang telah tamat STPM baru-baru ini yang sudah tahu keputusan peperiksaan, menyertai program ini secara sukarela.

"Ia juga dikhususkan kepada bekas pelajar tingkatan enam yang tidak terpilih untuk mengikuti PLKN sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu selepas menghadiri satu kes saman melibatkan JLKN hari ini.

Abdul Hadi berkata selain mendapat kemudahan sama seperti pelatih wajib PLKN termasuk elaun, peserta sukarela juga mendapat bonus tambahan apabila Kementerian Pelajaran bersetuju untuk menambah markah bagi aktiviti ko-kurikulum mereka.

"Mereka akan mendapat lebih markah tambahan (untuk aktiviti ko-kurikulum) bagi memasuki universiti kelak kerana ia telah dipersetujui di antara JLKN dan Kementerian Pelajaran.

"Walaupun ia tidak wajib dan mereka dianggap sebagai peserta sukarela, tetapi mereka akan dapat kemudahan seperti pelatih yang wajib, termasuk elaun bulanan," katanya.

Abdul Hadi berkata ia adalah peluang terbaik kepada para pelajar berkenaan bagi mengisi masa lapang mereka selama tiga bulan sebelum menyambung pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada September depan.

Selain penghantaran surat, katanya peserta sukarela yang terpilih boleh juga menyemak nama mereka di dalam laman web JKLN.

(Sumber: Bernama - 10/5/2012 - 6:20pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pengumuman pelaksanaan gaji minimum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas adalah satu pencapaian penting dalam struktur gaji yang akan memberi manfaat kepada ribuan pekerja di Malaysia.

Sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri, ia adalah yang pertama dalam sejarah Malaysia, para pekerja diberikan gaji minimum antara RM800 dan RM900 sebulan bergantung kepada lokasi mereka bekerja, di mana ia akan memberi impak kepada lebih 33.8 peratus daripada keseluruhan pekerja yang pada masa ini berpendapatan kurang daripada RM700 sebulan.

"Secara prinsipnya, saya pasti bahawa ini adalah satu tindakan tepat yang dilakukan," kata beliau dalam laman blog beliau pada Isnin dan menyatakan bahawa kadar minimum itu diputuskan setelah mempertimbangkan beberapa faktor yang dicadangkan bank Dunia seperti kos sara hidup, indeks garis kemiskinan dan kadar pengangguran.

Tarikh mula pelaksanaan gaji minimum berkuat kuasa enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan kelak. Banyak pihak melihat dasar itu adalah satu permulaan yang baik kerana ia akan disemak setiap dua tahun bagi mengambil kira apa jua perubahan yang berlaku.

Di sebalik perdebatan berterusan mengenai jumlah minimum yang ditetapkan, ramai menyatakan bahawa mereka memahami penjelasan Najib bahawa kerajaan perlu berhati-hati untuk menentukan keseimbangan antara menjadi pekerja mendapat upah sewajarnya dan menggalakkan majikan terus menggaji pekerja.

Gaji minimum itu ditetapkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang sebelum ini didesak banyak kesatuan sekerja serta aktivis dan pastinya adalah lebih adil untuk mereka melihat secara positif memandangkan apa yang mereka mahukan telah diperoleh.

Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata gaji minimum bukanlah satu tongkat sakti yang menyelesaikan semua masalah ekonomi yang dihadapi golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata kerajaan mempunyai kaedah lain untuk membantu golongan berpendapatan rendah seperti bantuan subsidi bernilai berbilian ringgit, pengagihan langsung bantuan tunai dan latihan bagi memberi kemahiran baru kepada mereka.

Adalah sesuatu yang mengelirukan bagi pekerja untuk berfikir dan berasakan bahawa gaji minimum itu bertujuan menjadikan golongan miskin beroleh pendapatan tinggi dalam sekelip mata kerana bukan itu matlamat dasar gaji minimum.

"Gaji minimum adalah satu penanda aras bagi menentukan bahawa gaji paling rendah yang diberikan tidak boleh kurang daripada apa yang ditentukan kerajaan. Sudah tentu, majikan boleh menawarkan gaji lebih tinggi jika mereka berpendapat pekerja mereka layak berdasarkan kelayakan dan kemahiran mereka," katanya dalam satu artikel disiarkan dalam The Borneo Post.

Para pekerja dan majikan boleh berbeza pendapat, yang apapun adalah sebahagian daripada proses demokrasi. Mereka yang berpendapatan rendah seharusnya bersyukur berikutan pelaksanaan dasar gaji minimum yang akan menjadi pendapatan minimum mereka dan bagi kebanyakan pekerja, ini bermakna satu peningkatan drastik gaji bersih mereka.

Namun, bagi kesatuan pekerja di Sabah dan Sarawak, ia bukanlah sangat terhadap dasar gaji minimun perlu dilaksanakan tetapi persoalan yang timbul adalah mengapa ia ditetapkan pada RM800, yang dianggap sesetengah pihak sebagai "sangat rendah".

Hujah mereka adalah bahawa kos sara hidup di Sabah dan Sarawak adalah 15 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada tempat-tempat lain.

"Sementara penjawat awal menerima elaun wilayah, pekerja sektor swasta tidak menerima apa-apa dan gaji pekerja di kedua-dua negeri kekal rendah.

"Contohnya, jurujual di pasar raya berpendapatan kurang daripada RM500, dan pekerja di restoran makanan segera di sebuah pusat beli-belah terkenal diKuching dibayar hanya RM2.30 sejam, semuanya adalah di bawah garis kemiskinan RM962," kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak Mohamad Ibrahim Hamid.

Beliau berkata kadar yang ditetapkan bagi Sarawak rendah kerana majikan tidak berupaya membayar lebih sebagaimana majikan di Semenanjung makala pada dua dekad lepas kenaikan gaji di negeri itu jauh ketinggalan daripada peningkatan produktiviti.

"Maka adalah salah untuk berdebat bahawa kita tidak boleh menetapkan gaji minimum terlalu tinggi kerana syarikat-syarikat membayar begitu rendah sehingga sekarang," katanya dipetik sebagai berkata dalam akhbar tempatan di Sarawak.

Menteri Sumber Manusia menjelaskan perbezaan gaji minimum antara Semenanjung dan Sarawak, Sabah serta Labuan adalah berdasarkan kajian terperinci termasuk Bank Dunia, dengan kadar dikira berasaskan faktor ekonomi dan statistik.

Kementerian menggunakan lima kriteria bagi menentukan gaji minimum termasuk indeks garis kemiskinan, gaji penengah, indeks harga pengguna, produktiviti dan kadar pengangguran yang digunakan sebagai formula iaitu RM956.70 bagi Semenanjung manakala Sabah dan Labuan (RM771.58) serta Sarawak (RM781.21).

Jika gaji minimum ditetapkan pada RM900 bagi Sarawak, Sabah dan Labuan, dikhuatiri majikan, terutamanya syarikat kecil, berhadapan dengan masalah untuk terus beroperasi atau gulung tikar, dan akhirnya pekerja hilang pekerjaan mereka.

Kementerian Sumber Manusia menjelaskan bahawa gaji penengah bagi Semenanjung adalah RM1,134 berbanding RM738 (Sarawak) dan RM577 (Sabah dan Labuan), dan adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan gagal membela nasib pekerja di kedua-dua negeri berkenaan.

(Sumber: Bernama - 10/5/2012 - 2:34pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Skim Rumah Pertamaku yang diperkenalkan oleh kerajaan pada Mac tahun lalu bukan jaminan bahawa setiap pembeli kediaman yang berharga antara RM100,000 dan RM400,000 layak diberikan pembiayaan perumahan, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Khamis.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata keputusan muktamad pembiayaan adalah bergantung kepada kemampuan peminjam dan penilai kredit oleh bank-bank yang terlibat.

"Peminjam masih lagi perlu memenuhi kriteria asas yang ditetapkan oleh bank-bank menyertai skim ini," katanya semasa menjawab soalan Senator Lee Cheam Choon.

Cheam Choon ingin tahu mengapa Skim Rumah Pertamaku hanya ditetapkan kepada individu yang mendapat gaji bulanan di bawah RM3,000 untuk hartanah yang tidak melebihi RM250,000.

Awang Adek berkata semasa pembentangan Bajet 2012, kerajaan telah menambah baik skim tersebut dengan meningkatkan had maksimum harga rumah daripada RM220,000 kepada RM400,000 bagi membolehkan pembelian rumah melalui pinjaman bersama suami isteri yang masing-masing berpendapatan RM3,000 ke bawah.

(Sumber: Bernama - 10/5/2012 - 12:40pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan durian runtuh bukan sahaja kepada peneroka malah untuk isteri dan anak peneroka serta warga kerja Felda.

Durian runtuh untuk peneroka adalah berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Ketika mengumumkan berita baik itu di hadapan kira-kira 50,000 warga peneroka Felda di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, dekat sini, Najib berkata Felda kini telah memasuki satu transformasi baru setelah penyenaraian FGVH.

Beliau berkata pemberian durian runtuh itu akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama berjumlah RM5,000 untuk ketua keluarga, fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka dan fasa ketiga RM5,000 kepada generasi kedua Felda.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bonus dua bulan setengah gaji kepada petugas dan pegawai Felda.

Turut hadir, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman itu, Najib berkata pembayaran bagi fasa pertama akan diagihkan dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu dari Selasa.

"Pembayaran akan dibuat secara tunai dan fasa kedua akan dibuat sebaik sahaja selesai pembayaran fasa pertama manakala pemberian bonus kepada kakitangan Felda juga akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.

Pada majlis itu juga, Najib turut mengumumkan tiga lagi insentif yang disifatkan beliau sebagai 'durian gugur' iaitu tabung amanah, 'blue form' untuk saham FGVH kepada peneroka dan tambahan bantuan untuk dana Yayasan Felda bagi membantu program baik pulih kampung-kampung lama dan tradisional di kawasan Felda.

Berkenaan dengan tabung amanah itu, Najib berkata sebanyak 20 peratus dalam tabung amanah adalah untuk penyenaraian FGVH dan sekiranya FGVH dapat keuntungan maka dividen akan diberi kepada setiap peneroka.

"Pada tahun depan kita jangkakan keuntungan sebanyak RM1.5 bilion dan sekiranya jumlah itu kekal seperti tahun lepas, setiap peneroka akan menerima lebih RM1,300, kalau untung lebih, peneroka akan dapat lebih lagi".

Najib berkata setiap peneroka akan menerima `blue form' untuk dapatkan saham FGVH dan beliau amat berharap peneroka tidak akan menjual saham berkenaan.

Perdana Menteri pada program itu turut menempelak mereka yang menentang penyenaraian FGVH termasuk segelintir peneroka serta pihak pembangkang yang cuba mencelarukan pemikiran rakyat.

"Saya tak rela dan redha mereka ini menerima (durian runtuh) ini kerana mereka ini mengkhianati apa yang kita buat, hanya peneroka yang jujur dan setia sahaja yang layak menerima durian runtuh ini," katanya.

Najib berkata durian runtuh itu dilihat amat bermakna untuk para peneroka yang telah banyak berkorban membangunkan tanah rancangan yang pada asalnya hanya hutan rimba.

"Bantuan ini bukan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), hanya RM500, ini bukan BR1M, tapi BROOM," katanya sambil berseloroh.

Najib berkata Felda yang bermula di Lurah Bilut pada 1956 kini telah memasuki fasa terakhir abad 21 yang bukan lagi bertatih tetapi mampu berdiri dan gagah perkasa di pentas ekonomi dunia.

(Sumber: Bernama - 8/5/2012 - 12:58pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengemukakan nama 422 pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen bagi tempoh Januari-Mac 2012 untuk menghalang mereka daripada meninggalkan negara sebelum menjelaskan tunggakan caruman KWSP pekerja masing-masing.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata ia membuktikan keazaman KWSP dalam melindungi simpanan persaraan pencarumnya.

"KWSP mengambil tindakan tegas termasuk tindakan levi dan sivil terhadap majikan dan pengarah syarikat yang gagal menunaikan tanggungjawab KWSP mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagi tempoh sama, 160 majikan yang tidak mencarum didenda RM155,400 oleh mahkamah mengikut Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991.

Kenyataan itu berkata 255 saman sivil dan 892 kes jenayah difailkan di mahkamah terhadap majikan yang tidak membayar caruman bulanan KWSP pekerja mereka.

"Pencarum perlu memainkan peranan dengan kerap menyemak akaun KWSP mereka dan memastikan majikan membayar caruman pada masa yang ditetapkan," kata Nik Affendi.

(Sumber: Bernama - 7/5/2012 - 6:32pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Status keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya boleh diketahui mulai Isnin (7 Mei, 2012).

Keputusan permohoan ke Universiti Putra Malaysia (UPM) pula boleh diketahui mulai 12 tengah hari Selasa (8 Mei, 2012), demikian menurut kenyataan akhbar ketiga-tiga universiti itu yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Semakan boleh dilakukan melalui laman web http://www.um.edu.my/kemasukan, http://www.ukm.my/kemasukan/tawaran dan http://www.smp.upm.edu.my/tawaran bagi program Asasi Sains, Asasi Pengajian Islam di UM, program Asasi Pintar di UKM dan program Asasi Sains Pertanian dan diploma di UPM.

Calon yang berjaya boleh menyemak maklumat tawaran dan mencetak surat tawaran rasmi melalui laman web Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) masing-masing untuk membuat pengesahan dalam tempoh tujuh hari bekerja bermula esok hingga 15 Mei ini.

Tarikh pendaftaran penuntut baru ke program Asasi Pintar UKM adalah pada 23 Mei bermula pukul 9 pagi hingga 11 pagi, program Asasi Sains dan Asasi Pengajian Islam UM pada 27 Mei, manakala program Asasi Sains Pertanian pada 17 Mei di UPM, Serdang dan diploma pada 7 Jun di UPM, Kampus Bintulu.

Bagi calon yang gagal, mereka boleh mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan permohonan kemasukan ke IPTA diumumkan melalui laman web rasmi kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my.

Tarikh tutup permohonan e-Rayuan ialah pada 18 Mei dan keputusan rayuan akan diumumkan pada minggu kedua Jun 2012.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Seksyen Kemasukan dan Rekod, Bahagian Akademik, UM di talian 03-79673448/3440/3502, Bahagian Pengurusan Akademik UKM di talian 03-89215336/5041/4126 atau Pusat PERMATA Pintar Negara ditalian 03-89216265/7507 dan Bahagian Akademik UPM di talian 03-89466059/6060/6056.

(Sumber: Bernama - 7/5/2012 - 2:52PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara berkemungkinan diberi lebih banyak kuasa autonomi bagi membolehkan usaha meningkatkan akedemik yang lebih tepat dilakukan bersesuaian mengikut sekolah masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini merupakan antara langkah kementerian itu untuk menjadikan hala tuju pendidikan di negara ini lebih mantap setanding dengan negara maju.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata autonomi peringkat sekolah dan daerah dinyatakan buat kali pertama bukanlah kerana Kementerian Pelajaran mahu melepaskan tanggungjawab, sebaliknya menyedari wujudnya keadaan yang berbeza antara satu daerah dan daerah lain. Perbezaan itu, katanya bukan sahaja dari segi keluasan kawasan dan saiz tetapi juga isu serta masalah disebabkan eko-sistem yang tidak serupa.

"Jadi ia perlukan satu pendekatan dan cara untuk tangani untuk menentukan sekolah di kawasan itu dapat mencapai tahap kecemerlangan yang kita hendak miliki," katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra Warga Pendidik dan Perasmian Bangunan PPD Muar di Muar, Johor.

Muhyiddin berkata dengan langkah itu, PPD boleh bertanggungjawab dan mengambil langkah penambaikan secepat mungkin sekiranya timbul sebarang masalah di sekolah itu.

Malah, katanya bagi keadaan di sesetengah negeri seperti Sabah dan Sarawak, PPD akan menjadi organisasi yang lebih penting untuk menentukan apa sahaja dasar yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan, dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Katanya jika perkara itu dapat dilaksanakan, maka keadaan di sekolah sama ada dari segi pentadbiran mahupun akademik akan bertambah baik.

(Sumber: Bernama - 4/5/2012 - 8:51pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam, matrikulasi, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS dibenarkan menangguh untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata keputusan itu dibuat dengan persetujuan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran, dengan pelatih dibenarkan menyertai PLKN selepas tamat pengajian.

Persetujuan juga dicapai untuk menetapkan had umur maksimum 35 tahun untuk peserta menyertai program itu, katanya kepada pemberita selepas melancarkan pergerakan pelatih-pelatih PLKN Kumpulan 2 Siri 9 di Padang Bangunan Zetro, Wangsa Maju, di sini hari ini.

Program 2 Siri 9/2012 PLKN yang bermula hari ini melibatkan pergerakan 53,348 pelatih di seluruh negara dengan menaiki 906 buah bas, 46 penerbangan dan sembilan buah feri untuk tempoh tiga hari ini.

Pergerakan hari ini melibatkan seramai 19,300 orang dengan menaiki 324 buah bas, 29 penerbangan dan sebuah feri.

"Penangguhan ini bagi membantu ibu bapa supaya tidak perlu mengambil anak mereka yang menyertai latihan ini untuk melanjutkan pelajaran dan akan menghantar anak mereka untuk menyertai latihan ini kembali setelah tamat pengajian," katanya.

Abdul Hadi berkata selain itu, calon yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dijangka diumumkan pada September depan, dibenarkan untuk memohon menyertai PLKN.

Permohonan untuk menyertai PLKN akan dibuka seawal-awalnya hujung minggu ini, katanya.

Abdul Hadi juga berkata JLKN juga mengadakan kaji selidik mengenai status indeks jisim tubuh (BMI) 32,032 orang pelatih PLKN kumpulan satu awal tahun ini bagi mengenal pasti kesesuaian aktiviti fizikal atau keperluan mereka.

Katanya selepas 10 minggu menyertai PLKN, seramai 397 daripada 2,502 peserta yang di bawah kategori obesiti dan 207 orang daripada 4,003 peserta di bawah kategori gemuk telah berjaya menurun berat badan.

Kesemua 504 peserta itu mendapat berat badan yang ideal setelah menamatkan latihan mereka, katanya.

"Ini adalah kali pertama program itu dijalankan, dan berharap selepas mereka menamatkan latihan ini, mereka akan terus mengekalkan berat badan yang ideal, " katanya.

(Sumber: Bernama - 1/5/2012 - 3:48pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...