Skim Rumah Pertamaku yang diperkenalkan oleh kerajaan pada Mac tahun lalu bukan jaminan bahawa setiap pembeli kediaman yang berharga antara RM100,000 dan RM400,000 layak diberikan pembiayaan perumahan, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Khamis.
Sebaliknya, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata keputusan muktamad pembiayaan adalah bergantung kepada kemampuan peminjam dan penilai kredit oleh bank-bank yang terlibat.
"Peminjam masih lagi perlu memenuhi kriteria asas yang ditetapkan oleh bank-bank menyertai skim ini," katanya semasa menjawab soalan Senator Lee Cheam Choon.
Cheam Choon ingin tahu mengapa Skim Rumah Pertamaku hanya ditetapkan kepada individu yang mendapat gaji bulanan di bawah RM3,000 untuk hartanah yang tidak melebihi RM250,000.
Awang Adek berkata semasa pembentangan Bajet 2012, kerajaan telah menambah baik skim tersebut dengan meningkatkan had maksimum harga rumah daripada RM220,000 kepada RM400,000 bagi membolehkan pembelian rumah melalui pinjaman bersama suami isteri yang masing-masing berpendapatan RM3,000 ke bawah.
(Sumber: Bernama - 10/5/2012 - 12:40pm)
0 comments
Post a Comment