Isnin: 19 Mei, 2008

"Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di sini Isnin. Bekas Presiden Umno itu juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.
"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno)," katanya. Bercakap kepada pemberita selepas majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu kedah itu, Dr Mahathir dengan wajah kecewa berkata beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.