| 0 comments ]

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mencadangkan supaya mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dapat dikategorikan sebagai miskin bandar di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan kategori miskin bandar tidak boleh disamakan dengan definisi miskin yang diguna pakai di bawah sistem data kemiskinan e-Kasih sekarang.

Katanya, justeru definisi baru miskin bandar ini akan membolehkan lebih ramai warga kota mendapat pelbagai bantuan kerajaan sejajar dengan hasrat mewujudkan kesejahteraan bandar.

''Namun harus ada perincian lanjut pada maksud pendapatan bawah RM3,000. Maksudnya bukan semua yang berpendapatan bawah RM3,000 layak.

''Sebaliknya kita tengoklah berapa orang anak dan perkara-perkara lain sebelum boleh kata orang itu tergolong dalam miskin bandar,'' katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Krismas anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) di sini hari ini.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, antara perkara paling pokok berhubung bantuan yang akan diberikan kepada mereka yang tergolong dalam miskin bandar ialah soal perumahan.

Sehubungan itu katanya, beliau yakin kerajaan akan memberi lebih peruntukan pada aspek itu yang akan diperbesarkan lagi di bawah RMK-10 selain bantuan-bantuan lain yang akan diteruskan seperti unit saham amanah.

''Menjadi hasrat kerajaan supaya lebih ramai masyarakat bandar yang dikategorikan miskin bandar dapat menerima manfaat bantuan kerajaan. Jadi di sinilah tugas utama kementerian untuk mempertingkatkan lagi jumlah mereka yang layak menerimanya."

''Sebelum ini tak ramai yang dapat kerana rujukan adalah pada e-Kasih tetapi untuk RMK-10 dengan bermula tahun 2011, asas-asas definisi miskin bandar akan diubah sama seperti yang pernah disuarakan Perdana Menteri,'' jelasnya.

(Sumber: Utusan - 26/12/2009 - Wilayah Kota)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment