| 0 comments ]

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau masih belum berpuas hati dengan hasil kajian yang dilakukan termasuk sesi perbincangan meja bulat mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan bersedia untuk memberi masa lebih panjang kerana apa jua keputusan kerajaan terhadap isu berkenaan adalah kritikal.

"Kami tidak mahu dilihat sebagai tidak konsisten (flip-flop) dalam perkara ini. Kami perlu melihat lebih banyak maklum balas. Tetapi melihat kepada kajian-kajian yang dilakukan oleh beberapa badan bebas, hasilnya tidak sama dengan perbincangan meja bulat yang diadakan.

"Kadang kala semasa perbincangan meja bulat, orang ramai tidak mempunyai fakta dan bukti. Mereka bercakap berasaskan kepada apa yang mereka rasa. Mereka mestilah menyokong pendapat dengan banyak fakta dan bukti sama ada perlu dilakukan perubahan ataupun tidak," katanya kepada pemberita selepas melawat Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian pada akhirnya akan mengemukakan hasil kajian kepada Kabinet sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai isu berkenaan.

Muhyiddin berkata beliau sedia menerima sesiapa juga yang berhasrat memberi pandangan atau memorandum dalam hal itu, dan sekiranya ia baik pandangan itu boleh diterima pakai.

"Sekarang ini banyak pihak beri pandangan masing-masing. Ada yang setuju dan tidak setuju. Yang penting ialah soal masa depan bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris, yang tidak kurang penting ialah soal masa depan anak kita yang belajar di sekolah.

Katanya keputusan yang bakal diumumkan adalah berdasarkan kajian mendalam pastinya akan memberi kesan terhadap dasar sedia ada, atau penambahbaikan perubahan dasar.

Mengenai cadangan bagi menyemak semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Muhyiddin berkata ia akan dilakukan sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan sulungnya kepada rakyat.

Muhyiddin berkata perkara itu memerlukan masa bagi membolehkan perundingan diadakan dengan pihak-pihak berkepentingan, masyarakat dan parti-parti politik.

"Ini bukan hanya suatu keprihatinan kerajaan tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihat hasilnya," kata beliau.

Muhyiddin, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut kerana masih terlalu awal untuk menyatakan apa-apa mengenainya.

(Sumber: Bernama - 04/05/2009 - 20:56PM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment