| 0 comments ]

Kerajaan hari ini bersetuju untuk mewajibkan majikan yang mempunyai pembantu rumah warga asing memberi cuti sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah mereka, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata perkara itu akan termaktub di dalam kontrak pekerjaan yang akan ditandatangani di antara majikan, pekerja dan agensi yang membawa masuk pekerja asing itu.

"Kementerian akan mewajibkan semua pembantu rumah mempunyai kontrak pekerjaan (yang menyatakan) perkara berkenaan gaji, nama majikan, tempat mereka bekerja serta mewajibkan mereka diberi satu hari cuti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan kesatuan pekerja dan badan bukan kerajaan (NGO) mengenai isu pekerja asing di Kuala Lumpur.

Subramaniam berkata terpulang kepada majikan dan pembantu rumah untuk menentukan hari cuti, dan jika majikan dan pekerja bersetuju untuk tidak memberi hari cuti, ia akan diganti dengan pembayaran gaji.

Sehubungan itu, katanya kementerian akan meminda Akta Pekerjaan untuk memasukkan perkara berkenaan bagi menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja asing di dalam sektor pembantu rumah.

"Sektor-sektor lain telah diliputi oleh Akta Pekerjaan ini kecuali pembantu rumah. Kini ia sedang dalam peringkat penggubalan peraturan, selepas itu kita akan dapatkan persetujuan daripada Pejabat Peguam Negara sebelum ia diluluskan dan dilaksanakan mungkin dalam tahun ini juga," katanya.

Sementara itu, beliau juga akan mewajibkan semua majikan yang menggaji pekerja asing supaya mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dengan kerjasama Jabatan Imigresen.

Subramaniam berkata dengan langkah ini, diharapkan kejadian membabitkan keselamatan dan kebajikan pembantu rumah warga asing seperti penderaan tidak akan berulang lagi.

"Kita juga akan memberi satu buku garis panduan kepada pembantu rumah warga asing yang mempunyai nombor telefon agensi berkaitan dan kedutaan yang akan memudahkan mereka mendapatkan bantuan daripada kerajaan jika mengalami sebarang masalah," katanya.

Katanya jika majikan ingkar atau melanggar peraturan dalam kontrak pekerjaan itu, mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah seperti denda tidak melebihi RM10,000.

(Sumber: Bernama - 16/06/2009 - 19:33pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan bersedia mengkaji kemungkinan melanjutkan tempoh perlindungan insurans bagi pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) daripada tiga hari kepada dua minggu sebelum dan dua minggu selepas mereka keluar dari kem.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata kerajaan bersedia membuat kajian itu selepas beberapa anggota Parlimen membangkitkan isu berkenaan.

"Kita berlapang dada dan bersedia menerima cadangan anggota-anggota Yang Berhormat. Kalau perlu dua minggu sebelum dan dua minggu selepas ada perlindungan, berikutan masa lama diperlukan doktor untuk mengesan penyakit yang kompleks," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang PLKN di Kuala Lumpur, Selasa.

Beberapa anggota Parlimen dalam sesi perbahasan rang undang-undang itu membangkitkan isu tempoh perlindungan insurans yang dikatakan terlalu pendek sehingga ada kes pelatih yang sakit atau meninggal dunia selepas tamat latihan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Dr Abdul Latiff berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa ini, pelatih PLKN dilindungi skim insurans berkelompok sebanyak RM40,000 seorang jika ditimpa kemalangan sepanjang tempoh tiga bulan menjalani latihan, tiga hari sebelum memasuki kem dan tiga hari selepas menamatkan kursus itu.

Dalam pada itu, Abdul Latiff menempelak Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang mencelah sesi penggulungan itu bagi mencadangkan supaya kursus PLKN dihentikan sementara, kerana mendakwa terdapat banyak kelemahan, termasuk jumlah kematian pelatih yang tinggi dan bilangan jurulatih bukan Melayu yang sedikit.

"Pada tahun 2003, ketika Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara mula dibentangkan, Batu Gajah (Fong) sudah minta program ini ditangguhkan. Beliau dari dulu sampai sekarang tidak pernah berubah.

"Cadangan ini tidak boleh diterima kerana takkan kerana ada 11 kematian di institusi pengajian tinggi awam dan 12 orang murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina maka sesi pengajian di semua universiti dan sekolah perlu ditangguhkan," katanya.

Beliau turut menjelaskan bilangan jurulatih kaum Cina dan India kini masing-masing sebanyak 40 orang dan 24 orang daripada keseluruhan 2,898 jurulatih PLKN.

Menyedari hakikat itu, kata Dr Abdul Latiff, kerajaan memberi jaminan untuk memperhebatkan lagi kempen penerangan bagi menarik lebih ramai kaum lain sebagai jurulatih PLKN.

Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan.

(Sumber: Bernama - 16/06/2009 - 18:34pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Yayasan Terengganu (YT) akan menaja 100 pelajar dari kalangan anak negeri untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara tahun ini. Pengarahnya Mohd Kamaru Al-Amin Ismail berkata pelajar-pelajar itu akan dihantar untuk mengikuti pengajian tersebut di Rusia dan Mesir Oktober ini.

"Proses memilih calon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di dua buah negara itu sudah selesai. Namun mereka perlu terlebih dahulu mengikuti kursus bahasa berkaitan dan tata negara," katanya di Kuala Terengganu - Selasa.

Beliau berkata sehingga ini, Yayasan Terengganu menaja 261 pelajar anak negeri untuk mengikuti pengajian perubatan di luar negara, dengan 78 darinya ke Rusia, Ukraine (38), Indonesia (65) dan Mesir (80).

Menurutnya pihak Yayasan membelanjakan RM30 juta bagi membiayai pengajian pelajar-pelajar berkenaan bagi tempoh enam tahun.

Mohd Kamaru Al-Amin berkata kerajaan negeri merancang untuk menghantar antara 100 dan 150 pelajar anak negeri untuk mengikuti pengajian perubatan sama ada di dalam dan luar negara setiap tahun.

"Matlamat kami ialah untuk memastikan jumlah pegawai perubatan dalam negara mencukupi pada masa akan datang," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mulai tahun ini, Yayasan Terengganu sedang bekerjasama dengan syarikat Asia Pasific di Kota Bharu, Kelantan untuk melatih 20 anak Terengganu selama setahun untuk menjadi juruterbang.

(Sumber: Bernama - 16/06/2009 - 16:04pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran akan memberi keutamaan kepadan calon dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pada pengambilan bulan ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru kementerian itu, Datuk Misrah Ibrahim berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk menyediakan tenaga guru yang mencukupi di kawasan pedalaman kedua-dua negeri berkenaan.

Daripada 2,000 calon yang akan dipilih untuk mengikuti kursus KPLI di institut pendidikan guru di seluruh negara, 1,200 adalah dari Sabah dan Sarawak manakala selebihnya dari Semenanjung Malaysia, katanya.

"Ini adalah kali pertama kita mengambil calon paling ramai dari Sabah dan Sarawak untuk memberi peluang kepada mereka berkhidmat di kawasan pedalaman seperti Pensiangan, Nabawan, Kudat dan Ulu Sugut.

"Guru yang berkhidmat di pedalaman mencukupi kerana kita ada guru sandaran tetapi guru terlatih masih tidak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Zon Sabah di sini Selasa.

Misrah berharap langkah kementerian memberikan keutamaan kepada calon dari pedalaman mengikuti KPLI dapat membantu meningkatkan mutu pendidikan di kawasan pendalaman terutama di Sabah dan Sarawak.

"Saya yakin usaha ini akan membantu merealisasikan teras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar," katanya.

Ketika diminta mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Ahad lepas yang membantah cadangan Kementerian Pelajaran memanjangkan tempoh pengajian KPLI daripada setahun kepada 18 bulan, beliau berkata ia hanya merupakan cadangan dan bukan keputusan muktamad.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat kira-kira 8,000 guru dari Semenanjung yang berkhidmat di pelusuk negeri Sabah untuk mengajar mata pelajaran tertentu termasuk pendidikan Islam.

"Ada subjek-subjek tertentu seperti pendidikan Islam, Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain yang orang Sabah tidak ada calon, jadi kita perlukan guru dari negeri-negeri lain di Semenanjung untuk mengajar mata pelajaran itu," tegasnya.

Sementara itu, Misrah berkata seramai 97,000 calon dari seluruh negara memohon untuk mengikuti kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia peringkat ijazah tetapi hanya 6,200 calon yang akan diambil.

"Saya juga akan pastikan lebih ramai calon dari Sabah dan Sarawak khususnya lelaki kerana bilangan lelaki yang mengikuti kursus perguruan amat sedikit berbanding wanita," tambahnya.

(Sumber: Bernama - 16/06/2009 - 16:51pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Penjawat awam dilarang menggunakan kemudahan modem untuk membuat capaian terus ke Internet kerana ia melanggar Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet dan Mel Elektronik di agensi-agensi kerajaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Garis panduan itu yang dikeluarkan pada 2003, adalah sebagai panduan kepada penjawat awam dalam penggunaan Internet, kata Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat Selasa.

Aktiviti lain yang melanggar tatacara pengguna Internet di pejabat kerajaan termasuk menyedia, memuat naik, memuat turun dan menyimpan gambar, lagu atau teks yang bercorak penentangan yang boleh membawa keadaan huru-hara dan menakutkan pengguna Internet yang lain, katanya.

Penjawat awam juga dilarang menyalahgunakan kemudahan perbincangan awam secara online seperti newsgroup dan bulletin board, menggunakan kemudahan 'chatting' melalui internet, menggunakan kemudahan Internet untuk tujuan peribadi dan menjalankan aktiviti komersil dan politik.

Najib berkata kerajaan juga telah menyekat beberapa laman web dan blog yang berunsur lucah serta berunsur hasutan manakala beberapa laman web dan blog yang sedang dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi masih belum dikenakan tindakan larangan melayari.

Beliau berkata sehingga kini sembilan orang telah dikenakan tindakan iaitu lapan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan satu oleh PDRM.

Dalam jawapan bertulis kepada Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju), Najib berkata Bank Negara Malaysia sentiasa memantau pematuhan garis panduan kepada pengeluar kad kredit.

"Sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap mana-mana garis panduan, BNM berhak untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas syarikat kad kredit terbabit di bawah kuasa yang termaktub di dalam Akta Sistem Pembayaran 2003 selepas kajian menyeluruh dilakukan ke atas ketidakpatuhan tersebut dan jenis tindakan yang diambil bergantung kepada tahap ketidakpatuhan," katanya.

(Sumber: Bernama - 16/06/2009 - 17:52pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Lebih 1.2 juta penduduk terutama yang tinggal di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak kini mendapat khidmat 1,089 perpustakan desa di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Perpustakaan Negara, Raslin Abu Bakar berkata usaha- usaha sedang giat dijalankan agar lebih ramai lagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar mendapat manfaat daripada kemudahan ini.

"Kita sudah mengarahkan 1,200 pengurus perpustakaan mendekati mereka dari rumah ke rumah untuk menggalakkan mereka minat membaca bagi menambahkan ilmu pengetahuan, " katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Asas Pengurusan Perpustakaan Desa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Machang, Kelantan malam tadi.

Beliau berkata di samping itu jabatan tersebut juga mensasarkan lebih 500 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara mempunyai perpustakaan desa.

Ini bermakna 70 peratus kawasan DUN sekarang mempunyai perpustakaan desa, tambah beliau.

Beliau berkata jabatan itu memperuntukkan lebih RM500,000 bagi penubuhan setiap perpustakaan termasuk membina bangunan, penyediaan tapak, peralatan termasuk komputer dan perkhidmatan internet.

Katanya ini tidak termasuk membekalkan 4,000 naskah buku pelbagai judul dan majalah yang sesuai dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah rendah, menengah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang pulang bercuti di kampung masing-masing.

(Sumber: Bernama - 16/06/2009 - 11:43am)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia dijangka susut sebanyak 4.4 peratus tahun ini sebelum pulih kepada 2.2 peratus tahun depan dan 5.3 peratus pada 2011, demikian menurut Bank Dunia dalam laporannya mengenai kedudukan ekonomi global.

Menerusi laporan "Kewangan Pembangunan Global 2009: Merencanakan Pemulihan Global", Bank Dunia menyebut penguncupan 4.4 itu adalah hasil daripada pergantungan tinggi eksport barangan elektronik, minyak dan minyak sawit mentah, yang kesemuanya turun ketara, selain pasaran domestik yang secara relatifnya kecil.

Bank itu berkata di Thailand, kejatuhan dalam eksport akibat ketidaktentuan politik, menyebabkan keluaran menyuncup sebanyak 3.2 peratus, berikutan perkembangan paling perlahan dalam membangunkan Asia Timur pada 2008. Ia dijangka mencatat pertumbuhan 2.2 peratus pada 2010 dan 3.1 peratus pada 2011.

Ia berkata di kedua-dua negara, yang merupakan antara negara yang berpendapatan sederhana di rantau ini, keluaran diunjur menyusut pada 2009 ekoran kejatuhan dalam eksport dan pelaburan.

Indonesia dan Vietnam diunjur mencatat 3.5 peratus pertumbuhan pada 2009 dan 5.0 peratus tahun depan, manakala Filipina bakal menyaksikan penurunan 0.5 peratus tahun ini, sebelum meningkat kepada 2.4 peratus pada tahun berikutnya.

Bank itu berkata hasil daripada kedudukan China, pertumbuhan dalam membangunkan Asia Timur dan Pasifik akan menjadi rantau itu antara yang paling cepat berkembang berbanding kebanyakan negara lain tahun ini, pada anggaran lima peratus.

China dijangkakan berkembang paling pantas berbanding kebanyakan negara lain tahun ini pada anggaran 9.3 peratus, namun dijangka suust kepada 8.3 peratus tahun depan.

Ia berkata kecuali China, KDNK di rantau ini dijangkakan susut sebanyak 0.2 peratus pada 2009, angka paling rendah sejak krisis pada lewat 1990-an.

Menurut laporan itu, dalam keadaan ekonomi dunia mengalami kemelesetan dan pasaran kewangan global yang goyah, kemasukan modal bersih swasta ke negara membangun susut kepada AS$707 bilion pada 2008, kejatuhan ketara berbanding waktu puncak sebanyak AS$1.2 trilion (AS$1=RM3.50) pada 2007.

Aliran modal antarabangsa diunjur terus menurun pada 2009, kepada AS$363 bilion, katanya.

Laporan itu memberi ingatan bahawa dunia kini memasuki era pertumbuhan yang lebih perlahan yang memerlukan pemerhatian yang lebih berkesan dan ketat dalam sistem kewangan selain pertumbuhan global dijangka negatif, dengan jangkaan penguncupan 2.9 peratus pada 2009, sebelum pulih kepada dua peratus pada 2010 dan 3.2 peratus pada 2011.

"Perlunya penstrukturan semula sistem perbankan, lengkap dengan had untuk meluaskan dasar di negara berendapatan tinggi, dapat mengelak pemulihan global daripada menguncup," kata Justin Lin, Ketua Ekonomi dan Naib Presiden Kanan Pembangunan Ekonomi Bank Dunia.

Beliau berkata negara membangun boleh menjadi pemacu utama dalam pemulihan, dengan andaian pelaburan domestik pulih dengan sokongan antarabangsa, termasuk memulihkan aliran kredit antabangsa.

Hans Timmer, Pengarah Kumpulan Prospek bank itu pula berkata bagi mengelak gelombang ketidakstabilan kali kedua, dasar perlu bertumpu terhadap pemulihan sektor kewangan dan menyokong negara-negara paling miskin.

(Sumber: Bernama - 15/06/2009 - 16:30pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Penubuhan Bank Data Kemiskinan Negara (eKasih) bertujuan menyelaraskan maklumat mengenai penerima bantuan yang layak bagi mengelakkan pertindihan penyampaian bantuan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K Devamany.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa sistem eKasih akan dapat memastikan penyampaian bantuan dilaksana dengan lebih berkesan memandangkan pelbagai kementerian dan agensi terlibat dalam usaha pembasmian kemiskinan.

"Melalui eKasih, maklumat peserta yang layak menerima bantuan boleh diakses bagi tujuan perancangan, permohonan bantuan dan penentuan saluran penyampaian bantuan yang bersesuaian.

"Ini termasuklah mereka yang tersenarai layak untuk menerima bantuan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR)," katanya ketika menjawab soalan Datuk Tiong King Sing (BN-Bintulu).

Devamany berkata eKasih dibangunkan untuk menyeragamkan maklumat Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) miskin dan miskin tegar.

"Maklumat ini meliputi kawasan luar bandar dan bandar, termasuk mereka yang tersenarai di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR)," katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak berhasrat untuk menyerahkan kepada satu agensi sahaja bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan.

(Sumber: Bernama - 15/06/2009 - 16:54pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) giat berusaha memenuhi 50,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah.

Beliau berkata kekosongan itu termasuk 5,000 jawatan doktor, 5,000 jururawat, 300 jurutera, 800 Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan yang lain bagi pelbagai kategori pegawai biasa dan kakitangan sokongan.

Kerajaan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pendidikan dalam bidang perubatan untuk membantu kerajaan mengatasi kekurangan doktor, katanya kepada Bernama di sini.

Beliau menambah bahawa lebih banyak biasiswa dan pinjaman diperoleh untuk rakyat Malaysia mengikuti kursus perubatan tempatan dan luar negara.

Pada masa yang sama, katanya Kementerian Kesihatan mengkaji kemungkinan mengambil doktor asing untuk memenuhi kekosongan itu.

Murugiah berkata sungguhpun jumlah jururawat yang sedang dilatih mencukupi di negara ini, kebanyakkannya berminat untuk berkhidmat di luar negara kerana gaji dan kemudahan yang lebih baik.

Beliau berharap rakyat Malaysia mengambil peluang ini untuk memenuhi pelbagai kekosongan kerana kerajaan telah memperbaiki skim gaji dan kemudahan untuk kakitangan awam.

Mereka yang berminat boleh memohon jawatan ini melalui dalam talian www.spa.gov.my.

Untuk keselesaan pemohon luar bandar khasnya di Sabah dan Sarawak, beliau berkata SPA akan menjalankan temuduga di bandar kawasan itu.

(Sumber: Bernama - 12/06/2009 - 12:52pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Buat julung kalinya, Kementerian Pengajian Tinggi meluluskan kursus peringkat diploma dan ijazah dalam perubatan tradisional Cina untuk ditawarkan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) Malaysia di bawah kursus perubatan tradisional dan komplemetari.

Ketika mengumumkan perkara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung berkata pengajian perubatan tradisional Cina sangat terkenal dan lazimnya diiktiraf oleh masyarakat luar negara sejak sekian lama, oleh itu kementerian memutuskan untuk memperkenalkan kursus itu di Malaysia.

Usaha itu, katanya sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab bagi pendidikan tinggi di rantau ini.

Ditanya mengenai pensyarah berkelayakan bagi kursus itu, beliau berkata IPTS terbabit akan mengambil pensyarah dari Malaysia dan China.

"Kursus ini akan dikendalikan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin berdasarkan sukatan pelajaran," kata Dr Hou pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata kelulusan yang diberikan untuk menawarkan kursus berkenaan adalah berkat usaha yang dilakukan oleh kementerian itu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Katanya Kementerian Pengajian Tinggi akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan berhubung isu sama ada terdapat keperluan bagi siswazah perubatan tradisional Cina untuk berkhidmat di hospital kerajaan selepas menamatkan pengajian mereka.

"Pada masa ini, tanggungjawab utama Kementerian Pengajian Tinggi ialah untuk memantau kusus yang dikendalikan oleh institusi pengajian tinggi swasta," katanya.

Tiga IPTS akan menawarkan pengajian dalam perubatan tradisional Cina mulai tahun ini iaitu Kolej Universiti Antarabangsa INTI, yang akan menawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda Perubatan Tradisional Cina; Kolej Universiti Perubatan Sains Cyberjaya, yang akan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan Homeopati (Kepujian); dan Management and Science University (MSU), yang akan menawarkan Diploma Perubatan Tradisional Cina.

(Sumber: Bernama - 11/06/2009 - 20:21pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian berhubung kekurangan guru di kalangan golongan lelaki dan antara pandangan yang dikemukakan termasuk mendapatkan insentif khas untuk menarik lebih ramai lelaki menceburi bidang perguruan.

"Saya tidak kata akan kurangkan tahap kelayakan (menjadi guru), tapi kementerian akan cari jalan lain untuk kurangkan jurang itu walaupun ia mengambil masa yang lama," kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kekurangan guru di kalangan golongan lelaki bukanlah kerana diskriminasi jantina, sebaliknya merupakan situasi realiti pada masa kini.

Katanya dilema bilangan guru lelaki yang jauh ketinggalan berbanding wanita iaitu dengan nisbah 20:80 pada masa kini, menjadi tumpuan utama kementerian untuk menyelesaikan masalah itu.

"Saya tidak menyalahkan gender... apa yang boleh kementerian lakukan sekarang ialah mengurangkan jurang bilangan guru lelaki dan wanita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Taman Geo Rimba Kilim di Ayer Hangat, di Langkawi, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datuk Dr Aminah Ayob semalam, yang melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan bakal guru di kalangan bukan Melayu dan lelaki di universiti itu.

Muhyiddin berkata masalah itu juga mungkin timbul akibat kurangnya keinginan golongan lelaki memilih profesion perguruan atau tiada kelayakan dan terpaksa memilih kerjaya lain.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau gembira dengan maklum balas orang ramai mengenai cadangan kerajaan bagi menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Semua orang setuju bahasa Inggeris itu penting.... tiada siapa pun yang mengatakan bahasa Inggeris tidak perlu dan respons yang diterima sangat memberangsangkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian tidak akan membuat keputusan terburu-buru mengenai pelaksanaannya dan masih mempelawa orang ramai memberi pandangan berhubung syarat mewajibkan calon lulus itu.

(Sumber: Bernama - 11/06/2009 - 20:19pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memberi keutamaan kepada lepasan sekolah yang pernah menganggotai pasukan kadet untuk menyertai pasukan keselamatan itu apabila ada pengambilan baru.

Panglima Medan TDM Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata langkah mengenalpasti bekas anggota kadet sekolah adalah bagi memudahkan pemilihan anggota tentera di masa akan datang.

"Mereka yang pernah menyertai pasukan kadet di sekolah dan memohon untuk menjadi anggota tentera mempunyai kelebihan untuk dipilih kerana telah melalui latihan asas ketenteraan.

"Kita akan menggunakan maklumat itu apabila memilih rekrut baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkhemahan Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) Darat Peringkat Kebangsaan 2009 di Kem Paradise di Kota Belud, Khamis.

Katanya, TDM mempunyai tiga cara bagi mengenalpasti orang ramai yang pernah menyertai pasukan beruniform itu di peringkat sekolah iaitu melalui sekolah, agensi pekerjaan dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

"Aktiviti yang kita adakan untuk kadet tentera seperti perkhemahan ini merupakan aktiviti bagi meningkatkan ketahanan dan memupuk semangat patriotik di kalangan pelajar sekolah.

"Ini juga bagi melahirkan generasi pewaris yang bakal berkhidmat untuk keselamatan negara," katanya.

Seramai 375 lelaki dan 180 wanita ahli PKBM dari seluruh negara menyertai perkhemahan seminggu sejak Selasa lalu.

Perkhemahan tahunan kali ke-13 itu diadakan buat pertama kali di luar Semenanjung.

(Sumber: Bernama - 11/06/2009 - 15:40pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datuk Dr Aminah Ayob hari ini melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan bakal guru di kalangan bukan Melayu dan lelaki di universiti itu.

Katanya daripada 4,800 pelajar di universiti itu, hanya 20 peratus daripada mereka terdiri daripada pelajar bukan Melayu dan 23 peratus pelajar lelaki.

"Kami sendiri gagal mengenal pasti kenapa perkara ini berlaku. Tetapi mungkin disebabkan perbezaan kecenderungan dan minat antara kaum itu sendiri.

"Malah di universiti kami, pelajar-pelajar bukan Melayu kebanyakannya mengambil program tertentu seperti perniagaan dan ekonomi serta sains dan teknologi," katanya ketika mempengerusikan Majlis Dialog UPSI Bersama Media, di sini, hari ini.

Kekurangan bakal guru lelaki juga menjadi tanda tanya kerana UPSI yang dahulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris hanya mengambil pelajar lelaki, dan akhirnya menerima permohonan pelajar perempuan pada tahun 1976.

Selain itu, Dr Aminah juga menyatakan kebimbangan mengenai kekurangan bakal guru untuk mata pelajaran bahasa Mandarin.

"Kita memerlukan lebih calon untuk memohon program ini. Ia tidak hanya terbuka kepada pemohon dari kaum itu sendiri, tetapi termasuk kepada mereka yang mempunyai kelayakan dalam bahasa tersebut.

"Mungkin kita boleh berdialog dengan badan-badan bukan kerajaan atau aktivis bahasa Mandarin bagi memahami dan menyelesaikan masalah ini," katanya.

UPSI yang menyediakan tenaga pengajar untuk sekolah-sekolah menengah seluruh negara baru sahaja menawarkan program pendidikan bahasa Mandarin dan setakat ini masih gagal memenuhi unjuran keperluan guru bahasa itu seperti yang diminta oleh Kementerian Pelajaran.

(Sumber: Bernama - 10/06/2009 - 18:23pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...