| 0 comments ]

Yayasan Terengganu (YT) akan menaja 100 pelajar dari kalangan anak negeri untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara tahun ini. Pengarahnya Mohd Kamaru Al-Amin Ismail berkata pelajar-pelajar itu akan dihantar untuk mengikuti pengajian tersebut di Rusia dan Mesir Oktober ini.

"Proses memilih calon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di dua buah negara itu sudah selesai. Namun mereka perlu terlebih dahulu mengikuti kursus bahasa berkaitan dan tata negara," katanya di Kuala Terengganu - Selasa.

Beliau berkata sehingga ini, Yayasan Terengganu menaja 261 pelajar anak negeri untuk mengikuti pengajian perubatan di luar negara, dengan 78 darinya ke Rusia, Ukraine (38), Indonesia (65) dan Mesir (80).

Menurutnya pihak Yayasan membelanjakan RM30 juta bagi membiayai pengajian pelajar-pelajar berkenaan bagi tempoh enam tahun.

Mohd Kamaru Al-Amin berkata kerajaan negeri merancang untuk menghantar antara 100 dan 150 pelajar anak negeri untuk mengikuti pengajian perubatan sama ada di dalam dan luar negara setiap tahun.

"Matlamat kami ialah untuk memastikan jumlah pegawai perubatan dalam negara mencukupi pada masa akan datang," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mulai tahun ini, Yayasan Terengganu sedang bekerjasama dengan syarikat Asia Pasific di Kota Bharu, Kelantan untuk melatih 20 anak Terengganu selama setahun untuk menjadi juruterbang.

(Sumber: Bernama - 16/06/2009 - 16:04pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment