| 0 comments ]

Seramai 7,987 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2009 memperoleh gred cemerlang (A , A, dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 6,277 pada 2008.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata daripada jumlah itu, seramai 214 calon berjaya memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A ) bagi penggredan baru yang mula diperkenalkan tahun lalu.

Beliau berkata gred Cemerlang Tertinggi diperkenalkan sebagai gred yang lebih tinggi daripada gred 1A bagi memperincikan lagi kecemerlangan seseorang calon.

"Saya gembira memaklumkan bahawa pada keseluruhannya pencapaian calon pada kali ini amat membanggakan, melebihi pencapaian tahun sebelumnya.

"Pencapaian calon meningkat dari segi peratusan bilangan memperoleh sijil, cemerlang (A , A dan/atau A-) dan lulus semua mata pelajaran yang diduduki," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 di Kementerian Pelajaran, Putrajaya pada Khamis.

Katanya seramai 465,853 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan ini pada tahun lalu.

Alimuddin berkata daripada 59,433 calon persendirian, sekolah swasta dan sekolah-sekolah tajaan agensi selain Kementerian Pelajaran, seramai 41 orang memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A ).

Beliau turut mengumumkan Gladys Tan Yee Kim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, Sarawak sebagai pelajar terbaik bagi SPM 2009 dan Sekolah Menengah Sains Seremban, Negeri Sembilan sebagai sekolah terbaik.

Katanya bagi 10 sekolah pelajar terbaik, sembilan pelajar yang lain ialah Grace Kiew Sze-Ern (SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor), Khadijah Ahmad Jais (SM Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan), Akmal Hidayat Sabri (SMK Derma, Kangar, Perlis), Syamilah Mahali (Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan);

Lee Wei Ling (SMK Taman Melawati, Selangor), Nur Syuhadah Muhamad (SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan), Lai Yin Kwin (SMK Tinggi Melaka, Melaka), Corinne Gunn Huey Min (SMK Taman Melawati, Selangor) dan Hu May Khei (SMK Convent, Taiping, Perak).

Katanya sembilan lagi sekolah terbaik pula ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Jalan Sungai Pusu, Gombak, Kuala Lumpur; Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur;

SBPI Rawang, Selangor; Sekolah Menengah Sains Muar, Johor; SBPI Temerloh, Pahang; SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor dan Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan.

Alimuddin berkata daripada 406,420 calon sekolah Kementerian Pelajaran yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu, seramai 364,046 (90.8 peratus) berjaya memperoleh sijil SPM berbanding 347,443 (90.8) pada 2008.

"Walaupun peratusannya sama, tetapi terdapat pertambahan calon seramai 16,603. Pencapaian ini adalah stabil sepertimana pencapaian tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata seramai 199,155 (49.6 peratus) calon lulus semua mata pelajaran yang diambil berbanding 181,419 (47.4) pada tahun sebelumnya.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 68,131 (17 peratus) calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi semua mata pelajaran dalam SPM tahun lalu berbanding 60,902 (15.9) pada 2008.

"Pencapaian ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik. Bagaimanapun, bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G agak meningkat iaitu seramai 4,626 (1.15 peratus) pada tahun 2009 berbanding 2,589 (0.67) pada 2008," katanya.

Alimuddin berkata seramai 538 calon berkeperluan khas pelbagai kecacatan telah menduduki peperiksaan SPM 2009 berbanding 481 calon pada 2008, dan daripada jumlah itu, 251 (51.9 peratus) calon berjaya mendapat sijil SPM berbanding 208 (47.8) pada 2008.

Katanya dua calon rabun penglihatan berjaya mendapat empat A , tiga A dan empat A- daripada 11 mata pelajaran yang diambil manakala seorang lagi mendapat empat A , tiga A dan tiga A- daripada 10 mata pelajaran yang diduduki.

"Terdapat dua lagi calon yang mengalami pelbagai kecacatan berjaya memperoleh pencapaian cemerlang apabila kedua-duanya mendapat lapan A , dua A daripada 10 mata pelajaran yang diambil," katanya.

Katanya pencapaian calon bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu seramai 5,942 calon bandar dan 1,243 (luar bandar) memperoleh cemerlang bagi semua mata pelajaran berbanding 4,750 (bandar) dan 989 (luar bandar) pada 2008.

Beliau berkata jurang perbezaan antara calon bandar dan luar bandar telah dapat dirapatkan dari segi prestasi beberapa mata pelajaran teras iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Pendidikan Moral.

Alimuddin berkata bagaimanapun usaha untuk merapatkan jurang prestasi antara bandar dan luar bandar perlu dipergiatkan lagi terutamanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Islam.

Katanya berdasarkan Gred Purata Sekolah, sebanyak 66 buah sekolah berada dalam kategori Cemerlang, 278 (Baik), 1,654 (Memuaskan) dan 143 (Berpotensi), menunjukkan usaha kementerian untuk meningkatkan prestasi sekolah berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata jumlah pelajar yang lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada peperiksaan SPM tahun lalu mencatatkan kenaikan berbanding pada tahun sebelumnya.

Katanya seramai 364,046 pelajar lulus Bahasa Melayu pada peperiksaan tahun lalu berbanding 347,443 pada 2008 dan 302,501 lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris berbanding 282,471 pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata kerajaan sedang berusaha ke arah memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris agar prestasi kedua-dua mata pelajaran itu dapat dipertingkatkan.

(Sumber: Bernama - 11/03/2010 - Updated: 21:11pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

Seramai 3,138 (66.9 peratus) calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) berjaya memperoleh sijil STAM dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (Lulus).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata jumlah itu meningkat berbanding 3,098 (66.1 peratus) calon memperoleh sijil STAM pada 2008.

"Saya mengucapkan syabas kepada calon yang berjaya memperoleh sijil STAM ini. Sesungguhnya kejayaan ini membolehkan mereka mendapat tempat di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti antarabangsa tempatan yang lain," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STAM 2009 di Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

Seramai 6,920 calon menduduki peperiksaan STAM pada tahun lalu dan 10 mata pelajaran ditawarkan kepada calon STAM meliputi bidang bahasa, syariah dan usuludin.

Beliau berkata, STAM diiktiraf setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun lalu.

(Sumber: Bernama - 11/03/2010 - 14:16pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan akan memansuhkan bayaran wad yang dikenakan terhadap pegawai dan pesara perkhidmatan awam yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berkuatkuasa 1 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam pemansuhan itu turut terpakai untuk anggota keluarga dan ibu bapa mereka.

"Pemansuhan bayaran wad itu juga tidak menjejaskan kelayakan wad yang ditetapkan untuk pegawai berdasarkan gred pegawai," katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, Rabu.

Beliau berkata kelayakan wad untuk pegawai pengurusan tertinggi, Gred 45-54 ialah Kelas 1 bilik seorang, Gred 31-44 (Kelas 1 bilik berdua), Gred 21-30 (Kelas 1 bilik bertiga) dan Gred 1-20 (Kelas 2).

Kelayakan untuk anggota keluarga dan ibu bapa sah adalah berdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai awam berkenaan, katanya.

Kelayakan wad untuk pesara dan anggota keluarga mereka pula adalah berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.

Ismail berkata jika pegawai awam, pesara, anggota keluarga atau ibu bapa sah meminta untuk dimasukkan ke dalam wad yang lebih tinggi daripada kelayakan yang ditetapkan, pegawai awam atau pesara itu perlu membayar bayaran wad mengikut kadar yang dikenakan ke atas orang awam.

"Pegawai dan pesara juga dikehendaki membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad yang lebih tinggi mengikut kadar yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata dengan berkuatkuasanya pekeliling perkhidmatan itu, perenggan C2 berkaitan kelayakan dan kadar bayaran wad di Lampiran C8 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, perenggan 11 berkaitan kadar bayaran wad sehari di Lampiran O Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1991, dan Bahagian J berkaitan permohonan perbelanjaan bagi rawatan di luar negeri di Lampiran B Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009 adalah dibatalkan.

Ismail berkata peruntukan pekeliling perkhidmatan itu pada seluruhannya turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

(Sumber: Bernama - 10/3/2010 - 14:06pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 3 comments ]

Malam ni temankan MakTeh tengok Final Raja Lawak 4 ASTRO. Walau sejauhmana kita terhibur atau tidak dengan persembahan peserta, waktu pengumuman keputusan tetap kita tunggu.

Akhirnya, upset: Alex no. 3. Ingat dia mampu utk no. 2 atau no. 1.

Johan : Kechik ?? Kechik ?? Maknanya, Idlan Ponpon adalah no. 2. Rasanya, Idlan boleh no. 2 atau no. 1, macam Alex - saingan agak sengit bagi mereka berdua.

Begitulah.. bila keputusan bukan di tangan juri atau hakim.. bergantung hanya pada jumlah SMS sokongan. Dan begitulah kualiti yang buruk boleh jadi johan, asal kuantiti SMSnya menang.

Fed up with this system.. Tahun depan tak payah tengoklah. ASTRO bukan nak naikkan martabat pelawak, tetapi nak naikkan untung saja. Lagipun, juruacara 2 orang (Johan & Zizan) tu lagi lawak sebenarnya sepanjang beberapa siri pertandingan. Berbeza kualiti pelawak tahun ini berbanding 2-3 tahun lalu.. di era Nabil Sepah dll.

Tetiba terfikir pula.. agak-agak.. kalau pengundian calon Perdana Menteri hanya pakai SMS.. lingkup tak negara kita? Minta ASTRO jawab.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 akan diumum pada Khamis depan (11/03/2010).

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata keputusan akan dikeluarkan di sekolah-sekolah mulai pukul 10 pagi.

Calon persendirian pula akan menerima keputusan masing-masing melalui pos yang dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri, katanya dalam kenyataan, di sini Khamis.

Sejumlah 165,853 calon menduduki peperiksaan bertulis SPM di 3,569 pusat peperiksaan di seluruh negara yang bermula pada 18 Nov hingga 16 Dis lepas, katanya.

Seramai 6,920 calon pula menduduki peperiksaan STAM di 98 buah pusat peperiksaan yang berlangsung dari 19 hingga 27 Okt lepas.

(Sumber: Bernama - 4/3/2010 - 14:02pm)


G O O D L U C K !

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan kadar pencen antara 0.6 peratus dan 11.3 peratus kepada 206,585 orang penerima pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Kadar baru itu melibatkan kos tambahan sebanyak RM66.4 juta setahun.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam, ketika mengumumkannya, berkata pembayaran pencen baru itu akan bermula 1 April ini dan merupakan kadar tertinggi dalam sejarah PERKESO.

Menurutnya kenaikan tersebut, yang berkuatkuasa 1 Jan 2008, mengambil kira tahap Indeks Harga Pengguna. "Tunggakan akan dibayar dari tarikh berkuatkuasa mulai 1 Januari 2008 sehingga tarikh kadar bayaran baru ini diluluskan," katanya pada majlis penyampaian pencen Perkeso di Kuala Lumpur.

Dr Subramaniam berkata jumlah tunggakan bayaran pencen ekoran penyelarasan bagi tempoh 1 Januari 2008 hingga 31 Mac 2010 adalah berjumlah RM142.4 juta.

Katanya bilangan penerima seramai 206,585 orang tersebut melibatkan penerima bayaran berkala Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) serta orang berinsurans yang sedang menerima pencen Penakat dan Ilat dari Perkeso pada atau sebelum 31 Dis 2007.

Beliau yakin menerusi penyelarasan kadar pencen baru oleh Perkeso, ia dapat membantu meringankan bebanan penerima pencen Perkeso.

"Dari semasa ke semasa, kajian berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan penyesuaian kadar bayaran pencen dilaksanakan agar penerima faedah tersebut berada pada tahap ekonomi semasa serta dapat menampung kos sara hidup yang meningkat," kata Dr Subramaniam.

Beliau berkata Perkeso sentiasa memainkan peranan aktif dalam menjaga kebajikan pencarumnya menerusi dua skim keselamatan sosial yang ditadbirkan olehnya iaitu Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.

Menerusi kedua-dua skim ini, Perkeso menyediakan faedah bayaran jangka panjang kepada pencarumnya yang menerima faedah hilang upaya kekal berkala dan faedah Pencen Ilat, katanya.

"Bayaran jangka panjang ini disediakan bagi memastikan kebajikan penerima kedua-dua jenis bayaran tersebut sentiasa terpelihara dan terjamin," katanya.

Pada majis tersebut, Dr Subramaniam menyampaikan faedah dan alat pemulihan kepada 25 orang penerima faedah terdiri dari penerima faedah Hilang Upaya Sementara, Hilang Upaya Kekal dan Pencen Penakat yang melibatkan jumlah bayaran sebanyak RM365,000.

(Sumber: Bernama - 1/3/2010 - 17:47pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kira-kira 92.55 peratus daripada 48,446 pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) pada 2009 lulus penuh berbanding 92.24 peratus daripada 46,306 pelajar pada 2008.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata daripada jumlah itu, sebanyak 4,316 calon atau 8.24 peratus telah lulus penuh dalam lima mata pelajaran manakala calon yang lulus dalam empat mata pelajaran berjumlah 20,670 calon (39.49 peratus).

"Selain itu sebanyak 9,797 calon (18.72 peratus) lulus penuh dalam tiga mata pelajaran, 7,412 calon (14.16 peratus) lulus penuh dalam dua mata pelajaran manakala 6,251 calon (11.94 peratus) lulus penuh dalam satu mata pelajaran," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2009 di sini Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia Omar Abu Bakar.

Jumlah keseluruhan peratusan calon sekolah kerajaan, sekolah swasta dan calon persendirian individu yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran pada STPM 2009 telah meningkat kepada 47.73 peratus berbanding 44.09 peratus pada tahun 2008, katanya.

Sebanyak 23 mata pelajaran yang terdiri daripada 56 kertas soalan ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2009, calon dibenarkan mengambil lima mata pelajaran termasuk Pengajian Am, katanya.

Bagaimanapun, kebanyakan calon mengambil empat mata pelajaran kerana Kementerian Pengajian Tinggi telah menetapkan hanya empat mata pelajaran yang diambil kira, iaitu Pengajian Am dan tiga mata pelajaran yang lain, bagi tujuan pemilihan ke Institusi Pengajian Tingga Awam (IPTA), katanya.

Menurutnya, hanya 13,205 calon (25.23 peratus) mengambil lima mata pelajaran untuk STPM 2009.

Mengenai prestasi pelajar, sebanyak 15 calon telah mencapai Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding dengan 13 calon STPM pada tahun 2008 dan daripada jumlah itu, enam calon adalah pelajar aliran sains dan sembilan adalah pelajar aliran sastera, katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian Dzulkifli berkata Majlis Peperiksaan Malaysia akan terus membenarkan calon mengguna Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris dalam peperiksaan STPM.

Selain itu, katanya jurang prestasi antara pelajar bandar dan luar bandar masih ketara di mana 12.14 peratus calon bandar mendapat 5A, 4A dan 3A berbanding 7.06 peratus pelajar luar bandar, katanya.

(Sumber: Bernama - 25/2/2010 - 17:56pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 akan diumumkan pada hari Khamis, 25 Februari ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur pada Jumaat berkata calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai pukul 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon-calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM dan hantar ke 36363, atau menaip STPM Result dan hantar ke 15888.

Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh tersebut.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pukul 11.30 pagi pada tarikh yang sama di pejabat MPM, Persiaran 1, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lepas 52,348 calon menduduki peperiksaan STPM.

Daripada jumlah itu, 47,260 orang atau 90.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 1,747 (3.34 peratus) calon sekolah swasta dan 3,241 (6.38 peratus) calon persendirian.

(Sumber: Bernama - 19/2/2010 - 12:29pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 12 comments ]

KURSUS PERGURUAN LEPAS SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
(KPLSPM)
AMBILAN JUN 2010

Kementerian Pelajaran Malaysia mempelawa calon lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkelayakan, berpotensi, berminat dan beriltizam untuk mengikuti program yang ditawarkan dalam Kursus Perguruan Lepas Sijil Pelajaran Malaysia seperti di bawah :

1. KETERANGAN PROGRAM





Nama Program : Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)
Jenis Ijazah : Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian
Tempoh : Lima Tahun Enam Bulan (Termasuk Satu Tahun Enam Bulan Kursus Persediaan)
Md Kursus : Sepenuh Masa



2. SYARAT DAN KELAYAKAN ASAS

2.1 Warganegara Malaysia.

2.2

Umur tidak melebihi 20 tahun pada 28 Jun 2010 iaitu lahir pada atau selepas 28 Jun 1990.


2.3

Calon hendaklah sihat fizikal dan mental.


2.4 Calon hendaklah aktif dalam kegiatan kokurikulum.

2.5
Mempunyai kelayakan akademik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat cemerlang dalam mana-mana tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga mata pelajaran berikut :


2.5.1 Bahasa Melayu


2.5.2 Sejarah


2.5.3 satu mata pelajaran yang lain serta;


2.5.4 lulus Bahasa Inggeris

2.6

Memenuhi syarat dan kelayakan khusus bidang pengajian yang dipohon (Rujuk e-Panduan Permohonan)




3. MAKLUMAT PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN (PISMP)

3.1 Program ini dikhususkan untuk melatih guru-guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam pelbagai bidang bagi keperluan di sekolah rendah.

3.2 Sebagai prasyarat, calon dikehendaki mengikuti Kursus Persediaan selama satu tahun enam bulan di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

3.3 Calon perlu lulus Kursus Persediaan sebelum ditawarkan untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan selama empat tahun di Institut Pendidikan Guru untuk Pendidikan Rendah.

3.4 BIDANG PENGKHUSUSAN YANG DITAWARKAN:

3.4.1 Sekolah Kebangsaan (SK)


1. Pendidikan Prasekolah 9. Pendidikan Khas Masalah Penglihatan Pendidikan Rendah
2. Bahasa Melayu Pendidikan Rendah 10. Pendidikan Islam Pendidikan Rendah
3. Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua Pendidikan Rendah 11. Pendidikan Seni Visual Pendidikan Rendah
4. Bahasa Arab Pendidikan Rendah 12. Pendidikan Jasmani Pendidikan Rendah
5. Matematik Pendidikan Rendah 13. Reka Bentuk dan Teknologi Pendidikan Rendah
6. Sains Pendidikan Rendah 14. Pendidikan Pemulihan Pendidikan Rendah
7. Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Pendidikan Rendah 15. Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah
8. Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Pendidikan Rendah





3.4.2 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)


1. Pendidikan Prasekolah 9. Pendidikan Khas Masalah Penglihatan Pendidikan Rendah
2. Bahasa Melayu Pendidikan Rendah 10. Pendidikan Islam Pendidikan Rendah
3. Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua Pendidikan Rendah 11. Pendidikan Seni Visual Pendidikan Rendah
4. Bahasa Cina Pendidikan Rendah 12. Pendidikan Jasmani Pendidikan Rendah
5. Matematik Pendidikan Rendah 13. Reka Bentuk dan Teknologi Pendidikan Rendah
6. Sains Pendidikan Rendah 14. Pendidikan Pemulihan Pendidikan Rendah
7. Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Pendidikan Rendah 15. Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah
8. Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Pendidikan Rendah





3.4.3 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)


1. Pendidikan Prasekolah 9. Pendidikan Khas Masalah Penglihatan Pendidikan Rendah
2. Bahasa Melayu Pendidikan Rendah 10. Pendidikan Islam Pendidikan Rendah
3. Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua Pendidikan Rendah 11. Pendidikan Seni Visual Pendidikan Rendah
4. Bahasa Tamil Pendidikan Rendah 12. Pendidikan Jasmani Pendidikan Rendah
5. Matematik Pendidikan Rendah 13. Reka Bentuk dan Teknologi Pendidikan Rendah
6. Sains Pendidikan Rendah 14. Pendidikan Pemulihan Pendidikan Rendah
7. Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Pendidikan Rendah 15. Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah
8. Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Pendidikan Rendah



4. CARA MEMOHON

4.1
Permohonan hanya boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia di alamat : http://www.moe.gov.my mulai 08 Februari 2010.

4.2

Permohonan atas talian boleh dibuat dengan menggunakan Nombor Pengenalan Individu (PIN) yang boleh dibeli di Bank Simpanan Nasional di seleuruh negara dengan bayaran RM 6.00 (Ringgit Malaysia Enam sahaja) melalui saluran kaunter, ATM dan perbankan Sistem Maklumat Ringkas (SMS).


4.3

Pemohon dinasihatkan melayari laman sesawang tersebut bagi mendapatkan maklumat iklan, bidang pengkhususan dan gred minimum serta kalendar aktiviti sebelum membuat permohonan.


4.4 Calon dibenarkan mengemukakan SATU permohonan sahaja.

4.5
Calon boleh menggunakan nombor PIN yang sama untuk membuat pindaan butiran kepada permohonan yang telah dihantar. Pindaan butiran permohonan dihadkan tiga kali sahaja dan hendaklah dibuat sebelum tarikh tutup permohonan.

4.6 Maklumat yang tidak benar dan tidak lengkap boleh mengakibatkan permohonan ditolak.



5. TARIKH TUTUP PERMOHONAN : 28 MAC 2010



6.

Sila hubungi alamat berikut sekiranya ada sebarang pertanyaan berkaitan dengan permohonan :





BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
ARAS 3, BLOK E13, PARCEL E
KOMPLEKS PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 PUTRAJAYA
(u.p : Unit Pengambilan dan Penempatan Pelajar)
No. Telefon : 03-888441260/1245/1243/1235/1229/1228




URUS SETIA BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
Cawangan Sabah
d/a Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya
Peti Surat 10491
88805 Kota Kinabalu, Sabah
No Telefon : 088 236804




URUS SETIA BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
Cawangan Sarawak
Jalan College
93259 Kuching, Sarawak
No Telefon : 082 258045



7. MAKLUMAN DAN PERHATIAN

7.1 Calon yang dipanggil temu duga dikehendaki menduduki ujian Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK) semasa menghadiri temu duga.

7.2 Pemilihan calon untuk mengikuti kursus perguruan adalah bergantung kepada kedudukan pencapaian merit skor akademik, prestasi dan temu duga dan keputusan ujian INSAK. Keputusan oleh Jawatankuasa Pemilihan aalah muktamad.

7.3
Kementerian Pelajaran Malaysia berhak menawarkan program atau bidang pengajian bukan pilihan dan menempatkan calon yang berjaya di mana-mana Institut Pendidikan Guru (IPG).

7.4
Calon dinasihatkan menyemak status permohonan mereka dari semasa ke semasa untuk status panggilan temu duga dan juga tawaran ke IPG yang ditetapkan.

7.5
Tiada surat menyurat dikeluarkan untuk panggilan temu duga. Segala perbelanjaan dan risiko menghadiri temu duga adalah tanggungjawab calon sendiri.

7.6
Surat tawaran rasmi bagi calon yang berjaya akan diserahkan di IPG yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia setelah calon melapor diri di IPG.



8. PENDAFTARAN

Calon-calon yang ditawarkan untuk mengikuti Kursus Persediaan akan mendaftar di Institut Pendidikan Guru (IPG) paa 28 Jun 2010 (tarikh tertakluk kepada pindaan). Calon yang telah ditemu duga dan tidak menerima sebarang maklumat dalam tempoh satu (1) bulan selepas tarikh pendaftaran adalah dianggap tidak berjaya. Bahagian ini tidak akan mengeluarkan maklumat secara bersurat kepada calon.



9. IKATAN PERJANJIAN PENDIDIKAN GURU

Calon yang ditawarkan mengikuti kursus di Institut Pendidikan Guru adalah tertakluk kepada ikatan Perjanjian Pendidikan Guru seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Calon hendaklah bersetuju dan patuh dengan kontrak perjanjian untuk berkhidmat di mana-mana sekolah atau institusi pendidikan termasuk di kawasan pedalaman seperti yang diarahkan oleh pihak kerajaan setelah tamat berkursus.




BENTUK PENGAJIAN YANG DITAWARKAN



Program Ijazah Sarjana Muda Pengajaran (PISMP)
Bentuk Pengajian
Tempat
Tempoh
Pengajian Persediaan Institut Pendidikan Guru yang ditetapkan 1 Tahun 6 Bulan
Pengajian Ijazah Pertama (Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian) Institut Pendidikan Guru yang ditetapkan 4 Tahun


Baca Selengkapnya (Read More)...

| 4 comments ]

Kementerian Pelajaran Malaysia mempelawa calon berkelayakan, berpotensi, berminat dan beriltizam untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI SR) Mod Sepenuh Masa Ambilan Jun 2010 di Institut Pendidikan Guru, mulai 08 Februari 2010.

DUE-DATE : 21 FEBRUARI 2010

Syarat, kelayakan, bidang pengkhususan dan cara permohonan adalah seperti berikut:


1. KETERANGAN PROGRAM
  • Nama Program : KURSUS PERGURUAN LEPAS IJAZAH SEKOLAH RENDAH (KPLI SR)
  • Tempoh Pengajian : Satu (1) Tahun
  • Mod Kursus : Sepenuh Masa
2. SYARAT DAN KELAYAKAN ASAS
  1. Warganegara Malaysia.
  2. Umur tidak melebihi 35 tahun pada 28 Jun 2010 iaitu lahir pada atau selepas 28 Jun 1975.
  3. Memiliki Ijazah Sarjana Muda atau setaraf dengannya daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan atau luar negara.
  4. Memiliki ijazah yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Pemohon perlu merujuk laman sesawang JPA di alamat berikut: http://www.interactive.jpa.gov.my/webinteraktif/frmMainIktiraf.asp
  5. Memiliki kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM atau SPM(V) serta lulus ujian lisan atau Prinsipal Bahasa Melayu di peringkat STPM.
  6. Lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM atau SPM(V).
3. SYARAT TAMBAHAN
  1. Calon hendaklah sihat fizikal dan mentak.
  2. Calon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dengan PNGK 2.75 ke atas diberi keutamaan.
  3. Calon hendaklah aktif dalam kegiatan kokurikulum.
  4. Calon yang memiliki ijazah yang bertepatan dengan bidang pengkhususan dan pengalaman mengajar akan diberi wajaran tertentu.
  5. Calon hendaklah bersedia ditempatkan di mana-mana sekolah termasuk di kawasan pedalaman.
4. CALON TIDAK LAYAK MEMOHON
  1. Calon yang telah memiliki kelayakan ikhtisas perguruan seperti Ijazah Sarjana Muda dengan Pendidikan, Diploma Pendidikan, Diploma Perguruan atau Sijil Perguruan.
  2. Calon yang masih terikat dengan Kontrak Perkhidmatan Agensi Kerajaan termasuk yang sedang mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah Mod Kursus Dalam Cuti kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia.
  3. Calon yangpernah meletakkan jawatan dalam perkhidmatan kerajaan.
  4. Calon yang pernah dikenakan tindakan tatatertib atau sedang dalam proses tindakan tatatertib semasa dalam perkhidmatan atau dalam latihan.
  5. Calon yang pernah disabitkan dalam kesalahan penyalahgunaan dadah atau jenayah.
5. BIDANG PENGKHUSUSAN YANG DITAWARKAN

5.1 Sekolah Kebangsaan (SK)
  1. Prasekolah
  2. Bahasa Melayu
  3. Bahasa Inggeris
  4. Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan
  5. Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan
  6. Matematik
  7. Sains
  8. Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran
  9. Pendidikan Khas Masalah Pendengaran
  10. Pendidikan Khas Masalah Penglihatan
  11. Agama Islam
  12. Pendidikan Seni Visual
  13. Pendidikan Jasmani
  14. Bimbingan dan Kaunseling
  15. Pendidikan Pemulihan
  16. Pendidikan Muzik
  17. Malaysia Negaraku

5.2 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)
  1. Prasekolah
  2. Bahasa Melayu
  3. Bahasa Inggeris
  4. Bahasa Cina
  5. Matematik
  6. Sains
  7. Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran
  8. Pendidikan Khas Masalah Pendengaran
  9. Pendidikan Khas Masalah Penglihatan
  10. Agama Islam
  11. Pendidikan Seni Visual
  12. Pendidikan Jasmani
  13. Bimbingan dan Kaunseling
  14. Pendidikan Pemulihan
  15. Pendidikan Muzik
  16. Malaysia Negaraku

5.2 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
  1. Prasekolah
  2. Bahasa Melayu
  3. Bahasa Inggeris
  4. Bahasa Tamil
  5. Matematik
  6. Sains
  7. Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran
  8. Pendidikan Khas Masalah Pendengaran
  9. Pendidikan Khas Masalah Penglihatan
  10. Agama Islam
  11. Pendidikan Seni Visual
  12. Pendidikan Jasmani
  13. Bimbingan dan Kaunseling
  14. Pendidikan Pemulihan
  15. Pendidikan Muzik
  16. Malaysia Negaraku

6. CARA MENGEMUKAKAN PERMOHONAN
  1. Permohonan hanya boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia di alamat: http://www.moe.gov.my mulai 08 Februari 2010.
  2. Permohonan atas talian boleh dibuat dengan menggunakan Nombor Pengenalan Individu (PIN) yang boleh dibeli di Bank Simpanan Nasional di seluruh negara dengan bayaran RM6.00 (Ringgit Enam Sahaja) melalui saluran kaunter, ATM dan perbankan Sistem Maklumat Ringkas (SMS).
  3. Pemohon dinasihatkan melayari laman sesawang tersebut bagi mendapatkan maklumat iklan, kesesuaian ijazah dengan bidang pengkhususan, struktur program dan kalendar aktiviti sebelum membuat permohonan.
  4. Calon dibenarkan mengemukakan SATU permohonan sahaja.
  5. Calon boleh menggunakan nombor PIN yang sama untuk membuat pindaan butiran kepada permohonan yang telah dihantar. Pindaan butiran permohonan dihadkan tiga kali sahaja dan hendaklah dibuat sebelum tarikh tutup permohonan.
  6. Maklumat yang tidak benar dan tidak lengkap boleh mengakibatkan permohonan ditolak.
7. TARIKH TUTUP PERMOHONAN : 21 FEBRUARI 2010

PERTANYAAN LANJUT, HUBUNGI:

Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia
Aras 3, Blok E13, Parcel E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62604 Putrajaya.
(u.p: Unit Pengambilan dan Penempatan Pelajar)
Tel: 03-8884 1260/1245/1243/1235/1231/1226

Urus Setia Bahagian Pendidikan Guru
Cawangan Sabah, d/a Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya,
Peti Surat 10491,
88805 Kota Kinabalu, Sabah.
No. Tel: 088-236804

Urus Setia Bahagian Pendidikan Guru
Cawangan Sarawak, Jalan College,
Peti Surat 10491,
93259 Kuching, Sarawak.
No. Tel: 082-258045


(Sumber: Mingguan Malaysia 07/02/2010 Dalam Negeri; ms 16)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kementerian Pelajaran telah bersetuju untuk memperuntukkan RM89 juta untuk aktiviti sukan dan kokurikulum di sekolah-sekolah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, peruntukan itu akan memastikan kesemua 24 bidang sukan di bawah kalendar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dapat terus dipertandingkan bagi semua peringkat umur.

"Pada peringkat awal, banyak pihak merasa kecewa berikutan keputusan MSSM mengenai pemotongan itu (acara sukan) tetapi saya telah mengeluarkan arahan supaya acara-acara itu dimasukkan semula."

"Peruntukkan RM89 juta itu akan digunakan di setiap sekolah dan acara-acara sukan itu dapat digerakkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah stadium dan kompleks sukan Educity@Iskandar di Nusajaya, Khamis.

Muhyiddin berkata, di antara 24 bidang sukan terbabit termasuklah boling, skuasy, memanah, ping pong, ragbi, kriket, sukan layar, bola lisut, bola baling, merentas desa dan catur.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar balik ke sukan oleh kementerian akan diterjemahkan dengan penambahan peruntukan pada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk pembinaan infrastruktur sukan seperti padang di sekolah-sekolah.

"Di dalam RMK-10 kita akan membangunkan infrastruktur sukan di sekolah kerana sebelum ini infrastruktur sukan seperti padang tidak dibangunkan.

Masih terdapat sekolah-sekolah yang tidak mempunyai padang," katanya.

Peruntukan per-kapita terhadap pelajar yang terlibat di dalam sukan, katanya, juga akan ditambah.

Muhyiddin juga berkata, kementeriannya sedang di dalam proses untuk mewujudkan satu Institut Pendidikan Guru Malaysia Sukan (IPGM Sukan) khusus untuk menghasilkan jurulatih sukan di kalangan guru di dalam masa terdekat ini.

Katanya, empat lagi Pusat Kecemerlangan Sukan di kampus IPGM sedia ada di Johor, Terengganu, Sarawak serta Sabah akan diwujudkan sebagai "penghubung" kepada IPGM Sukan Raja Melewar, Seremban.

Seramai 320 calon jurulatih akan menjalani latihan merangkumi lapan bidang sukan bermula pertengahan tahun depan, kata beliau pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi Iskandar Investment Berhad Tan Sri Azman Mokhtar.

(Sumber: Bernama - 4/2/2010 - 15:44pm)

Kenapa Kementerian Pelajaran amat suka bereksperimen..? Silap.. Main tarik tali dengan rakyat tentang isu kebajikan murid bukan langkah bijak. Kalau ada duit, gunakanlah untuk rakyat sepenuhnya. Jangan sekejap tarik duit, lepas tu bagi balik. Itu permainan budak-budak. Ibubapa bukan kanak-kanak yang boleh diumpan dengan gula-gula.

Seperti isu yuran asrama tempohari.. remeh dan menyusahkan. Ditarik subsidi asrama, lepas tu diberi balik. Macam cerita Doraemon.


Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Siaran Akhbar: Program Penajaan JPA 2010

Makluman Awal Mengenai Program Penajaan JPA 2010 Bagi Lulusan SPM 2009

PENTING! MESTI DIBACA OLEH LEPASAN SPM 2009 YANG BERMINAT UNTUK MENDAPAT BIASISWA JPA 2010.. (PakTeh)

  1. PENDAHULUAN

    Modal Insan berkualiti merupakan prasyarat utama untuk menyokong agenda pembangunan negara. Oleh itu, Kerajaan akan sentiasa memastikan pembangunan modal insan dilaksanakan secara komprehensif, meliputi usaha-usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan. Selain itu, langkah akan diambil untuk membentuk individu berintelek dalam bidang sains dan teknologi serta memupuk nilai-nilai positif dan progresif. Sehubungan itu, Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) akan menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara di peringkat Ijazah Pertama. Penawaran biasiswa ini diteruskan pada tahun 2010 dengan memberi fokus kepada bidang-bidang kritikal seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Perubatan Veterinar, Kejuruteraan, Sains & Teknologi serta bidang Sains Sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara.Program Penajaan JPA 2010 terdiri daripada:

    1. PROGRAM BIASISWA NASIONAL

      Dalam pembentangan Bajet 2010 pada 30 Oktober 2009, Y.A.B. Perdana Menteri telah mengumumkan penganugerahan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kalangan yang terbaik untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia berasaskan kepada merit mulai tahun 2010.Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan mengenal pasti pelajar paling cemerlang dari kalangan pelajar yang mendapat A+ dalam semua mata pelajaran peperiksaan SPM untuk ditaja di bawah Program Biasiswa Nasional ini.

      Pelajar-pelajar akan ditaja untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di universiti-universiti terkemuka di dalam ataupun luar negara dalam pelbagai bidang pengajian mengikut minat dan pilihan pelajar.

      Maklumat dan syarat asas untuk Program Biasiswa Nasional adalah seperti berikut:

      • Terbuka untuk calon lepasan SPM 2009 yang memperolehi keputusan A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil dan minimum bilangan mata pelajaran yang dinilai adalah sebanyak sembilan mata pelajaran (Pencalonan akan ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia);
      • Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2009;
      • Calon perlu melalui proses temuduga; dan
      • Calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.

      Kriteria yang digunapakai untuk pemilihan/penawaran biasiswa Kerajaan/JPA adalah seperti berikut:

      • Pencapaian akademik; dan
      • Prestasi temuduga.
    2. PROGRAM IJAZAH LUAR NEGARA (PILN)

      Program Ijazah Luar Negara (PILN) merupakan program penajaan kepada pelajar-pelajar cemerlang lepasan SPM untuk mengikuti program Ijazah Pertama di universiti luar negara.Maklumat dan syarat asas untuk PILN adalah seperti berikut:

      • Terbuka untuk calon lepasan SPM 2009 yang memperolehi keputusan cemerlang;
      • Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2009;
      • Calon perlu melalui proses temu duga; dan
      • Calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.

      Kriteria yang digunapakai untuk pemilihan/penawaran biasiswa Kerajaan/JPA adalah seperti berikut:

      • Pencapaian akademik;
      • Penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum;
      • Prestasi temu duga; dan
      • Sosio-ekonomi/latar belakang keluarga.

      Penajaan bagi tahun 2010 mengambil kira kecemerlangan akademik, kepelbagaian latar belakang kaum, latar belakang sosio ekonomi calon bagi menentukan penawaran dilaksanakan dengan adil dan saksama.

      PILN 2010 adalah dibuka khusus kepada lepasan SPM tahun 2009 yang memperolehi keputusan yang cemerlang. Pada tahun 2009, seramai 455,317 orang calon telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding seramai 442,936 orang pada tahun 2008. Peningkatan bilangan calon ini dijangka akan menjadikan PILN 2010 lebih kompetitif. Pada tahun 2009, misalnya, JPA telah menerima sebanyak 15,084 permohonan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,469 permohonan diterima daripada kalangan calon yang mendapat keputusan 1A dalam semua mata pelajaran SPM tahun 2008. Setiap tahun PILN menjadi tumpuan banyak pihak sehingga mewujudkan pergantungan harapan yang tinggi terutamanya di kalangan calon dan juga ibu bapa. Dua bidang yang paling popular di kalangan calon ialah Kejuruteraan dan Perubatan. Manakala, negara pengajian pilihan oleh majoriti calon/pelajar ialah United Kingdom, Australia dan New Zealand.

    3. PROGRAM IJAZAH DALAM NEGARA (PIDN)

      Pelajar-pelajar cemerlang yang tidak terpilih, disebabkan persaingan yang sengit di bawah program PILN, akan ditawarkan tajaan untuk mengikuti pengajian di dalam negara sama ada di empat buah universiti penyelidikan di Malaysia iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putera Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM), IPT tempatan, kampus-kampus cawangan University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology dan Curtin University of Technology atau Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), AIMST University, Universiti Kuala Lumpur (UniKL)-Royal College of Medical Sciences (RCMS), Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS), Alliance College of Medical Sciences (ACMS)-UKM dan University College Sedaya International (UCSI).Pelajar yang berjaya ditawarkan akan ditaja di peringkat matrikulasi/asasi/pra-universiti dan ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik yang ditetapkan.

      Selain itu program penajaan dalam negara (PIDN) turut menawarkan biasiswa diperingkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Kejuruteraan, Undang-Undang, Sains Tulen & Gunaan, Pengurusan dan Sastera di IPTA dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

  2. PROSES PEMILIHAN

    Calon-calon dinasihatkan supaya membuat pilihan secara bijak dan memberi perhatian kepada perkara-perkara seperti berikut:

    • Kriteria pemilihan - peluang adalah lebih tinggi bagi calon yang mendapat gred A bagi sembilan mata pelajaran dan aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum berbanding dengan calon yang mendapat gred A bagi 15 mata pelajaran tetapi tidak aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum;
    • Kursus/bidang - selain perubatan, terdapat bidang kritikal lain yang ditaja iaitu Pergigian, Farmasi dan Sains Perubatan Veterinar. Di samping itu tajaan juga diberikan kepada bidang lain seperti Ekonomi, Sains dan Perakaunan yang juga amat diperlukan oleh negara dan perkhidmatan awam;
    • Pilihan kursus - calon hendaklah memilih kursus pengajian yang bersesuaian dengan kelayakan SPM yang dimiliki;
    • Negara - penetapan negara tempat pengajian adalah menjadi hak JPA/penaja. Calon adalah dinasihatkan agar menerima keputusan penaja kerana apa yang penting adalah matlamat utama iaitu untuk melanjutkan pengajian. Semua kursus di negara-negara yang ditaja oleh JPA adalah of good standing dan diiktiraf. Sebagai contoh pelajar yang bergraduat dalam bidang Perubatan di Indonesia, India dan Rusia akan tetap dilantik sebagai Pegawai Perubatan seperti mana mereka yang bergraduat daripada Ireland, United Kingdom atau Australia.

    Peruntukan kewangan dan tempat pengajian ke luar negara terutama bagi kursus-kursus kritikal (perubatan/pergigian/farmasi/perubatan veterinar) adalah terhad namun permohonan yang diterima adalah tinggi dan ini menyebabkan wujudnya persaingan yang sengit di kalangan pemohon. Contohnya pada tahun 2009, sebanyak 5,181 permohonan telah diterima bagi mengikuti kursus kritikal, namun peruntukan tempat yang disediakan hanyalah sebanyak 772 sahaja. Ini menunjukkan hanya seorang calon akan terpilih daripada setiap enam permohonan.

  3. KAEDAH PERMOHONAN

    Iklan tawaran dan maklumat lanjut akan disiarkan menerusi portal www.jpa.gov.my dan juga akhbar-akhbar utama pelbagai bahasa pada bulan Mac 2010. Calon perlu merujuk ke portal www.jpa.gov.my untuk mendapatkan butiran tawaran dan syarat kelayakan PILN 2010 yang akan mula dibuka secara atas talian (on-line) mulai tarikh keputusan SPM 2009 diumumkan secara rasmi.Calon-calon yang memenuhi syarat-syarat dan kriteria PILN serta memiliki kelayakan bahasa asing seperti bahasa Jerman, Perancis atau Jepun akan diberi pertimbangan sewajarnya sekiranya memohon program pengajian ke negara-negara berkenaan.

    Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor akan diadakan pada bulan Mac 2010 di hospital-hospital Kerajaan yang akan ditetapkan oleh JPA. Calon yang memohon untuk mengikuti program perubatan adalah diwajibkan menghadiri program ini.

    Pelajar-pelajar yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan akan dipanggil ke sesi temu duga yang akan dijalankan pada bulan April 2010. Urusan temu duga akan dijalankan secara berkumpulan mengikut dua kelompok utama bidang pengajian iaitu kritikal dan strategik.

    Ahli-ahli panel bagi bidang kritikal terdiri daripada pegawai perubatan/pergigian/ farmasi dan perubatan veterinar manakala ahli-ahli panel bagi bidang strategik terdiri daripada pensyarah, jurutera dan pegawai kanan dari pelbagai skim perkhidmatan.

    Calon-calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA. Calon juga perlu mencapai had kecemerlangan (cut-off point) yang ditetapkan, mencapai rekod kehadiran kelas melebihi 90% dan tidak mempunyai rekod disiplin bagi membolehkan calon diteruskan penajaan ke universiti-universiti di luar negara.

  4. PENUTUP

    Pemakluman awal ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal calon/pelajar akan senario permohonan, kriteria pemilihan, had penawaran dan saingan serta persediaan yang perlu dihadapi oleh setiap orang calon/pelajar bagi mendapatkan tawaran biasiswa Kerajaan yang diuruskan oleh JPA.Tanggapan umum bahawa prestasi akademik adalah jaminan dan menjadi faktor penentu untuk calon-calon mendapatkan biasiswa khususnya untuk PILN adalah tidak tepat. Harapan JPA adalah agar calon yang tidak berjaya tidak membuat perbandingan dengan calon yang lain dan mempersoalkan kenapa mereka tidak ditawarkan biasiswa atas alasan mencapai prestasi akademik yang cemerlang.

    Bersandarkan kepada faktor-faktor seperti bilangan permohonan yang tinggi di kalangan calon yang cemerlang serta bilangan biasiswa yang terhad, PILN 2010 dijangka akan terus menjadi amat kompetitif. JPA dengan ini menasihatkan calon serta ibu-bapa agar bersedia dan berusaha juga untuk mendapatkan sumber-sumber penajaan yang lain.

    Maklumat umum berkaitan penawaran biasiswa Kerajaan/JPA juga boleh diperolehi dengan menghubungi talian 03-8885 3412 (lima talian) mulai 10 Mac 2010 atau hadir sendiri di kaunter-kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan, JPA di Lobi, Blok C1, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya mulai jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang.

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
3 Februari 2010



(Sumber: Kenyataan Rasmi JPA - 3/2/2010)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 4 comments ]

Penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun ini memberi fokus kepada bidang-bidang kritikal seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Perubatan Veterinar, Kejuruteraan, Sains dan Teknologi serta bidang Sains Sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara.

JPA dalam satu kenyataan berkata Program Penajaan JPA 2010 bagi pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran dalam dan luar negara di peringkat ijazah pertama terdiri daripada Program Biasiswa Nasional, Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN).

Iklan tawaran dan maklumat lanjut biasiswa itu akan disiarkan menerusi portal www.jpa.gov.my dan juga akhbar-akhbar utama pelbagai bahasa ataupun boleh menghubungi talian 03-88853412 mulai 10 Mac atau hadir sendiri ke kaunter-kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan, JPA di Lobi, Blok C1, Putrajaya mulai pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Syarat kelayakan PILN 2010 pula akan mula dibuka secara dalam talian mulai tarikh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 diumumkan secara rasmi.

JPA berkata Program Biasiswa Nasional akan diberikan kepada 30 pelajar terbaik lepasan SPM di kalangan yang terbaik untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia berasaskan kepada merit mulai tahun ini.

Katanya Kementerian Pelajaran akan mengenalpasti pelajar paling cemerlang dari kalangan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran peperiksaan SPM untuk ditaja di bawah program tersebut.

Syarat asas untuk Program Biasiswa Nasional adalah ia terbuka untuk calon lepasan SPM 2009 yang memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran yang diambil dan minimum bilangan mata pelajaran yang dinilai adalah sebanyak sembilan mata pelajaran.

Calon juga perlu melalui proses temuduga dan umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Dis 2009 serta calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.

Program PILN pula menawarkan penajaan kepada pelajar cemerlang lepasan SPM 2009 untuk mengikuti program ijazah pertama di universiti luar negara dan ia menjadi tumpuan banyak pihak sehingga mewujudkan pergantungan harapan yang tinggi terutamanya di kalangan calon dan juga ibu bapa.

Dua bidang paling popular di kalangan calon ialah Kejuruteraan dan Perubatan manakala negara pengajian pilihan oleh majoriti calon/pelajar ialah United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Pelajar-pelajar cemerlang yang tidak terpilih disebabkan persaingan sengit di bawah program PILN akan ditawarkan tajaan untuk mengikuti program PIDN sama ada di empat buah universiti penyelidikan di Malaysia iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) ataupun di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang lain.

Bagi IPT tempatan, calon ditawarkan ke kampus-kampus cawangan University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology dan Curtin University of Technology ataupun Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), AIMST University, Universiti Kuala Lumpur (UniKL)-Royal College of Medical Sciences (RCMS), Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS), Alliance College of Medical Sciences (ACMS)-UKM dan University College Sedaya International (UCSI).

Pelajar yang berjaya ditawarkan akan ditaja di peringkat matrikulasi/asasi/pra-universiti dan ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik yang ditetapkan.

JPA berkata penajaan bagi tahun 2010 mengambil kira kecemerlangan akademik, kepelbagaian latar belakang kaum, latar belakang sosio ekonomi calon bagi menentukan penawaran dilaksanakan dengan adil dan saksama.

(Sumber: Bernama - 3/2/2010 - 21:16pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...