| 3 comments ]

Insya Allah.. mulai Sabtu, 2 Jan (Kedah, Kelantan, Terengganu) dan Ahad, 3 Jan 2010 (negeri-negeri lain) - maka bermulalah kemasukan murid ke asrama. Dengarnya, sebilangan murid yang menjadi pengawas atau urusetia pendaftaran, sudah pulang lebih awal untuk membantu persiapan sekolah. Ibubapa juga berharapan anaknya akan belajar dengan baik dan teratur seperti biasa.

Sebenarnya, belum ramai ibubapa sedar apa isu akan dihadapi awal sesi 2010 ini.. Nampaknya macam ada sedikit susah untuk orang kaya, ada juga sedikit susah untuk orang miskin. Ada juga sedikit susah untuk semua..

Isunya berkaitan arahan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 11/2009 Pindaan Yuran Makan Asrama (YMA) (klik pautan untuk baca). Ianya dikatakan langkah penjimatan Kementerian Pelajaran berikutan peruntukan bantuan persekolahan mengalami pengurangan berbanding tahun-tahun terdahulu.

Intipati - bertitik-tolak pada 2 perkara:

1. Yuran Makan Asrama (YMA) naik dari RM1 kepada RM3 sehari bagi ibubapa yang berpendapatan RM5,000 sebulan ke atas. Bagi yang berpendapatan RM4,999.00 ke bawah, kekal bayaran RM1 sehari.

Ini melibatkan semua Sekolah Asrama Harian, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Teknik dan Vokasional, Sekolah Sukan, Sekolah Seni dan Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan (SABK).

[ Asrama sekolah pendidikan khas; Murid orang asli, PPRT, asrama desa, asrama di Sabah-Sarawak dan Labuan : dikecualikan bayaran yuran ].

2. Peruntukan bantuan YMA dikurangkan dari 250 hari kepada 200 hari sahaja. Sedangkan berdasarkan takwim persekolahan sesi 2010, jumlah hari persekolahan berjumlah 210 hari (termasuk cuti am).

Dari isu ini, rasanya ada isu lebih besar dijangka muncul akibat kesan domino arahan kementerian ini:

Satu:
Sebahagian ibubapa kena bayar tiga kali ganda berbanding YMA sebelum ini. Jika kiraan subsidi untuk 200 hari diambil kira, maka - secara matematiknya kena bayar RM3 x 200 = RM600. Inilah dikatakan susah utk orang kaya... Social obligation. Bagi yang berpendapatan tak sampai RM5 ribu, bayar RM200 sahajalah..

Dua:
Sekolah tiada sumber untuk tampung makanan asrama bagi kebanyakan cuti Sabtu-Ahad dan cuti am sepenuhnya. Bantuan kementerian tidak cukup dan bayaran oleh ibubapa (RM1 atau RM3 sehari) hanya berdasarkan 200 hari sahaja. Tahun-tahun sebelumnya, subsidi dan bayaran ibubapa meliputi untuk 250 hari. Dan jangan lupa, Sabtu dan Ahad serta cuti am bukan termasuk hari persekolahan rasmi yang 210 hari itu.

Biasanya kerajaan beri subsidi YMA antara RM8-RM12 mengikut jenis sekolah tertentu. Ibubapa sebelum ini top-up hanya RM1 sahaja. Jadi, jika kerajaan hanya sanggup tanggung 200 hari, takkan ibubapa berani nak tanggung anaknya 50 hari terkurang itu dengan wangnya sendiri. Andaikan (minimum RM8 + RM1) x 50 hari = RM450.. Fuuh.

Jadi siapa nak bayar bagi kebanyakan cuti Sabtu dan Ahad sepanjang tahun pembelajaran ? Hrm.. Ibubapalah.. Maka bermulalah susah untuk semua orang, termasuk orang susah. Jika anak dapat biasiswa pun, rasanya banyak yang tak dapat ditanggung dek biasiswa lagi selepas ini..

Tiga:
Makanya, dijangka kebanyakan sekolah berasrama tidak menyediakan makanan untuk murid Sabtu & Ahad. Paling mudah, semua murid boleh balik kampung setiap minggu!

Naaah.. macamana dengan anak yang tinggal jauh, berbeza daerah atau negeri.. malah tiada pengangkutan awam ke desa yang darjah ketersampaiannya rendah ? Kos balik siapa tanggung..? Ibubapa lah.. Makanya.. susah untuk semua.

Empat:
Sebagai gantian jika tak balik kampung, pelajar kemungkinan dibenarkan tinggal di asrama, tetapi tiada makanan disediakan. Alternatif untuk makanan, dijangka pihak kantin sekolah atau kantin asrama sediakan makanan.. tetapi kena bayarlah, kan? Bayangkan.. makan pagi, tengahari dan malam - minimum. Siapa tanggung..? Ibubapalah. Sekali lagi.. susah untuk semua. Kecuali semua murid-murid suka berpuasa.. tapi rasanya kena juga bersahur dan berbuka.

Lima:
Bagaimana dengan murid yang mengambil peperiksaan awam dalam cuti penggal kedua, SPM, STPM dan STAM. Ianya juga tidak dalam bantuan YMA. Dua tiga minggu juga tu..

Hrm.. sebenarnya, ada banyak lagi kesan dan isu yang boleh dipanjangkan. Cukuplah sekadar ini. Ini hanya andaian saya sahaja, belum tentu betul... Apa-apa pun, semoga tidak terkejut pada hari pendaftaran & taklimat pihak sekolah untuk ibubapa/penjaga. Mungkin juga saya yang tersalah kira dan bicara.

Apa-apa pun, bersedialah duit ca$h untuk keperluan anak-anak di awal persekolahan. Selamat Hari Mendaftarkan Anak Ke Asrama Sesi 2010.

Related Posts by Categories



3 comments

cyberboron said... @ 5:35 PM

memang fenin ... jom kita buat apa yang patut.

Anonymous said... @ 12:04 AM

anak saya tingkatan 4..tak masuk asrama,rumah dekat je...mengenai asram tu,biar salah kirapun,saya tetap tabik penulis tersebut,plg kurang takyah cakap asrama je..sekolah biasa pun slalu tersasar jumlah bayaran..berita awal cakap rm30 lebih je (smk)tup-tup duduk je depan cikgu daftar anak cikgu cakap tambah tu,tambah ni pulak tu klau kita terkejut ngan jumlah tersebut sempat lagi cikgu joke pasal tak dtg meeting (pibg).rupanya bayaran tambahan tu diluluskan bersama (pibg).so...sedialah kita semua.hidup penuh kejutan..

Haslinda Ibrahim said... @ 12:03 AM

bagi saya, sesiapa anak yagn dapat masuk asrama, isu makan sangat penting...kita tak makan satu hari pun kepala boleh pening..ini kan anak-anak kita yang masih belajar. tak kisah lah kalo kena bayar extra..janji anak-anak semua dapat makan..tak dalah ..mereka akan rasa terbiar bila masuk ke asrama. so, sama-samalah kita pertimbangkan isu makan ni..

Post a Comment