| 0 comments ]

Mulai tahun ini, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) swasta sebagai tambahan kepada 42 maktab sedia ada di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, penubuhan MRSM itu yang mendapat sokongan kewangan sektor swasta penting bagi menampung permohonan pelajar bumiputera yang semakin meningkat.

"Tahun lalu, Mara menerima lebih 40,000 permohonan daripada pelajar bumiputera tetapi sekadar mampu menyediakan tempat kepada 11,000 pelajar memandangkan bajet yang terhad.

"Oleh itu, penubuhan MRSM swasta ini akan membantu meningkatkan bilangan pelajar bumiputera menuntut di maktab berkenaan dengan yuran pengajian yang masih dalam peringkat perbincangan."

“Siapa nak masuk (MRSM swasta) kena bayar, kemasukan bukan untuk orang kaya saja, tetapi orang miskin yang mampu atau sanggup untuk bayar. Kelayakan masuk juga akan dikaji , katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan dan Latihan Mara 2009 yang menghimpunkan lebih 100 pegawai atasan Mara bersama beberapa tokoh pendidik dan pelatih profesional di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin.

Mengulas lanjut, kata Noh, buat masa ini, Mara sedang berbincang dengan Bank Rakyat yang memiliki lebih 800,000 ahli untuk membina MRSM swasta. Institusi kewangan itu akan membina bangunan berharga RM80 juta di atas tanah seluas 20 hektar manakala Mara berperanan menyediakan tenaga pengajar selain program pembelajaran. Jumlah perbelanjaan bagi seorang pelajar termasuk yuran di MRSM swasta ini dianggarkan RM5,000 setahun.

Noh berkata, penubuhan MRSM swasta yang pertama itu dijangka akan dibina di Tanjong Karang, Selangor.

Kata beliau, Mara berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak firma terutama syarikat milik kerajaan (GLC) dalam membangunkan MRSM swasta.

"Ini kerana jenama MRSM semakin diyakini setelah berjaya melahirkan ribuan pelajar bertaraf dunia dan menjadi pemimpin pelbagai organisasi pada masa ini," ujarnya.

Mara mengambil 5,300 pelajar Tingkatan Satu setiap tahun berbanding permohonan yang diterima melebihi 23,000 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala pengambilan pelajar Tingkatan Empat pula seramai 6,000 setahun dengan permohonan yang diterima 19,000 orang.

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Pada majlis yang sama, Noh mengumumkan rancangan Mara membeli kursi pengajian di 10 universiti terbaik dunia antaranya Universiti Harvard di Amerika Syarikat, Universiti Oxford dan Universiti Cambridge di United Kingdom serta Universiti Tokyo mulai tahun ini.

Jelasnya, pembelian kursi di universiti terkenal di luar negara yang dianggarkan berharga kira-kira AS$10 juta (RM37.1 juta) setiap satu akan memudahkan kemasukan pelajar Melayu ke pusat pengajian berkenaan.

"Apabila Mara ada kursi di universiti terkemuka itu, pelajar kita boleh masuk tanpa melalui tapisan ketat seperti dilakukan oleh Singapura," katanya.

Kini, kira-kira 10,000 pelajar tajaan Mara menuntut di universiti seluruh dunia termasuk mereka yang sedang mengikuti kursus automotif, komputer dan teknologi maklumat di Jerman, Perancis, United Kingdom, Jepun dan Korea Selatan.

(Sumber: Utusan Malaysia & Berita Harian: 04/03/2009)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment