| 0 comments ]

Kementerian Pengajian Tinggi akan mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya menganjakkan permulaan sesi persekolahan tahunan ke pertengahan Januari berbanding awal bulan ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata cadangan itu bagi mengelakkan lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menghadapi tempoh senggang terlalu lama untuk memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Katanya, ini berikutan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk merombak kalendar akademik IPT supaya seragam dengan sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kalendar akademik IPT di negara ini bermula antara akhir Jun dan awal Julai, manakala sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa pula pada sekitar akhir Ogos.

"Sekiranya kalendar akademik IPT diubah kepada akhir Ogos tetapi permulaan sesi persekolahan kekal sama, ini menyebabkan lulusan SPM dan STPM terpaksa menunggu lebih lama untuk memasuki universiti.

"Dalam konteks ini, kementerian bimbang timbul isu negatif bahawa mereka menjadi tidak produktif atau terbabit dengan gejala seperti melepak atau merempit berikutan tempoh senggang yang terlalu panjang," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan kalendar akademik IPT di negara ini akan diubah supaya seragam dengan sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa untuk menarik kemasukan lebih ramai penuntut asing dan memudahkan pelaksanaan program mobiliti pelajar serta tenaga pengajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dipetik sebagai berkata sebarang perubahan terhadap kalendar akademik IPT bakal diketahui pada mesyuarat terakhir dengan Kementerian Pelajaran yang dijadualkan berlangsung pada minggu depan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, ketika dihubungi pula berkata cadangan yang akan dibentangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada minggu depan akan dibincang dan dibawa dalam tiga peringkat mesyuarat Kementerian Pelajaran, iaitu mesyuarat pengurusan, mesyuarat profesional dan mesyuarat mengenai dasar pendidikan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

(Sumber: Berita Harian Online - 23/12/2009 - Nasional)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menawarkan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SSP 1Malaysia) mulai 3 Jan ini bagi membantu individu yang bekerja sendiri menangani masalah ketidakcukupan simpanan selepas bersara nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tan Sri Azlan Zainol berkata skim itu mengambil berat terhadap kebajikan semua peringkat rakyat yang bekerja sendiri yang tidak mempunyai skim simpanan pesaraan secara formal.

Skim tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Rzaak semasa pembentangan Bajet 2010 pada Oktober lepas.

"Skim itu bertujuan memberikan perlindungan kewangan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap apabila mereka mencapai usia tua," kata Azlan dalam kenyataan di sini Selasa.

SPP 1Malaysia ini terbuka kepada individu bekerja sendiri seperti penjaja, peniaga pasar malam, ejen hartanah, golongan pekerja bebas seperti deejay, pembimbing kecergasan, penyanyi dan pelakon serta pemilik perniagaan dalam talian.

"Kerajaan sentiasa prihatin terhadap ketidakcukupan simpanan persaraan yang menjadi kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan.

"Skim SPP 1Malaysia menawarkan golongan terpilih ini fleksibiliti dalam menentukan jumlah wang yang mampu disimpan untuk simpanan persaraan mereka," kata Azlan.

Katanya tidak seperti skim simpanan KWSP yang biasa, amaun yang dicarumkan ke dalam SSP 1Malaysia adalah bergantung kepada tahap kemampuan pencarum sepenuhnya.

"Ahli boleh memilih untuk mencarum amaun minimum sebanyak RM50 sehingga RM5,000 sebulan sebagai simpanan persaraan mereka.

"Caruman adalah secara sukarela dan pencarum juga tidak perlu membayar caruman setiap bulan, ia bergantung kepada tahap kemampuan mereka,", katanya.

Pencarum skim ini akan menerima dividen tahunan mengikut kadar yang diumumkan KWSP.

Tambahan pula, sumbangan kerajaan sebanyak lima peratus dan tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM60 setahun, selama lima tahun bermula dari tahun 2010 hingga 2014.

Individu yang berminat untuk menyertai skim ini perlu mengisi Borang KWSP 16G (1M) yang boleh diperoleh di cawangan KWSP seluruh negara atau memuat-turun dari laman web ini mulai 3 Jan ini.

Borang tersebut perlu dikembalikan ke cawangan KWSP berdekatan atau melalui serahan mel.

Bagaimanapun, individu yang berminat dan masih belum menjadi ahli KWSP perlu berdaftar sebagai ahli terlebih dahulu dengan mengisi Borang KWSP 3 dan mengemukakannya kepada KWSP sebelum memohon menyertai skim ini.

Simpanan boleh didepositkan secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A(2) di kaunter bayaran KWSP seluruh negara.

Menurut Azlan, ahli KWSP sedia ada yang telah bekerja sendiri turut layak memilih untuk menyertai skim baru itu.

Keterangan lanjut boleh diperolehi dengan mengunjungi pejabat KWSP berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922-6000 atau layari laman web KWSP.

(Sumber: Bernama - 22/12/2009 - 20:24pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 5 comments ]

Hanya 6,600 pelajar daripada 95,286 permohonan terpilih untuk meneruskan pengajian mereka ke Tingkatan Satu sekolah berasrama penuh (SBP) bagi tahun 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pengumuman mengenai mereka yang berjaya itu akan dibuat Rabu.

"Semakan dan keterangan lanjut mengenai kemasukan ini boleh dibuat secara online dengan melayari laman web www.moe.gov.my, manakala bagi yang tidak berjaya mendapat tempat, mereka boleh membuat rayuan secara online di e-rayuan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur Selasa.

Beliau berkata tempoh rayuan adalah 20 hari, bermula esok hingga 12 Jan, namun keputusan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat yang ada setelah proses pendaftaran murid yang menerima tawaran dibuat pada 11 Jan.

Seramai 517,908 murid darjah enam menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, dan daripada jumlah itu seramai 48,171 berjaya memperoleh A bagi setiap mata pelajaran yang diambil.

(Sumber: Bernama - 22/12/2009 - 17:52pm)

Cuba klik pada link Announcements di kanan atas :: Terus Ke Laman Semakan Online!":: Subhanallah.. Hanya 6.93% sahaja pemohon diterima masuk ke SBP T1 Sesi 2010. Maknanya.. 93.07% lagi bukan "tak layak".. cuma "tak dapat masuk". Yang tak dapat first intake.. boleh buat rayuan online hingga 12 Jan 2010 ( 20 hari saja tempoh). Semoga berjaya.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai tahun depan akan melaksanakan program Pusat Kecemerlangan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan lapan universiti dipilih bagi memberi fokus kepada satu jenis sukan sahaja berdasarkan kepada kepakaran yang dimiliki.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan kementerian itu Ahmad Naim Ismail berkata pihaknya menolak cadangan untuk menubuhkan sebuah Universiti Sukan di negara ini seperti yang dicadangkan pada Konvensyen Sukan Kebangsaan pada tahun lepas.


"KPT berpendapat cadangan mewujudkan Universiti Sukan yang khusus tidak perlu buat masa ini," katanya ketika membentangkan kertas kerja dan maklum balas kementerian itu pada Konvensyen Sukan Kebangsaan 2009 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Naim berkata lapan IPT yang terbabit adalah Universiti Malaya (bola jaring), Universiti Putra Malaysia (ragbi), Universiti Teknologi Mara (bola sepak), Universiti Kebangsaan Malaysia (kriket), Universiti Teknologi Malaysia (mendayung), Universiti Malaysia Sabah (taekwondo), Universiti Utara Malaysia (golf) dan Universiti Sains Malaysia (renang).

Sementara itu, cadangan bagi mewujudkan skim gaji untuk atlet turut ditolak dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata ia akan memberikan implikasi kewangan yang besar.

(Sumber: Bernama - 22/12/2009 - 17:46pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bersetuju melanjutkan had usia kenderaan bas sekolah daripada 20 tahun kepada 30 tahun berkuatkuasa 1 Jan 2010.

Pengerusi LPKP Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata berikutan itu, LPKP mewajibkan pengusaha bas sekolah sentiasa melakukan pemeriksaan kenderaan secara berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi memastikan keadaan fizikal bas adalah baik dan menjamin keselamatan penumpang.

"Pelanjutan had usia ini diharap dapat memberi peluang kepada pengusaha bas yang mempunyai kenderaan berusia lebih dari 20 tahun untuk terus beroperasi dan memastikan perkhidmatan kepada pelajar sekolah dapat disediakan. Ia juga dapat membantu pengusaha bas sekolah mendapatkan pulangan sewajarnya," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, Selasa.

Bagaimanapun penetapan had usia itu tertakluk kepada kelulusan Puspakom.

Selain itu, bagi permohonan lesen baru dan ganti kenderaan, had usia kenderaan yang dilesenkan hendaklah tidak melebihi 20 tahun daripada tarikh pendaftaran kenderaan, katanya.

(Sumber: Bernama - 22/12/2009 - 10:38am)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kalendar akademik pengajian tinggi dijangka dikaji semula bagi membolehkan ia selaras dengan kalendar akademik luar negara, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata penyelarasan kalendar akademik itu secara tidak langsung akan dapat menarik lebih ramai pelajar luar negara untuk menyambung pengajian di negara ini. Selain itu, katanya perubahan itu juga akan melancarkan lagi proses mobiliti pelajar dan pensyarah ke luar negara dan sebaliknya.

"Sekarang sesi pembukaan pengajian tinggi di sini ialah pada Julai sedangkan kebanyakan universiti luar negara bermula sekitar Ogos dan September. Bagaimanapun sebarang perubahan adalah bergantung kepada mesyuarat terakhir dengan Kementerian Pelajaran pada minggu depan," katanya kepada pemberita di Sepang, Isnin.

Mohamed Khaled berkata sebarang perubahan juga akan memberikan kesan kepada kalendar persekolahan, jadi banyak perkara perlu dikaji dan diteliti terlebih dahulu.

Sebelum itu beliau merasmikan prapelancaran Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 yang akan bermula pada 9 Januari hingga 27 Mac 2010. Majlis perasmian karnival itu dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor.

(Sumber: Bernama - 21/12/2009 - 14:19pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Lepasan SPM/Setaraf dilaksanakan melalui aplikasi dalam talian secara sepenuhnya mulai sesi akademik bagi 2010/2011.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi, permohonan diadakan dalam dua fasa dan bagi fasa pertama ia telah dibuka kepada pemohon mulai 2 November lepas dan tarikh tutup adalah pada 31 Disember ini.

Fasa kedua permohonan pula akan dibuka pada 2 Februari 2010 mulai pukul 12 tengah hari sehingga 30 Mac 2010.

Menurut kenyataan itu lagi, permohonan kali ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori bagi pemohon SPM 2009, kategori B bagi lepasan SPM 2008 atau 2007, kategori C untuk lepasan SPM 2006 atau sebelumnya atau yang mempunyai sijil setaraf yang diiktiraf oleh IPTA dan kategori D adalah bagi lepasan SPM 2007 dengan sijil ulangan 2008 atau SPM 2007 dengan sijil ulangan 2009, atau SPM 2008 dengan sijil ulangan 2009.

Pemohon boleh mengemukakan permohonan dengan mendaftar melalui URL laman web rasmi kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my.

Bagi pemohon fasa 1, mereka dikehendaki mengemukakan permohonan dengan menggunakan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan dan mengisi di bahagian maklumat peribadi, maklumat pekerjaan dan keluarga, kategori permohonan dan maklumat aktiviti kokurikulum yang disertai.

Bagi pemohon fasa dua, mereka perlu membuat permohonan dengan menggunakan nombor unik ID dan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan.

"Pemohon boleh mendapatkan nombor unik ID yang boleh dibeli dengan harga RM10.60 di mana-mana kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau melalui mesin ATM atau SMS (jarak) Banking (bagi pemegang akaun GIRO) di seluruh negara mulai 1 Februari 2010 sehingga tarikh tutup permohonan pada 30 Mac 2010.

"Pemohon dibenarkan membuat sekali permohonan dan tiga kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup permohonan iaitu pada 30 Mac 2010," kata kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di talian 03-88835801 atau 03-88835802 atau emel ke www.upu.mohe.gov.my.

Sehubungan itu, kementerian menasihatkan para pemohon lepasan SPM 2009 supaya mengemukakan permohonan pada fasa satu bagi meningkatkan kelancaran sekaligus dapat mengurangkan tempoh masa pemohon mengemukakan permohonan mereka pada fasa dua nanti.

(Sumber: Bernama - 19/12/2009 - 13:18pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 akan diumumkan pada tarikh 24 Disember ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan Khamis.

Katanya calon-calon boleh mendapatkan keputusan dari sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada hari berkenaan, manakala calon persendirian akan mendapat keputusan masing-masing menerusi pos.

Seramai 475,182 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut.

(Sumber: Bernama - 17/12/2009 - 13:34pm)

Selamat mengambil keputusan untuk semua calon PMR 2009. Jangan lupa bawa kad pengenalan dan berpakaian kemas ke sekolah masing-masing. Bersyukurlah kepada Tuhan walau apa pun keputusan kita. Semoga berjaya!

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan Terengganu meluluskan dua permohonan untuk menubuhkan kolej kejururawatan dari University Of Teknologi New Zealand dan kolej perubatan dengan Royal College of Surgeons di Ireland (RCSI).

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, kedua-dua kolej berkenaan yang akan memulakan operasinya tahun depan, akan ditempatkan di Taman Ilmu di Besut yang mempunyai kemudahan seperti perpustakaan, asrama dan sebagainya.

Perjanjian mengenai penubuhan kolej kejururawatan akan ditandatangani pada Januari tahun depan sementara pihak RCSI akan mengadakan lawatan ke Terengganu untuk melihat sendiri kemudahan tersebut pada bulan depan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kuala Terengganu hari ini.

Kolej kejururawatan yang akan dibuka pada Julai depan boleh menampung pelajar sehingga 1,000 orang pada satu-satu masa.

Untuk kursus perubatan, beliau berkata ia bukan sahaja melibatkan pelajar Malaysia malah membabitkan penuntut dari luar negara kerana perbelanjaan mungkin lebih rendah.

Ahmad berkata, Terengganu menghantar 150 penuntut mengikuti kursus perubatan ke luar negara pada setiap tahun terutamanya ke Indonesia walaupun kos di negeri ini agak tinggi berbanding di Indonesia tetapi RCSI memang telah diiktiraf dunia.

Taman Ilmu mempunyai keluasan kira-kira 280 hektar di mana keperluan untuk kedua-dua kolej berkenaan akan dilihat dahulu mungkin kira-kira 16 hektar.

Dalam perkembangan lain, Ahmad akan ke China untuk berunding bagi menubuhkan Pusat Bahasa Inggeris di Taman Ilmu supaya penuntut dari negara itu boleh ke sini untuk belajar Bahasa Inggeris.

Katanya beliau telah berbincang dengan timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London Datuk Rustam Yahya supaya berunding di peringkat awal dengan universiti di China dalam bidang teknologi maklumat (IT), kejuruteraan dan sebagainya bagi membolehkan membawa mereka belajar di sini.

(Sumber: Bernama - 16/12/2009 - 18:41pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Perkhidmatan tren elektrik untuk perjalanan Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban dijadual bermula April depan dengan ketibaan unit pertama set tren elektrik (ETS) dari Korea Selatan di sini Selasa.

Unit tren elektrik serba moden itu, yang dibekalkan oleh CMK Konsortium dengan kerjasama Hyundai Rotem dari Korea Selatan dan Mitsubishi Electric Corporation (Melco) dari Jepun, merupakan unit pertama daripada lima yang telah ditempah untuk perkhidmatan tersebut, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata tren terpantas itu yang pernah dimiliki oleh KTM Berhad dengan kelajuan maksimum 140 kmj akan memendekkan tempoh perjalanan antara Ipoh-Kuala Lumpur kepada 1 jam 55 minit berbanding pada masa ini dua jam 50 minit dengan perkhidmatan shuttle Ipoh-Kuala Lumpur.

"Sementara itu, empat lagi set (ETS) dijangka diperolehi secara berperingkat sehingga Februari tahun hadapan," katanya pada majlis ketibaan tren itu di Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Ong berkata perkhidmatan tren ETS itu akan beroperasi antara Ipoh-Seremban-Ipoh dengan jangkaan waktu perjalanan sehala kurang dari tiga jam dan berhenti di stesen-stesen utama yang akan ditentukan kelak.

Setiap unit tren itu, yang dilengkapi dengan kemudahan litar tertutup di setiap gerabak bagi mengawasi keselamatan penumpang, koc buffet, skrin LCD, soket elektrik serta kemudahan tandas, terdiri daripada enam gerabak keretapi yang boleh memuatkan seramai 350 penumpang pada satu-satu perjalanan, kata Ong.

Beliau berkata kemudahan tren tersebut turut menampung keperluan penumpang kurang upaya (OKU), di mana kemudahan tandas serta ruang tempat duduk khas, turut disediakan.

" Tren ini juga akan dilengkapi dengan pramugari bagi membantu pengguna ETS dan temuduga untuk jawatan itu kini diadakan secara terbuka di Stesen Kuala Lumpur," katanya.

Ong juga berkata beliau difahamkan perkhidmatan ETS akan beroperasi secara berasingan dan akan dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh KTM Berhad.

" Semoga dengan langkah tersebut perkhidmatan ETS ini akan mampu beroperasi secara total dan akan membantu memenuhi aspirasi kerajaan dalam membudayakan penggunaan pengangkutan awam," katanya.

Beliau juga berharap dengan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam, lebih ramai penduduk terutama di Lembah Klang akan menggunakannya dan misi utama di bawah NKRA (National Key Result Area) iaitu memastikan 25 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam menjelang akhir 2012 akan tercapai.

"Kini baru 12 peratus penduduk iaitu seramai 240,000 orang awam menggunakan perkhidmatan awam, dengan perkiraan 25 peratus, kita menjangkakan 600,000 orang awam akan menggunakan perkhidmatan awam," katanya.

Tren elektrik ini turut dipamerkan kepada orang ramai di Stesen Keretapi Kuala Lumpur hari dan esok dari pukul 9 pagi hingga 5 petang untuk tujuan mendapatkan maklum balas dari orang ramai.

(Sumber: Bernama - 15/12/2009 - 15:52pm)

Lepas ni, kalau boring2 waktu cuti.. boleh le jalan-jalan Ipoh-KL-Seremban tak payah drive kereta. Best.. Nanti kita tunggu kat mana stesen-stesen utama-utama itu. Yg penting.. salah-satunya mesti area KLIA/LCCT. Lagi jauh boleh berjalan.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Tiga buah politeknik akan dinaik taraf mulai tahun depan bagi membolehkan politeknik berkenaan menyediakan kursus diploma lanjutan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ia juga adalah satu pendekatan awal sebelum politeknik itu dinaik taraf menjadi universiti.

"Kalau kita lihat di luar negara sudah ada politeknik diiktiraf dan menyediakan kursus di peringkat lebih tinggi daripada diploma. Ini memandangkan sistem politeknik penting untuk meningkatkan sektor teknikal dan vokasional di negara ini.

"Kementerian juga tidak mahu pendidikan di politeknik hanya tersekat sehingga di tahap diploma sahaja malah politeknik juga akan dijadikan sebagai pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan kementerian di Putrajaya - Selasa.

Mohamed Khaled berkata senarai tiga politeknik yang terpilih daripada 27 politeknik yang sedia ada itu akan diumumkan awal tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu menyediakan insuran berkelompok sebagai langkah melindungi keselamatan para pelajar.

"Perkara itu dianggap wajar walaupun setakat ini kementerian tidak berhasrat untuk menjadikan ia satu perkara wajib. Tetapi dengan adanya insuran ia serba sedikit dapat membantu keluarga pelajar yang dilanda musibah," katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan sumbangan wang insuran daripada Kolej Universiti Kesihatan Materskill kepada keluarga dua pelajar kolej itu, Siti Nuramira Shamsudin dan Siti Nurdiana Azman yang terkorban dalam tragedi di Kompleks beli-belah Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Turut menerima sumbangan seorang lagi pelajar Mazlizatul Akmar Muhammad, 23, yang terbunuh dalam satu kemalangan di Kilometer 39 Jalan Kuantan-Kemaman, Pahang pada November lepas.

Pada majlis sama beliau turut menyampaikan sumbangan kementerian berjumlah RM184,000 kepada pelajar yang terbabit dalam kejadian gempa bumi di Padang, Indonesia.

(Sumber: Bernama - 15/12/2009 - 12:26pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), telah mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 7.30 sen seunit dan bonus sebanyak 1.25 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2009.

Tahun lepas, pengurus dana milik kerajaan itu mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.0 sen seunit dan bonus sebanyak 1.75 sen seunit.


Mengumumkan dividen dan bonus tersebut hari ini, pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan itu akan membabitkan pembayaran sebanyak RM4.95 bilion oleh ASNB, satu peningkatan 19.56 peratus daripada RM4.14 bilion yang dibayar pada 2008.

Bahagian bonus pula akan membabitkan pembayaran sebanyak RM537.65 juta oleh PNB.

Pembayaran ini akan memberi faedah kepada 6.78 juta pemegang unit yang kini memegang lebih 70 bilion unit ASB.

"Walaupun jumlahnya (dividen dan bonus) kelihatan lebih rendah tahun ini pada 8.55 sen seunit berbanding 8.75 sen seunit tahun lepas, dari segi jumlah keseluruhan yang akan dibayar, ia adalah lebih tinggi iaitu RM5.48 bilion berbanding RM4.79 bilion tahun lepas," kata ketua pegawai eksekutif kumpulan dan presiden PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Hamad Kama Piah berkata PNB berada pada kedudukan yang kukuh dan akan memastikan pembayaran dividen yang berterusan.

"Berdasarkan rizab dana, kapasiti kami adalah lebih daripada 11 sen seunit tetapi kami hanya membayar 7.30 sen seunit dan membawa ke hadapan baki 3.70 sen untuk 2010.

"Ini ialah dana jangka panjang dan kami mahu memastikan kami boleh menggunakan wang itu untuk membeli lebih banyak saham dan membuat lebih banyak pelaburan kerana kami akan harus membayar sekali lagi," tambahnya.

Sehingga 10 Dis, ASB mencatatkan pendapatan kasar RM5.46 bilion, satu peningkatan 3.4 peratus daripada RM5.28 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat penerima pelaburan menyumbang RM1.48 bilion, atau 27 peratus daripada pendapatan kasar.

Keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM3.67 bilion, atau 67 peratus, sementara baki RM309 juta atau 6.0 peratus adalah daripada pelaburan-pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pelaburan.

Agihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun-akaun pemegang unit.

Semua urus niaga ASB akan digantung mulai 21 Dis hingga 3 Januari untuk memudahkan pengiraan agihan pendapatan dan bonus. Pemegang unit boleh mengemaskinikan akaun mereka mulai 4 Januari.

ASB adalah dana pendapatan ekuiti harga tetap yang dibuka kepada semua Bumiputera berumur 12 tahun ke atas. Ia bertujuan untuk menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan berdaya saing untuk pemegang unit.

(Sumber: Bernama - 14/12/2009 - 16:37pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemenceh Negeri Sembilan akan menjadi MRSM kedua yang melaksanakan Program Ulul Albab selepas MRSM Putera Terengganu mulai tahun depan, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, permohonan masuk ke tingkatan satu kedua-dua MRSM itu sedang dibuka dan ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka boleh berbuat demikian.

Katanya, seramai 170 orang pelajar tingkatan satu akan berpeluang belajar di setiap MRSM itu yang menggunakan konsep pendidikan yang selaras dengan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM).

''Sebelum program yang dilaksanakan di MRSM Kota Putera bermula tahun lalu telah memperlihatkan impak yang memberangsangkan apabila ramai pelajar yang mampu menghafaz sehingga 10 juzuk al-Quran," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong dekat Besut hari ini.

Idris berkata, program Ulul Albab yang berteraskan tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik mampu melahirkan ilmuwan Islam yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk akademik.

Katanya, di samping mampu menguasai al-Quran, pelajar juga memilik ilmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai bidang serta merupakan seorang yang berinovasi dan kreatif dalam kehidupan.

'' Setiap tahun pelajar disasarkan mampu menghafaz 10 juzuk al-Quran dan dalam tempoh tiga tahun mereka mampu menghafaz 30 juzuk al Quran yang merupakan satu kelebihan kepada pelajar berkenaan," katanya.

Beliau berkata, konsep pembelajaran yang lebih bersistematik dan bersepadu itu bukannya baru dilaksanakan sebaliknya telah pun berjaya dipraktikkan dengan jayanya di Sekolah Menengah Imtiaz Besut sebelum ini.

Tambahnya, menerusinya diharapkan nanti generasi pelajar yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang dalam bidang sains dan teknologi malah ilmu-ilmu agama sebagai tokoh peringkat dunia.

(Sumber: Utusan Malaysia - 12/12/2009 )

Baca Selengkapnya (Read More)...