| 0 comments ]

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menawarkan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SSP 1Malaysia) mulai 3 Jan ini bagi membantu individu yang bekerja sendiri menangani masalah ketidakcukupan simpanan selepas bersara nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tan Sri Azlan Zainol berkata skim itu mengambil berat terhadap kebajikan semua peringkat rakyat yang bekerja sendiri yang tidak mempunyai skim simpanan pesaraan secara formal.

Skim tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Rzaak semasa pembentangan Bajet 2010 pada Oktober lepas.

"Skim itu bertujuan memberikan perlindungan kewangan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap apabila mereka mencapai usia tua," kata Azlan dalam kenyataan di sini Selasa.

SPP 1Malaysia ini terbuka kepada individu bekerja sendiri seperti penjaja, peniaga pasar malam, ejen hartanah, golongan pekerja bebas seperti deejay, pembimbing kecergasan, penyanyi dan pelakon serta pemilik perniagaan dalam talian.

"Kerajaan sentiasa prihatin terhadap ketidakcukupan simpanan persaraan yang menjadi kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan.

"Skim SPP 1Malaysia menawarkan golongan terpilih ini fleksibiliti dalam menentukan jumlah wang yang mampu disimpan untuk simpanan persaraan mereka," kata Azlan.

Katanya tidak seperti skim simpanan KWSP yang biasa, amaun yang dicarumkan ke dalam SSP 1Malaysia adalah bergantung kepada tahap kemampuan pencarum sepenuhnya.

"Ahli boleh memilih untuk mencarum amaun minimum sebanyak RM50 sehingga RM5,000 sebulan sebagai simpanan persaraan mereka.

"Caruman adalah secara sukarela dan pencarum juga tidak perlu membayar caruman setiap bulan, ia bergantung kepada tahap kemampuan mereka,", katanya.

Pencarum skim ini akan menerima dividen tahunan mengikut kadar yang diumumkan KWSP.

Tambahan pula, sumbangan kerajaan sebanyak lima peratus dan tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM60 setahun, selama lima tahun bermula dari tahun 2010 hingga 2014.

Individu yang berminat untuk menyertai skim ini perlu mengisi Borang KWSP 16G (1M) yang boleh diperoleh di cawangan KWSP seluruh negara atau memuat-turun dari laman web ini mulai 3 Jan ini.

Borang tersebut perlu dikembalikan ke cawangan KWSP berdekatan atau melalui serahan mel.

Bagaimanapun, individu yang berminat dan masih belum menjadi ahli KWSP perlu berdaftar sebagai ahli terlebih dahulu dengan mengisi Borang KWSP 3 dan mengemukakannya kepada KWSP sebelum memohon menyertai skim ini.

Simpanan boleh didepositkan secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A(2) di kaunter bayaran KWSP seluruh negara.

Menurut Azlan, ahli KWSP sedia ada yang telah bekerja sendiri turut layak memilih untuk menyertai skim baru itu.

Keterangan lanjut boleh diperolehi dengan mengunjungi pejabat KWSP berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922-6000 atau layari laman web KWSP.

(Sumber: Bernama - 22/12/2009 - 20:24pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment