| 0 comments ]

Tiga buah politeknik akan dinaik taraf mulai tahun depan bagi membolehkan politeknik berkenaan menyediakan kursus diploma lanjutan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ia juga adalah satu pendekatan awal sebelum politeknik itu dinaik taraf menjadi universiti.

"Kalau kita lihat di luar negara sudah ada politeknik diiktiraf dan menyediakan kursus di peringkat lebih tinggi daripada diploma. Ini memandangkan sistem politeknik penting untuk meningkatkan sektor teknikal dan vokasional di negara ini.

"Kementerian juga tidak mahu pendidikan di politeknik hanya tersekat sehingga di tahap diploma sahaja malah politeknik juga akan dijadikan sebagai pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan kementerian di Putrajaya - Selasa.

Mohamed Khaled berkata senarai tiga politeknik yang terpilih daripada 27 politeknik yang sedia ada itu akan diumumkan awal tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu menyediakan insuran berkelompok sebagai langkah melindungi keselamatan para pelajar.

"Perkara itu dianggap wajar walaupun setakat ini kementerian tidak berhasrat untuk menjadikan ia satu perkara wajib. Tetapi dengan adanya insuran ia serba sedikit dapat membantu keluarga pelajar yang dilanda musibah," katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan sumbangan wang insuran daripada Kolej Universiti Kesihatan Materskill kepada keluarga dua pelajar kolej itu, Siti Nuramira Shamsudin dan Siti Nurdiana Azman yang terkorban dalam tragedi di Kompleks beli-belah Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Turut menerima sumbangan seorang lagi pelajar Mazlizatul Akmar Muhammad, 23, yang terbunuh dalam satu kemalangan di Kilometer 39 Jalan Kuantan-Kemaman, Pahang pada November lepas.

Pada majlis sama beliau turut menyampaikan sumbangan kementerian berjumlah RM184,000 kepada pelajar yang terbabit dalam kejadian gempa bumi di Padang, Indonesia.

(Sumber: Bernama - 15/12/2009 - 12:26pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment