ANAK Krakatau di Sunda mula memuntahkan lava pada 11 November lalu. |
Keterbatasan ilmu manusia menyebabkan pakar gunung berapi hanya mampu meramal. Isunya adalah mengapa Anak Krakatau mendapat perhatian istimewa sedangkan pada masa sama, gunung berapi lain di Indonesia juga menunjukkan tanda akan meletus.
Sejarah Anak Krakatau menyebabkan kemarahannya digeruni. Siapa boleh lupa bahawa gunung berapi ini adalah warisan hasil letupan gunung berapi paling dahsyat di dunia, Krakatau pada 26 dan 27 Ogos 1883.
Letupan 124 tahun lalu memuntahkan lebih 25 kubik kilometer batuan dan debu serta menghasilkan bunyi letupan paling bingit pernah direkodkan dalam sejarah. Bayangkan penduduk sejauh Perth di Australia, iaitu kira-kira 3,110 kilometer dan Pulau Rodrigues dekat Mauritius, kira-kira 5,000 kilometer boleh mendengar letupan itu.
Mengikut rekod rasmi, 165 kampung dan pekan musnah, manakala 132 rosak teruk. Jumlah kematian pula seramai 36,417 orang, manakala ribuan cedera akibat letupan, diikuti gelombang ombak besar atau tsunami. Kejadian itu memusnahkan dua pertiga Pulau Krakatau dan di tempat yang sama, Anak Krakatau muncul 44 tahun kemudian.
Sebelum 1883, Pulau Krakatau mengandungi tiga pulau utama, iaitu Lang (sekarang Rakata Kecil atau Panjang), Verlaten (Sertung) dan Krakatau sendiri, sebuah pulau sepanjang 9 kilometer dan 5 kilometer lebar. Beberapa tahun sebelum meletup, aktiviti seismik gunung berapi itu mula menunjukkan tanda aktif dengan beberapa gempa bumi berlaku yang boleh dirasai hingga Australia.
20 Mei 1883, iaitu 3 bulan sebelum letupan terakhir, wap muncul dari gunung itu dan letupan debu setinggi 6 kilometer serta bunyi letupan boleh didengar hingga ke Batavia (sekarang Jakarta) sejauh 160 kilometer. Aktiviti ini berhenti pada akhir Mei, tetapi meletup semula pada 20 Julai menyebabkan laut bergelombang dan merbahaya kepada kapal. Pada 11 Ogos, letupan lebih kuat berlaku dan bertambah hebat pada 24 Ogos.
Kira-kira jam 1 petang pada 26 Ogos, gunung berapi memasuki peringkat paroxysm yang jika dibandingkan dengan manusia ibarat kemarahan yang tidak dapat ditahan lagi. Sejam kemudian, pemerhati di situ melihat debu membentuk kepulan awan hitam setinggi 27 kilometer. Letupan semakin tidak berhenti-henti dan boleh didengar setiap 10 minit. Kapal yang berada dalam lingkungan 20 kilometer ditimpa hujan debu dan ketulan batu panas sebesar 10 cm mendarat di atas kapal. Pantai Pulau Jawa dan Sumatera mula dilanda tsunami kecil antara jam 6 petang hingga 7 malam.
Peringkat catalysm atau bencana berlaku pada 27 Ogos dengan 4 letupan kuat berlaku antara jam 5.30 pagi hingga 10.00 pagi dengan letupan terakhir adalah paling kuat. Setiap letupan dituruti tsunami dengan gelombang setinggi 30 meter, manakala banyak kawasan pantai Sumatera dilanda aliran lahar. Debu pula berterbangan setinggi 80 kilometer. Antara kawasan yang menjadi mangsa Krakatau ialah penduduk sekitar Ketimbang di Sumatera apabila pada petang 27 Ogos, hujan debu panas menyebabkan ribuan penduduk di daerah malang ini terbunuh.
Selepas dua hari kejadian dahsyat ini, letupan kecil berterusan hingga Februari 1884. Hasil letupan menyebabkan Krakatau hampir hilang sepenuhnya dan puluhan tahun kemudian meninggalkan keadaan fizikal yang dapat dilihat pada hari ini.
Ketika ini hanya ramalan dapat dibuat, tetapi persoalan lebih besar adakah Anak Krakatau akan mengamuk seperti induknya, Krakatau?
FAKTA : Kesan letupan Krakatau
0 comments
Post a Comment