[Monday, April 13, 2009
|
]
Kementerian Pelajaran menetapkan 17 April ini sebagai tarikh semakan permohonan memasuki Program Matrikulasi oleh pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, semakan boleh dibuat melalui laman web kementerian di http://www.moe.gov.my dengan memasukkan nombor kad pengenalan beserta angka giliran SPM.
Pemohon juga boleh menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip MAT jarak nombor kad pengenalan pelajar ke talian 15888 atau menghubungi bantuan Bahagian Matrikulasi di 03-8884 4100 pada hari bekerja (8.30 pagi hingga 4 petang) bagi mengetahui status permohonan.
Menurut kenyataan itu, tarikh pendaftaran adalah pada 11 Mei ini dan surat tawaran dan maklumat lanjut berkaitan pendaftaran, yuran dan lain-lain akan dihantar oleh pihak kolej berkenaan.
Pemohon berkelayakan yang gagal dalam permohonan boleh membuat rayuan melalui internet atau secara bertulis dengan melampirkan satu salinan keputusan SPM beserta kad pengenalan yang disahkan kepada Bahagian Matrikulasi, Aras 6, Blok E15, Parcel E, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62604 Putrajaya, sebelum 30 April ini.
Keputusan rayuan akan diumumkan pada 22 Mei depan melalui laman web.
Pemohon juga boleh menyemaknya dengan menghantar SMS dengan menaip MAR jarak nombor kad pengenalan pelajar dan hantar ke 15888 ataupun menghubungi talian bantuan Bahagian Matrikulasi.
Menurut kenyataan itu lagi, keputusan kemasukan ke Program Dua Tahun (PDT) akan diumumkan pada 3 Jun depan dan pelajar dikehendaki mendaftar di kolej 12 hari selepas itu.
Status permohonan boleh disemak melalui laman web dan semakan juga boleh dibuat dengan menghubungi talian bantuan seperti di atas ataupun dengan menghantar SMS dengan menaip MAT jarak nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888, katanya.
(Sumber: Bernama - 13/04/2009 - 5:21PM)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Friday, April 10, 2009
|
]
Amanah Raya Berhad (ARB) dengan kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menawarkan biasiswa kepada pelajar Islam yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir dalam bidang Pengajian Islam.
Menurut kenyataan ARB di sini hari ini, permohonan terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang beragama Islam yang memenuhi syarat-syarat kelayakan iaitu memperoleh keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Syariah, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan subjek berkaitan.
Latar belakang dan sosio ekonomi keluarga seperti anak yatim, ibu bapa berpendapatan rendah dan jumlah adik-beradik juga diambil kira dalam proses pemilihan ini.
Pelajar yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan melalui portal web www.amanahraya.com.my atau menghubungi talian 03-20557373/625 untuk maklumat lanjut.
Tarikh tutup permohonan adalah pada 17 April ini
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Thursday, April 09, 2009
|
]
Berikut ialah senarai penuh barisan Kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi.
PERDANA MENTERI : Datuk Seri Najib Tun Razak
TIMBALAN PERDANA MENTERI: Tan Sri Muhyiddin Yassin
JABATAN PERDANA MENTERI:
Menteri:
1. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi)
2. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)
3. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Unit Perancang Ekonomi)
4. Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Hal Ehwal Agama Islam)
Timbalan Menteri:
1. Datuk Liew Vui Keong
2. Datuk Dr. Mashitah Ibrahim
3. Datuk S.K. Devamany
4. Ahmad Maslan
5. T. Murugiah
KEMENTERIAN KEWANGAN:
Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak
Menteri II: Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah
Timbalan Menteri:
1. Datuk Chor Chee Heung
2. Datuk Dr. Awang Adek Hussin
KEMENTERIAN PELAJARAN:
Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Menteri:
1. Datuk Dr Wee Ka Siong
2. Dr. Mohd Puad Zarkashi
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN:
Menteri: Datuk Ong Tee Keat
Timbalan Menteri:
1. Datuk Abdul Rahim Bakri
2. Datuk Robert Lau Hoi Chew
KEMENTERIAN PERUSAHAAN, PERLADANGAN DAN KOMODITI:
Menteri: Tan Sri Bernard Dompok
Timbalan Menteri: Datuk Hamzah Zainudin
KEMENTERIAN DALAM NEGERI:
Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan Menteri:
1. Datuk Wira Abu Seman Yusop
2. Jelaing anak Mersat
KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN:
Menteri: Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim
Timbalan Menteri:
1. Datuk Joseph Salang Gandum
2. Senator Heng Seai Kie
KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR:
Menteri: Datuk Peter Chin Fah Kui
Timbalan Menteri: Noriah Kasnon
KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:
Menteri: Datuk Seri Shafie Apdal
Timbalan Menteri:
1. Datuk Hassan Malek
2. Datuk Joseph Entulu anak Belaun
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI:
Menteri: Datuk Seri Mohd Khaled Nordin
Timbalan Menteri:
1. Datuk Dr. Hou Kok Chung
2. Datuk Saifuddin Abdullah
KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI:
Menteri: Datuk Mustapa Mohamed
Timbalan Menteri:
1. Datuk Mukhriz Mahathir
2. Datuk Jacob Dungau Sagan
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INNOVASI:
Menteri: Datuk Dr. Maximus Ongkili
Timbalan Menteri: Fadillah Yusof
KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:
Menteri: Datuk Douglas Uggah Embas
Timbalan Menteri: Tan Sri Joseph Kurup
KEMENTERIAN PELANCONGAN:
Menteri: Datuk Ng Yen Yen
Timbalan Menteri: Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib
KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:
Menteri: Datuk Noh Omar
Timbalan Menteri:
1. Datuk Johari Baharum
2. Datuk Rohani Abdul Karim
KEMENTERIAN PERTAHANAN:
Menteri: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Menteri: Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad
KEMENTERIAN KERJA RAYA:
Menteri: Datuk Shaziman Abu Mansor
Timbalan Menteri: Datuk Yong Khoon Seng
KEMENTERIAN KESIHATAN:
Menteri: Datuk Liow Tiong Lai
Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Rashid Shirlin
KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN:
Menteri: Datuk Ahmad Shabery Cheek
Timbalan Menteri:
1. Datuk Razali Ibrahim
2. Wee Jeck Seng
KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA:
Menteri: Datuk Dr S.Subramaniam
Timbalan: Datuk Maznah Mazlan
KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA:
Menteri: Datuk Ismail Sabri Yaakob
Timbalan Menteri: Datuk Tan Lian Hoe
KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:
Menteri: Datuk Kong Cho Ha
Timbalan Menteri: Datuk Lajim Ukin
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:
Menteri: Datuk Seri Sharizat Jalil
Timbalan Menteri: Datin Paduka Chew Mei Fun
KEMENTERIAN LUAR:
Menteri: Datuk Anifah Aman
Timbalan Menteri:
1. A. Kohilan Pillay
2. Datuk Lee Chee Leong
KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN:
Menteri: Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Timbalan Menteri: Datuk M. Saravanan
- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -
Senarai menteri yang digugurkan daripada Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini:
1. Datuk Seri Syed Hamid Albar
2. Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed
3. Datuk Seri Zulhasnan Rafique
4. Datuk Seri Azalina Othman Said
5. Senator Tan Sri Muhammad Muhamad Taib
6. Senator Datuk Amirsham A Aziz
7. Datuk Shahrir Abdul Samad (meletak jawatan)
8. Datuk Seri Ong Ka Chuan
- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -
Yang menarik..
- Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO) tidak dilantik dalam kabinet. Bagus.
- Mukhriz Mahathir (tewas Ketua Pemuda) pula jadi Timb. Menteri.
- Kementerian baru : Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
- Penggabungan Kementerian Penerangan dengan Kesenian.
- Kabinet lebih kecil dengan dianggotai 28 Menteri dengan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian sebelumnya.
- Empat Menteri dari Sabah.
- Tan Sri Bernad Dompok (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi,
- Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah),
- Datuk Dr. Maximus Ongkili (Menteri Sains, Teknologi & Inovasi),
- Datuk Anifah Aman (Menteri Luar).
- Tiga negeri - Perlis, Melaka dan Kedah tiada wakil dilantik Menteri.
- Enam muka baru dilantik sebagai Menteri.
- Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Menteri Wilayah Persekutuan),
- Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (Menteri di Jabatan Perdana Menteri),
- Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (Menteri Kewangan Kedua),
- Datuk Kong Cho Ha (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan),
- Datuk Jamil Khir Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam);
- Datuk Anifah Aman (Menteri Luar).
- Pelantikan empat menteri dan dua timbalan menteri bertaraf Senator.
- Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Presiden Gerakan) - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjaga Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi;
- Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Bekas Pengarah Agama di Angkatan Tentera Malaysia (ATM), memegang potfolio Hal Ehwal Agama Islam;
- Datuk Seri Sharizat Jalil (Ketua Wanita Umno) - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat;
- Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Ahli perniagaan) sebagai Menteri Wilayah Persekutuan;
- Datuk Dr Awang Adek Hussin - Timbalan Menteri Kewangan II; dan
- Datuk Paduka Chew Mei Fun - sebagai timbalan Shahrizat.
- Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mengukur prestasi menteri setiap 6 bulan.
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Wednesday, April 01, 2009
|
]
Kementerian Pelajaran menetapkan hanya tiga kategori sekolah sahaja yang akan wujud pada tahun depan bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat mengenai status dan perjuangan sekolah-sekolah berkenaan.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tiga kategori sekolah tersebut ialah :
- sekolah kerajaan,
- sekolah bantuan kerajaan, dan
- sekolah swasta.
"Menjelang tahun 2010 saya nak tengok tiga kategori sekolah saja yang ada sebab saya tak nak orang ramai keliru kerana saya bimbang ada pihak tertentu yang akan mengelirukan dan mengeksplotasi keadaan mengikut kaum dan agama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pakej rangsangan ekonomi peruntukan fizikal berjumlah RM210,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Sungai Getah di Sungai Petani, Selasa.
Beliau berkata sekolah kerajaan merupakan sekolah aliran perdana yang juga sekolah majoriti di negara ini di mana usaha memartabatkan sekolah ini adalah berterusan.
"Sekolah bantuan kerajaan pula sebelum ini kita lihat dalam konteks SJK Tamil dan Cina, sekolah mubaligh dan sekolah agama yang hanya berjuang dalam konteks pemikiran dan perjuangan mereka secara persendirian," katanya.
Hishammuddin berkata sekolah-sekolah bantuan kerajaan akan terus diberi perhatian dan sokongan penuh oleh kerajaan di mana sekolah-sekolah yang daif dan kurang selamat diduduki akan diberi keutamaan.
Sekolah swasta pula, kata beliau dilihat sebagai penjana ekonomi negara pada masa sekarang di mana kecenderungan masyarakat luar untuk memilih sekolah swasta di negara ini berbanding negara lain.
"Sekarang ni orang tak faham dan campur-adukkan. Bila cakap fasal SJK di mana orang samakan dengan sekolah kebangsaan (SK) walhal di sekolah agama bantuan kerajaan yang sama status dengan SJK, tanahnya hak milik sekolah dan lembaga sekolah.
"Ahli lembaga masih ada, di SK tidak ada (ahli lembaga) jadi status dan sejarah berbeza...nak samakan susah tapi kalau tak samakan nanti dieksploitasi oleh kumpulan tertentu yang kata kita menganiayai sekolah yang beraliran lain padahal guru dibekal oleh kita, lembaga kita tak ganggu serta tanah hak milik tetap sekolah dan lembaga," katanya.
Beliau mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mengeksploitasikan dan mensensasikan isu-isu pendidikan yang melibatkan kaum dan agama kerana ia boleh memecah-belahkan masyarakat
"Ia menimbulkan emosi, polemik, memecah-belah masyarakat dan bila berlaku, negara tidak stabil dan bila negara tak stabil bagaimana kita mahu pertahankan ekonomi," katanya.
Katanya sekiranya semua pihak tidak bersungguh-sungguh dan mempunyai satu kemahuan politik untuk menangani perkara itu dengan berani, masa depan generasi akan datang akan gelap.
(Sumber: Bernama - 31/03/2009 - 18:16PM)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Tuesday, March 31, 2009
|
]
Kerajaan tidak akan menolak dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ataupun menerima dasar itu secara bulat-bulat, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata sebarang keputusan yang dibuat nanti akan mengambil kira pelbagai aspek dan kementerian juga telah menetapkan beberapa cadangan dalam kertas kerja dasar itu yang kini dalam peringkat akhir untuk diluluskan oleh jemaah menteri.
"Kita tidak perlu melihatnya sebagai situasi kalah-kalah, tolak bulat-bulat atau terima bulat-bulat. Yang kita hendak tengok adalah menyesuaikannya mengikut pencapaian pelajar," katanya menjawab soalan Senator Prof Datuk Dr Firdaus Abdullah pada persidangan Dewan Negara di Kuala Lumpur hari ini.
Hishammuddin berkata antara cadangan yang akan dibentangkan kepada Kabinet ialah :
- menggunakan Bahasa Melayu bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah, atau
- menggunakan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda bagi mata pelajaran tersebut di sekolah rendah dan menengah;
- bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah sendiri;
- penggunaan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan Bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah.
Beliau berkata cadangan itu dibuat hasil daripada pelbagai perbincangan, mesyuarat dan persidangan secara terbuka yang dibuat antaranya melibatkan ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak kerajaan dan pembangkang.
"Walaupun kita telah mendapat pelbagai alternatif melalui persidangan meja bulat, mesyuarat profesional, memorandum atau pemberitahuan daripada pelbagai medium ia bukanlah satu formula yang dapat menyelesaikan semua permasalahan yang timbul dalam penentuan masa depan dasar ini," katanya.
Hishammuddin berkata apa jua keputusan yang akan diumumkan oleh kerajaan nanti empat perkara utama akan diambil kira iaitu :
- kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan akan terus dimartabatkan;
- penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar akan diperkasakan;
- kompetensi guru dalam mengajar Sains dan Matematik akan diutamakan; dan
- pencapaian para murid dalam dua mata pelajaran itu akan terus dipertingkatkan.
(Sumber: Bernama - 30/03/2009 - 15:13PM)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Friday, March 27, 2009
|
]
Kita biasa mengalami beberapa gegaran gempa bumi sebelum ini di Malaysia. Walau bagaimanapun, kesemua pusat gempa bumi tersebut adalah jauh dari negara kita. Semua pusat gempa adalah terletak di Lingkaran Api Pasifik yang melingkari rantau Asia Tenggara.
Negara serantau yang kerap dikaitkan dengan aktiviti gunung berapi yang aktif adalah Indonesia dan Filipina. Kita sering mengatakan negara kita selamat. Dulu ya, sekarang TIDAK!
Jerantut dah kena gempa bumi kecil 9.46 pagi tadi, berskala Richter 3.0 dengan pusat gempa hanya 65 kilometer sahaja dari Bentong.
JERANTUT, 27 Mac (Bernama) -- Penduduk di beberapa kawasan di Jerantut yang merasai gegaran pagi ini tidak menyangka ia berpunca daripada gempa bumi lemah berukuran 3.0 pada skala Richter.
Kerani Pejabat Pos Mini Sungai Tekam Utara, Ili Khairunnisa Mohd Rashid, 22, berkata ketika kejadian beliau sedang sibuk melayan beberapa pelanggan di pejabat pos berkenaan.
"Tiba-tiba terasa gegaran ketika saya sedang menguruskan pembayaran bil pelanggan menyebabkan saya rasa pening," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata gegaran itu turut menyebabkan berlaku sedikit kekecohan di kalangan lima pelanggan dalam pejabat pos berkenaan.
Bagaimanapun, katanya beliau menyangka gegaran itu disebabkan oleh dentuman barang yang jatuh dari dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersebelahan.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa yang berlaku pada 9.46 pagi itu berpusat di latitud 3.8 utara dan longitud 102.4 timur.
Pusat gempa terletak 65 kilometer dari timur laut Bentong dan gegaran lemah dirasai di sekitar daerah Jerantut.
Seorang lagi penduduk, Zakaria Mat Hassan, 52, pula berkata beliau menyangkakan gegaran itu disebabkan oleh pergerakan lori di kawasan itu.
"Kita tidak fikirkan ini satu gempa bumi kerana tidak pernah mengalaminya sebelum ini," kata bendahari JKKK kampung itu.
Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai gempa berkenaan selepas dimaklumkan oleh pihak bomba.
Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerantut, Roslan Abu Talib berkata pihaknya menerima maklumat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut sebelum sepasukan anggotanya melakukan tinjauan di sekitar Sungai Tekam Getah, Tekam Utara dan Kota Gelanggi.
Bagaimanapun, katanya tiada sebarang kecederaan dan kemusnahan berlaku akibat gempa bumi itu.
(Sumber: Bernama - 27/03/2009 - 14:02PM)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Friday, March 27, 2009
|
]
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kuota khas sebanyak 10 peratus atau 200 biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pelajar Bumiputera Sabah dan Sarawak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sabah dan Sarawak bermula tahun ini.
Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pencapaian akademik pelajar Bumiputera di kedua-dua negeri itu yang masih ketinggalan berbanding pelajar lain di Semenanjung.
"Pada masa ini, banyak lagi sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan yang lengkap dan keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan pencapaian akademik mereka.
"Sebab itu kerajaan Persekutuan memberi perhatian khusus kepada pelajar Bumiputera Sabah dan Sarawak, dengan memberikan masing-masing peruntukan 100 biasiswa, dalam usaha untuk membetulkan keadaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis anugerah cemerlang pelajar di SM Shan Tao, dekat Kota Kinabalu hari ini.
Dompok berkata di bawah skim biasiswa JPA yang baru, 20 peratus atau 400 daripada 2,000 biasiswa yang ditawarkan tahun ini adalah khusus untuk pelajar cemerlang manakala 60 peratus atau 1,200 biasiswa terbuka kepada pelajar lepasan SPM Bumiputera dan bukan Bumiputera di seluruh negara.
Beliau berkata tawaran 10 peratus biasiswa JPA turut dipanjangkan kepada pelajar kurang upaya (OKU) manakala selebihnya diperuntukkan untuk pelajar Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Terdahulu, dalam ucapannya, Dompok berkata beliau menyokong agar penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran Matematik dan Sains diteruskan.
Dompok berkata kebanyakan bahan rujukan dan maklumat termasuk di internet untuk kedua-dua mata pelajaran itu adalah dalam bahasa Inggeris.
"Saya fikir penggunaan bahasa Inggeris dalam dua subjek itu tidak menjejaskan penguasaan kita dalam bahasa Malaysia malah membantu kita berkomunikasi dengan baik terutama apabila menganjurkan atau mengikuti program peringkat antarabangsa," katanya.
(Sumber: Bernama - 27/03/2009 - 17:16PM)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Tuesday, March 24, 2009
|
]
Apabila sejumlah
6,277 calon peperiksaan SPM 2008 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran (
straight A's) yang diambil berbanding
5,060 calon pada 2007, ramai orang mempertikaikan sistem skema pemarkahan SPM telah direndahkan. Bayangkan, peningkatan itu adalah
24.05% !
Adakah sistem skema pemarkahan telah 'dipermudahkan' untuk menghasilkan kualiti keputusan yang semakin baik? Adakah graf peratus kelulusan markah setiap kertas peperiksaan dimanipulasikan di Lembaga Peperiksaan Malaysia atau Majlis Peperiksaan Malaysia untuk 'mewujudkan' prestasi kuantiti dan kualiti SPM agar 'nampak' terus meningkat?
Kita lihat apa komen Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia tentang hal berkenaan..
Skema permarkahan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak pernah direndahkan hingga menyebabkan lebih ramai pelajar memperoleh gred A.
Sebaliknya, bilangan pelajar pintar semakin ramai yang berkemampuan memperoleh keputusan cemerlang dalam skema permarkahan SPM yang tinggi standardnya serta dinilai pakar antarabangsa.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata sistem permarkahan SPM diterima untuk kemasukan ke universiti luar negara.
"Empat pakar dari badan antarabangsa telah menilai skema permarkahan kita, jadi tentulah standard permarkahan itu semakin tinggi.
"Kita tak pernah turunkan standard pemarkahan (SPM) tapi hakikatnya pelajar makin pandai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah kepada 79 pelajar cemerlang dari sembilan buah sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) yang menerima anugerah pelajar cemerlang SPM 2008, termasuk seorang pelajar orang kurang upaya (OKU), di Kuala Lumpur hari ini.
Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, pelajar Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan, mencipta sejarah memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM dengan mendapat 19 1A dan satu 2A.
Salah seorang penerima anugerah, Wong Jun Kit, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Selatan yang memperoleh 12 1A, berkata beliau berbangga kerana dapat menerima anugerah ini dan berjanji untuk terus menjadi pelajar yang cemerlang di peringkat pengajian tinggi pula.
"Lepas ini saya akan menyambung pelajaran di luar negara dan berharap dapat menjadi seorang jurutera kimia yang berjaya," katanya.
Wong Kit Yeng, 18, yang juga memperoleh 12 1A berkata beliau tidak mengamalkan apa-apa resepi belajar yang luar biasa untuk memperoleh keputusan cemerlang.
Selain pelajar, anugerah kecemerlangan itu turut diberikan kepada sekolah angkat yang cemerlang dalam keputusan SPM 2008 yang diraih oleh SMK Seri Bintang Selatan.
(Sumber: Bernama - 24/03/2009 - 15:10 PM)
Nampak kan?.. apabila semua orang semakin pandai, bermakna persaingan akan terus sengit untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi. Ianya bukan sahaja tempat belajar, malah persaingan mendapatkan biasiswa. Teruskan berusaha.
WHEN THE GOING GETS TOUGH
THE TOUGH GET GOING
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Monday, March 23, 2009
|
]

SQUIDWORTH adalah salah satu watak dalam cerita kartun popular di kalangan kanak-kanak -
SpongeBob SquarePants. Cerita itu bagi PakTeh, tak berjenis.. macam kartun Doraemon juga. Kisah moralnya teruk: sebahagiannya mengajar menipu, mengenakan orang, buli dan tidak hormat orang tua. Alam cerita adalah dasar laut, tetapi jangan terkejut di situ ada kedai burger pula..
'
I hate all of you' ialah slogan watak Squidworth. Dia seorang tua, individualistik dan tak suka orang sekelilingnya. Paling dia tak suka tentulah SpongeBob sendiri, yang suka mengacaunya setiap episod.
Tetapi apa rasa jika memang ada watak semi-Squidworth di Malaysia. Jom tengok foto berikut.

Kebetulan terjumpa foto di atas di www.engrish.com - sebuah laman web tentang kesalahan pemakaian Bahasa Inggeris. Masalah dengan foto itu kerana ia "No 1 - Top 100 Most Popular Engrish" di laman itu dengan lebih 2,300 undian, sampai PakTeh rasa malu. Siapalah makhluk di Malaysia yang upload foto tu di situ.. hrmph.
Foto tersebut mencerminkan sekurang-kurangnya 3 perkara: 1. Bahasa Inggeris digunakan amat BroKeN. 2. Jika diterjemahkan pada Bahasa Melayu, juga buruk maksudnya tentunya. 3. Menunjukkan krisis kejiranan di dalam masyarakat Malaysia.
Jika dilihat dari perspektif tatabahasa Bahasa Inggeris, jelas plet itu ditempah oleh orang yang 'spiking small-small oni'. Kemudian kedai advertising company tu pula, 2 x 5 - tiada editor khas yang boleh beri cadangan ejaan atau gaya bahasa yang betul dan lebih berhemah. Lepas tu , tuan rumah tayang pula depan rumah, tunjuk pada semua orang - ini warning hebat oleh tuan rumah yang hebat - dalam english. Agaknya sebab itu PPSMI tak diminati orang, sebab ramai orang suka spiking BroKeN-BroKeN oni. Peliknya semua maklum Bahasa Inggeris penting untuk kerjaya pada masa depan kelak.
Dari perspektif sosial, ini lebih memalukan. Ia mencerminkan amalan kejiranan yang lemah, sikap individualistik dan tidak mengambil berat hal masyarakat sekeliling. "Orang punya hal, aku tak mau campur!".
Inilah yang menyedihkan di zaman ramai orang tinggal berdekatan, malah yang berkongsi dinding tetapi dipisah oleh pagar. Pagar itulah yang membatas sempadan tanah tapak rumah serta komunikasi antara kejiranan. Ada ke orang yang tinggal dalam kawasan berpagar tetapi sentiasa membuka pintu pagarnya? Tak de kan? Kini semakin ramai tidak mempercayai orang sekeliling, takut pecah rumah, culik dan sebagainya. Program Rukun Tetangga pun makin malap seiring dengan kelecehan dokumentasi, para majikan yang materialistik dan lebih pentingkan produktiviti pekerjanya. Tak mau kompromi langsung dengan keselamatan setempat, tiada 'social obligation'. $$ Keuntungan $$ lebih diutamakan dari kesejahteraan rakyat. Paling teruk dari segi isu kepercayaan & kejujuran di zaman sekarang.., usah kata polis - pemimpin-pemimpin pun ramai orang dah tak percaya.. entahlah.
PakTeh taklah kata kejiranan kawasan foto itu sebegitu, mungkin ramai wakil penjual atau mat lepak suka merayau keliling rumah dia. Atau mat rempit suka race depan rumah dia.. Tak tau la. Jadi dia nak la privacy sikit. Kot la.. hehe.
Cuma teringat zaman kini dah berubah. Tidak lagi seperti dahulu. Dulu.. "Anak aku, anak hang. Anak hang, anak aku" (loghat utara). Sebab itu dulu-dulu kanak-kanak cukup takut dengan semua orang (terutamanya yang dewasa) sebab laporan kenakalannya akan cepat sampai pada ibubapa. Tentunya, 'buah tangan' akan dapat secukup rasa dari ibubapa. Jika guru beri hukuman disiplin di sekolah, tak beraninya nak dimaklum pada ibubapa - sebab tentu dapat habuan @ bonus tambahan.
Ibubapa dahulu amat mempercayai dan menghargai komen orang-orang sekitarnya. Mereka tahu, setiap teguran dan maklumat adalah ikhlas. Segalanya untuk kebaikan anak mereka dan juga mereka. Orang ramai mana ada tanya "siapa budak tu?" TETAPI "anak siapa tu?". Maruah keluarga amat penting, dan ianya dijaga secara penuh berhemah di kalangan penduduk setempat. Susah senang dikongsi bersama. Kematian berlaku - satu kampung tak pergi kerja, sebagai simbol persaudaraan yang kental. Kenduri kahwin, apa lagi - urusan gotong-royong / rewang / kendaranya bermula lebih seminggu awal hingga tamat kenduri. Hari-hari semua akan menolong tuan rumah. Itulah orang mukmin.. tidaklah dia beriman sehingga dia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri.
Kini, slogan keramat itu dah semakin hilang. Sekarang "Anak aku, anak aku. Anak hang, anak hang. Aku jaga anak aku, hang jaga anak hang. Jaga anak sendiri, jangan sebok hai oghang." Sebab itu, jika anak-anak di kejiranan buat apa-apa tak betul; ramai orang diamkan sahaja. Kutuk belakang2 je, sebab tak berani nak lapor terus terang pada ibubapa yang berkenaan. Anak-anak juga makin 'mua' & manja. Usahkan hal cikgu hukum kat sekolah, kerengga 'ketit' sikit pun melolong2, mengadu kat mak ayah. Paling teruk, ada sebahagian ibubapa sekarang lebih percaya pada anaknya sendiri dari jiran, saudara malah guru-guru anak-anaknya. Ini yang merosakkan budaya dan asas beragama kita.
Kadang-kadang terasa sungguh nak kembali ke zaman dahulu. Tapi nanti orang kata kolot pulak kan? Ya.. zaman sentiasa berubah, dan akan terus berubah. Kita akan terus hidup mengikut arus aliran zaman. Cuma, kita perlu sama-sama jaga didikan, penghayatan dan amalan nilai murni dan ajaran agama - walau apa pun terjadi pada masa akan datang. Tak dapat untuk seluruh masyarakat, terhadap ahli keluarga sendiri pun sudah amat baik. Sama-samalah kita pelihara diri kita dan keluarga kita dari api neraka. Insya Allah.
Maaflah, sebab PakTeh pun spiking BrOkEn jugak..
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Saturday, March 21, 2009
|
]
Kementerian Pelajaran akan mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan kepada mereka yang memiliki ijazah teknikal terutama membaik pulih komputer, arkitek dan jurutera bangunan sebagai pegawai kontrak selama
dua tahun.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Seri Dr Zulkurnain Awang berkata keutamaan akan diberikan kepada mereka yang diberhenti kerja dan masih menganggur.
"Mereka boleh memohon menerusi portal kementerian yang akan dibuka dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Awang di Pasir Puteh, hari ini.
Turut hadir Pegarah Pelajaran Kelantan, Ghazali Abdul Rahman dan timbalannya Ishak Ismail.
Zulkurnain berkata mereka akan ditempatkan di setiap negeri untuk membantu Jabatan-jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat-pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi memantau perlaksanaan projek-projek yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan masing-masing.
Beliau berkata kementerian berkenaan meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi tujuan itu termasuk membayar elaun tetap bulanan yang agak lumayan kepada mereka yang berjaya.
Mengenai pengambilan 1,000 guru siswazah secara kontrak, Zulkurnain berkata mereka yang menunjukkan minat, potensi dan masih menganggur akan diberi keutamaan berasaskan kekosongan bidang tertentu di kawasan masing-masing.
"Misalnya sekolah-sekolah di kawasan mereka kekurangan guru Bahasa Inggeris mereka yang memiliki ijazah di bidang itu akan diberi keutamaan," katanya.
Selain itu mereka yang pernah bertugas sebagai guru sandaran di sekolah-sekolah kementerian itu sebelum ini juga akan diberi keutamaan memohon menerusi portal kementerian dalam tempoh satu hingga dua minggu ini.
Katanya mereka yang berjaya kemungkinan akan diserapkan ke jawatan tetap jika didapati mereka telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap profesion perguruan.
(Sumber: Bernama - 21/03/2009)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Saturday, March 21, 2009
|
]
Pakej bajet mini
RM60 bilion yang diumumkan baru-baru ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan
RM2.093 bilion untuk bidang pendidikan, meliputi RM1.949 bilion untuk
Pembangunan Pendidikan dan RM144 juta untuk
Belanja Mengurus bagi manfaat semua sekolah di seluruh negara.
Menurut Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein,
Pembangunan Pendidikan melibatkan
RM36.3 juta untuk
Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI),
RM1.432 bilion untuk
Ubah Suai Naik Taraf Rendah,
RM128.7 juta Ubah Suai Naik Taraf Menengah,
RM164.1 juta Infrastruktur Sokongan Pendidikan,
RM18.2 juta Perabot dan Peralatan dan
RM169.6 juta Pembaikan dan Penyelenggaraan Sekolah dan Kemudahan Sekolah.
Manakala agihan RM144 juta itu (Belanja Mengurus) melibatkan RM6 juta untuk program Pegawai Kontrak, RM48 juta program Tenaga Pengajar Secara Kontrak, RM40 juta program Smartboards dan RM50 juta Kokurikulum, katanya.
Hishammuddin berkata Kementerian Pelajaran turut menyambut baik kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Mansor untuk menempatkan 3,000 siswazah yang mempunyai kelulusan dalam bidang ICT untuk ditempatkan di sekolah-sekolah di seluruh negara yang mempunyai jaringan internet bagi membantu menjayakan inisiatif ICT.
Beliau juga berterima kasih atas langkah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi untuk mempertingkatkan keupayaan sistem Internet di 3,000 buah sekolah di seluruh negara yang mempunyai jaringan Internet (Schoolnet).
"Saya berharap usaha ini dapat membantu meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran secara online sekaligus merangkaikan warga sekolah di seluruh negara secara interaktif melalui Schoolnet.
"Langkah ini juga dilihat dapat membantu dan memberi manfaat kepada siswazah yang mempunyai kelulusan ICT khususnya yang menganggur ketika ini," katanya.
(Sumber: Kenyataan akhbar - 20/03/2009)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Friday, March 20, 2009
|
]
Kementerian Pelajaran akan melantik seramai 1,000 orang siswazah sebagai guru sekolah secara kontrak berikutan peruntukan kerajaan sebanyak RM48 juta bagi program Tenaga Pengajar Secara Kontrak seperti yang diumumkan di dalam mini bajet baru-baru ini, kata Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata peluang ini dibuka kepada semua peringkat pencari kerja, sama ada di kalangan graduan baru atau mereka yang sedang mencari pekerjaan, yang proses pengambilannya akan bermula dalam tempoh terdekat.
"Tawaran akan dikeluarkan di portal Kementerian Pelajaran sedikit masa lagi dan pengambilan guru-guru kontrak ini akan melibatkan semua jenis dan kategori sekolah, sama ada Sekolah Rendah atau Menengah di seluruh negara.
"Ia akan turut melibatkan keperluan untuk melantik guru di semua jenis sekolah di seluruh negara termasuk Sekolah Sukan, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Agama dan lain-lain lagi," katanya di dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata guru yang terpilih dijangka dapat memulakan perkhidmatan selewat-lewatnya Mei tahun ini.
Hishammuddin berkata kementeriannya sedang menunggu syarat-syarat pelantikan yang sedang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi digunakan oleh semua kementerian.
"Kementerian bagaimanapun telah membuat persediaan bagi membuat pelantikan ini demi memastikan segala keputusan yang dihasratkan menerusi pakej rangsangan ekonomi kedua dapat dilaksanakan seberapa segera," katanya.
(Sumber: Kenyataan Akhbar - 20/03/2009)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Friday, March 20, 2009
|
]
Kementerian Pelajaran bercadang untuk mengurangkan sukatan pelajaran bagi beberapa kertas peperiksaan berbentuk subjektif dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr. Haili Dolhan berkata, cadangan itu bertujuan mempercepatkan proses penyemakan dan pengumuman keputusan peperiksaan SPM yang mengambil masa agak lama untuk diumumkan.
Katanya, cadangan berkenaan tidak bermakna akan memendekkan sukatan pelajaran sebaliknya bertujuan mengurangkan penumpuan kepada aspek penilaian keputusan SPM berasaskan peperiksaan.
''Sebagai contoh, keputusan SPM tidak lagi tertumpu kepada keputusan peperiksaan 100 peratus malah bergantung kepada kemahiran sampingan berkaitan mata pelajaran tertentu seperti menghasilkan kertas projek, amali dan sebagainya.
''Bagaimanapun, cadangan ini masih dalam rangka kajian dan memerlukan penelitian terperinci memandangkan kertas peperiksaan SPM mempunyai standard peperiksaan yang tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sepetang Bersama Media sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di KL semalam.
Cadangan itu ialah antara pendekatan yang akan digunakan kementerian tersebut untuk mengatasi masalah penyemakan dan pengumuman kertas peperiksaan SPM yang mengambil masa agak lama.
Menurut Haili, kementerian itu juga bercadang untuk menambah bilangan guru pemeriksa kertas peperiksaan SPM bagi mempercepatkan proses penyemakan.
''Buat masa ini, kita mempunyai bilangan pemeriksa kertas SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang agak kecil jika dibandingkan peningkatan jumlah pelajar dan mata pelajaran yang diambil.
''Ada pelajar yang mendaftar sehingga 20 mata pelajaran dalam SPM dan ini mengambil masa agak lama untuk disemak memandangkan jumlah pemeriksa yang terhad,'' katanya.
Bagaimanapun, katanya, cadangan-cadangan ini masih dalam pertimbangan dan sekiranya relevan untuk diaplikasikan dalam peperiksaan SPM, ia akan diperkenalkan awal tahun depan.
(Sumber: Utusan Malaysia - 20/03/2009)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...