| 0 comments ]

Gesaan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, minggu lalu supaya mahasiswa mengikuti kelas bahasa Inggeris agar mampu menguasai bahasa itu dengan baik sebagai persediaan menghadapi alam kerjaya apabila tamat pengajian harus diberi perhatian serius termasuk di kalangan pelajar sekolah.

Kita sering mendengar rungutan majikan bahawa ramai di kalangan graduan hari ini tidak berupaya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik apabila mereka menghadiri sesi temu duga. Ini adalah antara punca graduan kita sukar diterima majikan terutama dalam sektor swasta.

Masalah itu bukan baru dan agak menyedihkan kelemahan itu tidak diperbaiki dari setahun ke setahun, terutama di kalangan graduan Melayu. Kepentingan kemahiran bahasa Inggeris sudah diketahui umum dan mereka juga sedar banyak syarikat swasta termasuk jabatan kerajaan juga begitu memerlukan pekerja yang mahir berbahasa Inggeris.

Pelajar harus ingat, untuk menguasai bahasa walaupun apa juga bahasa sekali pun, ia tidak boleh dikuasai dalam tempoh singkat. Ia harus dimulakan sejak berada di peringkat sekolah, berlatih dan mengamalkannya dalam pergaulan seharian.. Dalam hal ini kita harus mencontohi pelajar Cina dan India yang tidak takut atau malu bertutur dalam bahasa Inggeris, walaupun pada peringkat awal sesetengahnya tidak lancar dan tatabahasa yang digunakan juga tunggang-langgang, tetapi lama-kelamaan mereka semakin yakin dan kelemahan itu dapat diperbaiki.

Walaupun masalah pengangguran dijangka serius dalam setahun dua ini tetapi dalam sesetengah bidang keperluannya masih banyak dan antaranya ialah perubatan, kejuruteraan, keusahawanan dan bidang yang memerlukan kemahiran khusus. Tetapi malangnya bidang profesional ini lebih banyak dikuasai pelajar bukan Melayu.

Sebab itulah pelajar sejak berada di peringkat menengah atas lagi dinasihatkan agar bijak memilih aliran pengajian sesuai dengan bidang yang ingin diceburi dan mengambil kira prospek dari segi kerjaya pada masa depan. Berdasarkan maklum balas dalam pertemuan dengan pelajar Tingkatan Lima dan Enam menerusi Projek Seminar Pendidikan Kebangsaan 2009 (Prospek 2009) anjuran mahasiswa Universiti Malaya dengan kerjasama Berita Harian baru-baru ini ternyata ramai pelajar menerima tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) tanpa mengambil kira aspek berkenaan.

Kita yakin ramai pelajar yang menghadapi masalah sama dan tidak mempunyai maklumat tepat ketika membuat pemilihan kursus. Kita harap usaha graduan mahasiswa UM dapat diperluas dari semasa ke semasa dan wajar disokong bagi membantu pelajar, khususnya di luar bandar untuk mendapat panduan memilih IPT dan IPTS serta kursus sesuai dan berkualiti yang boleh menjamin masa depan.

Kelembapan ekonomi dunia dijangka menyebabkan kadar pengangguran melonjak di seluruh dunia, dan tidak terkecuali ia turut memberi kesan kepada kadar pengangguran di Malaysia. Berdasarkan unjuran Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dijangka dunia akan mengalami peningkatan pengangguran sebanyak 25 juta orang sehingga tahun 2010. Manakala Pertubuhan buruh Antarabangsa pula menganggar angka itu lebih tinggi iaitu antara 20 juta hingga 210 juta penduduk dunia akan menganggur menjelang akhir 2009.

Sementara itu Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan antara 200,000 hingga 400,000 pekerja diancam kemungkinan diberhentikan kerja. Bagaimanapun kerajaan menganggarkan sejumlah 4,749 pekerja akan diberhentikan dalam tempoh suku pertama 2009. Walaupun di Malaysia kesannya ketika ini masih belum begitu ketara, namun sudah terdapat banyak syarikat kecil dan besar yang sudah berasa bahangnya dan menghadapi tekanan, malahan ada di antaranya yang terpaksa gulung tikar.

Tindakan itu menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan. Lepasan sekolah sudah pasti sukar untuk mendapatkan pekerjaan, apatah lagi di kalangan mereka yang sekadar mempunyai kelulusan sekolah menengah tanpa pengalaman dan kemahiran khusus. Penutupan syarikat serta kilang bukan saja menyebabkan penduduk kehilangan pekerjaan, malahan menjadikan pasaran kerja semakin mengecil dan akhirnya meningkatkan persaingan mendapatkan pekerjaan.

Syarikat yang masih mampu meneruskan operasi juga terpaksa mengambil pelbagai langkah berjimat cermat, termasuk mengurangkan jumlah kakitangan dan membekukan pengambilan kakitangan baru. Kalau pun ada yang mengambil kakitangan baru, kini masanya majikan begitu memilih mereka yang benar-benar berkelayakan, berkualiti, berkemahiran dan berpengalaman kerana dalam keadaan persaingan sengit, lazimnya jumlah mereka yang memohon pekerjaan melonjak begitu mendadak. Setiap permohonan pasti akan melalui tapisan yang ketat dan berhati-hati.

Dalam keadaan sekarang penjawat di jabatan kerajaan lebih selamat kerana jarang kita dengar kakitangan di sektor awam yang dibuang kerja walaupun negara dilanda krisis ekonomi yang teruk. Sebagai persediaan menghadapi situasi membimbangkan itu, lepasan sekolah dan kira-kira 150,000 graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang lahir setiap tahun harus bersedia dan mempersiapkan diri untuk menempuh persaingan yang dijangka lebih hebat mulai tahun ini.

Akhir kalam, cuba kita tengok sekali lagi pelajar-pelajar Cina dan India.. Sebahagian besar mereka bermula dengan SJK (C) atau SJK (T). Sebahagian besar mereka seperti kita, bertutur dalam bahasa ibunda di rumah bersama keluarga, juga ketika bersama rakan. Mereka belajar Bahasa Melayu hanya bermula Tahun 1 hingga Tahun 6. Menariknya, sebahagian besar mereka berupaya menguasai bahasa kita selepas itu, dan mampu meraih A dalam UPSR, PMR atau SPM. Bukan sahaja Bahasa Melayu, malah Bahasa Inggeris serta bahasa ibunda mereka. Cuba baca kisah anak-anak Palanisamy.

Bagaimana dengan kita? Kita tidak semua dapat A dalam Bahasa Melayu, tidak semua dapat A dalam Bahasa Inggeris dan mungkin semua langsung tidak mempelajari Bahasa Cina dan India. Jadi, apa yang kita ada.. ? Apa yang kita boleh bangga ?

Akhir kata.. selamat berusaha. Selamat maju jaya!

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment