| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran pada Khamis mengumumkan 21 hingga 23 Sept tahun depan sebagai tarikh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala 5 hingga 12 Okt tahun depan sebagai tarikh peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan di sini berkata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berlangsung pada 22 Nov hingga 16 Dis tahun depan dan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) pada 22 dan 23 Jun tahun depan.

Katanya peperiksaan lisan Sijil Tinggi Pelajaran Agama Malaysia (STAM) akan diadakan pada 12 hingga 23 Julai, manakala peperiksaan bertulis pada 18 hingga 27 Okt tahun depan.

"Tarikh tersebut mengambil kira keperluan cuti bagi perayaan-perayaan utama seperti Hari Raya Puasa, Hari Malaysia, Deepavali, Hari Raya Haji dan Awal Muharam sepanjang tempoh peperiksaan," katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah Manifestasi Perdana Seni Khat 2009M/1430H di sini, Alimuddin berkata pihaknya telahpun membuat persediaan bagi mengekang penularan Influenza A (H1N1) di kalangan pelajar apabila sesi baru persekolahan bermula Isnin depan.

"Sebagaimana yang dimaklumkan akan ada gelombang kedua, jadi sebagaimana yang berlaku pertengahan tahun ini, kementerian telahpun membuat persediaan sangat rapi dan telah bersedia lebih awal supaya wabak ini tidak akan berlaku lagi pada tahun 2010.

"Termometer dan juga pembersih tangan memang sudah ada di sekolah, jadi pihak sekolah perlu memantau pelajar-pelajar yang disyaki demam atau selesema dengan menggunakan termometer yang telah dibekalkan," katanya.

Alimuddin berkata pada hari pertama persekolahan, pegawai di kementerian serta Jabatan Pelajaran Negeri khususnya yang diketuai oleh jemaah nazir sekolah dan pegawai jaminan kualiti pada kebiasaannya akan turun ke sekolah-sekolah untuk membuat pemantauan.

"Melalui pemantauan itu kita akan mendapatkan maklumat tentang persediaan yang telah dilaksanakan dan mungkin ini sebagai satu langkah keselamatan kita bagi memastikan pelajar-pelajar tidak demam atau mendapat sebarang masalah semasa berada di sekolah," katanya.

Manifestasi Perdana Seni Khat 2009M/1430H, pertandingan seni khat peringkat kebangsaan yang berlangsung pada 31 Okt lepas merupakan program anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK) dengan kerjasama Kumpulan Utusan, Astro Oasis dan Radio IKIM.

Seramai 30 pemenang dalam tiga kategori diumumkan hari ini yang membawa pulang hadiah wang tunai serta sijil penyertaan.

(Sumber: Bernama - 31/12/2009 - 20:07pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment