| 0 comments ]

Tarikh tutup permohonan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui aplikasi dalam talian bagi pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2008 ditetapkan pada 23 Mac ini.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan Rabu berkata permohonan melalui aplikasi itu telah dibuka mulai 3 Feb lepas melalui Laman Web Rasmi Kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my manakala calon yang ingin ke Universiti Sains Malaysia perlu mengemukakan terus permohonan melalui laman web rasmi universiti itu di http://pohon.usm.my.

Kementerian juga menasihati semua pemohon lepasan STPM 2008 supaya mengemukakan permohonan awal bagi melicinkan pengurusan permohonan kemasukan mereka ke IPTA.

Sebarang kemusykilan hubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi di talian 03-88835801, 03-88835802 dan 03-88835848 atau e-mel: upu@mohe.gov.my.

(Sumber: Bernama - 11/03/2009 - 20:39 PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 5 comments ]

Semakan permohonan untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi panggilan kedua tahun 2009 dibuka mulai 11 Mac, 2009. Akhirnya tiba juga waktu yang ditunggu-tunggu oleh calon-calon yang telah membuat rayuan sebelum ini.

Sila rujuk laman (klik->) Laman Semakan Online MRSM Ambilan Kedua (<-klik) untuk membuat semakan. Isikan nombor angka giliran UPSR sahaja.

Jika berjaya akan dipaparkan lokasi MRSM yang ditempatkan serta tarikh mendaftar: 23/03/2009 (hari Isnin).

Semoga berjaya.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Seramai 46,277 atau 92.26% daripada 66,047 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008, lulus penuh atau peringkat prinsipal bagi sekurang-kurang satu mata pelajaran, meningkat 0.65 berbanding 91.61% pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 3,437 atau 6.85% calon lulus penuh lima mata pelajaran, 18,686 (37.25%) empat mata pelajaran, 10,068 (20.07%) tiga mata pelajaran 7,635 (15.22%) dua mata pelajaran serta 6,451 (12.86%) satu mata pelajaran.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, berkata 236 calon memperoleh prinsipal A dalam semua subjek iaitu masing-masing 13 yang mengambil lima mata pelajaran dan 223 (empat mata pelajaran).

Beliau berkata, bilangan itu merosot berbanding 25 calon mendapat prinsipal A dalam lima mata pelajaran dan 361 memperoleh keputusan sama bagi empat subjek diambil pada 2007.

Katanya, daripada analisis jurang pelajar bandar dan luar bandar masih ketara kerana calon mendapat 5A, 4A dan 3A ialah 10.39% berbanding 6.77% (luar bandar).

“Namun, uniknya keputusan kali ini, calon luar bandar lebih baik daripada bandar dalam aliran sains dengan mendapat 5A, 4A dan 3A iaitu 14.81% berbanding 12.99% (bandar), walaupun mereka mendahului dalam aliran sastera dengan mencatat 9.01% berbanding 6.15% (luar bandar).

“Seramai 31 calon lagi mendapat empat A dalam lima mata pelajaran diambil, merosot berbanding 59 pelajar pada tahun sebelumnya.

“Umumnya, prestasi calon memperoleh keputusan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.00 atau ke atas rendah kerana hanya 0.82% memperoleh PNGK 4.00, berbanding 1.15% pada 2007,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur semalam. Hadir sama, Ketua Eksekutif MPM, Omar Abu Bakar.

Dzulkifli berkata, berdasarkan analisis STPM 2008, 9.72% calon mendapat PNGK 3.50 berbanding 10.66% tahun sebelumnya, manakala 31.46% lagi memperoleh PNGK 3.00, berbanding 32.11% (2007).

“Jumlah calon STPM tahun lalu menurun 18.79% iaitu 53,638 berbanding 66,048 pada 2007 dan daripada jumlah itu, 36,470 atau 67.99% Bumiputera, 12, 484 atau 23.27% Cina, 3,884 atau 7.24% India serta 800 atau 1.49% kaum lain.

“Penurunan itu mungkin disebabkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai pilihan lebih baik untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dari segi prestasi calon lulus penuh mengikut mata pelajaran pula, ada 15 mata pelajaran tidak berubah kerana perubahan pencapaian calon kurang daripada 3% dianggap sebagai biasa.

“Mata pelajaran itu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Kesusasteraan Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Syariah, Sejarah, Perakaunan, Matematik S, Matematik T, Fizik, Kimia, dan Biologi.

“Lapan mata pelajaran menunjukkan peningkatan iaitu Usuluddin, Geografi, Ekonomi, Pengajian Perniagaan, Matematik T Lanjutan, Pengkomputeran, Sains Sukan dan Seni Visual serta tiada subjek menurun melebihi 3%.

Mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam jawapan bagi subjek Sains dan Matematik, Dzulkifli berkata, kertas soalan tujuh subjek disediakan dalam dwibahasa, iaitu Matematik S, Matematik T, Matematik T Lanjutan, Pengkomputeran, Fizik, Kimia dan Biologi.

Beliau berkata, 92.7% calon menjawab dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, meningkat 0.8% berbanding 91.9% pada 2007.

“Ia disebabkan mereka lebih selesa menjawab dalam bahasa itu,” katanya.

(Sumber: Berita Harian - 11/03/2009)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

Jumlah calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 yang lulus penuh (peringkat prinsipal) meningkat sebanyak 0.65 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan peningkatan peratusan penggunaan bahasa Inggeris ketika menjawab soalan sebanyak 0.8 peratus.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Datuk Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata seramai 46,277 atau 92.26 peratus calon lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran berbanding 56,963 atau 91.61 peratus pada 2007.

Katanya jumlah yang dinyatakan itu meliputi 53,638 calon yang menduduki peperiksaan STPM pada 12 Nov hingga 4 Dis lepas di 751 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

"Daripada analisis keputusan peperiksaan STPM 2008, jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara dengan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah 10.39 peratus berbanding calon luar bandar 6.77 peratus," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman keputusan STPM 2008 di sini, hari ini.

Dalam analisis keputusan STPM 2008, calon bandar aliran sastera yang mendapat 5A, 4A, 3A adalah sebanyak 9.01 peratus berbanding calon luar bandar iaitu 6.15 peratus, namun terdapat sedikit peningkatan daripada calon luar bandar bagi aliran sains yang mendapat 5A, 4A, 3A iaitu sebanyak 14.81 peratus berbanding calon bandar yang hanya 12.99 peratus.

Dr Dzulkifli berkata peratusan pelajar yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika menjawab soalan tahun lepas ialah 92.7 peratus berbanding hanya 91.9 peratus pada 2007.

Bagaimanapun, jumlah pelajar yang lulus gred A dalam lima dan empat mata pelajaran masing-masing masih mencatatkan penurunan dengan hanya 13 pelajar mendapat prinsipal A dalam lima mata pelajaran berbanding 25 pelajar pada 2007.

"Daripada jumlah itu, 10 orang adalah pelajar sains, manakala tiga lagi pelajar aliran sastera," katanya.

Daripada keseluruhan 53,638 calon STPM tahun lepas, 46,319 atau 86.35 peratus merupakan calon sekolah kerajaan, 2,189 (4.08 peratus) adalah calon swasta manakala 5,130 (9.56 peratus) calon persendirian individu.

Semua calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula tengah hari ini kecuali calon persendirian yang akan menerima melalui pos, selain melayari laman web www.mpm.edu.my atau SMS di talian 39003.

Sementara itu di JOHOR, seramai 4,741 daripada 4,902 calon STPM 2008 di negeri ini lulus penuh peperiksaan itu, kata Pengarah Pelajaran Johor Sufa'at Tumin.

Namun, katanya keputusan peratus calon lulus penuh merosot 0.08 peratus iaitu 96.72 peratus berbanding 96.8 peratus, pada tahun 2007.

"Bilangan calon yang mencapai keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 kali ini juga merosot dengan hanya 34 orang berbanding 48 orang, pada tahun 2007," katanya

Sufa'at berkata Lim Chew Sia dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Dr Ismail, Muar merupaka seorang daripada pelajar cemerlang peringkat kebangsaan manakala Nor Hidayu Mohd Yusoff dari Maktab Sultan Abu Bakar Johor Baharu dianugerahkan pelajar cemerlang Johor bagi kategori calon istimewa.

Menurutnya sebanyak 31 buah sekolah mencapai 100 peratus lulus penuh kali ini berbanding 22 sekolah pada tahun 2007.

Di TERENGGANU, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu Ariffin Embong berkata keputusan peperiksaan STPM 2008 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 1.66 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya peratusan calon yang layak mendapat sijil STPM ialah 96.90 berbanding peratusan peringkat negara 94.79 peratus.

Seramai 2,838 calon daripada 21 buah sekolah telah menduduki peperiksaan STPM dan seramai 2,750 atau orang calon mendapat lulus penuh.

Di KEDAH, sebanyak 3,151 daripada 3,725 calon negeri Kedah yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas lulus sekurang-kurangnya satu subjek peringkat prinsipal iaitu peningkatan 2.06 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman berkata daripada jumlah itu, seramai 186 orang mendapat lima prinsipal, 1,375 (4P), 756 (3P), 481 (2P) dan 353 (1P).

Sebanyak 18 buah sekolah di Kedah mencapai kelulusan penuh 100 peratus manakala 15 calon mencatat keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) atau empat prinsipal A dalam semua mata pelajaran yang mereka ambil, katanya.

Sebanyak 3,725 calon menduduki STPM tahun lepas, 3,292 dari sekolah kerajaan, 155 calon sekolah swasta dan 277 calon persendirian.

Di SARAWAK, seramai 5,063 calon ataupun 91.75 peratus memperoleh sijil STPM tahun 2008.

Jabatan Pelajaran Sarawak dalam satu kenyataan akhbar hari ini menjelaskan daripada jumlah calon tersebut seramai 81 calon (1.14 paratus) lulus penuh dengan lima mata pelajaran (5P), 1,898 (4P), 1,204 (3P), 1,025 (2P) manakala 855 lulus dalam satu mata pelajaran.

Daripada segi individu seramai 24 calon Sekolah Menengah Kebangsaan berjaya mencapai purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 (maksimum).

Di PERAK, seramai 4,311 dari 4,487 calon negeri ini lulus penuh dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), kata Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Perak, Mohd Radzi Abd Jabar.

Mohd Radzi berkata hasil usaha dan kesungguhan calon serta bimbingan daripada guru-guru dalam menghadapi peperiksaan ini berjaya menunjukkan pencapaian sebanyak 96.07 peratus berbanding 95.37 peratus tahun lalu.

Pencapaian ini melebihi 1.28 peratus daripada pencapaian nasional iaitu 94.79 peratus, katanya.

(Sumber: Bernama - 10/03/2009: 17:57 PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Bakal pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diminta menyelesaikan dahulu urusan permohonan mereka ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum mendaftar ke kem PLKN pada 19 Mac ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata pelajar terbabit mempunyai tempoh seminggu untuk berbuat demikian selepas mendapat keputusan SPM pada hari Khamis (12 Mac 2009) ini.

"Kegagalan berbuat demikian akan menimbulkan masalah apabila mereka memulakan latihan, bagaimanapun, jika masalah permohonan masuk ke IPT tidak dapat diselesaikan selepas mendaftar di kem, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada komandan kem," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup PLKN Kumpulan Satu Siri 06/2009 di Kem Hijrah, Penor dekat Kuantan, hari ini.

Kira-kira 43,000 pelatih PLKN Kumpulan Dua Siri 06/2009 dijadual mendaftar di 81 kem di seluruh negara pada 19 Mac ini.

Abdul Hadi berkata pelatih yang mendapat tawaran ke IPT ketika dalam latihan pula akan diberi pelepasan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata jika tawaran masuk ke IPT diterima selepas pelatih mengikuti latihan lebih daripada dua bulan, mereka akan dilepaskan dan dikira telah menamatkan latihan.

"Bagaimanapun, jika kurang dua bulan mengikuti latihan, mereka juga akan dilepaskan tetapi perlu menjalani semula latihan selepas tamat pengajian di IPT," katanya.

Abdul Hadi turut meminta ibu bapa supaya tidak sesuka hati memilih kem untuk anak mereka atas faktor berdekatan kediaman mereka, sebaliknya mematuhi arahan JLKN yang menetapkan penempatan anak mereka di sesebuah kem.

Beliau berkata tindakan memilih kem akan menimbulkan kesulitan kepada JLKN kerana bilangan pelatih untuk setiap kem telah ditetapkan, temasuk tempat tidur dan bilangan pakaian pelatih.

(Sumber: Bernama  - 10/03/2009 : 15:10PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pernah dengar Biasiswa Telekom Malaysia? Dahulu PakTeh ada muatkan iklan Biasiswa Kecil Yayasan TM untuk lepasan UPSR dan PMR 2008. Kini untuk lepasan SPM 2008 pula.

Yayasan TM mempelawa pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang layak dengan mendapat kelulusan akademik yang cemerlang, mempunyai personaliti yang baik, aktif dalam kegiatan kokurikulum serta berwawasan tinggi untuk memohon Biasiswa Yayasan TM bagi pengajian di Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara.

Biasiswa yang ditawarkan adalah dalam bidang/kursus Kejuruteraan, Pengurusan dan Teknologi Maklumat di peringkat pengajian berikut:

  1. Biasiswa Persediaan Luar Negara
  2. Biasiswa Pra Universiti / Program Alpha di Universiti Multimedia (MMU)
  3. Biasiswa Diploma di Universiti Multimedia (MMU)
  4. Biasiswa Ijazah Pertama di Universiti Multimedia (MMU) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Kelayakan, Syarat & Cara Membuat Permohonan seperti berikut:

1. Biasiswa Persediaan ke Luar Negara
  • Terbuka kepada pelajar lepasan SPM 2008 sahaja.
  • Calon hendaklah memperoleh sekurang-kurangnya 8 1A dalam keputusan peperiksaan SPM 2008 termasuk 5 subjek wajib mengikut kursus yang dipohon.
2. Biasiswa Pra Universiti di Universiti Multimedia (MMU)
  • Terbuka kepada pelajar lepasan SPM 2008 yang ingin mengikuti pengajian di MMU.
  • Memperoleh keputusan SPM 2008 sekurang-kurangnya 2A 3B dalam mana-mana 5 subjek wajib mengikut kursus yang dipohon.
3. Biasiswa Diploma di Universiti Multimedia (MMU)
  • Terbuka kepada pelajar lepasan SPM 2008 atau telah mendaftar/sedang mengikuti pengajian di MMU.
  • Memperoleh keputusan SPM 2008 sekurang-kurangnya 4B dalam mana-mana 5 subjek wajib mengikut kursus yang dipohon atau PNGK/CGPA 3.00
4. Biasiswa Ijazah Pertama di Universiti Multimedia (MMU) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
  • Terbuka kepada pelajar lepasan diploma, matrikulasi, Alfa (Asas) MMU, STPM atau yang setaraf dengannya.
  • Memperoleh minima PNGK/CGPA 3.30. Lulusan STPM juga mesti memperoleh Gred A dalam subjek Pengajian Am.
  • Berumur tidak melebihi 22 tahun bagi lulusan Diploma/STPM dan 20 tahun bagi lulusan matrikulasi/ Alfa MMU.
Perhatian: Sila gunakan keputusan PNGK/CGPA terkini sekiranya keputusan akhir pengajian semasa belum diperolehi.

Subjek Wajib Mengikut Bidang/Kursus Pengajian

A. Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat
- Subjek wajib : Matematik Moden, Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia/matapelajaran Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.

B. Pengurusan
- Subjek wajib : Matematik, Bahasa Inggeris, Sains/Kimia/Fizik, Matematik Tambahan, Perdagangan/Ekonomi Asas/ Sejarah/ Prinsip Akaun/ Geografi.

Syarat Memohon

  • Permohonan hanya boleh dibuat secara online dengan melayari laman web TM di alamat http://ytm.tm.com.my
  • Calon lepasan SPM/STPM 2008 hanya boleh memohon selepas keputusan diumumkan.
  • Calon hanya boleh mengemukakan satu permohonan sahaja.
Sebelum mengisi borang permohonan, calon dikehendaki membaca arahan yang terdapat di muka utama aplikasi online.

Tarikh Tutup Permohonan

1. Biasiswa Persediaan Ke Luar Negara / Pra Universiti di MMU - 22 Mac 2009.
2. Biasiswa Ijazah Pertama di MMU dan IPTA - 31 Mac 2009.

Calon akan dimaklumkan sekiranya berjaya ke proses pemilihan seterusnya manakala permohonan yang tiada jawapan selepas tempoh 3 bulan dari tarikh tutup permohonan hendaklah dianggap sebagai tidak berjaya.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 33 comments ]

Kementerian Pelajaran Malaysia mempelawa calon-calon lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang berminat dalam profesion perguruan untuk memohon Kursus Perguruan Lepasan SPM Ambilan Sesi Julai Tahun 2009. 

Berdasarkan hebahan rasmi di laman kementerian, permohonan boleh dibuat di laman berikut:

  • Tarikh Permohonan Dalam Talian Dibuka: 8 Mac - 22 Mac, 2009.
Terdapat 4 buah program dalam Kursus Perguruan Lepas SPM, buat satu pemohonan sahaja:
  1. Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Ke Universiti Terkemuka Luar Negara
  2. Program Kembar Bahasa Perancis
  3. Program Kembar Bahasa Jerman
  4. Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

Bagi calon lepasan SPM 2008, PakTeh cadang elok mula buat permohonan setelah keputusan SPM keluar pada 12 Mac (Khamis) nanti. Ini kerana tempoh permohonan mencukupi di samping lebih mudah membuat pilihan bidang kursus yang dipohon berdasarkan kelayakan kelak. 

Sebelum keputusan SPM keluar, sebaiknya cuba memahami dengan mendalam segala syarat permohonan dan bidang kursus yang ditawarkan terlebih dahulu pada pautan laman di atas. Iklan penuh juga boleh dirujuk dalam surat khabar utama hari minggu (Ahad 08/03/2009).

Seperkara lagi, ramai yang masih keliru dengan istilah maktab perguruan. Sebenarnya sudah tiada lagi istilah maktab perguruan. Maktab Perguruan telah lama dinaiktaraf kepada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Ianya di bawah seliaan Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia. Dahulu maktab perguruan hanya menawarkan kursus sijil perguruan sahaja; kini di IPGM, anda akan dapat ijazah sarjana muda. Beza nilai kelulusan, beza gred jawatan dan beza gaji - selaras dengan dasar untuk memartabatkan profesion perguruan di Malaysia.

Akhir sekali, belilah segera nombor PIN di BSN berharga RM6.00 dalam tempoh permohonan. Pastikan pengisian maklumat dalam talian nanti dibuat dengan teliti dan betul. Pemohon berjaya saringan pertama akan dipanggil Ujian IMSAK/Temuduga. Teruskan sentiasa buat semakan di laman tersebut dari semasa ke semasa, untuk mengetahui status panggilan temuduga dan tawaran permohonan. Jika berjaya, calon program ke luar negara akan mendaftar bulan Jun 2009 di kolej/institut tertentu, manakala calon 3 program lain lagi akan mendaftar di IPGM pada 13 Julai 2009. 

Tiada sebarang surat panggilan temuduga / tawaran dikeluarkan, semuanya boleh diketahui di laman tersebut. Surat tawaran rasmi bagi calon yang berjaya hanya diserah di IPGM/Kolej yang ditetapkan oleh KPM setelah calon melapor diri pada hari pendaftaran. Calon yang telah ditemuduga dan tidak menerima maklumat dalam satu bulan selepas tarikh pendaftaran adalah dianggap tidak berjaya.

Semoga berjaya. Semoga menjadi bakal pendidik yang baik untuk bangsa, agama dan negara. Bersedialah untuk berkhidmat walau di mana pun anda ditempatkan.. sama ada di kota, desa atau belantara. Itulah janji anda sebagai guru.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

KEPUTUSAN STPM 2008

Calon-calon boleh menyemak keputusan STPM 2008 mulai jam 12.00 tengahari,
10 Mac 2009 (hari Selasa). Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam kenyataan menyebut, calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan mereka di sekolah masing-masing bermula masa tersebut hari berkenaan manakala calon persendirian individu akan memperolehnya melalui pos.

Cara lain (mulai 12 pm 10 Mac 2009) :
  • melalui SMS dengan menaip STPM<jarak>No. K/P dan hantar ke 39003, atau
  • secara on-line: www.mpm.edu.my

Analisis pengumuman keputusan peperiksaan berkenaan akan diadakan pada 10 Mac jam 11.30 pagi di MPM.

Seramai 53,638 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 46,319 atau 86.35 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 2,189 (4.08 peratus) calon sekolah swasta dan 5,130 (9.56 peratus) calon persendirian.
Semoga berjaya. Jangan lupa tunaikan nazar bagi yang bernazar. Bersyukur dan bersabar atas apa juga keputusan diterima. Ada rahmat Allah di sebalik semua ketentuan-Nya.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 6 comments ]

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 akan diumumkan pada 12 Mac (Khamis) ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, dalam kenyataan hari ini berkata calon yang menduduki kedua-dua peperiksaan itu boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi.

"Calon persendirian pula akan mendapat keputusan mereka melalui pos yang akan dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri," katanya.

Alimuddin berkata, pengumuman analisis keputusan SPM dan STAM 2008 akan diadakan serentak pada 12 Mac jam 9 pagi di Putrajaya.

Seramai 442,936 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaanSPM 2008 dan daripada jumlah itu 388,079 atau 87.6 peratus adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran, 16,019 (3.6 peratus) calon sekolah kerajaan negeri dan tajaan badan-badan tertentu, 10,331 (2.3 peratus) calon sekolah swasta dan 28,507 (6.5 peratus) calon persendirian perseorangan, katanya.

Alimuddin berkata, sebanyak 3,939 pusat peperiksaan disediakan untuk peperiksaan itu di seluruh negara. Peperiksaan bertulis SPM 2008 dijalankan dari 11 November hingga 5 Disember 2008.

Bagi peperiksaan STAM pula, katanya, seramai 6,240 calon mendaftar untuk mendudukinya, dengan 886 atau 13.9 peratus adalah calon sekolah bantuan penuh kerajaan; calon sekolah agama tadbir kerajaan negeri 4,219 (67.6 peratus); calon sekolah agama rakyat dan swasta 788 (12.6 peratus) dan 367 (5.9 peratus) calon persendirian.

(Sumber: Kenyataan Akhbar - 05/03/2009)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Walaupun Kementerian Pelajaran menerima pelbagai maklum balas mengenai pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kerajaan masih menangguhkan keputusan sama ada mengekal atau kembalikan mengguna bahasa Malaysia.

Isu ini perlu dilihat secara menyeluruh. Apakah hasil kajian antarabangsa mengenai prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains? Pada 2007, kajian penting antarabangsa mengenai pencapaian Matematik dan Sains (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) dilaksanakan membabitkan 59 negara oleh Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) di mana Malaysia termasuk sebagai salah sebuah negara kajian.

Kita lihat ulasan lanjut secara ilmiah dalam artikel oleh Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron seperti yang disiarkan dalam Berita Harian hari ini.

Bahasa Melayu untuk Sains, Matematik tetap realistik

Dr Isahak Haron

Hasil kajian 2007 menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata.

Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.

Di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam kajian TIMSS 2007, yang dilaksanakan Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat itu, ada negara yang skor purata pencapaian pelajarnya meningkat sedikit atau menurun sedikit.

Kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi Matematik dan 40 mata bagi Sains adalah signifikan, mengikut laporan itu dan terbesar sekali di kalangan 59 negara itu.

Berdasarkan laporan itu, hanya dua peratus pelajar Malaysia tergolong dalam kategori Advanced Benchmark Matematik dalam TIMSS 2007 berbanding enam peratus pada 2003.

Bagi kategori Highbench Mark (skor 550), peratus dalam kategori ini merosot kepada 18 peratus pada 2007 daripada 30 peratus pada 2003. Dalam Intermediate Benchmark (skor 475) pula merosot daripada 71 peratus dalam 2003 kepada 50 peratus bagi 2007. Penurunan Malaysia adalah paling ketara berbanding negara lain.

Berdasarkan perbandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia dalam ketiga-tiga kategori Matematik juga merosot. Dalam kategori Advanced Benchmark Mathematics TIMSS 2007, hanya dua peratus pelajar Malaysia berada dalam kategori ini berbanding Taiwan (45 peratus), Korea (40 peratus), Singapura (40 peratus), Jepun (26 peratus), Hungary (10 peratus), England dan Russia (lapan peratus), Amerika Syarikat (enam peratus) dan Serbia (lima peratus).

Dalam kategori 'High Benchmark 550' Matematik, hanya 18 peratus pelajar Malaysia tergolong kategori ini, berbanding Taiwan dan Korea (71 peratus), Singapura (70 peratus), Jepun (61 peratus) England (35 peratus), Hungary 36 (peratus), Russia (33 peratus), Amerika Syarikat (31 peratus), Australia dan Serbia (24 peratus) dan Romania (20 peratus).

Secara bandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia yang tergolong dalam ketiga-tiga kategori pencapaian Sains juga merosot secara mendadak.

Ulasan laporan TIMSS mengenai faktor yang dikaitkan dengan pencapaian Matematik dan Sains ialah di kebanyakan negara, pelajar yang menyatakan mereka belajar Matematik dan Sains dalam bahasa keluarga (home language) puratanya lebih tinggi pencapaian ujian TIMSS berbanding pelajar yang belajar kedua-dua mata pelajaran ini dalam bukan bahasa keluarga atau bahasa kedua/asing.

Hasil kajian TIMSS ini menunjukkan wujud hubungan rapat antara proses pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa asing, selain bahasa ibunda dengan kelemahan dalam prestasi subjek berkenaan.

Peranan penting bahasa keluarga dalam pembelajaran akademik, misalnya Matematik dan Sains, banyak dikaji. Hasil kajian ini menunjukkan kemahiran kognitif (berfikir) akademik berkembang terutama melalui bahasa pertama.

Apabila pelajar cuba belajar bahasa kedua dan terus belajar misalnya Matematik dan Sains melalui bahasa kedua, pelajar akan menggunakan kemahiran kognitif akademik yang lemah, iaitu pelajar sukar mempelajarinya.

Pendidikan dalam bahasa keluarga amat kritikal untuk kanak-kanak mencapai tahap kematangan mental iaitu kemahiran memahami dan membina konsep secara membina misalnya proses pembelajaran dalam subjek Matematik dan Sains.

Penjelasan ini relevan dalam konteks hasil kajian dan ulasan TIMSS yang menunjukkan pencapaian Matematik dan Sains pelajar mengguna bahasa keluarga untuk pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini secara purata lebih tinggi berbanding mereka yang belajar subjek berkenaan dalam bahasa kedua. Ini kerana bahasa keluarga di sekolah memudahkan pelajar memahami konsep subjek berkenaan.

Semua negara dalam kajian TIMSS 2007 yang pelajarnya mengguna bahasa keluarga dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah seperti Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, England dan Romania mencapai skor yang tinggi.

Bagaimana kes Singapura? Penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains di Singapura adalah hampir sama dengan bahasa keluarga kebanyakan pelajar, sejak lebih 30 tahun lalu dan bahasa Inggeris meluas diguna dalam komunikasi harian di Singapura.

Berdasarkan dapatan kajian ini, Unesco mencadangkan bahasa keluarga digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah bagi memudah dan mengukuh kefahaman konsep kepada pelajar.

Malah, semua negara dalam Kesatuan Eropah menerima dasar untuk mengajar mata pelajaran utama seperti Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda, manakala bahasa kedua wajib yang boleh dipilih ialah bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman.

Di Malaysia, pada 2003, pelajar tingkatan dua yang menjadi sampel kajian TIMSS 2003 belum terbabit dalam dasar belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Mereka belajar dalam bahasa Malaysia dan prestasi mereka dalam kajian TIMSS bagi kedua-dua kohort 1999 dan 2003 itu adalah baik dan membanggakan.

Ia kerana pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu memudahkan kebanyakan pelajar mempelajari dan memahami Matematik dan Sains.

Kajian sekumpulan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2008 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2006 menunjukkan 70 hingga 80 peratus pelajar Tingkatan Dua menyatakan mereka sukar mengikuti pengajaran guru Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan huraian di atas, kita boleh buat kesimpulan bahawa faktor utama yang boleh dihubungkait dengan kemerosotan mendadak prestasi Matematik dan Sains pelajar Malaysia dalam kajian TIMSS 2007 ialah pertukaran penggunaan bahasa penghantar Matematik dan Sains di sekolah dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, iaitu bahasa kedua atau asing bagi kebanyakan pelajar, terutama pelajar Melayu.

Penggunaan bahasa Inggeris menyukarkan kebanyakan pelajar belajar dan memahami Matematik dan Sains. Sukar kita mencari sebab lain yang munasabah kenapa kemerosotan mendadak ini berlaku dalam TIMSS 2007 berbanding dengan 2003 dan 1999.

Bagi Matematik jatuh dari 508 mata pada 2003 ke 474 pada 2007; dan bagi Sains pula jatuh dari 510 pada 2003 ke 471 pada 2007. Kemerosotan mendadak ini adalah yang terbesar di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian. Prestasi pelajar kita dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia juga merosot.

Perlu diingat bahawa Matematik dan Sains di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) diajar dalam bahasa Cina, bukan dalam bahasa Inggeris. Bagi sekolah kebangsaan (SK) pula, semua murid belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris iaitu bukan bahasa keluarga mereka.

Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 secara bandingan menunjukkan peratus murid SRJKC mencapai gred cemerlang meningkat, sementara prestasi murid SK pula merosot. Kebanyakan murid SK sukar memahami Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, dan 70 peratus daripada mereka memilih membaca dan menjawab soalan Sains UPSR dalam bahasa Melayu. Lebih 90 peratus murid SRJK Cina memilih menjawab Matematik dan Sains UPSR dalam bahasa Cina, tidak dalam bahasa Inggeris.

Kesan negatif ketara berikutan pelaksanaan PPSMI adalah pendidikan Matematik dan Sains di Sekolah Kebangsaan, sekolah yang lebih 90 peratus murid Melayu/Bumiputera menerima pendidikan Matematik dan Sains.

Sepanjang enam tahun lalu mereka belajar dua mata pelajaran penting ini dalam bahasa Inggeris (bukan bahasa keluarga). Pembelajaran dan prestasi mereka lemah. Dasar PPSMI ini tidak menjejaskan pembelajaran dan prestasi murid SRJKC kerana mereka terus belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Cina dan ditambah dengan istilah Inggeris.

Kajian UPSI (2008) mendapati lebih 70 peratus pelajar Melayu/Bumiputera di SK terutama golongan sosioekonomi rendah di bandar dan luar bandar berdepan kepayahan belajar kedua-dua mata pelajaran berkenaan dalam bahasa Inggeris. Keadaan ini akan berterusan.

Oleh kerana asas Matematik dan Sains pada peringkat rendah ini lemah, kelemahan ini secara kumulatif dibawa ke peringkat menengah dan tinggi. Golongan yang mendapat faedah daripada pelaksanaan PPSMI ini ialah 20 hingga 30 peratus pelajar daripada keluarga profesional, menengah dan bandar, yang sebahagian besarnya mengguna bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa keluarga.

Adalah satu 'anggapan palsu' (fallacy) bahawa kecekapan dalam bahasa Inggeris itu menjadi prasyarat penting untuk membolehkan pelajar meneruskan pelajaran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Yang sebenarnya adalah sebaliknya. Pengetahuan yang kukuh dalam Matematik dan Sains pada peringkat rendah dan menengah menjadi prasyarat pengajian tinggi dalam pelbagai bidang sains dan teknologi, bukan bahasa Inggeris.

Ertinya jika pelajar lemah dalam pengetahuan Matematik dan Sains, mereka sukar melanjutkan pelajaran peringkat tinggi dalam bidang sains dan teknologi, bukan kelemahan dalam bahasa Inggeris. Pengetahuan yang kukuh dalam Sains dan Matematik (sebelum terlaksana PPSMI) membolehkan pelajar kita menyambung pelajaran tinggi dengan mudah di United Kingdom, Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Korea, Jerman, Russia, selain dalam bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia.

Dengan mudah mereka belajar bahasa kedua untuk meneruskan pengajian mereka sebab pengetahuan Matematik dan Sains mereka kukuh. Perkembangan latihan modal insan dalam sains, teknologi dan profesional akan terjejas teruk terutama di kalangan bangsa Melayu/Bumiputera.

Dasar PPSMI mengecilkan peratus dan bilangan pelajar Melayu yang cekap dalam Matematik dan Sains untuk pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Strategi pembangunan modal insan melalui dasar PPSMI adalah strategi yang salah untuk membina keupayaan modal insan sains dan teknologi anak bangsa.

Ia terus membantut keupayaan ekonomi mereka dan perkembangan ekonomi seterusnya. Ini akan melebar jurang antara kaum dan kelas sosioekonomi dan boleh menjejaskan kestabilan negara.

Strategi yang munasabah dan realistik untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan bermakna bagi pelajar kita ialah kembali semula kepada dasar mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu kerana hasil Kajian TIMSS 1999 dan 2003 membuktikan prestasi pelajar kita dalam Matematik dan Sains dalam kohort yang diajar dalam bahasa Melayu itu tinggi.

Sebaliknya kohort yang diajar dalam bahasa Inggeris (PPSMI) 2007 itu prestasi ujian Matematik dan Sains TIMSS 2007 mereka merosot dengan ketara, kerana kebanyakan mereka sukar belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Pelaksanaan dasar kembali mengguna bahasa Melayu untuk Sains dan Matematik tidaklah sesukar seperti yang cuba digemburkan. Baiki kurikulum dan pendekatan bahasa Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar sekolah rendah dan menengah kita. Ini tidak sukar dilaksanakan.

Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron ialah Profesor pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim merangkap Ketua Pengkaji Kesan PPSMI Terhadap Prestasi Mata Pelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Rendah dan Menengah 2008

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Mulai tahun ini, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) swasta sebagai tambahan kepada 42 maktab sedia ada di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, penubuhan MRSM itu yang mendapat sokongan kewangan sektor swasta penting bagi menampung permohonan pelajar bumiputera yang semakin meningkat.

"Tahun lalu, Mara menerima lebih 40,000 permohonan daripada pelajar bumiputera tetapi sekadar mampu menyediakan tempat kepada 11,000 pelajar memandangkan bajet yang terhad.

"Oleh itu, penubuhan MRSM swasta ini akan membantu meningkatkan bilangan pelajar bumiputera menuntut di maktab berkenaan dengan yuran pengajian yang masih dalam peringkat perbincangan."

“Siapa nak masuk (MRSM swasta) kena bayar, kemasukan bukan untuk orang kaya saja, tetapi orang miskin yang mampu atau sanggup untuk bayar. Kelayakan masuk juga akan dikaji , katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan dan Latihan Mara 2009 yang menghimpunkan lebih 100 pegawai atasan Mara bersama beberapa tokoh pendidik dan pelatih profesional di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin.

Mengulas lanjut, kata Noh, buat masa ini, Mara sedang berbincang dengan Bank Rakyat yang memiliki lebih 800,000 ahli untuk membina MRSM swasta. Institusi kewangan itu akan membina bangunan berharga RM80 juta di atas tanah seluas 20 hektar manakala Mara berperanan menyediakan tenaga pengajar selain program pembelajaran. Jumlah perbelanjaan bagi seorang pelajar termasuk yuran di MRSM swasta ini dianggarkan RM5,000 setahun.

Noh berkata, penubuhan MRSM swasta yang pertama itu dijangka akan dibina di Tanjong Karang, Selangor.

Kata beliau, Mara berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak firma terutama syarikat milik kerajaan (GLC) dalam membangunkan MRSM swasta.

"Ini kerana jenama MRSM semakin diyakini setelah berjaya melahirkan ribuan pelajar bertaraf dunia dan menjadi pemimpin pelbagai organisasi pada masa ini," ujarnya.

Mara mengambil 5,300 pelajar Tingkatan Satu setiap tahun berbanding permohonan yang diterima melebihi 23,000 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala pengambilan pelajar Tingkatan Empat pula seramai 6,000 setahun dengan permohonan yang diterima 19,000 orang.

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Pada majlis yang sama, Noh mengumumkan rancangan Mara membeli kursi pengajian di 10 universiti terbaik dunia antaranya Universiti Harvard di Amerika Syarikat, Universiti Oxford dan Universiti Cambridge di United Kingdom serta Universiti Tokyo mulai tahun ini.

Jelasnya, pembelian kursi di universiti terkenal di luar negara yang dianggarkan berharga kira-kira AS$10 juta (RM37.1 juta) setiap satu akan memudahkan kemasukan pelajar Melayu ke pusat pengajian berkenaan.

"Apabila Mara ada kursi di universiti terkemuka itu, pelajar kita boleh masuk tanpa melalui tapisan ketat seperti dilakukan oleh Singapura," katanya.

Kini, kira-kira 10,000 pelajar tajaan Mara menuntut di universiti seluruh dunia termasuk mereka yang sedang mengikuti kursus automotif, komputer dan teknologi maklumat di Jerman, Perancis, United Kingdom, Jepun dan Korea Selatan.

(Sumber: Utusan Malaysia & Berita Harian: 04/03/2009)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Darul Qur'an JAKIM

DARUL QURAN adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi dalam bidang Tahfiz Al-Quran yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, mempelawa calon-calon berkelayakan untuk mengikuti pengajian Diploma Tahfiz Al-Quran.

Kita lihat bagaimana sistem pengajian, syarat permohonan, yuran pengajian & elaun, cara memohon dan lain-lain maklumat lanjut di bawah.

SISTEM PENGAJIAN

Kursus dijalankan mengikut sistem semester selama 3 tahun (6 semester). Anda akan dibimbing dan dilatih sebagai seorang Hafiz dan Hafizah yang mampu menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Subjek yang ditawarkan meliputi bidang Pengajian Al-Quran, Qiraat, Syariah dan Dakwah.

SYARAT-SYARAT PERMOHONAN

1. Warganegara Malaysia atau biukan warganegara yang belum berkahwin.
2. Berumur tidak kurang 17 tahun dan tidak lebih 21 tahun.
3. Lulus SPM dengan mendapat kepujian dalam mata pelajaran :
  • Bahasa Melayu
  • Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah/Pendidikan Syariah Islamiah/Pendidikan Islam/Tasawwur Islam
  • Bahasa Arab Tinggi atau Bahasa Arab Komunikasi, dan
  • Lulus Bahasa Inggeris
  • Atau kelulusan yang diiktiraf yang setaraf dengan SPM
Calon-calon yang sedang mengikuti pengajian di mana-mana Maahad Tahfiz Negeri yang menyertai pengajian bersama Program Diploma Tahfiz di Darul Quran adalah tidak layak memohon.

YURAN PENGAJIAN DAN ELAUN

Yuran pengajian tidak dikenakan. Elaun Pengajian akan dipertimbangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk pelajar-pelajar Darul Quran.

CARA MEMOHON

Borang permohonan boleh diperolehi melalui Laman Web:
  • http://www.islam.gov.my
  • http://www.darulquran.gov.my
UJIAN DAN TEMUDUGA

Calon-calon yang berkelayakan akan dipanggil untuk menduduki ujian bertulis dan temu duga.

TARIKH TUTUP PERMOHONAN

Borang Permohonan dan Borang Perakuan Diri yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar dalam tempoh 10 hari selepas keputusan peperiksaan SPM 2008 diumumkan kepada:

Pendaftar,
Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,
Jalan Hamzah, Ampang Pecah,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Telefon: 03 - 6063 5333 | Faks: 03 - 6064 5497


MAKLUMAN

Calon-calon yang tidak menerima apa-apa maklumat selepas 2 Mei 2009 adalah dianggap tidak berjaya.

Jadi, bagaimana? Jika anda memang berminat dalam bidang tahfiz, ini peluang yang amat baik. Tiada yuran, malah elaun dipertimbangkan. Dengan diploma berkenaan, boleh memohon untuk jawatan seperti Imam Masjid melalui Jabatan Agama Islam Negeri. Di samping itu, boleh menyambung pengajian ke peringkat ijazah di dalam atau luar negeri, terutamanya di negara Timur Tengah. Amat baik untuk yang menguasai Bahasa Arab. Semoga berjaya, baik untuk dunia - baik juga untuk akhirat.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

IKLAN
PERMOHONAN TAJAAN JPA DAN MARA
UNTUK LEPASAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2008
DI BAWAH PROGRAM IJAZAH LUAR NEGARA 2009

1. Permohonan adalah dipelawa daripada calon-calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 untuk mendapatkan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mengikuti pengajian di bawah Program Ijazah Luar Negara tahun 2009.

2. Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi atas talian (on-line application) melalui laman web http://www.jpa.gov.my mulai tarikh keputusan SPM 2008 diumumkan secara rasmi.

3. Tarikh tutup permohonan tajaan Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2009 adalah 7 hari selepas permohonan dibuka.

4. Maklumat lanjut mengenai program/bidang kursus, syarat-syarat permohonan dan cara memohon boleh diperoleh dengan melayari laman web http://www.jpa.gov.my mulai tarikh iklan ini disiarkan. Calon hendaklah membaca dan memahami kesemua maklumat mengenai program/bidang kursus, syarat-syarat permohonan dan cara memohon sebelum membuat permohonan.

5. Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor di hospital-hospital Kerajaan yang terpilih di seluruh negara akan diadakan selama 5 hari mulai 23 sehingga 27 Mac 2009. Program ini diwajibkan kepada semua calon yang memohon untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di bawah tajaan JPA.

6. Calon-calon dikehendaki menyemak maklumat terkini mengenai permohonan melalui laman web http://www.jpa.gov.my:
  • Keputusan panggilan bagi mengikuti program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor : 18 Mac 2009
  • Keputusan panggilan temuduga JPA : 25 Mac 2009

7. Temuduga JPA akan dijalankan di beberapa pusat di seluruh negara mulai 31 Mac hingga 3 April 2009. Bagi calon yang terpilih untuk menghadiri temuduga diwajibkan untuk membawa Borang Pengesahan Pendapatan Bulanan Keluarga yang telah disahkan dan dokumen-dokumen lain yang ditetapkan.

8. Pelajar-pelajar yang memohon tajaan MARA boleh menyemak maklumat terkini mengenai permohonan melalui laman web http://www.mara.gov.my :
  • Keputusan panggilan dan maklumat temuduga MARA : 27 Mac 2009

9. Pertanyaan mengenai masalah teknikal semasa mengisi borang permohonan atas talian boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-88853550 atau 03-88853559. Talian-talian ini dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam mulai tarikh keputusan SPM 2008 diumumkan secara rasmi.

10. Pertanyaan mengenai program tajaan JPA boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-88853892 (10 talian), pada setiap hari bekerja mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel di alamat piln2009@jpa.gov.my.

11. Pertanyaan mengenai program tajaan MARA boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA di talian 03-26915111 (sambungan 1133, 1109, 1120, 3623, 3624, 3629, 3620 dan 3619) pada setiap hari bekerja mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel di alamat webmaster@mara.gov.my.

12. Calon-calon hendaklah sentiasa melayari laman web http://www.jpa.gov.my dan laman web http://www.mara.gov.my dari semasa ke semasa untuk mengetahui perkembangan dan pengumuman terkini mengenai permohonan PILN 2009.


Untuk maklumat lanjut berkaitan Syarat-syarat permohonan (Umum dan Khusus), sila rujuk/muat turun/cetak iklan sebenar (fail PDF) sepenuhnya di sini.<- klik
:: Semoga Berjaya ::

Baca Selengkapnya (Read More)...