| 0 comments ]

Sejumlah 6,247 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 yang diumumkan hari ini. Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan berbanding keputusan 2006 apabila seramai 5,685 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Pada keseluruhannya, pencapaian SPM sangat membanggakan apabila 382,286 calon berjaya mendapat sijil berbanding 358,060 pada 2006, katanya ketika mengumumkan keputusan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), di Putrajaya hari ini.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 347,032 (90.8) peratus terdiri daripada calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Menurut Alimuddin daripada 6,247 calon yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran itu, 5,060 atau 81 peratus terdiri daripada calon sekolah KPM berbanding 4,311 (75.8 peratus) pada tahun 2006, atau peningkatan 5.2 peratus.

"Peningkatan ketara ini menunjukkan pencapaian tinggi dan cemerlang bagi calon sekolah KPM," katanya.

Sejumlah 439,255 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan ini. Alimuddin berkata daripada kumpulan calon cemerlang itu, Azali Azlan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan, Kedah, memperoleh 20 1A dan Satu 2A.

Quek Hai Ren dari SMK Hwa Lian, Mentakab Pahang pula memperoleh 16 1A, katanya.

Alimuddin berkata seramai 1,072 calon berjaya mendapat 1A dalam semua mata pelajaran berbanding 1,280 calon pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 892 atau (83.2 peratus) yang memperoleh semua 1A bagi 2007 terdiri daripada calon sekolah KPM berbanding 917 (71.6 peratus) pada tahun sebelumnya, katanya.

"Seramai 58,519 calon sekolah KPM mendapat sekurang-kurangnya gred 6C bagi semua mata pelajaran yang diduduki dalam SPM 2007 berbanding 57,015 pada tahun 2006," katanya.

Beliau berkata hanya 2,911 atau 0.75 peratus calon gagal (gred 9G) dalam semua mata pelajaran berbanding 2,823 (0.79 peratus) pada tahun 2006.

Bagi calon istimewa, Alimuddin berkata seramai 189 (53.2 peratus) daripada 355 calon berjaya mendapat sijil berbanding 176 (60.5 peratus) daripada 291 calon pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata calon cacat penglihatan, Loh Wei Siong dari SMK Batu Lintang, Sarawak, mendapat enam 1A dan dua 2A bagi semua lapan mata pelajaran yang didudukinya.

Sementara itu, Alimuddin berkata calon-calon yang menduduki SPM 2007 merupakan kumpulan pertama yang mengikuti program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tingkatan satu pada 2003.

Beliau berkata program PPSMI didapati tidak menjejaskan pencapaian murid dalam semua mata pelajaran sains dan matematik dalam peperiksaan SPM 2007, malahah prestasi dalam mata pelajaran matematik tambahan, fizik dan biologi, meningkat.

"Peningkatan tersebut berlaku di peringkat nasional dan di kalangan murid bandar dan luar bandar," katanya.

Alimuddin berkata turut membanggakan ialah peningkatan ketara pencapaian calon dalam mata pelajaran bahasa Inggeris di peringkat nasional, bandar atau luar bandar.

Bagi calon yang berjaya sekurang-kurangnya gred 6C dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris 1119, mereka akan dianugerahkan sijil GCE O-Level daripada Cambridge Assessment (CA), satu pengiktirafan antarabangsa termasuk oleh negara-negara Eropah melalui European Qualification Framework.

Selain itu, beliau berkata mulai 2007, calon yang mengambil Prinsip Perakaunan dan lulus dengan baik mata pelajaran itu, mereka akan mendapat pengiktirafan antarabangsa Tahap Dua Sijil London Chambers of Commerce and Industry (LCCI) dan pengecualian daripada menduduki Certified Accounting Technicial One (CAT) The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) England.

Pada 2007, seramai 778 calon yang mengambil mata pelajaran Prinsip Perakaunan dipilih menyertai kajian perintis sijil LCCI.

Alimuddin berkata seramai 692 daripada 778 calon yang mengikuti kajian berjaya memperoleh sijil LCCI dengan 39.5 peratus daripadanya mendapat kepujian, 36.4 peratus kredit dan 13.1 lulus.

Beliau berkata seramai 23,418 calon yang tidak terlibat dalam kajian itu tetapi jika mendapat gred 1A atau 2A dalam mata pelajaran tersebut, juga dikecualikan daripada menduduki kertas CAT 1 ACCA.

(Sumber: Kenyataan Akhbar - 12/03/2008)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment