| 0 comments ]

Jumlah calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2007 yang lulus penuh (peringkat prinsipal) meningkat 0.75 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan peratusan penggunaan Bahasa Inggeris ketika menjawab soalan bertambah 6.2 peratus.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Datuk Dr Dzulkifli Abdul Razak ketika mengumumkan keputusan STPM hari ini, berkata seramai 56,896 atau 91.62 peratus calon lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu subjek berbanding 63,149 pelajar atau 90.87 peratus pada 2006.

Beliau berkata jumlah itu meliputi 66,047 calon yang menduduki peperiksaan STPM pada 13 Nov hingga 5 Dis 2007 di 730 pusat peperiksaan di seluruh negara. "Secara keseluruhan tidak ada perbezaan ketara. Secara trendnya masih ada jurang beza antara calon di luar bandar dan bandar dengan peratusan penggunaan bahasa Inggeris ketika menjawab soalan meningkat," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman analisis keputusan STPM 2007 di Kuala Lumpur hari ini.

Dzulkifli berkata peratusan calon yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya pada tahun lepas ialah 91.9 peratus berbanding 85.6 peratus pada 2006.

"Pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris didapati tidak menjejaskan pencapaian calon peperiksaan STPM," katanya.

Analisis STPM itu juga menunjukkan bilangan calon yang lulus gred A dalam lima dan empat mata pelajaran mencatat sedikit penurunan iaitu 25 pelajar pada tahun lepas berbanding 34 pelajar pada 2006. Daripada jumlah itu, 15 adalah pelajar Sains dan 10 pelajar Sastera. Dzulkifli berkata jurang prestasi antara calon bandar dan luar bandar dalam kedua-dua aliran Sains dan Sastera juga masih ketara, dengan 13.71 peratus calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A, berbanding 4.62 peratus pelajar luar bandar.

"Trend (jurang beza) ini mungkin disebabkan perbezaan dari segi fasiliti, infrastruktur dan guru-guru yang mengajar di bandar dan luar bandar," katanya. Daripada keseluruhan 66,047 calon STPM tahun lepas, 57,395 atau 86.90 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 3,122 (4.73 peratus) calon sekolah swasta dan 5,530 (8.37) calon persendirian.

Semua calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula tengah hari ini kecuali calon persendirian yang akan menerima melalui pos, selain melayari laman web www.mpm.edu.my dan SMS talian 39003.

Di ALOR SETAR, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Mansor Lat berkata Kedah mencatatkan peningkatan 1.47 peratus pelajar yang lulus STPM, iaitu daripada 92.18 peratus pada 2006 kepada 93.65 peratus pelajar yang lulus tahun lepas.

Beliau berkata tujuh sekolah bantuan kerajaan juga mendapat kelulusan 100 peratus ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah, Kulim; SMK Tunku Abdul Malik (A), Alor Star; SMK Tunku Putra, Langkawi; SMK Sultan Ahmad Tajuddin, (Bandar Baharu); SMK Yan, Yan; SMK Lubok Merbau, Pendang dan SMK Sungai Kob, Kulim. Seramai 3,880 pelajar lulus sekurang-kurangnya satu Prinsipal (1P) daripada 4,302 calon sekolah bantuan kerajaan yang menduduki peperiksaan itu, katanya.

Di KUALA TERENGGANU, jurucakap Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu berkata 2,602 pelajar atau 95.24 peratus daripada 2,839 calon yang menduduki STPM pada tahun lepas, lulus sekurang-sekurangnya satu mata pelajaran.

Jumlah itu mencatat penurunan 0.23 peratus calon lulus berbanding 3,263 pelajar (95.47) lulus daripada 3,520 calon yang menduduki STPM pada 2006.

Sebanyak 12 sekolah kerajaan negeri lulus penuh pada tahun lepas, katanya.

Di JOHOR BAHARU, pemangku Pengarah Pelajaran Johor Ramlan Sariman berkata 5,593 daripada 6,537 calon STPM negeri lulus penuh, dan jumlah itu merupakan peningkatan 0.85 peratus.

Sebanyak 22 sekolah mencapai 100 peratus lulus STPM berbanding 14 sekolah pada 2006, katanya.

Di MACHANG, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Ismail Mohd Noor berkata 1,157 pelajar atau 18.6 peratus, mendapat keputusan cemerlang 5A tahun lepas berbanding 1,482 pelajar (20.1 peratus) pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata ia merupakan penurunan 1.5 peratus pelajar mendapat 5A. Katanya peratusan kelulusan keseluruhan negeri ialah 93.49 peratus.

Di SEREMBAN, 17 pelajar di Negeri Sembilan memperoleh prinsipal A dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan nilai purata nilai gred kertas 4.00, dan 3 calon lagi memperoleh purata nilai gred kertas 4.00 mengikut pengiraan merit.

Jurucakap Jabatan Pelajaran Negeri berkata mereka terdiri daripada 15 orang calon jurusan sains dan 5 orang calon jurusan sastera.

"Seramai 1,636 calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal atau 95.2 peratus dalam peperiksaan tahun lepas.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.2 peratus berbanding pencapaian tahun 2006.

"Daripada jumlah itu 101 lulus 5 prinsipal, 749 lulus 4 prinsipal, 360 lulus 3 prinsipal, 222 lulus 2 prinsipal dan 204 lulus 1 prinsipal," katanya di sini hari ini.

Seramai 1,879 orang calon menduduki peperiksaan STPM pada tahun 207 berbanding 2,226 orang calon pada tahun 2006.

Daripada jumlah itu, 1,718 adalah calon sekolah kerajaan, 20 calon sekolah swasta dan 141 calon persendirian.

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment