| 3 comments ]

PENCAPAIAN calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang mendapat A semua mata pelajaran dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2008 meningkat kepada 64.37 peratus atau 1,868 orang berbanding 61.42 peratus atau 1,678 orang pada 2007.

Selain itu, 13 daripada 20 MRSM seluruh negara yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu mencatat rekod pencapaian cemerlang apabila semua calon maktab terbabit memperoleh A semua mata pelajaran berbanding 11, tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinim, berkata MRSM terbabit ialah MRSM Transkrian, Pulau Pinang; Gerik dan Lenggong, Perak; Besut, Terengganu; Terendak, Melaka; Kuala Kubu Baharu, Selangor; Mersing dan Pontian, Johor; Pasir Tumboh dan Kuala Krai, Kelantan; Kuala Klawang, Negeri Sembilan; Kota Putra dan Kota Kinabalu, Sabah.

"MRSM Transkrian pula muncul MRSM paling cemerlang apabila 123 calonnya mendapat semua A dengan pencapaian Gred Purata Maktab terbaik iaitu 1.0314, diikuti MRSM Besut (1.0372), MRSM Terendak (1.0386), MRSM Kuala Kubu Baharu (1.0473) dan MRSM Gerik (1.0536).

"Pencapaian keseluruhan tahun lalu juga lebih baik berbanding sebelumnya dengan pengurangan Gred Purata Maktab daripada 1.0899 pada 2007 kepada 1.0843 tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Sambil menjelaskan seramai 2,902 calon menduduki PMR tahun lalu, Nam berkata, seramai 17 calon mendapat 9A (ambil Bahasa Arab sebagai subjek tambahan), diikuti 1,732 memperoleh 8A dan 119 lagi 7A (tidak ambil Pendidikan Islam).

Beliau berkata, jumlah pelajar yang mendapat pencapaian syarat minimum 6A 2B (Gred A Matematik dan Sains) turut meningkat kepada 85.04 peratus atau 2,468 orang berbanding 84.37 peratus atau 2,305 orang pada 2007.

Beliau berkata, pencapaian cemerlang PMR 2008 menjadi ukuran pemantapan sistem pendidikan MRSM, selain kejituan usaha berterusan semua pihak bagi memastikan bidang pendidikan institusi itu terus cemerlang.

Dalam perkembangan berkaitan, Mara menerima 16,750 permohonan daripada lulusan PMR tahun lalu bagi mengisi 6,839 tempat Tingkatan Empat di MRSM, tahun ini.

Nam berkata, semakan keputusan permohonan boleh diketahui selewat-lewatnya minggu kedua bulan ini, manakala pendaftaran pelajar pula pada 10 Februari depan serentak dengan kemasukan pelajar baru Tingkatan Satu.

"Pemilihan pelajar ke Tingkatan Empat adalah berdasarkan pencapaian calon dalam Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM) yang diadakan Oktober lalu.

"Ujian berkenaan adalah prasyarat kemasukan ke MRSM dan calon yang tidak mendudukinya tidak akan dipertimbangkan kemasukan mereka," katanya.

Sambil menjelaskan 41 MRSM menawarkan tempat untuk Tingkatan Empat, beliau berkata, keutamaan diberikan kepada pemohon daripada keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, calon juga mestilah mendapat sekurang-kurangnya 6A 2B (A dalam Matematik dan Sains) dan tiada gred C, D atau E bagi subjek teras PMR.

(Berita Harian: 08/01/2009, hlm. 13)

Related Posts by Categories



3 comments

haraf said... @ 4:48 AM

Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) Gred Puratanya 1.023 ranking No 1 dari seluruh SBP, maknanya result PMR 2008 SBP adalah lebih baik dari result PMR MRSM Transkrian yang paling cemerlang dari seluruh MRSM.

PakTeh said... @ 4:59 PM

@haraf: thanks atas data tersebut. tentu ada istimewanya di SBP yg tidak ada di MRSM. dalam pada itu, MRSM pula mempunyai sesuatu yg tidak dimiliki pula oleh SBP.

satu persaingan yg baik dan sihat antara keduanya. suka tengok semuanya meningkatkan kualiti masa depan anak2 bangsa.

dalam pada itu, sebahagian sekolah2 harian biasa juga semakin meningkatkan prestasi mereka. cabaran yang baik juga utk SBP & MRSM.

haraf said... @ 5:03 PM

Yerla PakTeh, saya tgk bila result UPSR kluar je ramai ibubapa sibuk nak masukkan anak2 mereka ke MRSM, klu borak dgn kawan2 pun diaorg bangga klu anak dpt masuk MRSM. SBP ni mcm diorg tak berapa tau sangat. Lagipun berita mengenai SBP seperti SBP mana yang mencapai keputusan terbaik jarang dikeluarkan dalam mana-mana akhbar. Yang selalu saya baca di akhbar ialah tentang result MRSM, result SBP takada. Dlm blog Pak Teh pun byk cerita pasal MRSM gak. Kalau Pak Teh boleh dpatkan keputusan penuh ranking SBP bagi result PMR 2008 bagus gak boleh tengok sekolah mana yang paling cemerlang.

Macam SEMASHUR, ni pun tak pernah dengar, tahu bila anak kawan ckp sekolah tu dpt tempat pertama dlm PMR 2008 bagi seluruh SBP. Sebab klu sebut pasal SBP org selalu ckp MCKK, Tun Fatimah (STF), SDAR, Kolej Tunku Kurshiah(TKC), & Sekolah Alam Shah je yang terror dan popular.

Post a Comment