| 0 comments ]

KEPUTUSAN ibu bapa menghantar anak ke sekolah berasrama penuh (SBP) perlu dilaksanakan secara diplomasi, termasuk mengambil kira kesediaan untuk tinggal berasingan. Ikuti pandangan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Aminah Ayob seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Norliza Abdullah.



SISTEM pendidikan sekolah berasrama penuh (SBP) terbukti cemerlang. Sejak dilaksanakan mulai 1905, sistem pendidikan bersepadu itu mampu melahirkan pemimpin tertinggi negara dalam pelbagai sektor, selain tokoh politik disegani.

Program pendidikan menyeluruh yang disediakan dengan pengisian akademik dan pembangunan sahsiah pelajar itu menjadi pilihan ibu bapa dalam memastikan anak mereka mendapat pendidikan berkualiti.

Memandangkan permintaan memasuki SBP sangat menggalakkan, program sama turut ditawarkan agensi kerajaan lain, antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan penubuhan Maktab Rendah Sains Mara.

Dalam pada ibu bapa ghairah menggalakkan anak ke SBP, masing-masing perlu rasional dan liberal kerana tidak semua pelajar cemerlang boleh menyesuaikan diri dalam sistem pendidikan berkenaan.

Pelajar dikategorikan masih belum matang itu mempunyai pelbagai kerenah dan perangai, yang mana masing-masing mempunyai cara sendiri untuk belajar dengan objektif mencapai kejayaan yang diharapkan.

Walaupun sistem pendidikan SBP kompleks dengan setiap masa dipenuhi aktiviti akademik, kokurikulum, agama dan pembangunan sahsiah, hanya sebahagian pelajar dapat mengikutinya.

Dalam hal ini, wajar bagi ibu bapa berbincang dengan anak masing-masing mengenai kesediaan mereka berpisah dengan keluarga untuk memulakan kehidupan sendirian bersama rakan di sekolah.

Ini kerana pada usia 13 tahun mungkin pelajar berkenaan terlalu mentah untuk hidup tanpa perhatian dan bimbingan ibu bapa.

Menerusi perbincangan itu, ibu bapa perlu melayan anak seperti orang dewasa, termasuk mengenai kepercayaan ibu bapa terhadap mereka. Pastinya mereka akan memberi yang terbaik walaupun terpaksa memilih belajar di sekolah harian.

Bertitik tolak keadaan itu, jika kemasukan ke SBP atas desakan ibu bapa kemungkinan besar dan dikhuatiri anak terbabit akan memberontak tanpa disedari.

Pelbagai cara anak menunjukkan rasa memberontak, antaranya anak mempunyai hubungan lebih akrab dengan rakan sebaya berbanding ibu bapa dan adik beradik yang lain.

Keadaan pastinya menjadi lebih serius kerana setiap rahsia dan hal peribadi mereka hanya dikongsi bersama rakan di asrama hinggakan apa yang sepatutnya dimaklumkan kepada ibu bapa terlebih dulu tidak dilaksanakan. Keadaan berlarutan hinggalah mereka dewasa dan melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

Berhadapan dengan situasi ini, ibu bapa dan anak boleh membuat perjanjian bersama. Pastikan jika anak tidak bersedia tinggal di asrama, anak tadi perlu berjanji mereka akan memberikan yang terbaik seperti yang diharapkan kedua-dua pihak.

Memandangkan kemudahan pendidikan sekolah harian semakin canggih, pastinya pelajar mendapat peluang pendidikan sama rata dengan rakan mereka di SBP. Apa yang penting kini ialah kesungguhan serta disiplin yang tinggi pastinya menjanjikan kejayaan cemerlang.

Guru di sekolah harian juga bertugas dengan penuh dedikasi dan membantu pelajar kejayaan menerusi bimbingan dan perhatian sepanjang proses Pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Malah sistem sekolah harian juga mempunyai persatuan ibu bapa dan guru yang kuat dan masing-masing berperanan meningkatkan kualiti pendidikan selain memantau perkembangan anak masing-masing supaya berada di landasan betul untuk mencapai kejayaan.

Sejajar dengan objektif SBP menyediakan pendidikan berkualiti kepada golongan kurang berkemampuan di luar bandar dengan penempatan 70 peratus pelajar pedalaman dan 30 peratus pelajar di bandar, wajar jika kemudahan berkenaan dioptimumkan golongan sasar.

Ibu bapa di bandar memiliki segala kemudahan selain memiliki status keupayaan lebih tinggi berbanding keluarga di kampung. Mereka mampu menyediakan segala-galanya untuk keselesaan anak masing-masing.

Selain kemudahan komputer dan internet di rumah, ibu bapa berkemampuan boleh menghantar anak mereka ke pusat tuisyen pilihan.

Usaha ini juga sekali gus dapat memantau pemantauan perkembangan pendidikan anak selain mengeratkan hubungan kekeluargaan dan dalam masa yang sama, anak tadi dilatih menguruskan urusan peribadi seperti menyiapkan keperluan sekolah seperti membasuh baju dan kasut sendiri.

Program pendidikan di sekolah harian juga memberikan kelebihan kepada termasuk pergaulan pelajar dengan rakan sebaya daripada pelbagai golongan masyarakat selain mempunyai hubungan akrab dengan saudara mara, jiran tetangga dan sahabat andai.

Setengah ibu bapa merasa lebih puas jika mereka sendiri dapat membesarkan anak dengan memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa. Kepuasan melihat anak membesar di depan mata ini hanya diperoleh sekali dan ia adalah sesuatu yang sungguh berharga.

(Sumber: BHarian - 05/01/2009)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment