| 0 comments ]

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengarahkan kawalan keselamatan di semua rumah ibadat seluruh negara dipertingkatkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Katanya, tindakan itu susulan tiga kejadian gereja dibaling bom petrol dalam tempoh 24 jam semalam, masing-masing di Taman Melawati, Petaling Jaya dan Damansara. Dikatakan sebuah lagi menerima ancaman.

"Siasatan rapi sedang dibuat berhubung kejadian ini, namun saya tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan isu kalimah Allah itu.

"Kita juga sedang mengenalpasti pihak bertanggungjawab dalam kejadian ini. Namun, siasatan awal mendapati insiden itu tidak dirancang rapi dan dilakukan oleh individu yang terlalu emosional," katanya.

(Sumber: BHarianOnline - 8/1/2010 - 13:19pm)

Salah satu gereja ialah gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati. Pemimpin gereja itu, Mejar (B) Peter Yeow berkata beliau mendapat panggilan telefon mengenai kebakaran tersebut pada kira-kira pukul 12 malam Khamis. Bahagian yang terbakar ialah tingkat bawah bahagian pentadbiran bangunan yang berusia 12 tahun itu.

(Sumber: Bernama - 8/1/2010 - 15:14pm)

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata kawalan keselamatan di gereja di seluruh negara dipertingkatkan dengan polis mengadakan rondaan yang lebih kerap.

"Kita juga sedang mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam insiden itu namun siasatan awal mendapati kejadian itu tidak dirancang secara rapi dan dilakukan oleh individu yang terlalu emosional," katanya.

Beliau berkata insiden pertama berlaku pada kira-kira pukul 12.30 malam di Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati apabila dipercayai seorang lelaki bermotosikal membaling topi keledar berisi bom petrol melalui tingkap gereja tersebut.

Katanya, berikutan itu berlaku kebakaran yang mengakibatkan kerusi dan buku-buku agama di tingkat bawah bangunan tiga tingkat itu musnah.

"Seorang pengawal keselamatan telah menyaksikan insiden tersebut dan kita sedang mengambil keterangan lelaki itu bagi membantu siasatan terutama untuk mengenal pasti individu terbabit dan motosikal yang digunakan," katanya.

Musa berkata kejadian kedua berlaku di Gereja Assumption di Petaling Jaya pada kira-kira pukul 4 pagi dan Gereja Chapel, Damansara turut menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab kira-kira pukul 9 pagi.

Beliau berkata bagaimanapun bom petrol dalam botol yang dibaling oleh lelaki bermotosikal ke dalam dua-dua gereja itu tidak pecah dan tidak mengakibatkan kebakaran.

Hishammuddin turut meminta pihak gereja menghubungi polis atau beliau sendiri jika terdapat ancaman ugutan atau perkara yang mencurigakan berlaku.

"Semalam sahaja, saya mendapat satu panggilan telefon kira-kira pukul 6 petang daripada pihak sebuah gereja yang memaklumkan mereka menerima ugutan daripada pihak tertentu.

Justeru saya menasihatkan kepada semua pihak gereja untuk membuat laporan polis jika diugut atau terus menghubungi saya di talian 019-2823701 agar kita boleh bertindak segera," katanya.

Sementara itu, Musa berkata polis turut memantau laman web yang didapati menjadi batu api dengan menggalakkan orang ramai melanggar undang-undang dan mengajak mereka untuk berhimpun secara haram.

Katanya polis tidak teragak-agak untuk menahan penulis-penulis blog yang sengaja mencetuskan rasa tidak senang dan kemarahan orang ramai di bawah Akta Hasutan.

(Sumber: Bernama - 8/1/2010 - 15:41pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment