| 0 comments ]

"Semua berlaku dalam sekelip mata...kami semua cemas dan panik dan ada antara kami yang terus tenggelam," kata seorang mangsa terselamat dalam kejadian bot perahu naga terbalik akibat dipukul ombak di Pulau Pinang pada hari Ahad.

Kuah Zi Xu, 17, ketika menceritakan detik kecemasan yang dialaminya, berkata selepas mendayung selama 45 minit, mereka cuba membuat pusingan 'U' untuk berpatah balik apabila secara tiba-tiba bot mereka dipukul ombak tinggi.

"Kerana dipukul ombak, bot kami kemudiannya terlanggar sebuah tongkang di kawasan perairan itu sebelum terbalik dan kami semua terjatuh ke dalam air," katanya yang duduk mendayung pada bahagian belakang bot itu.

Pelajar tersebut adalah antara 12 mangsa yang terselamat dalam peristiwa sedih tragedi itu ketika menjalani latihan di kawasan perairan dekat Lebuh Macallum di sini pada pukul 8.45 pagi tadi.

Katanya, selepas itu ramai di antara mereka terselamat apabila berenang ke arah sebuah bot yang secara kebetulan berada di kawasan berhampiran untuk menyelamatkan diri.

Kuah, yang masih trauma dengan tragedi itu, menyifatkan apa yang berlaku sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.

"Saya macam tidak percaya, saya tak mahu cerita lagi, saya sangat sedih", katanya.

Jurucakap Pasukan Mencari dan Menyelamat, Timbalan Penguasa Bomba, Skein Citbanchong, berkata, setakat ini dua orang, iaitu pelajar Jason Ch'ng 17 dan seorang guru Chin Ai Fang telah ditemui mati lemas.

Empat lagi pelajar Brandon Yeoh, 17, Yong Xiang, 16, Koh Yiz Hiang, 17, dan Cheah Zi Jun, 17 masih belum ditemui.

Mereka adalah antara 18 anggota pasukan pendayung perahu naga Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Ling Air Itam di sini yang sedang menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini.

(Sumber: Bernama - 17/1/2010 - 15:03pm)

Khabarnya, kegiatan acara sukan itu tiada masalah, tetapi isunya kurang keprihatinan tentang aspek pemakaian jaket keselamatan bagi aktiviti di kawasan berair.

"Jaket keselamatan yang ada cukup untuk semua orang tapi hanya 10 hingga 11 orang sahaja memakainya, yang lain enggan. Selalunya kami semua pakai setiap kali latihan," begitu luah Kuah Zi Xun, 17.

(Update: Utusan - 18/1/2010 - Dalam Negeri)


Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment