| 0 comments ]

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM53 juta setahun menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) bagi menaja pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam dan luar negara.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon berkata, sejak YTN ditubuhkan pada 1993, 9,253 mahasiswa diberi bantuan pendidikan dengan jumlah tajaan melebihi RM500 juta.

“Mahasiswa ini ditaja mengikuti bidang teras TNB seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, perakaunan, kewangan dan bisnes untuk pasaran kerja dalaman TNB,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan Penganugerahan Biasiswa Pelajar Baru YTN di Dewan Musytari di Residence Hotel Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Noriah berkata, YTN turut membelanjakan RM524 juta untuk menunaikan tanggungjawab sosial dalam sektor pendidikan.

“TNB nampaknya maju merintis masa hadapan bagi pembangunan modal insan bermula dari sekolah rendah dengan terlaksananya program pintar pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah-sekolah angkat,” katanya.

Pada majlis itu, 36 graduan yang berjaya menamatkan pengajian dengan kelas pertama dan keputusan purata nilai gred terkumpul (CGPA) 3.67 ke atas tahun lalu menerima Anugerah Pelajar Cemerlang.

(Sumber: Utusan - 13/1/2010 - Pendidikan)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment