| 1 comments ]

Inisiatif kerajaan untuk membolehkan pelajar universiti memiliki netbook sendiri dengan perkhidmatan jalur lebar percuma sememangnya ditunggu-tunggu oleh pelajar dan pensyarah.

Pakej daripada Telekom Malaysia Berhad itu yang akan diperkenalkan tahun ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2010 pada Oktober tahun lepas.

Buat permulaan, TM akan menawarkan pakej netbook termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma kepada 100,000 pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun. Pelajar tahun pertama dan daripada keluarga berpendapatan rendah akan diutamakan.

"TM akan membuat pengumuman mengenai penawaran pakej ini bersama butirannya tidak lama lagi," kata Aziz A.Hadi, Naib Presiden Produk Runcit TM, kepada Bernama.

Katanya selain menyumbang ke arah meningkatkan kadar penembusan jalur lebar ke arah memanfaatkan ICT sebagai penggerak masyarakat berpengetahuan, pakej komputer itu juga akan menyokong langkah kerajaan bagi meningkatkan kemahiran modal insan.

Pada tahun 2008, terdapat 400,949 penuntut tempatan yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan 399,852 di institusi pengajian tinggi swasta di negara ini.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya Mohd Ridzuan Mohammad menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai tepat bagi membantu pelajar mengakses maklumat dengan cepat.

"Ianya memudahkan pelajar mencari rujukan dan juga untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini sama ada isu semasa dan juga apa sahaja yang dibuat oleh peringkat dunia dan juga dalam negara kita.

"Cuma yang saya harapkan adalah ruang yang diberikan oleh kerajaan ini akan dapat sambutan baik oleh pelajar dan mereka akan gunakannya untuk perkara yang positif, dengan erti kata lain mereka tidaklah menyalahgunakan dan sebagainya," katanya.

Hanapi Azizul, 23, penuntut sarjana pengurusan dan pentadbiran di Universiti Teknologi Malaysia, berkata inisiatif itu akan membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Kalau nak beli broadband dengan netbook itu sendiri mungkin tak mampu, biasiswa yang dapat pun kadang-kadang tak cukup, dengan adanya perkara seperti ini sedikit sebanyak membantu kami.

"Contohnya duit biasiswa, pinjaman, atau duit yang diberikan oleh ibu bapa bolehlah kami jimatkan dan simpan. Manalah tahu kalau ada perkara penting nanti nak dibuat seperti praktikal di luar, masa itulah pelajar banyak nak guna duit " katanya Hanapi.

Beberapa pensyarah universiti yang ditemubual Bernama menyokong usaha kerajaan tersebut kerana mereka berpendapat kemudahan komputer dan jalur lebar merupakan satu keperluan dalam dunia sekarang.

Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Che Ibrahim Salleh berkata dengan adanya pembayaran secara ansuran itu, pelajar dapat merasai komitmen untuk mendapatkan pakej tersebut.

Timbalan Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Abdul Mua'ati @ Zamri Ahmad berkata bayaran itu sangat berpatutan.

"Kalau kerajaan bagi free sahaja pun tak dihargai, kita tengok macam bantuan buku teks di sekolah-sekolahkan banyak yang tak dijaga, koyak, diconteng dan sebagainya. Itu sebab free.

"Tapi bila kena bayar RM50 sahaja bukan hanya pelajar mampu tetapi akan timbul rasa sayang dia kepada alat tu. Dan alat itu boleh digunakan untuk pembelajaran dia, jadi saya rasa langkah itu sesuatu yang bagus," katanya.

Ketua Jabatan Komunikasi Kolej Universiti Islam Selangor, Nur Aina Nabila Dundai Abdullah, berkata pelajar memang memerlukan kemudahan tersebut untuk menjadi lebih berdaya saing dengan pelajar negara luar.

"Memang cukup baguslah, biasanya pelajar pergi kafe siber sahaja...terlalu terhad masa yang digunakan untuk dapatkan maklumat, tapi dengan adanya kemudahan seperti ini sudah tentu ke mana sahaja mereka pergi mereka dapat akses internet," katanya.

(Sumber: Bernama - 12/1/2010 - 10:19am)

Related Posts by Categories



1 comments

Fee said... @ 12:47 AM

As'kum..just nk pasti..

Betul ke semua yang akan masuk ke IPTA thun nih akan dpt netbook nih..?

Klu betul..bgus la..sy betul2 sokong dgn cadangan kerajaan sekarang.

Thanks..

Post a Comment