| 0 comments ]

UniKL - Royal College of Medicine Perak

KOLEJ Perubatan Diraja Perak Universiti Kuala Lumpur (UniKL RCMP) bakal memiliki bangunan sendiri bernilai RM80 juta berhampiran kampus lama yang dijangka siap pembinaannya pada 2011. 

Bangunan 10 tingkat itu dilengkapi kemudahan canggih yang diperlukan pelajar perubatan akan menjadi satu mercu tanda baru bandar raya Ipoh. 

Ketika ini, kerja pembinaan giat dijalankan dan bangunan terbabit akan menjadi kolej perubatan moden yang dilengkapi dengan klinik, makmal dan perpustakaan bagi memudahkan pelajar menimba ilmu berkaitan.

Selain itu, kemudahan asrama bagi pelajar lelaki dan perempuan disediakan di bangunan sama bertujuan memudahkan mereka berulang-alik dari kampus, sekali gus menjimatkan masa.

Pada masa kini, RCMP menyediakan prasarana selesa untuk pelajar mengikuti pengajian dan pembelajaran dengan kemudahan lengkap seperti kuliah berhawa dingin, makmal teknologi maklumat dan komunikasi, muzium patologi, makmal klinikal dan farmasi.

Ketua Pengarah merangkap Dekan Kampus UniKL RCMP, Prof Dr Hashami Bohari, berkata kampus itu adalah cawangan kelapan daripada 10 yang dibuka di seluruh negara.

"Kolej ini diambil alih Mara pada 2004 dan dimajukan semula menjadi institusi pengajian tinggi swasta serta diiktiraf Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menjadi RCMP.

"Sepanjang penubuhannya, pencapaian pelajarnya amat memberangsangkan dengan 10 hingga 15 peratus pelajar berjaya mendapat anugerah dekan, sekali gus antara cawangan UniKL terbaik di seluruh negara," katanya.

Hashami berkata, kolejnya menawarkan pelbagai kursus peringkat diploma, antaranya kejururawatan, farmasi, radiografi dan Ijazah Sarjana Muda Perubatan serta Ijazah Sarjana Muda Pembedahan.

"Sejak beroperasi lebih 2,000 pelajar mengikuti pengajian di sini termasuk dari luar negara, antaranya Thailand, Filipina, Botswana yang rata-rata berpuas hati dengan program diikuti.

"Kini, terdapat 40 pelajar wanita dari selatan Thailand sedang mengikuti pengajian Program Pembantu Jururawat selama setahun bermula sejak Jun tahun lalu," katanya.

Hashami berkata, pelajar kebanyakan ditaja Kementerian Kesihatan Malaysia dan beberapa hospital terkemuka di Malaysia antaranya Institut Jantung Negara, Hospital Subang Jaya dan Hospital Pantai Puteri.

"Lazimnya, penerima tajaan terdiri daripada pelajar Diploma Perubatan dan selepas menamatkan pengajian mereka secara automatik akan diserapkan ke hospital yang membiayai pengajian mereka.

"Pelajar juga boleh mendapat pinjaman kewangan daripada Mara dan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional bagi membiayai yuran pengajian mereka di kolej ini," katanya.

Kursus ditawarkan RCMP mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia kecuali Diploma Radiografi yang masih dalam proses penilaian.

“Kolej ini tidak akan mencapai kejayaan memberangsangkan tanpa bantuan 191 kakitangan termasuk pensyarah dan staf akademik yang bertungkus lumus membangunkannya,” katanya.
(Sumber: Berita Harian - 26/02/2009)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment