| 0 comments ]

Sejak mula PPSMI diperkenalkan di sekolah pada 2003, proses perlaksanaan dan keberkesanannya penuh tandatanya. Bermula dengan keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai, 2002, ianya dijalankan penuh kelam kabut untuk memenuhi keperluan kurikulum - Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Projek PPSMI melibatkan kos tinggi, termasuk kursus berterusan beberapa tahun untuk guru, bahan pengajaran (laptop, projektor, courseware dll), bayaran insentif (BISP) guru berkaitan dan sebagainya. Jentera pemantauan pihak kementerian digerakkan sepenuhnya termasuk oleh KPM/JPN/PPD serta Lembaga Nazir Sekolah. Perubahan kurikulum juga dirombak serentak di seluruh universiti dan institut perguruan ke arah melahirkan bakal guru sains dan matematik era baru. Pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) juga perlu menyediakan kertas soalan lebih tebal - dua versi BM dan BI.

Isunya, sejauhmana segala hasrat dan perbelanjaan itu berbaloi dengan hasil. Jika sebelum ini, pihak NGO & parti politik (kerajaan dan pembangkang) kini Majlis Permuafakatan PIBG Nasional pula mula 'melantangkan' suaranya.

PIBG seluruh negara bantah PPSMI
Jimadie Shah Othman | Feb 26, 09 1:57pm

Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.

Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara, Isnin lalu.

Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac.

"Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram.

"Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia).

"Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.

GMP menganjurkan perhimpunan besar minggu depan bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar itu.

Mohamad Ali turut mengkritik persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bagi membincangkan pelaksanaan PPSMI yang didakwanya “tidak begitu bebas”.

"Kita perlukan kajian yang benar-benar bebas. Mungkin sudah tiba masanya kita menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji pelaksanaan PPSMI.

"(Sidang) meja bulat ini kita lihat tidak begitu bebas. Tidak ada laluan yang luas," kata Mohd Ali.

Katanya, PIBGN hadir kesemua lima kali persidangan meja bulat kementerian dan membantah PPSMI dalam pertemuan itu tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan apabila dasar itu terus diamalkan sejak enam tahun lalu.

Mengulas pelaksanaan dasar kontroversi itu, beliau menyifatkan PPSMI gagal kerana dikendalikan oleh guru yang kebanyakannya "tidak berdaya" dan "tidak cukup latihan".

"Insentif 10 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam PPSMI tidak nampak setimpal dengan kenaikan tersebut. Prestasi mereka sepatutnya lebih daripada 10 peratus," katanya.

Selain itu, Mohd Ali menambah, PPSMI mengakibatkan banyak pembaziran apabila guru-guru terlibat yang dibekalkan komputer riba bagi membantu pengajaran tetapi gagal memanfaatkan sepenuhnya.

"Begitu juga dengan perisian-perisian yang tidak dimanfaatkan. Hanya 1/3 perisian pengajaran (daripada kira-kira 25 jenis) yang dicadangkan oleh kementerian digunakan," katanya.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad dianggotai kumpulan NGO dan sayap-sayap Pemuda PKR dan PAS.

(Sumber: Malaysiakini -26/02/2009)


Sememangnya PPSMI isu besar.. Amat elok jika Kabinet menimbang sebaik-baiknya lontaran pandangan rakyat sebagai sebahagian elemen pertimbangan masa depan PPSMI berdasarkan 7 pilihan pada 2010. Generasi anak-anak di sekolah itulah yang bakal menjadi pemimpin masa depan. Secara formal mereka terdidik di sekolah, tetapi pendidikan informal di luar sekolah lebih dominan dalam membentuk mentaliti mereka. Segala cerita, khabar, yang dilihat-didengar masa kini akan dinilai oleh mereka bila mereka dewasa - tentang untuk apa kerajaan sediakan untuk mereka dahulu.

Sejak PPSMI bermula, masih ada sekolah yang terbengkalai pemasangan skrin/projektor hingga kini; laptop yang sudah 'obsolete' dan masalah servis/warranty, guru mengajar dwi-bahasa seiring dengan kertas soalan peperiksaan yang juga dwi-bahasa. Berapa peratus sahaja murid menjawab fully english dalam UPSR, PMR dan SPM?. Kadang-kadang hingga tertanya-tanya: Siapa yang UNTUNG dari PPSMI sebenarnya? Murid? Guru? Ibubapa? Kontraktor? Rakyat? Kementerian Pelajaran? Pembangkang? Kerajaan?.. entahlah.. 

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment