| 0 comments ]

Seramai 46,277 atau 92.26% daripada 66,047 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008, lulus penuh atau peringkat prinsipal bagi sekurang-kurang satu mata pelajaran, meningkat 0.65 berbanding 91.61% pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 3,437 atau 6.85% calon lulus penuh lima mata pelajaran, 18,686 (37.25%) empat mata pelajaran, 10,068 (20.07%) tiga mata pelajaran 7,635 (15.22%) dua mata pelajaran serta 6,451 (12.86%) satu mata pelajaran.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, berkata 236 calon memperoleh prinsipal A dalam semua subjek iaitu masing-masing 13 yang mengambil lima mata pelajaran dan 223 (empat mata pelajaran).

Beliau berkata, bilangan itu merosot berbanding 25 calon mendapat prinsipal A dalam lima mata pelajaran dan 361 memperoleh keputusan sama bagi empat subjek diambil pada 2007.

Katanya, daripada analisis jurang pelajar bandar dan luar bandar masih ketara kerana calon mendapat 5A, 4A dan 3A ialah 10.39% berbanding 6.77% (luar bandar).

“Namun, uniknya keputusan kali ini, calon luar bandar lebih baik daripada bandar dalam aliran sains dengan mendapat 5A, 4A dan 3A iaitu 14.81% berbanding 12.99% (bandar), walaupun mereka mendahului dalam aliran sastera dengan mencatat 9.01% berbanding 6.15% (luar bandar).

“Seramai 31 calon lagi mendapat empat A dalam lima mata pelajaran diambil, merosot berbanding 59 pelajar pada tahun sebelumnya.

“Umumnya, prestasi calon memperoleh keputusan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.00 atau ke atas rendah kerana hanya 0.82% memperoleh PNGK 4.00, berbanding 1.15% pada 2007,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur semalam. Hadir sama, Ketua Eksekutif MPM, Omar Abu Bakar.

Dzulkifli berkata, berdasarkan analisis STPM 2008, 9.72% calon mendapat PNGK 3.50 berbanding 10.66% tahun sebelumnya, manakala 31.46% lagi memperoleh PNGK 3.00, berbanding 32.11% (2007).

“Jumlah calon STPM tahun lalu menurun 18.79% iaitu 53,638 berbanding 66,048 pada 2007 dan daripada jumlah itu, 36,470 atau 67.99% Bumiputera, 12, 484 atau 23.27% Cina, 3,884 atau 7.24% India serta 800 atau 1.49% kaum lain.

“Penurunan itu mungkin disebabkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai pilihan lebih baik untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dari segi prestasi calon lulus penuh mengikut mata pelajaran pula, ada 15 mata pelajaran tidak berubah kerana perubahan pencapaian calon kurang daripada 3% dianggap sebagai biasa.

“Mata pelajaran itu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Kesusasteraan Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Syariah, Sejarah, Perakaunan, Matematik S, Matematik T, Fizik, Kimia, dan Biologi.

“Lapan mata pelajaran menunjukkan peningkatan iaitu Usuluddin, Geografi, Ekonomi, Pengajian Perniagaan, Matematik T Lanjutan, Pengkomputeran, Sains Sukan dan Seni Visual serta tiada subjek menurun melebihi 3%.

Mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam jawapan bagi subjek Sains dan Matematik, Dzulkifli berkata, kertas soalan tujuh subjek disediakan dalam dwibahasa, iaitu Matematik S, Matematik T, Matematik T Lanjutan, Pengkomputeran, Fizik, Kimia dan Biologi.

Beliau berkata, 92.7% calon menjawab dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, meningkat 0.8% berbanding 91.9% pada 2007.

“Ia disebabkan mereka lebih selesa menjawab dalam bahasa itu,” katanya.

(Sumber: Berita Harian - 11/03/2009)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment