| 0 comments ]

Kurikulum pendidikan di sekolah tadika Islam seluruh negara akan diselaraskan dalam tempoh lima tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata langkah itu bagi membendung penyelewengan yang dilakukan sesetengah pihak di dalam memberikan pendidikan awal kepada anak-anak di tadika Islam terutamanya di tadika Islam swasta.

"Kita tak mahu ada agenda-agenda yang berbeza antara tadika-tadika terutamanya bila ada unsur-unsur politik ditanam di kalangan anak-anak untuk membenci kerajaan.

"Saya harap tidak akan ada lagi agenda politik dalam perkara ini dan yang penting ialah untuk mempertingkat sahsiah dan personaliti anak-anak kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Serah Tugas Pengurusan Tadika Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MAIWP berkata penyelarasan itu telah dilakukan di semua tadika Islam di Wilayah-wilayah Persekutuan dan akan diikuti dengan negeri-negeri lain dalam tempoh lima tahun.

"Penyelarasan akan kita lakukan di dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam dan kita akan maklumkan kepada Majlis Raja-Raja untuk dapatkan perkenan dalam tempoh dua bulan lagi kerana hal ehwal agama adalah di bawah majlis itu," katanya.

Beliau berkata melalui penyelarasan itu tadika-tadika Islam di seluruh negara akan menggunakan sistem pendidikan dan buku teks yang sama.

"Kita juga akan membuat latihan dan kursus kepada semua guru-guru tadika ini melalui Institusi Pendidikan Guru (IPG) atau Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) supaya semuanya akan selaras," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata infrastruktur fizikal dan kualiti pembelajaran di tadika Islam di Wilayah Persekutuan akan lebih terjamin apabila pengurusannya dibuat oleh MAIWP.

"Kita tidak mahu bila sebut mengenai tadika Islam ini, piawaiannya lebih rendah berbanding tadika kerajaan dan swasta. Biarpun dibuat di bawah surau sekalipun, kemudahan itu mesti lengkap supaya ibu bapa mempunyai kepercayaan terhadap tadika Islam ini," katanya.

Beliau berkata seramai 401 guru tadika Islam di Wilayah Persekutuan termasuk pembantu tadika menerima gaji bulanan berserta elaun berjumlah antara RM1,200 sehingga RM2,500 mengikut gred jawatan yang ditawarkan, bermula 1 Jan lepas.

"Ini satu perubahan yang besar jika dibandingkan sebelum ini mereka hanya menerima elaun masing-masing berjumlah RM540 hingga RM580 dan RM150 hingga RM300 setiap bulan," katanya.

(Sumber: Bernama - 18/03/2009 - 21:23PM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment